KAUM SAMI – KEBUDAYAAN DI PELOSOK UTARA DUNIA

Pautan ke artikel asal:
Mc Dermott. (4 April 2019). The Sami People: Reindeer Herding and Cultural Survival in the Far North. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/sami-people-reindeer-and-cultural-survival-003493

Penterjemah: Amir Zayyanid


Sami merupakan kaum asli di wilayah paling utara Eropah. Semenjak ribuan tahun lamanya, mereka mendiami sebuah kawasan yang dikenali sebagai Sapmi – merangkumi bahagian utara Norway, Sweden, Finland dan juga Semenanjung Kola. Bahasa, muzik, kerja-kerja tangan, keagamaan dan pemakaian tradisional kaum Sami berbeza dengan kumpulan-kumpulan etnik Scandinavia.

Namun, dalam kalangan kaum Sami itu sendiri terdapat kepelbagaian corak penempatan dan gaya hidup. Sepanjang ratusan tahun, kaum ini terpaksa beradaptasi dengan suasana yang seringkali berubah, di samping perlu menghadapi kondisi-kondisi yang sukar.


ASAL-USUL KAUM SAMI

Dipercayai bahawa sebelum kaum Samoyed datang dari Timur dan tiba di tanah tumpah darah mereka di Sapmi. Ukiran-ukiran petroglif yang terperinci, merangkumi motif-motif haiwan (seringkali elk dan rusa-kutub), perahu dan juga motif-motif manusia (anthropomorph) menunjukkan kemungkinan bahawa nenek-moyang kaum Sami pada dahulukala, tepatnya 10 000 tahun yang lalu, menetap di pesisiran laut Artik, utara Norway. Bukti lanjut tentang perkara ini dapat ditemukan di serata pelosok bumi Sapmi.

Petroglif, Haljesta, Vastmanland, Sweden


Kira-kira 2000 tahun yang lalu, kaum Sami mendiami kawasan yang kita kenali pada hari ini sebagai Finland. Dokumen tertua yang menyebut tentang kaum Sami menjangkau tarikh 98 Masehi. Ia ditulis oleh seorang sejarahwan Rom yang bernama Tacitus, di mana beliau merincikan kaum Sami ini sebagai kaum pemburu fenni di utara. Tacitus turut memberikan penerangan lanjut bahawa mereka mengenakan pakaian berbulu, berjalan menggunakan peluncur ski dan mengamalkan aktiviti pemburuan rusa kutub.

Pada tahun 500 Masehi, dokumen-dokumen Cina mencatatkan bahawa terdapat komuniti manusia yang hidup di kawasan Sapmi moden, di mana mereka menggunakan rusa untuk tujuan pengangkutan dan bekalan tenusu. Kemudian, sebutan tentang kaum Sami sekali lagi muncul dalam penulisan tahun 555 Masehi oleh seorang sejarahwan Yunani yang bernama Procopius. Beliau memanggil mereka sebagai Scandinavia Thule dan penduduk skirdfinns.

Memandangkan bahasa Sami secara tradisinya hanya dituturkan dan bukanlah bahasa yang diturunkan ke dalam bentuk tulisan, maka dokumen-dokumen sejarah yang memerihalkan tentang kaum ini cuma dapat ditemukan pada tamadun-tamadun lain.


PANGGILAN KAUM SAMI DAN KEPENTINGAN BAHASA YANG MENCERMINKAN BUDAYANYA

Kaum Sami sebelumnya dikenali sebagai Lapps dan Laplander. Memandangkan istilah tersebut digunakan untuk merujuk banyak kebudayaan purba, maka istilah tersebut semakin lama semakin tidak tepat dan tidak relevan. Dalam bahasa Scandinavia moden, ‘Lapp’ bermaksud tampaan pakaian yang perlu dibaiki. Lantaran itu, istilah tersebut mengisyaratkan bahawa kaum Sami mengenakan pakaian bertampal.

Istilah Laplander pula tidak cukup spesifik memandangkan terdapat juga kaum bukan-Sami yang menetap di Lapland dan ada juga kaum Sami yang tidak mendiami kawasan tersebut. Perkataan Sami itu sendiri dikatakan berasal-usul dari Proto-Finni yang boleh diterjemahkan sebagai ‘tanah’.

Bahasa Sami mengandungi perbendaharaan kata yang kaya seputar alam semula jadi, dengan kepelbagaian istilah yang menggambarkan secara tepat elemen-elemen seperti tanah, air dan salji. Misalnya, kepelbagaian dan ketepatan istilah dalam merincikan rusa kutub hinggakan jika kita menyebut tentang segerombolan rusa kutub yang bilangannya mencecah ribuan, kita berupaya untuk mencirikan seekor sahaja menerusi penggunaan istilah yang tepat bagi menerangkan tentang bulu, tanduk, jantina dan usia mereka.

