- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Theodoros Karasavvas. (31 Januari 2018). 11 of the Most Ancient and Continually
Occupied Cities in the World. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/11-most-ancient-and-continually-occupied-cities-world-009522
https://www.ancient-origins.net/history/11-most-ancient-and-continually-occupied-cities-world-009522
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Pengembaraan masa boleh
dikatakan sebagai salah satu fantasi paling menarik yang pernah dikhayalkan
oleh manusia. Namun malangnya, ramai ahli fizik moden menegaskan betapa
mustahilnya angan-angan itu untuk direalisasikan melainkan hanya dalam fiksyen
sains. Bagi peminat-peminat zaman purba yang berhajat dapat mengunjungi
tempat-tempat hebat dari zaman langka, di sini kami cuba menyenaraikan sebelas
buah kota purbakala yang terus dihuni sehingga ke hari ini, di mana ia sentiasa
terbuka untuk dikunjungi tanpa perlu melakukan pengembaran masa.
ATHENS, GREECE
Tanpa dapat dinafikan,
Athens merupakan salah sebuah kota purba yang amat masyhur. Kewujudannya jelas,
kegemilangannya ketara dan ia menyandang kedudukan sebagai antara kota purba
yang paling banyak dikunjungi terutama sekali lantaran sejarahnya yang
melangkau ribuan tahun. Sebagai sebuah pusat kesenian, pendidikan, falsafah dan
tanah tempat berdirinya Akademi Plato dan Lyceum Aristotle, Athens dianggap
secara meluas sebagai tanah kelahiran tamadun Barat dan demokrasi. Pencapaian
Athens dalam kebudayaan dan politik pada kurun ke-4 dan kurun ke-4 Sebelum
Masihi meninggalkan kesan yang cukup mendalam terhadap dunia Eropah ketika itu.
Pada zaman moden,
Athens menjadi pusat
pelancongan utama selain pernah menjadi tuan rumah bagi sukan Olimpik sebanyak
dua kali. Ia berdiri megah sebagai sebuah bandar kosmopolitan yang menerajui
bidang ekonomi, kewangan, perindustrian, maritim, politik dan kebudayaan negara
Greece. Pada tahun 2012, tahun di mana Greece berdepan dengan krisis ekonomi
yang cukup teruk, Athens tetap disenaraikan sebagai salah sebuah dari 35 buah
bandar paling kaya di dunia berdasarkan kuasa beli penduduknya.
![]() |
The Acropolis of Athens (1846) oleh Leo von Klenze |
FAIYUM, MESIR
Faiyum merupakan sebuah
kota purba (kini Medinet el-Faiyum) yang terletak di sebuah wilayah yang
dikenali sebagai ‘Oasis Faiyum’ di Mesir. Oasis Faiyum berdiri tinggi di
daratan gurun pasir dan disuburkan secara semula jadi oleh anak sungai Nil.
Kesuburan ini seterusnya mencambahkan flora dan menggamit fauna ke kawasan berkenaan
sekaligus menjadikannya sebuah kota Mesir yang dihuni selama ribuan tahun.
Lokasinya berjarak 100 km (62 batu) arah barat daya dari Kaherah. Ia merupakan
ibu kota bagi Wilayah Faiyum moden. Bandar ini turut merangkumi sebuah tapak
purba yang dikenali sebagai Crocodilopolis, atau Arsinoe. Kota Faiyum
ditubuhkan sekitar tahun 4000SM dan merupakan kota Mesir purba yang paling tua
dan paling lama dihuni di dunia.
![]() |
Puing-puing kuil batu Soknobkonneus, Umm el-Athl (Bacchias), el-Fayyum, Mesir |
JERICHO, PALESTIN
Ramai ahli arkeologi
dan sejarahwan yang bersepakat mengatakan Jericho sebagai kota paling lama
dihuni di muka bumi, di mana usianya kembali pada 12 000 tahun dahulu.
Ekskavasi-ekskavasi yang dijalankan di tapak Tel-al-Sultan mendapati petempatan
yang terdapat di Jericho berusia seawal 10 000 SM. Petempatan-petempatan ini
mempunyai sumber air yang banyak dan dipercayai mata air yang terdapat di
Tel-al-Sultan merupakan faktor penyumbang kepada pembangunan tapak tersebut
walau di zaman yang sangat awal. Nama asal kota ini, iaitu Yereha (wangian)
menyimpan maksud simbol bagi kekayaan sumber tersebut dan nama itu terus
dikekalkan dalam bahasa Arab moden, iaitu Ariha.
