DINASTI TANG – KEMAJUAN KESENIAN CHINA DAN ZAMAN GUNDIK MENJADI MAHARAJA

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (26 Mei 2018). The Tang Dynasty: The Arts Flourished, Family Ties Broke, and a Concubine Became Empress. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/tang-dynasty-arts-family-concubine-empress-021917

Penterjemah: Amir Zayyanid


Ketika Eropah diselubungi Zaman Gelap, China mengalami zaman mekar di era pemerintahan Dinasti Tang. Teknologi cetakan kayu meraihkan mereka buku; sistem peperiksaan membuatkan pekerjaan di jabatan kerajaan turut terhidang kepada rakyat awam; penggunaan kertas tersebar ke seluruh Asia; puisi, muzik dan lain-lain kesenian giat dipergalakkan… dan Dinasti Tang berkemungkinan adalah tamadun yang menyaksikan penciptaan bunga api pertama!

Dinasti Tang adalah sebuah dinasti diraja China yang wujud pada kurun ke-7 hingga kurun ke-10 Masehi, dan menerima gangguan atau pencelahan pendek pada lewat kurun ke-7 dan awal kurun ke-8M. Dinasti ini sering dianggap sebagai zaman keemasan dalam sejarah China, terutama dalam hal kesenian dan kebudayaan. Di zaman Dinasti Tang jugalah Buddhisme meraih tempat yang utuh dalam kalangan masyarakat China.

Namun, zaman emas ini tidak kekal buat selama-lamanya lanteran sejumlah pemberontakan yang berlaku pada separuh kedua kurun ke-9M membawa kepada pengakhiran dinasti ini lalu memunculkan zaman Lima Dinasti dan Sepuluh Kerajaan, zaman di mana China sekali lagi dihumban ke kancah perpecahan.

Pemandangan penuh Patung Gergasi Buddha di Leshan, Sichuan


MAHARAJA-MAHARAJA AWAL DINASTI TANG

Dinasti Tang diasaskan oleh Li Yuan (juga dikenali sebagai Maharaja Gaozu bagi Dinasti Tang), seorang pegawai kerajaan yang berkhidmat untuk Dinasti Sui. Maharaja kedua Dinasti Sui, iaitu Maharaja Yang secara tradisinya dianggap seorang seorang pemerintah tirani. Peribadinya itu mengakibatkan sejumlah pemberontakan meletus menjelang akhir pemerintahannya.

Pemimpin bagi salah sebuah pemberontakan tersebut adalah Li Yuan, yang bertindak mengisytiharkan dirinya sebagai maharaja bagi sebuah dinasti baru, iaitu Dinasti Tang pada tahun 618M sesudah menerima berita kemangkatan Maharaja Yang yang terbunuh dalam sebuah kejadian rampasan kuasa yang diketuai oleh Panglima Yuwen Huaji. Namun, Dinasti Tang masih belum meraih penguasaan ke atas seluruh China pada waktu itu. Hal ini hanya dapat dicapai secara bertahap pada dekad seterusnya.

Lukisan potret Maharaja Yang bagi Dinasti Sui, dihasilkan pada tahun 643 oleh Yan Liben (600-673) atas perintah Taizong


Zaman pemerintahan Maharaja Gaozu dikenang sebagai zaman yang gilang-gemilang. Beberapa sistem yang dilaksanakan sebelum ini oleh Dinasti Sui terus diamalkan dan sejumlah pembaharuan turut dilakukan demi meningkatkan taraf kehidupan masyarakat China.

Misalnya, sistem percukaian dan pengagihan tanah yang diamalkan oleh Dinasti Sui terus diterapkan. Tambahan lagi, undang-undang sedia ada disemak semula di mana beberapa penambahan hukuman diletakkan bagi kesalahan-kesalahan tertentu. Maharaja malah menetapkan agar undang-undang tersebut dikemaskini setiap 20 tahun. Kod undang-undang yang digubal oleh Maharaja Gaozu ini digunakan oleh dinasti-dinasti selanjutnya, dan bahkan oleh negara-negara lain.


TIGA KEMATIAN DEMI MENJAMIN TAKHTA

Maharaja Gaozu digantikan oleh salah seorang puteranya, Li Simin (juga dikenali sebagai Maharaja Taizong bagi Dinasti Tang). Maharaja kedua ini menggulingkan bapanya dan membunuh dua orang saudaranya demi menjamin takhta Empayar China.

