- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Penterjemah: Amir Zayyanid
Baik sebagai dewa
tertinggi dalam ajaran Taoisme ataupun raja kayangan dalam mitologi China,
Maharaja Jed (Yu Huang) merupakan nama yang tidak asing lagi buat Negara Tembok
Besar. Beliau turut dikenali dengan beberapa nama lain, antaranya seperti Tiān
Gōng dan Yu Huang Shangdi.
Walaupun sosok
figuranya dipuja secara khusus, rekod-rekod awal Taoisme langsung tidak menyebut
tentangnya – walau sebagai dewa kecil sekalipun. Kedudukannya yang unggul
sebagai dewa penting bagi masyarakat China hanya bermula pada zaman Dinasti
Tang (618-907 M).
DUA KISAH TENTANG
ASAL-USUL MAHARAJA JED
Latar belakang beliau
ada diceritakan di dalam dua kisah. Kisah pertama yang membentuk sebuah hikayat
masyhur menyifatkan Maharaja Jed sebagai seorang manusia biasa, bernama Zhang
Denglai. Denglai bekerja sebagai penjawat awam atau tentera biasa yang hidup
sekitar penghujung Dinasti Shang dan awal Dinasti Zhou (c. 1046 SM).
Ketika itu, kesemua
pegawai Zhou yang berperanan menggu-lingkan Dinasti Shang dikurniakan suatu
gelaran sebagai tanda penghargaan. Satu demi satu gelaran tinggi dikurniakan
oleh seorang pegawai penting bernama Jiang Ziya, sehingga akhirnya yang tinggal
hanyalah gelaran Maharaja Zed. Ziya berniat mahu memperuntukkan gelaran
tersebut untuk dirinya sendiri.
![]() |
| Tugu Maharaja Jed di Istana Lingxiao, Wuxi, China |
Namun untuk tidak
terlalu menampakkan hasratnya itu, beliau mengambil sikap malu-malu kucing. “Deng
lai” atau “Sebentar”, kata Ziya sewaktu pegawai-pegawai lain mengajukan
gelaran tersebut kepadanya – kononnya untuk membuat pertimbangan sebentar.
Bagaimanapun, Zhang
Denglai yang mendengar namanya disebut langsung sahaja mengambil kesempatan dan
tampil ke hadapan – tunduk sujud di hadapan Jiang Ziya dan mengucapkan ribuan
penghargaan kerana mengurniakan gelaran Maharaja Jed kepadanya.
Perahu tidak lagi dapat
diundur. Nak menangguk ikan, tertangguk dek batang. Lain yang diharapkan, lain
pula hasil yang datang. Jiang Ziya akhirnya akur kehilangan gelaran Maharaja
Jed di tangan Zhang Denglai.
Sementara itu dalam
kisah kedua yang mempunyai kaitan dengan Taoisme pula tampil dengan nada
berbeza. Dalam kisah ini, Maharaja Jed disifatkan sebagai putera mahkota bagi
Kerajaan Kebahagiaan Murni dan Cahaya Perhiasan Samawi.
Kononnya, kelahiran
beliau berlaku dengan penuh keajaiban. Memandangkan ketika itu raja sudah
lanjut usia dan uzur pula kesihatannya, ratu memanjatkan doa meminta zuriat
supaya jalur keturunan mereka tidak terputus. Lantas pada suatu malam, sang
ratu bermimpikan Lao Tzu (c. 500 SM) si pelopor falsafah Taoisme. Serta-merta,
beliau bangkit daripada lena dalam keadaan hamil.
![]() |
| Maharaja Jed dimuliakan sebagai raja kayangan dalam Taoisme |
Sejak kelahirannya,
Maharaja Jed menampakkan perbezaan ketara berbanding kanak-kanak lain. Beliau
berupaya berjalan dan bercakap pada usia yang sangat awal. Pekertinya juga
baik. Beliau gemar menebar budi dan amat penyabar pula orangnya. Usia
kanak-kanaknya banyak diluangkan dengan membantu golongan memerlukan dan
menghulurkan kasih sayang kepada sesama makhluk.
Sejurus kemangkatan
ayahandanya, Maharaja Jed dilantik sebagai maharaja baru. Beliau dengan cermat
dan cekap memastikan kesemua rakyat jelatanya mengecapi kebahagiaan dan
kemakmuran. Suasana yang sedemikian harmoni berjaya dicapai dalam tempoh
beberapa tahun singkat.
Kemudian, Maharaja Jed
pun turun takhta lalu membawa diri ke Tebing Harum Lagikan Terang. Di sana,
beliau bertapa bagi memupuk Tao di dalam diri. Setelah bertahun-tahun
menyendiri, Maharaja Jed akhirnya mencapai keabadian dan diangkat menjadi dewa.
