- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mark Cartwright. (14 Oktober 2016). Queen Seondeok. Ancient History
Encyclopedia.
https://www.ancient.eu/Queen_Seondeok/
https://www.ancient.eu/Queen_Seondeok/
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Ratu Seondeok (Sondok)
memerintah Kerajaan Silla dari tahun 632 hingga 647M dan merupakan pemerintah
wanita pertama di zaman Korea purba. Silla pada waktu itu sedang dalam rangka
mendominasi seluruh Semenanjung Korea dan Ratu Seondeok membantu membawa kerajaannya
mencapai matlamat tersebut.
Pemerintahannya dijuga
meraih kemasyhuran tersendiri menerusi peningkatan kadar kemasukan ajaran
Buddhisme, yang sudah pun diangkat sebagai agama rasmi kerajan tersebut, di
samping pembinaan Cheomseongdae, balai pencerap tertua di Asia Timur.
SEONDEOK MENAIKI TAKHTA
Seondeok berpeluang
menaiki takhta kerana ayahandanya, Raja Jinpyeong (Chinpyong, 579-632M) yang
memerintah selama 53 tahun tidak memiliki pewaris lelaki. Melihat kenyataan bahawa
seorang ratu boleh memerintah secara sendiri dan bebas merupakan bukti kepada
ketinggian status yang disandang oleh kaum wanita berdarah kerabat.
Turut dapat dilihat betapa
ketatnya sistem kelas sosial di zaman Kerajaan Silla. Sistem kelas sosial
tersebut bersandarkan pada sebuah sistem yang dikenali sebagai bone rank
system – satu sistem yang menentukan setiap inci keistimewaaan dan
tanggungjawab yang dipikul atau dimiliki oleh seseorang berdasarkan jalur
keturunannya.
Tingkat sosial yang
tertinggi dipanggil sebagai sacred bone. Tingkat ini hanya disandang
oleh kaum kerabat diraja Kim. Semasa Raja Jinpyeong mangkat, tidak ada seorang
pun lelaki berkelas sacred bone di istana, sekaligus memungkinkan salah
satu daripada dua perkara ini terjadi: sama ada seluruh sistem kelas sosial ini
perlu dirombak ataupun seorang ratu diizinkan untuk memerintah. Kemungkinan
kedua itu yang diambil sebagai pilihan - dan ternyata begitu jugalah situasi
yang berlaku pada pewaris Ratu Seondeok.
Seondeok merupakan
puteri sulung Raja Jinpeyong. Kenaikan takhtanya diperakui oleh Dinasti Tang
pada tahun 635M. Dalam catatan-catatan sejarah seperti Samguk sagi yang
ditulis pada abad ke-12M (Sejarah Tiga Kerajaan), beliau dipanggil sebagai wang
(raja) sama seperti raja-raja pendahulunya dari kaum lelaki.
Seondeok merupakan
pemerintah Kerajaan Silla yang ke-27 dan mewarisi takhta semasa kerajaan yang
terletak di tenggara Semenanjung Korea itu sedang dalam rangka menundukkan
seteru-seteru sejatinya di Zaman Tiga Kerajaan – Baekje (Paekche) di barat dan
Goguryeo (Koguryo) di utara. Menurut Samguk sagi, salah satu tindakan
pertama yang dilakukan oleh Seondeok sebagai seorang ratu adalah menubuhkan
dana bantuan untuk dihulurkan kepada rakyatnya yang miskin yang hidup di kawasan
pinggir bandar.
DUA ORANG KIM
Seondeok beruntung
kerana meraih khidmat bakat-bakat seperti panglima masyhur Kim Yushin
(595-673M) dan anak saudaranya, pakar diplomasi yang bernama Kim Chunchu
(meninggal dunia 661M).
