AMFITEATER ARLES – KHAZANAH ROM DI TENGAH-TENGAH PROVENCE

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (17 September 2019). Arles Amphitheatre – A Roman Treasure in the Soul of Provence. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/arles-amphitheatre-0012593
         
Penterjemah: Amir Zayyanid


Amfiteater Arles (dikenali dalam bahasa Perancis sebagai Les Arenes d’Arles) merupakan sebuah amfiteater Rom yang terletak di bahagian selatan bandar Arles, Perancis. Bandar ini berlokasi sebelah Bouches-du-Rhone, wilayah Provence-Alpes-Cote d’Azur dan turut dikenali sebagai ‘jantung bandar Provence’. Amfiteater Arles merupakan salah satu binaan tinggalan Rom yang paling penting di bandar berkenaan.

Monumen-monumen lain di bandar Arles yang memiliki usia lebih kurang sama dengannya adalah Kompleks Mandian Awam Constantine, dewan teater dan juga necropolis Alyscamps. Sama seperti amfiteater-amfiteater Rom yang lain, Amfiteater Arles ini merupakan tempat berlangsungnya aktiviti-aktiviti hiburan yang dikunjungi oleh orang ramai.


Kefungsian tersebut kemudiannya hilang berikutan tumbangnya Empayar Rom. Namun, ia dihidupkan semula di zaman moden. Amfiteater Arles termasuk dalam senarai Tapak Warisan Dunia UNESCO, di bawah kategori, ‘Arles, Rom dan Monumen-Monumen Rom’.


AMFITEATER ARLES ANTARA CONTOH SEMPURNA BAGI SENI BINA ROM

Walaupun amfiteater secara umumnya merupakan salah satu binaan yang paling menonjolkan ciri seni bina Rom, akan tetapi secara etimologi, ia mempunyai asal-usul daripada Yunani. Nama binaan ini merupakan kombinasi antara dua perkataan Yunani lama, iaitu ‘amphi’ dan juga ‘theater’. ‘Amphi’ bermaksud ‘di kedua-dua belah sisi’, atau ‘sekeliling’. Justeru, amfiteater membawa maksud ringkas ‘sebuah dewan teater yang berbentuk bulat’ ataupun ‘sebuah dewan teater yang memiliki tempat duduk di kedua-dua belah sisi’.

Pandangan udara bandar Arles berserta Amfiteater Arles di tengah-tengahnya


Amfiteater dibina sebagai sebuah monumen berbentuk bulat, walaupun dalam banyak keadaan, bentuknya cenderung bujur. Bahagian tengah amfiteater dipanggil sebagai arena, tempat di mana pertarungan dilangsungkan.

Tambah menarik, hiburan-hiburan yang lain tidak dilangsungkan di amfiteater, akan tetapi di tempat-tempat lain. Misalnya, bagi mereka yang berminat dengan hiburan yang berbentuk kebudayaan, seperti persembahan lakonan ataupun lipur lara, dewan teater menjadi tempat yang dituju. Sementara itu, hippodrome (atau sarkas) pula menempatkan hiburan yang melibatkan perlumbaan.


Pada hari ini, kira-kira 230 buah amfiteater didapati masih berdiri kukuh di seluruh bekas kawasan naungan Empayar Rom. Amfiteater yang paling masyhur tidak lain dan tidak bukan adalah Colosseum (juga dikenali sebagai Amfiteater Flavian) yang terletak di bandar Rome. Amfiteater tersebut turut dikenali sebagai amfiteater yang paling besar, dengan dianggarkan mampu menampung seramai 50 000 hingga 80 000 orang penonton.

Arena di ruang dalam Amfiteater Arles


Amfiteater lain yang agak masyhur adalah amfiteater di Leptis Magna (Libya), Verona (Itali) dan juga Nimes (Perancis). Sebahagian daripadanya masih lagi berada dalam keadaan yang baik, walaupun tidaklah semua. Contohnya, keadaa amfiteater Rom di London tidak begitu sempurna. Hanya sebahagian sahaja daripada temboknya dapat ditemukan, manakala bahagian-bahagian binaannya yang lain hanya mampu dibayangkan sahaja oleh para arkeologis. Pada hari ini, tapak asas bagi gerbang timur arena berkenaan dipamerkan di Galeri Seni Guildhall.


PEMBINAAN BANDAR DAN AMFITEATER ARLES

Amfiteater Arles dibina pada kurun pertama Masehi, sekitar tahun 90M tidak lama selepas terbinanya Colosseum di Rome yang dibangunkan pada suatu masa di antara tahun 70 hingga 80 Masehi. Sekitar waktu itu, bandar Arles sudah lebih 200 tahun berada di bawah penguasaan Rom. Apapun, bandar Arles memiliki sejarah yang terbentang lebih jauh justeru dianggap sebagai salah sebuah bandar paling tua di Perancis.

