UJIAN DNA KUNO MERUNGKAI ASAL-USUL KAUM MINOA – TAMADUN EROPAH PERTAMA TERMAJU

Pautan ke artikel asal:
University of Washington Health Sciences. (2 Ogos 2017). Ancient DNA analysis reveals Minoan and Mycenaean origins. Phys.org.
https://phys.org/news/2017-08-civilizations-greece-revealing-stories-science.html

Penterjemah: Dans CKay’s


Sebuah analisis terhadap DNA kuno (ancient DNA) menunjukkan bahawa kaum Minoa Kuno dan Mycenae mempunyai genetik yang sama dan leluhur dari orang petani Zaman Neolitik. Mereka bermigrasi dari Anatolia ke Semenanjung Greece dan Pulau Crete beribu tahun dahulu menjelang Zaman Gangsa. Maka, orang Yunani pada hari ini secara umumnya adalah berketurunan dari Mycenae – menurut hasil kajian.

Pada lewat 1800-an, para ahli arkeologi menemui saki-baki artifak tamadun Mycenae dan Minoa di Crete dan Greece. Penemuan ini membuka pintu pemahaman terhadap dunia Eropah di Zaman Gangsa. Sebelum adanya penemuan ini, Zaman Gangsa Eropah cuma dapat direkod dalam manuskrip Illiad dan Odyssey, dua buah karya Homer yang menceritakan tentang Perang Troy yang legenda.

Tamadun Minoa berkembang di Pulau Crete pada millennium ke-3SM dan ia kaya dengan perkembangan teknologi dan kesenian. Mereka juga adalah orang Eropah pertama yang celik huruf (pandai membaca) dan menulis. Manakala tamadun Mycenae pula berkembang di Semenanjung Greece pada millennium ke-2SM dan berkongsi budaya yang sama dengan orang Minoa. Mereka juga menggunakan skrip Linear B, iaitu bahasa terawal orang Yunani.

Walau bagaimanapun, asal-usul kaum Minoa dan Mycenae terus menjadi teka-taki dalam kalangan arkeologis selama lebih 100 tahun. Para arkeologis mempercayai bahawa mereka adalah leluhur dari moyang kaum yang berbeza. Namun, kajian yang dibuat ke atas DNA kedua-dua kaum kuno ini memberikan jawapan yang sekian lama tersembunyi.

Dekorasi Lompatan-Kerbau-Fresco dari Istana Besar Knossos, Crete

Pasukan pengkaji antarabangsa ditubuhkan dalam rangka melaksanakan kajian ini. Pasukan ini terdiri daripada para pengkaji dari University of Washington, Harvard Medical School, Max Planck Institute for the Science of Human History, dan para pengkaji lain dari Greece dan Turki. Mereka melaporkan bahawa data jaringan DNA pertama yang perlu dikaji adalah penduduk Greece, Crete dan bahagian barat daya Anatolia.

George Stamatoyannopoulos, seorang professor sains genetic dan perubatan di University of Washington adalah penulis senior yang menulis laporan kajian mereka itu dan laporan tersebut diterbitkan secara maya dalam jurnal Nature pada 2 Ogos 2017.

Para pengkaji menganalisis DNA gigi milik 19 orang individu Mycenae dan Minoa Kuno, serta orang asli yang tinggal di kawasan barat daya Anatolia. Kemudian, sampel DNA tersebut dikumpulkan oleh Stamatoyannopoulos dan teman pengkaji lain seterusnya ia dikaji di makmalnya. Stamatoyannopoulos juga berkolaborasi dengan Johannes Krause dari Max Planck Institue, yang bertugas untuk membuat kajian menyeluruh terhadap jaringan DNA dengan menggunakan teknik yang dibangunkan dalam makmalnya. Manakala teman pengkaji lain iaitu P David Reich dari Harvard Medical School, bekerja dengan Iosif Lazaridis dalam kajian analisis statistik genetik terhadap data jaringan DNA itu.

