- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Kallie Szczepanski. (5 April 2019). The Red Turban Rebellion in China.(1351-1368). ThoughtCo.
https://www.thoughtco.com/the-red-turban-rebellion-in-china-195229
Kallie Szczepanski. (5 April 2019). The Red Turban Rebellion in China.(1351-1368). ThoughtCo.
https://www.thoughtco.com/the-red-turban-rebellion-in-china-195229
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Banjir besar yang
melanda wilayah sekitar Sungai Kuning habis menyapu bersih segala hasil tuaian,
melemaskan para penduduk dan mengubah laluan sungai sekaligus mengakibatkannya
tidak lagi bercantum dengan Terusan Besar. Penduduk yang terselamat daripada
bencana itu mula menganggap bahawa pemerintah mereka yang beretnik Mongol –
Dinasti Yuan – sudah kehilangan Mandat Tuhan.
Apabila pihak
pemerintah mengerah kira-kira 150 000 hingga 200 000 orang rakyat Cina-Han
untuk melakukan kerja-kerja buruh dan mengorek semula terusan agar tercantum
semula dengan sungai, maka masing-masing mula memberontak. Pemberontakan
tersebut dikenali sebagai Pemberontakan Serban Merah dan dianggap sebagai
permulaan kepada kejatuhan pemerintahan Mongol di Cina.
Pemimpin pertama Serban
Merah, iaitu Han Shantong, menghimpunkan pengikutnya dari kalangan buruh-buruh
paksa yang bekerja menggali hulu terusan pada tahun 1351M. Datuk kepada Han
merupakan pemimpin aliran Teratai Putih, satu aliran agama yang berfungsi
sebagai batu asas kepada Pemberontakan Serban Merah. Pihak berkuasa Dinasti Yuan
kemudiannya menangkap dan membunuh Han Shantong. Namun, anaknya mengambil-alih
tempat beliau selaku pemimpin pemberontakan.
Anak-beranak itu
berhasil memanipulasikan keluhan para pengikutnya yang kebuluran, perbantahan
mereka yang dikerah sebagai buruh paksa tanpa diberikan sebarang bayaran oleh pihak pemerintah, dan
sentimen kebencian yang tertanam dalam diri mereka akibat diperintah oleh puak
“barbarian” dari Mongolia. Di wilayah utara Cina, sentimen-sentimen tersebut
membawa kepada meletusnya aktiviti anti-kerajaan yang bergiat di bawah panji
Serban Merah.
Sementara itu di
wilayah selatan Cina pula, sebuah pemberontakan Serban Merah kedua berlangsung
di bawah kepemimpinan Xu Shouhui. Walaupun pemberontakan ini menggalas rungutan
dan matlamat yang sama seperti Serban Merah di utara, namun kedua-duanya saling
tidak bekerjasama.
Tentera rakyat ini pada
asalnya menggunakan warna putih sebagai tanda pengenalan (bersempena Komuniti
Teratai Putih). Namun, mereka kemudiannya mengubah kepada warna merah yang dianggap lebih bertuah. Bagi menambahkan lagi tanda pengenalan tersebut, setiap ahli
Serban Merah memakai kain lilit atau hong jin berwarna merah sekaligus
melahirkan nama “Pemberontakan Serban Merah”.
Oleh kerana
tentera-tentera rakyat ini menggunakan alat-alat pertanian serta apa sahaja barangan
yang sesuai sebagai senjata, maka seharusnya mereka bukanlah suatu ancaman yang
besar buat ketumbukan tentera Mongol. Namun, keadaan Dinasti Yuan pada masa itu
sedang mengalami pergolakan tersendiri.
Pada awal-awal
pemberontakan, seorang komander gagah bernama Toghto berupaya menghimpunkan
kekuatan berjumlah 100 000 orang tentera diraja demi menundukkan Pemberontakan
Serban Merah di utara. Pada tahun 1352, beliau berhasil menundukkan tentera-rakyat
Han. Dua tahun berikutnya, iaitu pada tahun 1354M, Serban Merah sekali lagi
melakukan serangan yang berhasil mencantas laluan di Terusan Besar. Toghto
sekali lagi mengumpulkan kekuatan yang kali ini dibesar-besarkan jumlahnya konon
mencecah sehingga 1 000 000 orang.
Namun sebaik sahaja
beliau mahu berangkat untuk memerangi Serban Merah, komplot dalaman yang
berlangsung di istana mengakibatkan maharaja bertindak melucutkan jawatan
Toghto. Perkara tersebut mengundang amarah para pegawai bawahan Toghto dan
ramai dari kalangan mereka berpaling tadah, diikuti oleh sejumlah tentera.
Sejak peristiwa itu, Dinasti Yuan tidak lagi mampu meraih khidmat seorang
panglima yang hebat untuk mengepalai usaha penundukkan Serban Merah.
Kemudiannya pada lewat
tahun 1350an dan awal 1360an, para pemimpin Serban Merah saling bertelagah dan
berperang sesama sendiri kerana berebutkan tentera dan wilayah. Pertelagahan
tersebut membuatkan pemerintahan pusat Yuan bebas dari sebarang konflik dan keadaan
relatif aman buat mereka selama beberapa tempoh masa. Pemberontakan Serban
Merah kelihatan seakan-akan bakal tumbang akibat perbalahan sesama sendiri di antara para pemimpin
mereka.
Namun pada tahun 1366M,
anak Han Shantong meninggal dunia; sebahagian sejarahwan meyakini bahawa
panglima bawahannya yang bernama Zhu Yuanzhang bertanggungjawab dalam
mengakibatkannya mati lemas. Dalam tempoh dua tahun kemudian, Zhu memimpin
pasukan tentera-rakyat dan menakluk ibu kota Mongol di Dadu (Beijing) pada
tahun 1368M. Makanya, Dinasti Yuan pun tumbang dan Zhu menubuhkan sebuah
dinasti baharu beretnik Han-Cina, yang dikenali sebagai Dinasti Ming.
- Get link
- X
- Other Apps