Chunchu pernah dihantar
ke Goguryeo bagi menghadap Raja Pojang dalam sebuah misi memohon bantuan daripada
kerajaan tersebut dalam rangka memerangi Baekje pada tahun 641M. Namun, Raja
Goguryeo meletakkan syarat bahawa mereka hanya akan membantu Silla seandainya
Seondeok menyerahkan wilayah-wilayah yang diambil daripada Goguryeo.
Syarat ini ditolak oleh
Seondeok dan makanya Chunchu pun dipenjarakan. Ratu Seondeok kemudiannya
menghimpunkan 10 000 orang tentera dan mengarahkan Kim Yushin agar
menyelamatkan Chunchu dan menghukum Pojang kerana kelancangannya itu.
Apabila Raja Goguryeo
menyedari bahawa bala tentera dari Silla sedang berangkat menuju kerajaannya,
beliau dengan segera membebaskan tawanannya itu. Kedua-dua orang Kim tersebut
terus berkhidmat kepada Silla dan memberikan sumbangan yang besar dalam usaha
penyatuan Korea sampaikan mereka meraih status legenda yang dikenang di Korea
sehingga ke hari ini.
HUBUNGAN DENGAN
TANG-CINA
Kerajaan-kerajaan yang
berjiran dengan Silla masih lagi memiliki kekuatan yang mengancam kedudukan
Silla (terutama Baekje) hinggakan pada tahun 643M, Ratu Seondeok mengambil
keputusan untuk menghantar rombongan diplomatik ke Cina dalam rangka meraih
bantuan daripada mereka.
Dinasti Tang-Cina
(618-907M) melihat pergolakan yang berlaku di Semenanjung Korea itu sebagai
sebuah peluang untuk mereka memasuki wilayah berkenaan dan meraih kepentingan
tersendiri. Makanya, mereka dengan bersenang hati menubuhkan persekutuan dengan
Silla dalam menangani dua kerajaan yang lain.
![]() |
| Peta Korea pada Zaman Tiga Kerajaan |
Silla dan Cina telah
lama menjalinkan hubungan perdagangan. Pertukaran budaya turut dapat dilihat
menerusi pengadaptasian adat-istiadat istana Tang di samping para pelajar dan
ilmuwan Silla dihantar ke Cina untuk melanjutkan pengajian. Ratu Seondeok terus
mengukuhkan lagi hubungan ini, namun bantuan yang diberikan Tang mempunyai
harga yang perlu dibayar.
Walaupun Maharaja
Taizong dengan murah hati menawarkan bantuan ketenteraan agar Silla dapat
menundukkan musuh-musuhnya, terdapat satu persyaratan yang dikenakan. Ratu
Seondeok perlu turun takhta dan membenarkan seorang putera Cina untuk
memerintah Silla. Maharaja Tang mengatakan bahawa faktor yang membuatkan musuh-musuh
Silla semakin menunjukkan belang adalah kerana pemerintah Silla merupakan
seorang wanita.
Ratu Seondeok menolak
persyaratan tersebut dengan bijak. Namun, beliau tetap berjaya meraih bantuan
ketenteraan daripada Tang dan kedua-dua kerajaan itu membentuk bala tentera
gabungan yang bakal menyerang Baekje dan Goguryeo.
Walau bagaimanapun,
serangan tersebut tidak berjaya dan mereka ditewaskan oleh ketumbukan tentera
Goguryeo yang dipimpin oleh panglima masyhur, Yang Manchun pada tahun 644M.
Dekad berikutnya memperlihatkan bala tentera Tang ini mengalami tiga kekalahan
sekaligus menuntut Silla agar menanti sehingga tahun 660M sebelum meraih
kejayaan mutlak.
Sebuah lagi bala
tentera gabungan Tang-Silla yang diperkirakan bersaiz lebih besar berbanding
sebelumnya dibentuk dan pada akhirnya berjaya menghancurkan Baekje (660M) dan
Goguryeo (668M).