Arles pada asalnya dikenali sebagai Theline dan dicatatkan sebagai salah sebuah petempatan asli yang mempunyai hubungan perdagangan dengan koloni Yunani di Massalia (kini Marseille). Pada kurun ke-6SM, nama petempatan tersebut diubah kepada Arelate berikutan penaklukan ke atas kawasan tersebut yang dilakukan oleh Saluvii, sebuah puak Galic, tepatnya pada 535SM.


Kemudian pada tahun 123SM, Arelate diserap masuk ke bawah pemerintahan Republik Rom. Di bawah penguasaan mereka, bandar ini meraih kemajuan sebagai pelabuhan ekonomi dan memperoleh kekayaan hasil daripada aktiviti-aktiviti perdagangan yang berjalan rancak. Kefungsian penting yang diberikan oleh tamadun Rom kepada Arelate sebagai sebuah pusat perdagangan boleh dibuktikan menerusi pembinaan Fossa Mariana (bermaksud ‘Parit Marius’) sekitar lewat kurun ke-2SM.

Pembinaan terusan ini dimulakan oleh seorang panglima merangkap ahli politik Rom yang bernama Gaius Marius (justeru nama parit itu dinamakan bersempena namanya). Fossa Mariana digali memanjang dari Sungai Rhone dan bandar Arelate sehingga ke Laut Mediterranean, sekaligus membekalkan laluan air terutama di bahagian muara sungai dengan lebih mudah buat para pedagang.


Menjelang tahun 49SM, meletus perang saudara di Republik Rom yang melibatkan Julius Caesar dan Pompey. Bandar Arelate menumpahkan sokongan kepada Caesar sementara penduduk Massaila pula berjuang bagi pihak Pompey. Caesar membina kapal-kapal perangnya di galangan kapal Arelate lalu menghantarnya untuk menyerang Massaila. Justeru setelah peperangan berakhir pada tahun 45SM, Caesar memberikan ganjaran dan anugerah kepada penduduk Arelate sementara penduduk Massaila pula dijatuhi hukuman.

Harta-kekayaan bandar Massaila dirampas dan diserahkan kepada penduduk Arelate. Selain itu, bandar Arelate juga dibina semula sebagai sebuah colonia, di mana ia menjadi tempat menetapnya veteran-veteran daripada Legio VI Ferrata. Bandar tersebut kemudiannya ditukar nama menjadi Colonia Iulia Paterna Arelatensium Sextanorum, yang bermaksud ‘Koloni Pusaka Julian Dari Pasukan Tentera Keenam Di Arles’.

Pada tahun 90M iaitu pada masa pemerintahan Domitian, amfiteater mula dibina di bandar Arles. Sekitar waktu itu, Colosseum telah pun berdiri megah selama hampir sedekad dan memberikan inspirasi kepada banyak amfiteater yang dibina di wilayah-wilayah Empayar Rom, antaranya termasuklah Amfiteater Arles sendiri. Sebagai sebuah amfiteater yang terletak di sebuah bandar kecil, Amfiteater Arles sememangnya tidak disasarkan untuk menerima pengunjung seramai Colosseum. Justeru, beberapa ciri diubahsuai sekaligus membuatkannya kelihatan sedikit berbeza berbanding Colosseum.

Antara perbezaan yang paling ketara adalah saiz amfiteater itu sendiri, yang jauh lebih kecil. Selain itu, tidak seperti Colosseum yang memiliki sistem galeri berkembar, Amfiteater Alres hanya mempunyai galeri atau ruang tempat duduk di satu sisi sahaja. Walau bagaimanapun, Amfiteater Arles masih tetap jua dianggap sebagai sebuah monumen bersejarah yang mengagumkan di samping merangkul kedudukan sebagai antara amfiteater yang paling besar.


Amfiteater ini berukuran 446 kaki (136m) panjang dan 358 kaki (109m) lebar, dengan tembok luarnya mencecah ketinggian sehingga 69 kaki (21m). Amfiteater ini mempunyai 120 buah gerbang lengkung, sebuah galeri dan tangga, di samping ruang tempat duduknya pula adalah dua tingkat. Dianggarkan bahawa Amfiteater Arles mampu menampung sehingga 20 000 orang penonton pada satu-satu masa.

Amfiteater Arles mempunyai 120 buah gerbang lengkung


Sama seperti amfiteater-amfiteater Rom yang lain, Amfiteater Arles merupakan tempat berlangsungnya pertarungan gladiator, pertarungan melawan haiwan buas, dan juga hukuman ke atas penjenayah. Kefungsiannya ini berlanjutan sepanjang zaman pemerintahan Rom dan hanya berakhir setelah tumbangnya empayar tersebut pada kurun ke-5M. Pada kurun-kurun berikutnya, Amfiteater Arles diubah menjadi sebuah kubu.


