- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Penterjemah: Amir Zayyanid
Semenjak dahulukala,
masyarakat yang menetap di Asia Tengah mengamalkan suatu kepercayaan yang
dikenali sebagai Tengrisme. Kepercayaan ini memberikan banyak penumpuan pada
tuntutan menjalani kehidupan yang harmoni bersama alam, di samping memusatkan
keyakinan kepada satu dewa bernama Tengri.
Tarikh kemunculan agama
ini tidak diketahui secara pasti, namun sejarahwan mengandaikan yang ianya mula
diamalkan sekitar Zaman Gangsa yang berlangsung dari tahun 3,300 hingga 1,200
SM. Justeru, bukan menjadi suatu hal yang menghairankan jika Tengrisme
disifatkan sebagai antara agama tertua yang dianuti manusia, lebih-lebih lagi
ia menggabungkan elemen shamanisme, animisme, totemisme, dan pemujaan nenek
moyang.
Menurut Tengrisme,
kewujudan manusia diadakan menerusi campur tangan Bapa Langit (Tengri), Bonda
Bumi (Eje), dan semangat suci. Alam semesta pula berasal-usul daripada dua
kewujudan, iaitu Tengri dan teman yang diciptanya sendiri, Kishi. Kisahnya,
sejak azali lagi mereka terbang bersama di alam yang masih belum berbentuk –
hinggalah pada suatu ketika, Kishi dihasut rasa iri dan haloba. Kishi mahu
terbang lebih tinggi berbanding Tengri.
Dek niat buruknya itu,
Kishi pun kehilangan upaya untuk terbang lantas terjatuh ke dalam laut. Bagi
membantu temannya, Tengri memunculkan batu-batuan dan permukaan bumi dari dasar
laut, sekali gus mewujudkan gunung azali. Di atas gunung inilah kemudiannya
lahir Pokok Semesta, atau turut dikenali sebagai Pokok Kehidupan. Manusia
terawal dan dewa-dewa kecil lain, kesemuanya lahir daripada Pokok Kehidupan
tersebut. Kononnya, pokok ini dilindungi oleh anjing dan ular.
Sementara itu, ada pula
yang mengisahkan betapa Tengri menjalani hidup harmoni bersama Yer si semangat
bumi. Kononnya, perkahwinan antara kedua-dua mereka membawa kepada kelahiran
manusia; Yer memberikan manusia tubuh fizikalnya, manakala Tengri meniupkan roh
ke dalam tubuh manusia.
![]() |
| Kiri: Antara simbol Tengrisme. Kanan: Rajah yang kebiasaannya menghiasi gendang ritual Tengrisme |
Dalam kepercayaan
Tengrisme sendiri terdapat variasi. Misalnya, masyarakat Monggol yang menganuti
Tengrisme meyakini kewujudan 99 dewa sementara Tengrisme-Turki pula hanya
memuja 17 dewa sahaja. Antara dewa yang biasa dipuja dalam Tengrisme
termasuklah Tengri (Bapa Langit), Yer Tanri (Bonda Bumi), Umai (dewi
kesuburan), Erlik (dewa kematian), dan
dewa-dewa elemen seperti air, api, matahari, bulan, bintang, udara, awan,
angin, ribut, petir, hujan, dan pelangi.
Sama seperti mana-mana kepercayaan animisme lain, perbuatan memuja dewa-dewi kononnya akan membawa kepada kemakmuran dan kesejahteraan dalam hidup, di samping membantu menyeimbangkan alam. Prinsip-prinsip utama dalam ajaran Tengrisme antaranya adalah:
- Tengri dipuja sebagai dewa tertinggi yang tunggal. Ia mengetahui segala sesuatu dan menghakimi kesemua amal perbuatan manusia – baik buruknya. Tambahan, tiada sesiapa yang mampu mengetahui rupa bentuk Tengri, apatahlagi membayangkannya.
- Tengri adalah zat yang mentadbir sekalian alam – seluruh semesta berada di dalam genggamannya.
- Bagaimanapun, wujud juga semangat-semangat lain – baik mahupun jahat. Semangat-semangat ini ada yang hidup di langit (semangat langit), di alam bawah (alam kema-tian), dan di dalam tanah (semangat tanah). Sebahagian mereka mampu menimpakan keburukan dan ancaman bahaya buat manusia.
- Tiada agama atau kepercayaan yang mutlak di dunia ini. Mana-mana manusia bebas menganut mana-mana kepercayaan, dan Tengri akan menghakimi mereka semua dengan adil dan saksama.
- Tiada manusia yang terlepas daripada sifat lemah, justeru toleransi ke atas keuzuran atau kekurangan amat dianjurkan. Begitu juga dengan toleransi dalam beragama.
![]() |
| Gambaran dewa Tengri, Umai, Ulgen dan Erlik yang dipuja dalam Tengrisme |
Ajaran Tengrisme
memainkan peranan yang tersendiri dalam Empayar Gok-Turk dan Empayar Monggol.
Genghis Khan dan kebanyakan pengikutnya sendiri berpaut pada ajaran ini. Ia
diingati secara khusus dalam sejarah kerana anjurannya terhadap toleransi
beragama, lebih-lebih lagi Tengrisme tidak mempunyai tuntutan untuk mendominasi
lanskap agama dunia (seakan Wahdatul Adyan).
Hal ini sebagaimana
yang dituturkan oleh Möngke Khan, “Kami percaya akan kewujudan satu Tuhan, yang
dengannya kita hidup dan untuknya kita ma-ti – untuknya jugalah kita berusaha
untuk memupuk hati yang baik. Namun, Tuhan menciptakan kita dengan jari-jari
tangan yang berbeza dan perbezaan inilah yang membentangkan kepada manusia
pelbagai jalan untuk mendekatinya. (“Account of the Mongols, Diary of William
Rubruck”. Dicatatkan oleh W. Rubruck pada 31 Mei 1254)
Pada hari ini, ajaran
Tengrisme masih diamalkan di Kyrgyzstan, Kazakhstan, Sakha, Buryatia, Tuva,
Monggolia, dan Turki – di samping ajaran Buddhisme Tibet dan Burkhanisme.
TERJEMAHAN
M R Reese. (2 Disember 2014). The Ancient Practice of Tengriism, Shamanism
and Ancient Worship of the Sky Gods. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-asia/ancient-practice-tengriism-shamanism-and-ancient-worship-sky-gods-002387
RUJUKAN
- In the Beginning was Tengri: “Grace is the heart of belief” – Siberian Dragon.
- Tengriism – Wikispaces.
- Tengrism – Wikipedia.
- Tengriism – New World Encyclopedia.
- Get link
- X
- Other Apps