![]() |
Biara Quarantal, Jericho, Palestin |
BALKH, AFGHANISTAN
Balkh merupakan sebuah
kota purba yang menjadi pusat Buddhisme, Sufisme, dan Zoroastrianisme di
wilayah utara Afghanistan moden. Pada hari ini, ia berdiri sebagai sebuah
bandar kecil di wilayah Balkh yang berjarak kira-kira 20km (12 batu) arah barat
laut dari Mazar-e Sharif. Sejak awal lagi, kota Balkh merupakan salah sebuah
kota utama di Khorasan. Marco Polo memerincikan Balkh sebagai ‘kota agung lagi
mulia’, manakala orang Yunani pula memanggilnya sebagai Bactra sekaligus
meraihkannya nama Bactria. Kini, sebahagian besar bandar Balkh yang masih
tersisa hanyalah puing-puing runtuhan yang menggamit kunjungan para pelancong
pada setiap tahun.
![]() |
Masjid Hijau (Sabz) kurun ke-15 di kota Balkh, Afghanistan |
LUOYANG, CHINA
Berdiri megah di
bahagian barat Wilayah Henan, lokasi tepat Luoyang adalah di tengah-tengah
pertemuan antara Sungai Luo dan Sungai Kuning. Kota Luoyang merupakan salah
sebuah dari Empat Ibu Kota Agung China dan berfungsi sebagai ibu kota bagi tiga
belas dinasti purba, bermula dari Dinasti Xia (kurun ke-21 hingga kurun ke-16
SM). Luoyang dianggap sebagai wilayah keramat, justeru mendorong pembinaan
banyak monumen, patung dan kuil.
Gua-Gua Longmen yang mempunyai ribuan patung
Buddha merupakan antara tarikan utama kota ini. Begitu juga dengan Kuil Shaolin
dan Muzium Luoyang yang mempamerkan kuda-kuda dan pedati-pedati Diraja Zhou
Timur. Bukti sejarah dan bukti arkeologi di kota ini amat banyak, di mana
setiap satunya menyimpan seribu satu kisah kota berkenaan sejak zaman purba.
Sehingga ke hari ini, Luoyang kekal dianggap sebagai sebuah kota yang penting
dan kini, ia menampung populasi lebih 6.5 juta orang.
![]() |
Gerbang Lijing di Luoyang, Henan, China |
BYBLOS, LEBANON
Byblos yang dihuni
sejak zaman Neolitik sering dikaitkan secara meluas dengan legenda dan sejarah
Mediterranean. Kota ini menyimpan sebuah monumen yang dibina sebagai sebahagian
daripada petempatan nelayan pertama yang menghuninya, sekitar 8000 tahun
dahulu. Monumen ini berdiri tanpa diusik walau tapak Byblos itu sendiri
mengharungi pelbagai pembahruan, baik pembangunan bandar pertama, kuil-kuil
monumental Zaman Gangsa, hinggalah ke binaan kubu Parsi, jalanan Rom,
gereja-gereja Byzantine, citadel Salib, dan bandar-bandar Uthmaniyah.
Sebagai
bandar pertama yang dibina oleh orang-orang Phoenicia, Byblos juga secara
langsung dikaitkan dengan sejarah penciptaan alfabet Phoenicia dan
penyebarannya. Sebagai maklumat tambahan, alfabet yang kita gunakan pada hari
ini berasal-usul dari Byblos, di mana inskripsi Phoenicia tertua yang pernah
dijumpai adalah pada sarcophagus Ahiram.
![]() |
Rumah Lebanon kurun ke-19 di celahan runtuhan berhampiran Istana Byblos, Byblos, Lebanon |
ARGOS, GREECE
Argos merupakan sebuah
kota yang terletak di Peloponnese, Greece. Sebagai sebuah petempatan purba,
Argos terus dihuni setidak-tidaknya sebaia sebuah kampung kecil sejak 7000
tahun dahulu. Kota ini menyimpan banyak runtuhan bangunan. Hanya beberapa
kilometer sahaja dari Argos, terdapat pula sebuah tapak arkeologi tamadun
Mycenae. Malahan, kota ini turut tersenarai sebagai Rangkaian Bandar Eropah
Paling Purba.