Mycenaea, sebuah ketamadunan Zaman Gangsa yang menakluk Minoa, menggunakan sebuah tulisan dan bahasa yang dipanggil sebagai Linear B

Kajian menunjukkan bahawa kaum Minoa dan Mycenae mempunyai genetik yang sama – tapi tidak serupa – dan bahawa genetik orang Yunani moden adalah berketurunan daripada kedua-dua kaum ini. Maka, orang Minoa dan Mycenae adalah leluhur dari para petani Zaman Neolitik yang bermigrasi ribuan tahun menjelang masuknya Zaman Gangsa, dari Anatolia (atau tepatnya di wilayah) Turki moden.

“Orang Minoa, Mycenae, dan Yunani moden juga mempunyai keturunan yang sama dengan kaum kuno dari Kaukasus, Armenia, dan Iran. Penemuan ini menunjukkan bahawa kaum kuno ini pernah bermigrasi di Aegean dan barat daya Anatolia ke kawasan timur selepas tamatnya fasa pendudukan petani terdahulu,” kata Lazaridis.

Walaupun kedua-dua kaum kuno ini mempunyai genetik “petani pertama” dan “kaum asal timur”, kaum Mycenae juga mempunyai sedikit komponen DNA kuno iaitu genetik dari kaum kuno di Eropah Timur dan utara Eurasia. Kaum yang dikenali sebagai keturunan Ancient North Eurasian adalah salah satu dari 3 keturunan terawal Eropah, dan kaum ini juga ditemui di Greece.

Sebenarnya, faktor yang membuatkan Stamatoyannopoulos memulakan projek ini adalah bermula dari minat mendalam beliau terhadap sejarah. “Selama lebih 100 tahun, telah banyak teori dibentangkan bagi mengetahui asal-usul manusia Zaman Gangsa, Kuno, dan Yunani moden, termasuklah apa yang dipanggil sebagai ‘Coming of the Greeks’ pada akhir millennium ke-2, teori ‘Black Athena’ yang menerangkan kehadiran kaum asal Afroasiatic dalam tamadun Yunani Kuno, dan teori pada abad ke-19 Masihi oleh sejarahwan bernama Fallmerayer yang mempercayai bahawa keturunan Yunani Kuno telah lesap pada zaman pertengahan awal.”

Kajian yang dijalankan oleh Stamatoyannopoulos sebenarnya cuma mendedahkan kunci jawapannya sahaja, bukanlah menyelesaikan keseluruhan misteri asal-usul kaum yang mereka kaji. Apa yang penting adalah kajian ini mampu mematahkan teori terdahulu, iaitu kaum Mycenae adalah kaum asing di Aegean dan tidak mempunyai perkaitan dengan kaum Minoa. Hasil kajian itu juga mematahkan satu lagi teori iaitu orang Yunani Kuno bukan keturunan Mycenae dan kaum terawal Yunani.

Tambahan lagi, kajian ini menunjukkan adanya penyambungan genetik di Aegean dari para petani Neolitik hingga komuniti masyarakat Yunani kini, tetapi genetik ini tidak berasingan. Orang Yunani di tanah asal bercampur dengan orang Utara Eurasia Kuno dan orang Eropah Timur sebelum dan selepas ketamadunan Minoa dan Mycenae, di mana percampuran komuniti ini menjadi penyebab kepada hilangnya hubungan antara pengamal bahasa Yunani dengan pengamal bahasa lain di Eropah dan Asia.

Kajian ini menguatkan lagi kemampuan analisis DNA kuno dalam menyelesaikan kemisterian sejarah, dan menetapkan satu peringkat yang tinggi (serta menjadi batu asas baharu) untuk lebih banyak kajian akan datang yang menjanjikan pembongkaran bebenang sejarah, arkeologi dan bahasa.

*Kapsyen gambar tajuk – Kaum Minoa adalah tamadun celik huruf di Zaman Gangsa yang meraih kemajuan pada ribuan tahun dahulu. Rajah menunjukkan serpihan fresco yang menggambarkan seorang wanita sedang menari, bertarikh pada 1600-1450SM


SUMBER