- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
DHWTY. (7 Januari 2018). The Ma’rib Dam: An Engineering Wonder of the Ancient
World… Torn Apart by Rats? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/ma-rib-dam-engineering-wonder-ancient-world-torn-apart-rats-009396
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/ma-rib-dam-engineering-wonder-ancient-world-torn-apart-rats-009396
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Empangan Ma’rib
merupakan sebuah binaan zaman purba yang amat mengagumkan, berlokasi di
bahagian tengah Yaman. Empangan ini merupakan salah sebuah contoh seni bina
batu-batuan terbaik di Semenanjung Tanah Arab. Kisah-kisah tempatan menyebutkan
bahawa empangan itu telah pun digunakan selama berabad-abad. Namun, kefungsian
empangan ini terhenti akibat dilubangi oleh segerombolan tikus.
Empangan Ma’rib, juga
dikenali sebagai Empangan Besar Ma’rib digunakan untuk menyimpan air di samping
berperanan besar dalam sistem pengairan masyarakat sekitar selama ratusan
tahun. Pada abad ke-6M, empangan ini runtuh walaupun sebahagian temboknya masih
berdiri sehingga ke hari ini. Sebauh empangan baru dibina pada abad ke-20M
berhampiran dengan lokasi empangan purba itu.
Rekaan semula Empangan Ma’rib yang dilakukan oleh Universiti Calgary dan American Foundation for Anthropology |
KERAJAAN YANG MEMBINA
EMPANGAN INI
Pada milenia pertama
Sebelum Masihi, Ma’rib berperanan sebagai ibu kota Kerajaan Saba, sebuah
kerajaan pra-Islam yang berlokasi di barat laut Semenanjung Arab. Kaum Saba
merupakan sebuah kumpulan masyarakat Semitik yang hidup di wilayah selatan
Semenanjung Arab setelah berhijrah dari utara pada tarikh yang tidak diketahui.
Kerajaan ini meraih
kekayaan berkat kedudukannya di laluan perdagangan rempah, tempat pertukaran
barangan eksotik dari Timur ke Barat. Ekonomi Kerajaan Saba sangat bergantung
pada laluan tersebut sampaikan apabila para kafilah berhenti dari berkunjung ke
sana pada abad ke-6SM disebabkan penemuan laluan baru, ekonomi Saba pun
mengalami keruduman. Apapun, kerajaan tersebut terus wujud sehingga abad ke-3M
apabila ia ditakluk oleh Kerajaan Himyar.
Empangan Ma’rib
dikatakan telah dibina pada abad ke-8 atau 7 Sebelum Masihi. Menurut
inskripsi-inskripsi yang ditemui, empangan ini dibina oleh seorang pemerintah
yang bernama Sumhu’ Alay Yanuf dan puteranya, Yatha’ Amar Bayyin. Namun,
sekumpulan ahli arkeologi dari Jerman melakukan kerja-kerja ekskakvasi di salah
sebuah kawasan berhampiran empangan ini dan menemukan bukti bahawa monumen
tersebut telah pun wujud sekitar milenia ke-2 SM lagi.
Apapun, Empangan Ma’rib
ini memainkan kefungsian yang sangat penting dalam kelangsungan Kerajaan Saba
memandangkan ia merupakan nadi bekalan air kepada para penduduknya.
Inskripsi pada Empangan Ma’rib |
BINAAN YANG MENGAGUMKAN
Empangan Ma’rib terdiri
dari batu-batuan asas yang besar di samping dinding tanah yang ditampal dengan
batu dan kerikil di kedua-dua belah sisinya. Dinding-dinding tersebut memiliki
ketinggian sekitar 15 meter (49.21 kaki) dan ketebalan di bahagian tapaknya
pula dianggarkan 60 meter (196.85 kaki). Binaan empangan ini memanjang sehingga
720 meter (2362.2 kaki) jauh, merentasi Lembah Dhana, dari bahagian utara
gunung Balaq hingga ke bahagian selatannya.
Semasa kelangsungan dua
musim di antara bulan April dan Ogos, hujan turun mencurah di bahagian timur
dan mengalir masuk ke Lembah Dhana. Empangan ini berfungsi menghentikan
pengaliran air tersebut – menghindarkan kejadian banjir dan menyimpan bekalan
air tersebut untuk kegunaan akan datang. Saluran air turut ditambah di
kedua-dua belah hujung Empang Ma’rib sekaligus membolehkan air yang terkumpul
itu untuk dialirkeluarkan dan mengairi tanaman-tanaman di kawasan berhampiran.
Empangan Ma’rib merupakan binaan penting yang berfungsi mengawal pengaliran air |
Merentas abad, Empangan
Ma’rib ini melalui sejumlah pembaikian dan pengubahsuaian. Empangan ini sangat
penting bagi masyarakat yang hidup di kawasan tersebut. Oleh kerana itu, kerja-kerja
penyelenggaraannya terus dilakukan walaupun setelah ketumbangan Kerajaan Saba
di tangan Kerajaan Himyar.
Namun, tugas-tugas
pembaikian tersebut menjadi semakin sukar kerana teknik baik-pulih yang
digunakan oleh masyarakat Saba purba untuk menyelenggara empangan telah hilang
seiring peredaran masa. Empangan ini mengalami kerosakan pada tahun 450M dan
542M. Dalam kedua-dua kejadian itu, Kerajaan Himyar berupaya membaikinya. Namun
pada tahun 570M, empangan itu pecah buat kali ketiga dan terakhir.
Faktor yang
mengakibatkan kerosakan tersebut masih diperdebatkan oleh para penyelidik.
Sebahagian berpendapat bahawa ia diakibatkan oleh kejadian gempa bumi sambil pendapat
lain mengatakan bahawa hujan lebat yang bercucuran di empangan tersebut yang
mengakibatkannya pecah. Namun, kisah rakyat tempatan menyebutkan faktor yang
agak pelik dan mengejutkan – segerombolan tikus besar menggerigit tapak
empangan berkenaan sekaligus menghasilkan lubang pada Empangan Ma’rib, membawa
kepada kerosakan binaan tersebut.
Tinggalan daripada
Empangan Ma’rib yang masih kekal sehingga ke hari ini adalah gerbang saluran
airnya. Keadaannya yang masih utuh berdiri menjadi bukti yang mengesahkan
keunggulan kemahiran para jurutera Kerajaan Saba di zaman silam. Pada tahun
2015, runtuhan ini mengalami kerosakan akibat serangan udara yang berlaku
semasa kelangsungan konflik di Yaman.
Empangan Ma’rib sebelum dan selepas kehancuran pada tahun 2015 |
SUMBER
- CanBooks, 2002. The Marib Dam.
- Kessler Associates, 2018. Saba / Sa'abia / Sheba.
- Romey, K., 2015. ‘Engineering Marvel’ of Queen of Sheba’s City Damaged in Airstrike.
- Stewart, R. T., 1978. A Dam at Marib.
- The Editors of Encyclopædia Britannica, 2016. Sabaʾ.
- www2.basf.de, 2018. The Great Marib Dam – the eighth wonder of the world.
Penterjemahan artikel ini dihasilkan dengan
kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di portal berkenaan dengan
judul ‘Empangan Marib – Runtuh Binaan Tamadun Saba Kerana… Tikus?'
- Get link
- X
- Other Apps