- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (2 Ogos 2020). The Haunted Ruins of Khara Khoto, The Black City of
Mongolia. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/khara-khoto-0014063
Penterjemah: Amir Zayyanid
Khara Khoto merupakan
sebuah kota purba yang terletak di bahagian barat Monggolia Dalam. Dahulunya ia
mekar sebagai sebuah kota yang pesat, berkat lokasinya yang terletak di Laluan
Sutera. Namun, peristiwa pembunuhan beramai-ramai membuatkan kota itu merudum
dan hingga kini, ramai masyarakat tempatan enggan menghampiri runtuhan kota
Khara Khoto lantaran takut kepada hantu-hantu purba.
Kota ini hanya
ditemukan semula pada awal kurun ke-20. Kerja-kerja ekskavasi di Khara Khoto
berjaya menemukan ribuan manuskrip berbahasa Tangut, di mana ia dianggap
sebagai antara penemuan paling mengagumkan di tapak berkenaan. Kesemua artifak
ini berada dalam keadaan terpelihara dek cuaca kering di sana. Lebih daripada
itu, ia juga selamat dari dirompak berikutan kedudukannya yang agak terpencil.
![]() |
Runtuhan Kota Hitam |
CATATAN MARCO POLO TENTANG
KHARA KHOTO
Nama ‘Khara Khoto’
secara harfiahnya membawa maksud ‘Kota Hitam’ dalam bahasa Monggolia. Keadaan
yang sama juga dapat dilihat pada namanya dalam bahasa China, iaitu Heicheng.
Bgai masyarakat Tangut yang menubuhkan kota tersebut, mereka menyebutnya
sebagai Yijinai.
Apa yang menarik
tentang kota ini adalah nama Khara Khoto pernah disebut oleh pengembara Venice
yang masyhur, iaitu Marco Polo. Menurut seorang arkeologis yang bernama Aurel
Stein, kota berkenaan dipanggil sebagai Etzina (atau Ezina) dalam The
Travels of Marco Polo. Perincian tentang kota tersebut di dalam catatan
Marco Polo adalah sebagaimana berikut:
“Setelah meninggalkan kota Kampion dan berkelana selama dua belas hari ke arah utara, kamu akan sampai ke sebuah kota yang bernama Ezina, di mana ia terletak di permulaan padang pasir dan di dalam wilayah Tanguth. Masyarakat di sana menyembah patung. Mereka membela unta dan pelbagai lagi ternakan lain. Di sini, kamu akan temui banyak burung helang. Tuaian dari tanah dan daging-daging ternakan memenuhi keperluan masyarakatnya, dan mereka tidak terlibat dalam urusan perdagangan.
Para pengembara dan pedagang yang melalui kota ini mengisi bekalan mereka
selayak empat puluh hari kerana sejurus meninggalkan kota berkenaan dan
menyambung perjalanan ke arah utara, empat puluh hari itu akan dihabiskan
sepenuhnya dalam perjalanan, di mana tiada sebarang tempat teduh apatahlagi
komuniti setempat dapat ditemui, kecuali beberapa sahaja pada musim panas,
khususnya di celahan gunung dan beberapa buah lembah.”
Sepertimana yang
disebutkan oleh Marco Polo, Khara Khoto sememangnya terletak di penghujung
‘padang pasir’, yakni Gurun Gobi. Walaupun kota ini terletak di Laluan Sutera,
masyarakat penghuninya sama sekali tidak terlibat dalam perdagangan mahupun
perniagaan. Sebaliknya, mereka melangsungkan hidup dengan membekalkan makanan
kepada para pengembara yang singgah di kota mereka.
![]() |
Konvoi Marco Polo |
Semasa Marco Polo
merekodkan tentang pengembaraannya ke Asia pada kurun ke-13, Khara Khoto sudah
pun wujud selama beberapa kurun. Sejarahwan lazimnya meletakkan tahun penubuhan
kota itu pada 1032 Masihi.
MENGENALI MASYARAKAT
TANGUT
Tangut, atau juga
dikenali sebagai Xia, merupakan sebuah kumpulan etnik yang penting di barat
laut China. Kewujudan mereka disebutkan dalam sumber-sumber China seawal kurun
ke-6 dan kurun ke-7 Masihi lagi. Pada waktu itu, Tangut dijemput oleh
masyarakat China untuk mendiami wilayah Sichuan, Qinghai, dan Gansu moden.
Jemputan ini dibuat
dengan harapan komuniti Tangut dapat berperanan sebagai zom penampan antara
mereka dan masyarakat Tibet. Walaupun Tangut kelak bergabung dengan Tibet dalam
menyerang China, secara keseluruhannya, mereka sememangnya memainkan peranan
tersebut dengan cukup baik. Hal ini dapat dilihat, misalnya, apabila Maharaja
Taizong si pemerintah kedua Dinasti Tang mengurniakan nama keluarganya, Li,
kepada keluarga pembesar Tangut pada 630an Masihi.