Dalam versi lain yang
dipercayai sebagai lanjutan bagi kisah sebelumnya, Maharaja Jed diceritakan
berkhidmat sebagai pembantu Yuánshǐ Tīanzūn. Maksud nama Yuánshǐ Tīanzūn boleh
difahami sebagai ‘Raja Kayangan Semenjak Azali’. Beliau disifatkan sebagai
salah satu dari Tiga Kemenjadian Murni (Sānqīng) dalam ajaran Taoisme.
Kononnya, Yuánshǐ Tīanzūn sendiri yang memilih Maharaja Jed sebagai
penggantinya sekali gus meraihkannya kedudukan yang tinggi dalam kalangan
masyarakat China.
![]() |
| Tiga Kemenjadian Murni; Yuanshi Tianzun, Lingbao Tianzun, dan Daode Tianzun |
MULA DIPUJA SEBAGAI
DEWA TERTINGGI TAOISME PADA ERA DINASTI TANG
Berbicara daripada
sudut sejarah, nama Maharaja Jed hakikatnya hanya meniti pancapersada pada
zaman Dinasti Tang. Pada era inilah kedudukannya dalam pantheon Taoisme
ditinggikan dan seiring peredaran masa, ia diperakui sebagai dewa tertinggi
dalam ajaran tersebut.
Sementara itu dalam
kepercayaan masyarakat umum pula, Maharaja Jed dianggap sebagai maharaja
kayangan yang memerintah sama seperti maharaja di istana. Menurut mereka,
beliau muncul menggantikan dewa-dewa lama seperti Tianweng dan Zhang Tiandi
yang sebelum ini dipuja sebagai raja kayangan.
Pada era Dinasti Song
(960-1279 M), Maharaja Jed diberikan sembah korban khas daripada istana. Beliau
turut digabungkan dengan satu lagi dewa tertinggi China, iaitu Haotian Shangdi
sekali gus meraihkannya gelaran Haotian Yuhuang Shangdi.
![]() |
| Gambaran Maharaja Jed dikelilingi pelayan istana, dari lembaran kurun ke-17 M |
Sesudah berakhirnya
pemerintahan Dinasti Song, Maharaja Jed kehilangan statusnya sebagai dewa yang
dipuja istana. Sembah kor-ban masih lagi diberikan kepadanya, namun hanya dalam
skala kecil. Apapun, Maharaja Jed tetap dianggap sebagai dewa tertinggi bagi
masyarakat China.
Pada suatu ketika,
beliau bahkan diberi gelaran Qingjing Ziran Juewang Rulai (Raja Murni bagi
Pencerahan Alami) oleh penganut agama Buddha. Pengurniaan gelaran sebegini
menunjukkan betapa wujudnya kebolehaliran antara ajaran Taoisme dan Buddhisme
di China hinggakan dewa dari satu pantheon boleh diasimilasikan ke dalam pantheon
ajaran lain.
MAHARAJA JED DALAM
KESUSASTERAAN CHINA
Nama Maharaja Jed bukan
hanya unggul dek konotasi agama. Beliau juga muncul sebagai watak penting dalam
dongeng rakyat dan sastera ulung China. Antara yang paling masyhur tentunya
kisah penciptaan zodiak. Kisah ini hadir dalam banyak versi, namun intipatinya
tidak lari daripada perlumbaan ke istana Maharaja Jed.
Kononnya, bagi memilih
haiwan-haiwan yang bakal membentuk zodiak China, Maharaja Jed memerintahkan
seluruh haiwan yang melata di muka bumi supaya berhimpun di istananya. Dua
belas haiwan yang paling awal tiba akan dimasukkan ke dalam zodiak, mengikut
turutan masing-masing.
Dongengan ini mungkin
paling diingati kerana ia menerangkan sebab di sebalik permu-suhan antara kucing
dan tikus. Kononnya, kucing dan tikus bersahabat baik sejak sekian lama. Namun,
kucing mempunyai tabiat tidur mati. Pada pagi hari perlumbaan, tikus terlalu
teruja sehingga terlupa untuk membangunkan sahabatnya itu (versi lain
menyatakan tikus sengaja tidak mengejutkan kucing). Rentetan itu, kucing pun
keciciran dari dimasukkan ke dalam zodiak.
![]() |
| Zodiak Cina berasal dari kisah perlumbaan haiwan-haiwan di dunia menuju istana Maharaja Jed |
Di samping dongengan
rakyat, Maharaja Jed juga tampil di dalam karya sastera China yang berjudul Journey
to the West (Xī Yóu Jì). Karya ini dikarang oleh Wu Cheng’en pada kurun
ke-16 Masehi (era Dinasti Ming). Dalam novel tersebut, Maharaja Jed dikisahkan
terpaksa menghadapi kerenah Sun Wukong si Raja Monyet.
Sebelum menemui
Maharaja Jed, Sun Wukong sudah pun menebarkan onar di Alam Bawah dan juga
istana bawah laut Ao Guang (Raja Naga di Lautan Timur). Untuk mengelakkan
kekacauan tersebut berlanjutan, Maharaja Jed mengurniakan jawatan Penjaga Kuda
Kayangan kepada Sun Wukong.