Kaum Sami bersama rusa kutub, Finnmark, Norway (1890-1900)


Kekayaan dan kepelbagaian dalam perbendaharaan kata kaum Sami berkaitan alam semula jadi secara umum dan rusa kutub secara khusus menunjukkan kepentingan elemen-elemen tersebut dalam kehidupan tradisi mereka.


SEPINTAS LALU TENTANG SUDUT PANDANG KAUM SAMI

Kaum Sami berpegang kepada kepercayaan politeistik paganisme. Lantaran luasnya bumi Sapmi, maka terdapat perbezaan ketara yang dapat kita lihat pada aspek kehidupan dalam hal keagamaan dan bukan-keagamaan. Namun, kepercayaan tertua mereka dikaitkan dengan animism dan ianya berkait rapat dengan unsur bumi, sebagaimana yang digambarkan pada ukiran-ukiran batu purba. Pantheisme dan kekuatan spiritual diri peribadi dianggap sebagai kunci utama dalam kepercayaan kaum Sami.

Sama seperti kebanyakan budaya lain, Sami membahagikan alam semesta kepada alam atas, alam tengah dan alam bawah. Memberikan sembah korban dan melangsungkan upacara-upacara khusus kononnya dapat membolehkan manusia memasuki alam-alam yang lain. Dalam kepercayaan tradisi kaum Sami, Alam Atas (atau Alam Kayangan) dikaitkan dengan selatan, kehangatan, kehidupan, dan warna putih. Alam ini disebut sebagai alam Matahari (wanita) dan alam Bumi, Mattarahkka.

Alam Tengah pula boleh dirincikan sebagai alam yang menempatkan kehidupan sehari-hari kaum Sami. Ia terdiri daripada manusia dan binatang seperti beruang. Warna yang dikaitkan dengan alam ini adalah warna merah. Alam Tengah dipercayai kononnya dipisahkan daripada Alam Bawah menerusi sebatang sungai darah. Jika direntasi dari satu hala, sungai ini membawa jiwa-jiwa yang telah pun mati manakala jika direntasi pada hala yang lain pula adalah jiwa-jiwa yang dihantar untuk dilahirkan.

Alam Bawah dihuni oleh makhluk-makhluk seperti memerang, burung loon dan anjing laut. Ia dikaitkan dengan utara, sejuk, mata air berbuih, gua yang dalam dan juga warna hitam.

Carta tentang tiga alam dalam kepercayaan purba kaum Sami


Golongan dukun dalam masyarakat Sami, yang dikenali sebagai noaidi berperanan sebagai pengantara bagi manusia dan alam-alam yang lain. Penggunaan gendang, mentera dan barangan keramat membolehkan ianya dilangsungkan. Gendang perdukunan diperbuat daripada kulit yang dihiasi dengan lukisan.

Ianya sangat penting dalam menggambarkan konsep penting dalam kepercayaan kaum Sami. Lazimnya, lukisan pada kulit gendang itu menggambarkan ketiga-tiga alam. Kadangkala, imej tiga dewata wanita yang merupakan puteri Mattarahkka dipilih sebagai dekorasi gendang berkenaan.

Ukiran tembaga menggambarkan seorang dukun Sami (noaidi) bersama gendang, Meraker, Nord-Trondelag (1767)


KEHIDUPAN SEHARI-HARI KAUM SAMI

Pada masa dahulu, kaum Sami dibentuk oleh siida (kumpulan-kumpulan keluarga) dan berkongsi hidup dan sumber semula jadi. Sebuah siida diketuai oleh individu paling tua dalam kumpulan berkenaan, tanpa mengira jantina.

Ketua siida bertanggungjawab mengawal segala aspek kehidupan seharian – seperti ke mana dan pada waktu bila kumpulan mereka akan memulakan perjalanan, siapa yang bertanggungjawab menangkap ikan dan di kawasan mana pula untuk menangkap ikan, serta bermesyuarat dengan orang-orang tua siida tentang sesebuah permasalahan.

Sebahagian siida mengamalkan gaya hidup nomad dan ada juga siida yang hidup secara menetap. Kaum Sami yang mengamalkan gaya hidup nomad seringkali dikenali sebagai penternak rusa kutub, manakala mereka yang hidup secara menetap pula melangsungkan kehidupan dengan aktiviti menangkap ikan. Pada hari ini, hanya kaum Sami penternak rusa kutub sahaja yang masih hidup dalam kumpulan-kumpulan siida.

Sebuah siida kaum Sami yang nomad (1900-1920), Norway


INTERAKSI DENGAN KAUM BUKAN-SAMI DAN KESUKARAN YANG DIHADAPI

Seiring peredaran masa, kaum Sami yang dahulunya hidup aman-damai tanpa gangguan mula menjalinkan hubungan dengan kebudayaan-kebudayaan lain, dengan susulan positif mahupun negatif. Terdapat beberapa kisah yang ditinggalkan oleh kaum Sami yang menceritakan tentang Stalo (berkemungkinan besar adalah Viking) yang menyerang dan mencuri barangan milik mereka.

