SALAH SEBUAH MASJID TERCANTIK DI DUNIA TERLETAK DI KOTA BIRU, SAMARKAND

Pautan ke artikel asal:
Afifa Thabet. (Jun 2019). One of the Most Beatiful Mosques is Located in Uzbekistan’s Blue City, Samarkand. Mvslim.
https://mvslim.com/one-of-the-most-beautiful-mosques-is-located-in-uzbekistans-blue-city-samarkand/

Penterjemah: Amir Zayyanid


Semasa seorang pengembara Muslim yang masyhur, iaitu Ibnu Battuta mengunjungi tempat ini pada tahun 1330, beliau merincikannya sebagai salah sebuah kota yang paling besar dan indah. Kata-kata beliau sememangnya benar! Keindahan Samarkand bagaikan syurgayang Tuhan titipkan di atas bumi. Saya belum pernah berkesempatan untuk mengunjungi Uzbekistan dan melawat Samarkand, namun ia tetap jua berjaya mencuri perhatian saya. Binaan-binaannya seperti masjid, istana, kebun bunga dan seni bina benar-benar mengingatkan saya kepada kisah Seribu Satu Malam berserta puteri legenda Parsi, Shahrazed.


SEBUAH MUTIARA TIMUR DENGAN SEJARAHNYA YANG LUAS

Menyusuli Tashkent, Samarkand merupakan kota kedua terbesar di Uzbekistan. Dengan sejarah panjangnya yang melangkaui 2750 tahun, Samarkand dianggap sebagai salah sebuah kota tertua di dunia. Pada suatu masa dahulu, ia pernah menjadi ibu kota bagi kerajaan Sogdiana – sebuah tamadun lama dan wilayah terpenting bagi Empayar Parsi Pertama. Dengan dikelilingi oleh banjaran tinggi, padang pasir dan steppe, Sogdiana memiliki kelebihan sebagai sebuah kawasan yang sangat kaya dan subur lebih-lebih lagi dengan sumber pengairannya yang ampuh.

Memandangkan lokasinya terletak di Laluan Sutera, Samarkand menjadi salah sebuah kota paling terkehadapan di Asia Tengah selama berkurun-kurun, baik sebelum mahupun sesudah dikuasai oleh Arab-Muslim. Perdagangan antarabangsa berjalan dengan sangat giat di Samarkand. Samarkand berkembang menjadi sebuah pusat komersial yang paling penting di Asia Tengah. Kota ini menghimpunkan para pedagang dari pelbagai empayar.

Justeru tidak hairanlah Alexander Agung menakluk kota ini pada tahun 329SM dan berkata, “Segala yang aku dengar tentang kota ini benar belaka, malah jauh lebih indah.”

Pada kurun ke-8 Masehi, Samarkand dikuasai oleh Arab-Muslim. Pada zaman pemerintahan Dinasti Umayyah, Samarkand meraih kedudukan sebagai pusat perdagangan di laluan antara Baghdad dan China. Semasa berada di bawah pemerintahan Abbasiyyah pula, Samarkand menjadi ibu kota Asia Tengah dan berkembang menjadi pusat tamadun Islam yang sangat penting.

Di sini, berhampiran Samarkand, bersemadi seorang teologi ulung Islam yang mengarang kitab himpunan hadis teragung, iaitu Imam al-Bukhari. Samarkand terus menikmati perkembangan dan status yang tinggi ketika berada di bawah pemerintahan Dinasti Samadin-Khorasan (874-999M), Seljuk dan Khwarazm. Zaman kegelapan Samarkand hanya hadir ketika ia menghadapi serangan Monggol pada tahun 1220, yang diketuai oleh Genghis Khan.


SAMARKAND, IBU KOTA TIMURID

Setelah mengalami tempoh kegelapan yang agak lama, Samarkand kembali hidup pada kurun ke-14 di tangan Tamerlane (juga dikenali dalam bahasa Parsi dan Turki sebagai Timur), pengasas dan pemerintah Empayar Timurid. Samarkand dijadikan sebagai ibu kota dan dibawah pemerintahan Tamerlane inilah kota tersebut mencapai kemegahannya yang terulung dan berkembang menjadi sebuah kota yang paling kaya.

Beliau secara bertahap tetapi pasti membangunkan kota ini dan menjemput amai artisan, jurutera dan pemahir ilmu dari seluruh empayarnya untuk hidup di Samarkand. Tamerlane sememangnya seorang pemerintah yang digeruni oleh para musuhnya. Namun, beliau dilihat sebagai seorang yang penyayang terhadap individu yang memiliki kemahiran tinggi. Artisan-artisan ini dirahkan oleh Tamerlane agar menjadikan Samarkand sebagai sbeuah kota yang paling agung lagi indah, sehingga layak digelar sebagai permata Asia Tengah dan dunia.

Antara tempat yang paling indah di Samarkand adalah Dataran Registan, yang namanya itu membawa maksud ‘tempat berpasir’. Dataran Registan merupakan sebuah datawan awam yang besar. Tiga belah sisinya dikelilingi oleh kompleks keagamaan seperti masjid, khans (rumah persinggahan) dan madrasah. Dataran Registan menjalani pembinaan semula beberapa kali dalam tempoh antara tahun 1370 sehingga 1500 oleh Empayar Timurid.


Dataran Registan


Selepas kemangkatan Tamerlane, Empayar Timurid menjadi semakin lemah dan kehilangan kuasa secara sepenuhnya pada lewat kurun ke-15. Samarkand kemudiannya diperintah oleh Uzbek selama empat kurun. Ia sempat menjadi emiriyah Bukhara dan tumbang ke tangan tentera Russia pada tahun 1868. Memasuki tahun 1925, Samarkand dijadikan sebagai ibu kota Republik Sosialis Soviet Uzbek. Namun pada tahun 1930, kedudukan itu digantikan oleh Tashkent.

Samarkand, sebuah kota yang memiliki gerbang-gerbang yang besar, istana-istana yang megah dan kubah-kubah yang indah serta ribuan mozek biru ini sama sekali bukanlah sebuah kota biasa. Ia bagaikan sebuah kota yang wujud dalam kisah Seribu Satu Malam, dengan diperkaya oleh warisan budaya yang sangat bernilai buat dunia. Samarkand adalah sebuah kota yang saya secara peribadi menmanggilnya sebagai ‘sebuah khazanah Islam dan sebuah keindahan Timur yang saling bertemu di Laluan Sutera’.

Makam Shah-i-Zinda

Hiasan terperinci pada sebuah gerbang di Samarkand


Penterjemahan artikel ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di portal berkenaan dengan judul ‘Keindahan Samarkand Kota Yang Jatuh Dari Syurga