Pada mulanya, Sun
Wukong bersenang hati dengan pelantikan tersebut. Namun selepas mengetahui
jawatan itu cumalah jawatan kecil yang tidak mempunyai apa-apa signifikasi dalam
kerajaan kayangan, Sun Wukong pun beredar dengan membawa perasaan marah.
Turun dari kayangan,
beliau kembali ke Gunung Huāguǒ dan menabalkan diri sendiri sebagai Qítiān
Dàshèng (Pendeta Agung Menandingi Kayangan). Dalam erti kata lain, Sun Wukong
menen-tang kedudukan Maharaja Jed. Sebagai susulan, bala ten-tera kayangan pun
dihimpunkan. Namun, mereka berjaya ditundukkan oleh Sun Wukong dan para
pengikutnya.
Habis akal, baru
tawakal. Patah pe-dang, baru nak berbincang. Dek tidak mahu kon-flik
berpanjangan, Maharaja Jed pun membiarkan sahaja Sun Wukong berlenang dengan
gelarannya, di samping turut mengurniakan jawatan Penjaga Kebun Pic Kayangan.
Namun ibarat berhakim
kepada beruk, habis kesemua buah pic di dalam kebun tersebut dimakan oleh Sun
Wukong. Tidak cukup dengan itu, jamuan yang disediakan juga teruk dibedal.
Semuanya gara-gara beliau tidak dijemput sebagai tetamu.
![]() |
| Sun Wukong merosakkan majlis jamuan di kayangan |
Sesudah itu, beliau
sekali lagi lari ke Gunung Huāguǒ. Cuma kali ini, ten-tera kayangan yang
dihantar berjaya memberkas Sun Wukong dan mengheretnya kembali ke kayangan
untuk dijatuhi huku-man. Namun, dek kerana tubuh beliau tidak lut oleh sebarang
huku-man, Sun Wukong pun dikurung di dalam lapan trigram (Ba Gua) selama
49 hari, dengan harapan tubuhnya akan terbakar.
Malangnya, kaedah itu
juga tidak mempan. Sun Wukong yang berang lantas menebarkan amuk di kayangan,
membuatkan Maharaja Jed kebuntuan. Bantuan Buddha yang berada di Kayangan Barat
kemudian diminta. Sun Wukong lantas dipenja-rakan di bawah Gunung Lima Elemen
sehinggalah nanti ia akan dibebaskan oleh Tang Sanzang.
MAHARAJA JED SEBAGAI
KETUA PEMERINTAH DI KAYANGAN
Sifat Maharaja Jed di
dalam Journey to the West menghadirkan dua sisi yang berbeza. Dalam satu
keadaan, sifat buruk Sun Wukong seperti kuat cemburu, terlalu terburu-buru, dan
panas baran amat menyerlahkan pekerti Maharaja Jed. Namun dalam masa yang sama,
Raja Monyet itu juga mendedahkan sifat Maharaja Jed sebagai pemerintah yang
kurang cekap sehingga dengan mudahnya keharmonian di kayangan boleh digegak-gempitakan.
Dalam kepercayaan
masyarakat umum di China, Maharaja Jed sememangnya dianggap sebagai pemerintah
kayangan. Pentadbiran di kayangan dibahagikan kepada beberapa jabatan, dengan
setiap satunya dikepalai oleh satu dewa. Jabatan-jabatan ini mencakupi
peringkat masyarakat setempat mahupun isirumah.
![]() |
| Pagoda Maharaja Jed di Ho Chi Minh, Vietnam |
Oleh kerana itu, setiap
masyarakat mempunyai dewa tempatan yang tersendiri dan setiap keluarga pula
mempunyai dewa dapur masing-masing. Menurut mereka, dewa-dewa dapur ini akan
kembali ke kayangan pada setiap malam Tahun Baru bagi melaporkan segala amal
perbuatan mereka sepanjang tahun yang lalu.
Melalui laporan inilah
Maharaja Jed akan mempertimbangkan sama ada sesebuah keluarga itu layak
dikurniakan keberuntungan atau ditimpa musibah pada tahun mendatang.
Kepercayaan ini kemudiannya melahirkan tradisi memberi gula-gula kepada dewa
dapur sebagai sogokan, dengan harapan mereka akan bermanis mulut di hadapan
Maharaja Jed.
Sebagai kesimpulan,
kedudukan Maharaja Jed dalam kepercayaan masyarakat China tidak dapat disangkal
sejak zaman-berzaman. Walaupun sosok figuranya hadir dalam bermacam-macam
naratif, namanya dimuliakan baik dalam ajaran Taoisme, kepercayaan umum China,
mahupun dongengan rakyat mereka – sekali gus menjadi rantaian penting untuk
lebih mengenali kebudayaan dalam tamadun Tembok Besar tersebut.
TERJEMAHAN
Wu Mingren. (24 Januari 2021). The Jade Emperor: Taoist Ruler of Heaven –
and Celestial Bureaucrat. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-asia/jade-emperor-0014841
- Get link
- X
- Other Apps