SEBUAH KERAJAAN YANG
MAJU
Di tanah airnya,
polisi-polisi domestik Ratu Seondeok meraih lebih banyak kejayaan berbading
polisi luar negaranya – sekaligus Kerajaan Silla mengalami kemajuan dalam
kesenian dan keilmuan. Pemerintahan pusatnya semakin kukuh dan ajaran Buddhisme
juga disebarkan secara meluas, terutama sekali apabila ajaran tersebut
meningkatkan lagi aura kekuasaan kelas pemerintah Silla di samping berperanan
menggalakkan lagi sokongan terhadap institusi monarki.
Ratu Seondeok juga
memantau sendiri beberapa buah projek pembinaan semula, terutama sekali yang
melibatkan kuil-kuil Buddha. Malangnya, kebanyakan kuil ini diperbuat daripada
kayu dan oleh kerana itu ia tidak dapat berkekalan sehingga ke hari ini. Namun,
sebahagian daripada batu-batuan pagoda mereka masih lagi wujud. Penubuhan sekolah-sekolah
juga merupakan satu lagi sumbangan yang diberikan oleh Ratu Seondeok semasa
pemerintahannya.
![]() |
| Balai Pencerap Cheomseongdae, Gyeongju |
Salah sebuah struktur
binaan masyhur yang wujud sejak zaman pemerintahan Ratu Seondeok adalah Balai
Pencerap Cheomseongdae yang terletak di Gyeongju, ibu kota Silla. Memiliki
ketinggian yang mencecah 9 meter, binaan ini berfungsi seperti jam matahari dan
turut memiliki tingkap yang menghadap arah selatan – berperanan memantulkan
sinaran matahari ke lantai di ruangan dalam pada setiap waktu. Ia mungkin
merupakan sebahagian daripada kompleks binaan yang lebih besar – binaan yang
menjadi simbol kemajuan ilmu sains dan astronomi. Ia merupakan balai pencerap
tertua yang masih wujud di Timur Asia.
Bongkah batu yang
membentuk menara ini memiliki 27 buah tingkat, simbolik yang mewakili status
Ratu Seondeok sebagai pemerintah Kerajaan Silla yang ke-27. Tanpa disokong oleh
sebarang bukti, sebahagian sejarahwan malah berpendapat bahawa seni bina
bangunan tersebut yang berbentuk seperti botol adalah mewakili sisi feminin
Ratu Seondeok sendiri, atau tidak pun binaan tersebut merupakan sebuah kuil
yang didedikasikan kepada ratu itu.
KUIL HWANGNYONGSA
Satu lagi projek
pembinaan penting yang siap semasa pemerintahan Ratu Seondeok adalah Kuil
Buddha bernama Hwangnyongsa (Kuil Naga Mulia) yang terletak di Gyeongju. Projek
ini sebenarnya telah pun bermula sejak pemerintahan Raja Jinheung (553M) lagi,
tepat di lokasi di mana seekor naga berwarna kuning dipercayai telah muncul dan
menjanjikan bahawa Kerajaan Silla akan menghapuskan musuh-musuhnya kelak.
Tapak kuil ini
berukuran kira-kira 280 x 280 meter dan menyimpan sebuah patung Buddha yang
besar, berkemungkinan setinggi 4 meter. Di bawah arahan Ratu Seondeok, sebuah
pagoda sembilan tingkat turut ditambahkan pada binaan kuil tersebut. Pembinaan
pagoda itu diselia oleh seorang sami merangkap Ketua Biarawan Kerajaan, bernama
Jajang (atau Chajang, 590-658M) sambil pembinaannya pula dilakukan oleh ketua
arkitek daripada Baekje yang bernama Abiji.
Selesai disiapkan pada
tahun 645M, pagoda tersebut mungkin memiliki ketinggian yang mencecah 68-70
meter, sekaligus menjadikannya sebagai binaan tertinggi di Asia Timur pada
waktu itu. Ciri sembilan tingkat pada bangunan tersebut menggambarkan sembilan
buah kerajaan lain di Asia Timur yang dipercayai akan ditakluk oleh Silla kelak,
termasuklah Jepun dan China.