AMFITEATER ARLES DIUBAH MENJADI KUBU PERTAHANAN

Gerbang-gerbang lengkung pada monumen tersebut diperkukuhkan, sementara empat buah menara (yang mana tiga daripadanya masih boleh dilihat sehingga ke hari ini) ditambah pada binaan amfiteater. Tidak cukup  begitu, sejumlah rumah turut dibina di ruangan arena sekaligus Amfiteater Arles berubah menjadi sebuah bandar bertembok. Lebih menarik, petempatan-berkubu ini meraih status sah sebagai sebuah bandar kecil, dikenali sebagai La Cite Arenoise, atau bandar-arena, yang dipisahkan daripada kawasan-kawasan Arles yang lain.

Pemandangan Amfiteater Arles berserta sebuah menara yang ditambah pada kurun ke-6

Berikutan huru-haranya keadaan Arles pada kurun-kurun sesudah ketumbangan Empayar Rom, tidak hairanlah sekiranya amfiteater tersebut diubah menjadi sebuah kubu. Sepanjang tempoh itu, bandar tersebut bukan hanya mengalami keruduman, akan tetapi pada masa yang sama perlu menghadapi serangan-serangan daripada pihak luar.

Pada kurun ke-5 atau ke-6 Masehi, Arles tumbang ke tangan Visigoth manakala pasukan tentera Muslim pula menguasainya apda tahun 730M. Menjelang kurun ke-10, Arles menjadi ibu kota Kerajaan Arles, yang diasaskan oleh Rudolph II.


Arles menjadi entiti yang merdeka pada kurun ke-12, dan kemudian di serap masuk ke dalam wilayah Provence pada tahun 1239M sebelum pada akhirnya menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perancis sekitar tahun 1481M. Dengan statusnya sebagai sebuah bandar-berkubu, Amfiteater Arles menawarkan keselamatan dan perlindungan yang tersendiri kepada mereka-mereka yang menetap di sebalik temboknya.

Walau setelah diserap ke dalam Kerajaan Perancis sekalipun, Amfiteater Arles terus berfungsi sebagai sebuah bandar-berkubu. Hanya pada penghujung tahun 1820an, barulah amfiteater tersebut diubah semula kepada kefungsian asalnya. Perubahan semula status Amfiteater Arles dari sebuah bandar-berkubu menjadi sebuah monumen bersejarah ini dimulakan oleh seorang penulis Perancis yang bernama Prosper Merimee.

Amfiteater Arles pada kurun ke-18 dilihat sebagai sebuah bandar bertembok


MENGUBAH AMFITEATER ARLES MENJADI MONUMEN BERSEJARAH

Merimee dicatatkan pernah terlibat dalam usaha melindungi beberapa tapak bersejarah Perancis yang lain, antaranya seperti Carcassone dan juga Notre-Dame de Paris. Pada tahun 1826, rumah-rumah di dalam Amfiteater Arles dirobohkan. Kesemua proses ini memakan masa beberapa tahun dan hasilnya, lebih daripada 200 buah rumah termasuk dua buah gereja selesai diruntuhkan. Pun begitu, pasukan pembaik-pulih ini memutuskan untuk membiarkan sahaja menara-menara yang ditambahkan pada binaan asal Amfiteater Arles.

Kemudian pada tahun 1830, amfiteater berkenaan buat pertama kalinya setelah beberapa kurun, melangsungkan sebuah acara pertarungan. Namun berbeza dari keadaan di zaman purba, orang ramai ketika itu tidaklah dihidangkan dengan pertarungan gladiator. Hiburan purba yang diadakan adalah sukan lawan lembu jantan.

Sukan lawan lembu jantan pada tahun 1963 di Amfiteater Arles


Walaupun sukan tersebut lazimnya dikaitkan dengan Semenanjung Iberia, terutamanya Sepanyol, sukan ini juga masyhur di kawasan selatan Perancis. Mempunyai sejarah semenjak dari zaman Rom lagi, minat masyarakat terhadap sukan lawan lembu jantan dihidupkan semula pada kurun ke-19 apabila ianya menjadi medium untuk memperoleh perakuan ataupun anugerah diraja. Walaupun secara umumnya kawasan di selatan Perancis mengamalkan sukan lawan lembu gaya Sepanyol (dikenali sebagai Corridas), hakikatnya mereka juga memiliki gaya yang tersendiri, yang dikenali sebagai Course Camarguaise.