Patung batu kapur seorang lelaki China, dari Dinasti Tang (618-907M)


Walaupun tindakannya itu mungkin dianggap bertentangan dengan ajaran Confucian berkenaan ketaatan, Maharaja Taizong membuktikan dirinya sebagai seorang pemerintah yang sangat berkebolehan dan sering dianggap sebagai salah seorang maharaja terhebat dalam sejarah China. Pada zaman pemerintahan Maharaja Taizong, Dinasti Tang berjaya memperluaskan kuasanya dari Vietnam utara di sempadan selatan hingga ke Korea utara di sempadan utara, dan sejauh Asia Tengah di sempadan barat.

Maharaja Taizong menerima kunjung Ludongzan, duta dari Tibet


Sejumlah pembangunan dan kemajuan teknologi dan budaya turut dilakukan semasa era pemerintahannya. Antara lain adalah teknologi cetakan kayu. Malah, Maharaja Taizong turut dikenang lantaran polisinya yang mengamalkan toleransi beragama, di mana beliau membenarkan agama-agama asing seperti Kristian dan Buddhisme untuk bertapak di China.


GUNDIK YANG MENAMATKAN DINASTI TANG… DAN (BUAT SEMENTARA WAKTU) MEMBANGUNKAN SEBUAH DINASTI BARU

Pemerintah agung Dinasti Tang yang seterusnya adalah Wu Zetian, seorang gundik kepada Maharaja Taizong yang seterusnya menjadi gundik pertama bagi penggantinya, Maharaja Gaozong. Kemudian, Wu Zetian bertindak menghapuskan Dinasti Tang dan menabalkan dirinya sendiri sebagai Maharani bagi Dinasti Zhou pada tahun 690M.
Namun, dinasti ini hanya berkuasa selama 15 tahun memandangkan Wu Zetian digulingkan dalam sebuah kejadian rampasan kuasa yang bertujuan mengembalikan kuasa Dinasti Tang. Sama seperti dua orang maharaja Tang yang awal, Wu Zetian turut dikenang sebagai seorang pemerintah yang hebat. Beliau memberikan banyak sumbangan penting terhadap sejarah China, antaranya seperti meningkatkan kedudukan Buddhisme, menaiktaraf sistem pendidikan dan menggalakkan kesenian.

Maharani Wu Zetian


PENAMAT ZAMAN KEEMASAN

Dinasti Tang benar-benar mencapai zaman kemuncaknya pada era pemerintahan Maharaja Xuanzong. Pada tempoh tersebut, ekonomi Tang berkembang pesat berkat aktiviti perdagangan yang berlangsung di sepanjang Laluan Sutera. Kekayaan yang diperoleh ini membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai projek pembinaan. Sejumlah jalan dan bangunan pentadbiran serta kuil dibangunkan. Dua orang penyair ulung China, iaitu Li Bai dan Du Fu turut hidup pada zaman pemerintahan Maharaja Xuanzong sekaligus mereka berdua ini memberikan sumbangan yang tiada tandingan dalam bidang kesenian.

Puisi oleh Li Bai (701-762M), satu-satunya kaligrafi Li Bai yang terselamat sehingga kini, disimpan di Muzium Istana di Beijing


Permulaan kepada kejatuhan Dinasti Tang juga berlaku pada era pemerintahan Maharaja Xuanzong, maharaja yang memerintah selama 43 tahun. Pada penghujung pemerintahan beliau, Pemberontakan An Lushan meletus di mana ia berpanjangan dari tahun 755 hingga 763M. Walaupun pemberontakan ini berjaya ditundukkan, Dinasti Tang tidak lagi sekuat dahulu. Apapun, dinasti ini terus memerintah China selama sekurun setengah sebelum berakhir pada tahun 908M, apabila maharaja terakhirnya, Maharaja Ai digulingkan oleh Zhu Wen, seorang bekas pemberontak yang menyerah diri kepada pasukan tentera Tang dan kemudiannya mendaki status sosial sehingga memegang tampuk pimpinan pasukan tentera kerajaan.

Berakhirnya Dinasti Tang mengakibatkan China dihumban sekali lagi ke dalam era huru-hara dan pergolakan, yang kali ini, dikenali sebagai era Lima Dinasti Dan Sepuluh Kerajaan.

Zhu Wen


SUMBER


Penterjemahan artikel ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di portal berkenaan dengan judul ‘Dinasti Tang: Dinasti Terbaik Dalam Sejarah China