![]() |
Gambaran semula Heraion yang berdiri megah di kota Argus, Greece |
ALEPPO, SYRIA
Menanggung parut-parut
Perang Aleppo yang berlangsung selama empat tahun (2012-2016), Aleppo merupakan
salah sebuah kota tertua yang terus dihuni sehingga kini. Sejarahwan
mengandaikan bahawa Aleppo dihuni sejak milenium keenam Sebelum Masihi. Dengan
lokasinya yang terletak di persimpangan banyak laluan perdagangan, Aleppo
diperintah secara bersilih-ganti oleh bangsa Het, Assyria, Arab, Monggol, Mamluk
dan Uthmaniyah.
![]() |
Panorama kota purba Aleppo, Syria |
UR, IRAQ
Berdiri berhampiran
kota Nasiriya dan berjarak sekitar 365km (277 batu) arah selatan dari Baghdad,
Ur yang membawa maksud ‘kota’ dalam bahasa Sumeria dan Akkadia merupakan salah
sebuah tapak purba yang paling masyhur di Iraq. Ur berperanan sebagai ibu kota
tamadun Sumeria. Kota ini yang muncul beberapa kali dalam Bible (sebagai kota
bangsa Kaldan, sekitar tahun 900SM) dan diperincikan sebagai tanah kelahiran
Nabi Ibrahim al-Khalil ini merupakan salah sebuah kota Sumeria yang paling
penting dalam milenium keempat dan separuh pertama milenium ketiga Sebelum
Masihi. Ia terus dianggap sebagai salah sebuah kota yang paling aktif dan
paling penting di Mesopotamia selatan sepanjang kurun-kurun berikutnya.
![]() |
Runtuhan yang disebut sebagai Rumah Ibrahim di kota Ur, Dhi Qar, wilayah selatan Iraq |
VARANASI, INDIA
Varanasi merupakan
sebuah lagi kota purba yang layak disenaraikan sebagai kota tertua yang terus
dihuni di dunia. Sejarah awalnya melibatkan peranan Varanasi sebagai petempatan
Aryan pertama di tengah Lembah Sungai Ganges. Ia kemudiannya berkembang sebagai
sebuah kota menjelang milenium kedua SM dan menjadi pusat keagamaan dan
falsafah bangsa Aryan. Kini, Varanasi dianggap sebagai pusat agama kaum India.
Kota ini juga pernah menjadi ibu kota kerajaan Kashi pada era Buddha, yang
dicatatkan pernah memberi ucapan pertamanya di Sarnath pada tahun 528SM.
![]() |
Kuil Ganges yang runtuh, India, sekitar 1906, di kota Varanasi, India |
LUXOR, MESIR
Luxor adalah nama moden
bagi kota purba Thebes, ibu kota Mesir semasa era Kerajaan Baru (1550-1050SM).
Pun begitu, sejarahwan dan ahli arkeologi mendapati terdapat sebuah kota yang
berfungsi sebagai pusat pentadbiran pernah wujud di tapak Thebes satu milenium
lebih awal. Luxor juga dikenali sebagai kota agung bagi dewa Amon-Ra. Pada hari
ini, ia sering disebut sebagai ‘muzium terbuka paling besar di dunia’
memandangan runtuhan-runtuhan kompleks kuil di Karnak dan Thebes sememangnya
berdiri megah di kawasan terbuka. Berikutan kekayaan sejarah yang dimiliki oleh
kota purba ini, ribuan pelancong dari seantero dunia datang mengunjunginya pada
setiap tahun sekaligus menyumbang kepada kepesatan ekonomi Mesir.
![]() |
Menara pertama kuil Luxor, Mesir |
SUMBER
- Charles Gates. (2011). Ancient Cities: The Archaeology of Urban Life in the Ancient Near East and Egypt, Greece and Rome.
- (2017). The world’s 20 oldest cities. The Telegraph.
- Ariana Zilliacus. (2017). The Architecture of Some of the Worlds’ Oldest Continuously Inhabited Cities. Arch Daily.
- Subhamoy Das, (2017). The City of Varanasi: India’s Religious Capital. ThoughtCo.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. (2017). Varanasi, India. Encyclopaedia Britannica.
- Owen Jarus. (2013). Luxor: Ancient Egyptian Capital. Live Science.
Amir Zayyanid
Ancient Origins
Asia Tengah
China
India
Lokasi Bersejarah & Menarik
Mesir Purba
Mesopotamia
Teratak Tarjim
Timur Tengah
Yunani
- Get link
- X
- Other Apps