Sebuah loceng gergasi,
yang dikatakan seberat 300 tan dan berketinggian 3 meter, turut ditambahkan
pada kuil itu pada tahun 754M. Namun, loceng tersebut tidak diwarisi sehingga
ke hari ini.
Lebih malang lagi, kuil
Hwangnyongsa dimusnahkan oleh Mongol pada tahun 1238M. Namun, tapak dan
sebahagian batu-asas patung-patungnya masih kekal sehingga ke hari ini
sekaligus membolehkan para pengunjung yang melawat tapak berkenaan untuk
menggambarkan bahagian-bahagiannya yang hilang.
KEMANGKATAN RATU
SEONDEOK DAN PARA PEWARISNYA
Ratu Seondeok mangkat
semasa berlakunya sebuah pemberontakan yang dilakukan oleh bangsawan-bangsawan
Silla. diketuai oleh Kim Pidam, pengerusi sidang pentadbiran bangsawan.
Golongan bangsawan yang menerima sokongan daripada dinasti Tang ini tidak dapat
menerima hakikat bahawa takhta Silla diduduki oleh seorang wanita. Mereka turut
berpendapat bahawa pemerintah Silla perlu dipilih daripada kelas sosial yang
luar daripada kelas sacred bone. Dalam erti kata lain, kelas sosial yang
diduduki oleh mereka. dalam kalangan mereka.
Cubaan perampasan
takhta ini berjaya dihentikan oleh golongan bangsawan yang bertaraf lebih
rendah, diketuai oleh dua orang Kim yang disebutkan sebelum ini (Kim Yushin dan
Kim Chunchu). Namun, Ratu Seondeok mangkat jua akhirnya – mungkin kerana beliau
jatuh gering. Ratu Seondeok dimakamkan di pergunungan suci Nangsan, Gyeongju.
Kedudukannya diwarisi
oleh seorang lagi ratu yang bernama Chindok (657-654M). Beliau mengikut jejak
langkah Ratu Seondeok dalam soal pemerintahan dan membantu Silla untuk terus
menguasai Semenanjung Korea.
Selepas Ratu Chindok
mangkat, takhta Silla sekali lagi ditinggalkan dalam keadaan tiada pewaris
lelaki yang sah daripada keluarga Kim yang berkelas sacred bone. Oleh
kerana itu, setelah berlalunya pemerintahan dua orang ratu, sistem bone rank
pun diubah-suai dengan penghapusan kelas tertinggi; sacred bone dan
pemerintah kini dipilih daripada kelas sosial kedua.
Pemerintah yang
menggantukan Ratu Chindok tidak lain tidak bukan adalah Kim Chunchu, yang
menggelarkan dirinya sebagai Raja Muyeol. Beliau merupakan pemerintah Silla
pertama yang tidak dipilih daripada kelas sosial yang sebenar (sacred bone).
Puteranya pula adalah individu yang bertanggungjawab menubuhkan Kerajaan Silla
Bersatu yang memerintah seluruh Semenanjung Silla sejak tahun 668M.
SUMBER
- Jinwung Kim. A History of Korea ‘Land of the Morning Calm’ to States in Conflict. (Indiana University Press. 2012).
- Keith Pratt. Korea. (Routledge. 1999).
- Ki-baik Lee. A New History of Korea. (Harvard University Asia Center. 1984).
- Kyung Hwang. A History of Korea. (Palgrave Macmillan. 2010).
- Patricia Buckley Ebrey. Pre-Modern East Asia. (Wadsworth Publishing. 2013).
- Portal, J. Korea. (Thames & Hudson. 2000).
- Seth, M. J. A History of Korea. (Rowman & Littlefield Publishers. 2010).
- Lee, S. Silla. (Metropolitan Museum of Art. 2013).
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Ratu Seondeok: Pemerintah Wanita Legenda Dari Kerajaan Silla Korea’
- Get link
- X
- Other Apps


