- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (22 Februari 2018). The Maero: Bigfoot in New Zealand Folklore.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/unexplained-phenomena/maero-bigfoot-new-zealand-folklore-009633
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Dalam mitologi Maori,
Maero merupakan sejenis makhluk yang berupa seperti manusia berbulu dan mempunyai
tubuh yang besar, sama seperti Yeti di Himalaya atau Sasquatch dalam kisah
rakyat masyarakat asli Amerika. Walau bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang
penampakan Maero pernah dilaporkan.
CAKAR DAN BELANTAN
SEBAGAI SENJATA
Maero mempunyai banyak
kemiripan dengan manusia biasa. Namun, saiz dan kekuatan fizikalnya lebih besar
berbanding manusia kebanyakan. Tubuhnya pula ditutupi oleh bulu-buluan hitam
yang lebat dan tebal. Menurut mitos, mereka mampu menggunakan belantan batu
sebagai senjata. Selain belantan batu, Maero juga memanfaatkan cakar mereka
yang tajam untuk membunuh. Lebih daripada itu, Maero disifatkan sebagai sejenis
makhluk kanibal.
Maero mempunyai cakar yang tajamnya seperti pisau, persis gambaran Manusia Rimba dalam budaya China yang dikenali sebagai Xing-Xing ini
KONFLIK BERPANJANGAN
ANTARA MAERO DAN MAORI
Musuh sejati Maero
adalah masyarakat Maori itu sendiri. Konflik yang berpanjangan ini kemudian memaksa
Maero untuk berpindah semakin jauh ke ceruk hutan dan hidup dalam
kumpulan-kumpulan kecil. Menurut ilmuwan, konflik antara Maero dan Maori ini
berkemungkinan adalah penerangan secara mitologi tentang pertentangan antara
unsur harmoni dan unsur huru-hara, atau bangsa bertamadun dan bangsa gasar, di
mana lazimnya unsur yang pertama akan memenangi konflik tersebut.
Walaupun Maero dan
Maori saling berperang antara satu sama lain, terdapat juga kisah yang
menceritakan bagaimana perkahwinan campur antara mereka berlaku sekaligus
melahirkan zuriat yang saiz dan kekuatannya lebih besar berbanding masyarakat
Maori kebanyakan. Sebahagian kumpulan keluarga Maori, seperti keluarga Kaihai
dari Waikato dan keluarga Haupapa dari Rotorua dipercayai bersusur-galur daripada
perkahwinan kacuk tersebut. Sememangnya, rata-rata mereka kebanyakannya mempunyai
fizikal yang besar belaka, walau tentunya tidaklah sebesar Maero yang kononnya
berketinggian antara 2.4 hingga 3.4 meter.
Keluarga Maori dari Rotorua pada 1880an. Sebahagian keluarga Maori didakwa berketurunan dari Maero
MOEHAU DAN MAERO
Sehingga kini tiada sebarang penampakan Maero pernah dilaporkan. Apa yang ada, penampakan sejenis makhluk lain yang dikenali sebagai Moehau. Maero dan Moehau mempunyai banyak persamaan, justeru mendorong sebahagian masyarakat Maori untuk menganggap kedua-dua makhluk itu sebagai makhluk yang sama. Kelibat Moehau pernah dilihat oleh pelombong-pelombong emas pada 1870an dan 1880an. Begitu juga pada 1969, di mana makhluk itu dilihat oleh seorang pelancong dari Australia. Penampakan berikutnya berlaku lagi pada 1972 dan 1983.
Apapun, ada pihak yang menganggap
Moehau sebenarnya adalah gorilla yang keluar daripada habitat asal mereka,
iaitu hutan, dan laporan penampakan mereka ditokoh-tambah dan disensasikan
sehingga akhirnya melahirkan khabar angin kononnya wujud sejenis makhluk
misteri di hutan New Zealand.
LEGENDA-LEGENDA MAERO
DALAM BUDAYA MAORI
Dalam budaya Maori,
wujud beberapa legenda yang memerihalkan tentang pertembungan antara Maero dan
Maori. Salah satunya adalah legenda Purukupenga, seorang wira Maori yang
membunuh Maero dengan menikam makhluk itu berkali-kali dengan menggunakan
sebilah mere (bilah pendek namun lebar yang menjadi senjata tradisi
Maori) sehingga tengkorak, cakar, dan tulang-belulangnya hancur.
Dalam legenda lain
pula, dikisahkan bahawa Maero berjaya menangkap, membunuh, dan memakan
pengembara-pengembara yang berkelana sendirian. Antara yang menjadi mangsanya
adalah Wairapa dan Tikitiki-o-Rehua. Legenda seputar Maero yang dianggap paling
mengujakan adalah legenda Tukoia. Perjalanan kisahnya sama seperti Purukupenga,
di mana Tukoio dikisahkan berjaya membunuh seekor Maero.
Cuma dalam kisah ini, Tukoio memotong tangan, kaki dan kepala makhluk misteri itu. Kepala Maero tersebut kemudian dibawa pulang ke rumah. Namun dalam perjalanan, kepala itu kembali bernyawa dan menjerit meminta bantuan daripada rakan-rakannya. Dek kerana tidak mahu berhadapan dengan sekumpulan Maero sendirian, Tukoio pun meninggalkan kepala tersebut dan berlari meminta bantuan daripada masyarakat setempat.
Kemudian sekembalinya ke tempat tersebut, Tukoio mendapati kepala itu telah pun
hilang dan legenda menceritakan betapa Maero yang telah mati dibunuh oleh Tukoio
itu mencantumkan kembali anggota-anggota tubuhnya lalu pulang semula ke hutan.
Kisah ini dianggap paling menarik kerana dalam kebanyakan legenda, Maero
tidaklah disifatkan mempunyai kuasa luar biasa sebegitu.
SUMBER
- Hall, J. 2005. The Cryptid Zoo: Maero (or New Zealand Wildman).
- Harley, 2012. Traditional Story: Tem aero o Hautere.
- Pomare, M. & Cowan, J. 1987. Legends of the Maori.
- Simpson, A. 2015. The Magical Creatures of New Zealand.
- Wallbank, M. 2013. Moehau Man – New Zealand’s Bigfoot.
- Get link
- X
- Other Apps