Namun, kaum Sami juga mahir dalam berburu dan menangkap ikan. Oleh kerana itu, mereka turut menjalankan aktiviti perdagangan dan membawa masuk peralatan, pakaian dan barang perhiasan dari kaum-kaum pendatang.

Memandangkan kaum Sami pada asalnya bersifat nomad secara umum, maka kerja-kerja tangan mereka (disebut sebagai duodji) kebiasaannya dihasilkan dengan memberi penumpuan kepada kefungsian berbanding perhiasan. Malah, ia juga lazimnya diperbuat daripada batu, kulit binatang, kayu dan juga tanduk haiwan. Oleh kerana itu, aktiviti perdagangan yang mereka jalankan membolehkan mereka untuk menambahkan lagi dekorasi atau perhiasan pada kerja-kerja tangan mereka.

Tali pinggang, pisau dan bekas jarum tradisi kaum Sami, Norway


Malangnya, rompakan bukanlah satu-satunya masalah yang dihadapi oleh kaum Sami semasa berinteraksi dengan pihak luar. Pada permulaan 1500an, kaum Sami sering dilibatkan dalam undang-undang yang kebiasaannya, merangkumi pengenaan cukai dan perampasan tanah serta pelucutan hak mereka untuk berburu dan menangkap ikan.
Menjelang kurun ke-19 dan kurun ke-20 Masehi, tekanan terhadap asimilasi budaya dan serangan-serangan ke atas gaya hidup tradisional kaum Sami semakin memuncak. Projek-projek perlombongan dan perhutanan menjejaskan petempatan dan kebudayaan kaum Sami.


KEHIDUPAN MODEN DAN PENGKATAGORIAN KAUM SAMI

Pada hari ini, Sami adalah kaum minoriti di Finland, Russia, Sweden dan Norway. Pun begitu, mereka adalah komuniti majoriti di kawasan-kawasan pedalaman di sekitar Finnmark, Norway dan daerah Utsjoki di Finland. Secara keseluruhan, populasi kaum Sami adalah sebanyak 100 000 orang.

Seorang lelaki dari kaum Sami berdiri di sebelah rumah nomad yang dipanggil sebagai lavvu, Norway


Baru-baru ini, saintis mengkategorikan kaum Sami ke dalam tiga kumpulan umum yang mana pemecahan ini dilakukan berdasarkan pada perbezaan dari segi bahasa dan lokasi geografi. Kaum-kaum Sami di wilayah utara, selatan dan timur turut dipecahkan dengan lebih lanjut berdasarkan pada kekuatan budaya, jenis pemakaian dan beberapa faktor yang lain, sekaligus membawa kepada pemecahan sebanyak lapan sub-kumpulan kaum Sami.

Faktor khusus yang ditumpukan pada kekuatan budaya hanyalah salah satu indikasi bahawa kebudayaan Sami telah mengalami perubahan drastik dalam beberapa tempoh waktu, sekaligus melahirkan kebimbangan bahawa arus kemodenan dunia bakal membawa kepada kejatuhan atau bahkan hilangnya kebudayaan Sami.

Sejak ratusan tahun lamanya, kaum Sami mengharungi diskriminasi dan isu-isu perundangan, di samping perubahan iklim dengan hati yang cekal dan tekad yang luar biasa. Isu-isu terbaharu antaranya melibatkan tuntutan hak untuk membolehkan rusa-rusa kutub ternakan mereka agar boleh merentas sempadan antara Sweden dan Norway.

Satu persetujuan berkenaan hal itu telah pun dimeterai sejak tahun 1751, di mana kaum Sami diberikan keizinan untuk menjalankan aktiviti penternakan rusa kutub merentas-sempadan. Namun, Sweden enggan memperbaharui persetujuan tersebut pada tahun 1972, yang mana hal ini membawa kepada pengetatan undang-undang berkenaan hal tersebut.

“Sempadan hanyalah satu garisan yang dibentuk di atas kertas (peta). Namun, rusa-rusa kutub ini telah pun menggunakan tanah-tanah itu sejak dahulukala lagi,” ujar Niila Inga, pengerusi Persatuan Sami Sweden. “Kami benar-benar memerlukan sebuah persetujuan yang dapat mengawal keadaan ini dari kedua-dua belah pihak (Sweden dan Norway), memandangkan Norway kini mengumumkan bahawa mereka akan mengambil tindakan keras ke atas aktiviti penternakan rusa kutub di Sweden.”

Warisan yang ditinggalkan dengan rapi dalam lagu, pakaian, dan gaya hidup tradisi kaum Sami sejak zaman-zaman terus membekalkan kekuatan dan semangat buat kaum Sami moden untuk terus mengekalkan tradisi mereka walau di masa akan datang – sebagaimana mereka lakukannya semasa mengharungi tempoh-tempoh sukar sepanjang ratusan tahun yang lalu.


SUMBER