Course Camarguaise mempunyai perbezaan ketara dengan Corridas, di mana Corridas lazimnya berakhir dengan si matador membunuh lembu jantan yang ditarunginya. Bagi Course Camarguaise, cabaran yang ditempuh oleh raseteurs (matador versi Perancis) adalah mereka perlu menarik reben yang diikat pada tanduk lembu. Justeru dalam bentuk sukan lawan lembu yang sebegini, lembu jantan yang diperagakan tidak pernah terkorban dan raseteurs pula jarang sekali tercedera.


Sukan lawan lembu masih diamalkan di Amfiteater Arles sehingga ke hari ini, terutama sekali semasa festival Feria d’Arles yang berlangsung pada bulan April dan juga September. Selain sukan tersebut, antara acara yang diadakan di arena amfiteater adalah konsert-konsert musikal.

Amfiteater Arles dengan latar belakang sukan lawan lembu pernah menjadi subjek bagi lukisan yang dihasilkan oleh Vincent van Gogh, berjudul Les Arenes. Lukisan ini dipamerkan di Muzium Hermitage, Saint Petersburg. Pelukis terkenal dari Belanda itu pernah hidup di Arles selama setahun, antara tahun 1888 sehingga 1889. Sepanjang tempoh itu, von Gogh menghasilkan lebih 200 buah lukisan, termasuklah beberapa lukisannya yang terbaik dan termasyhur seperti Sunflowers, The Yellow House dan Café Terrace at Night.

Les Arenes, lukisan oleh Vincent van Gogh berlatarkan Amfiteater Arles


Vincent von Gogh meninggalkan  bandar Arles pada bulan Mei 1889 apabila beliau dimasukkan ke dalam pusat rawatan Saint-Paul di Saint-Remy-de-Provence. Berkat wujudnya hubungan dan sentuhan di antara von Gogh dan Arles, bandar berkenaan turut meraih kedudukan yang tersendri dalam kalangan pencinta seni.


PEMBAIKPULIHAN AMFITEATER ARLES

Walaupun Amfiteater Arles telah berdiri hampir 2000 tahun lamanya, keadaannya tidaklah begitu baik. Justeru pada tahun 2001, sebuah kajian awal dilaksanakan dengan tujuan untuk menjalankan kerja-kerja pembaikpulihan. Kajian tersebut disasarkan untuk mengenal-pasti bahan-bahan yang paling sesuai untuk digunakan – seperti jenis campuran simen dan juga peletakan semula batu-batuan, di samping kaedah pembaikan terbaik yang perlu diambil.

Selain mengukuhkan semula amfiteater, bahan-bahan yang digunakan untuk kerja-kerja pembaikpulihan ini juga perlulah mengekalkan rupa binaan Amfiteater Arles. Alain-Charles Perrot, arkitek yang bertanggungjawab ke atas projek ini tidak mahu supaya batu-batu binaan yang lama dijadikan sehingga kelihatan baru. Sebaliknya, beliau mahu memelihara rupa asal dan melindunginya daripada terjejas dengan lebih lanjut.

Ruang laluan di dalam Amfiteater Arles


Beberapa analisis dijalankan di makmal untuk mengenal-pasti ciri batu-batuan asal dan juga batu-batuan baru, di samping memilih campuran simen yang paling sesuai untuk kerja-kerja pembaikpulihan binaan berkenaan. Ujian-ujian lapangan juga dilakukan di Amfiteater Arles sebelum bahan-bahan yang akan digunakan dipilih secara muktamad.

Pada tahun 2003, kerja-kerja pembaikpulihan berteraskan eksperimen buat pertama kalinya dijalankan. Eskperimen pembaikpulihan ini membenarkan mereka memantau tindak-balas bahan-bahan yang digunakan, sebelum kemudiannya membuat kesimpulan dan keputusan lanjut. Sebaik sahaja kesemua proses tersebut selesai dijalankan, barulah amfiteater tersebut dapat dibaikpulih secara sepenuhnya.


Kini, Amfiteater Arles kekal menjadi salah satu mercu paling ikonik bagi bandar berkenaan. Selain itu, ia juga merupakan tempat yang wajib dikunjungi oleh para pelancong yang melawat bandar Arles. Signifikasi Amfiteater Arles diperakui apabila pada tahun 1981, monumen tersebut dimasukkan ke dalam senarai Tapak Warisan Dunia UNESCO sebagai sebahagian daripada kategori ‘Arles, Rom dan Monumen-Monumen Rom’.

Selain amfiteater, antara monumen yang turut dimasukkan ke dalam kategori yang sama adalah dewan teater Rom, cryptoporticus (kedua-duanya dibina pada kurun pertama Masehi), Kompleks Mandian Wam Constantine, Necropolis Alyscamps (kedua-duanya dibina pada kurun ke-4M) dan juga Gereja Saint Trophime dari Zaman Pertengahan berserta serambinya (monumen bercirikan Rom yang paling penting).


SUMBER