![]() |
Kaum lelaki dan kaum wanita Tangut |
Walau bagaimanapun,
menjelang kurun ke-11 Masihi, China yang ketika itu berada di bawah
pemerintahan Dinasti Song, terpaksa menumpukan perhatian dan kekuatannya ke
timur. Hal ini kerana mereka terlibat dalam konflik dengan Khitan, kumpulan
masyarakat yang menubuhkan Dinasti Liao tidak lama selepas kejatuhan Dinasti
Tang pada awal kurun ke-10.
Susulannya, pertahanan
di sempadan barat empayar China melonggar dan Tangut mengambil peluang ini
untuk menubuhkan negara mereka sendiri, iaitu Xi Xia atau Xia Barat pada tahun
1038. Negara ini berdiri selama hampir dua kurun, sebelum ia akhirnya ditakluk
oleh Monggol pada tahun 1227. Pun begitu, pertahanan negara ini begitu ampuh
hinggakan Monggol mengambil masa selama 20 tahun sebelum dapat menundukkan
mereka.
KEJATUHAN KHARA KHOTO
Khara Khoto ditakluk
pada tahun 1226, setahun sebelum Tangut secara keseluruhan menyerah kepada
Monggol. Ramai yang menganggap bahawa kota ini mengalami kemunduran sejurus
selepas ia jatuh ke tangan Monggol. Namun hakikatnya, ia terus berkembang pesat
sepertimana biasa.
Sebagai maklumat
tambahan, salah satu kesan positif daripada hegemoni Monggol adalah penggunaan
semula Laluan Sutera secara intensif, di mana hal ini seterusnya mendorong
lebih ramai pedagang berkunjung ke Khara Khoto. Namun, keberuntungan yang
dikecapi oleh kota ini tidak bertahan lama sesudah kejatuhan Dinasti
Yuan-Monggol.
Pada tahun 1368,
Dinasti Yuan digulingkan oleh Dinasti Ming dan Monggol diusir keluar dari
China. Ramai warga Monggol yang terselamat dipercayai membawa diri ke Khara
Khoto. Mereka dibenarkan untuk menetap di sana. Memandangkan perhatian Dinasti
Ming ketika itu dicurahkan sepenuhnya kepada pelaksanaan undang-undang berpusat
ke atas wilayah-wilayah yang baru dikuasai, maka mereka tidak begitu peduli
untuk menghambat warga Monggol yang melarikan diri. Walau bagaimanapun, menjelang
tahun 1372, semakin ramai tentera berkumpul di Khara Khoto dan keadaan ini
mendorong Monggol untuk menanam cita-cita menyerang China demi merebutnya
semula dari Dinasti Ming.
Sebaik sahaja khabar
angin tentang hasrat Monggol ini sampai ke pengetahuan masyarakat China, mereka
mula berwaspada. Tambahan lagi, ketika itu Dinasti Ming sudah pun selesai
meneguhkan kekuasaan mereka di sana. Dalam erti kata lain, mereka kini berupaya
untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada ancaman Monggol. Maka pada tahun 1372,
China menghantar sepasukan tentera untuk menyerang Monggol di Khara Khoto.
Ekspedisi militari ini
disebutkan secara ringkas dalam catatan-catatan sejarah Ming. Menurut catatan
tersebut, tentera Monggol di Khara Khoto yang dipimpin oleh Buyan Temur akhirnya
menyerah kepada Feng Sheng si panglima China sebaik sahaja beliau tiba di kota
berkenaan. Hakikatnya, pasukan pimpinan Feng Sheng cuma merupakan sebahagian
daripada kontinjen yang lebih besar yang dihantar oleh Dinasti Ming dalam
rangka menghancurkan Dinasti Yuan Utara, dinasti yang ditubuhkan oleh warga
Monggol.
![]() |
Pertempuran antara Monggol dan China (1211). Jami’ al-tawarikh, Rashid al-Din |
Kontinjen yang dihantar
oleh Ming ini mempunyai kekuatan seramai 150 000 orang secara keseluruhan. Ia
dibahagikan kepada tiga divisi di mana setiap satunya mara ke wilayah utara
Gurun Gobi melalui jalan-jalan yang berbeza. Divisi barat dipimpin oleh Feng
Sheng, manakala divisi timur dan divisi tengah masing-masing dipimpin oleh Li
Wenzhong dan Xu Da. Walaupun mempunyai kelebihan dari segi bilangan tentera,
Ming tetap juga ditewaskan oleh Monggol. Pada kurun-kurun yang menyusul,
Monggol terus mengganggu-gugat Dinasti Ming hinggalah mereka akhirnya ditakluki
oleh Dinasti Jin Terkemudian (pendahulu Dinasti Qing) pada tahun 1635.
LEGENDA HANTU KOTA
HITAM
Sejarah kejatuhan Khara
Khoto hanyalah sebuah episod singkat dalam saga ketenteraan Ming 1372.
Perincian yang lebih lanjut tentang peristiwa tersebut cuma dapat ditemukan
dalam legenda tempatan. Menurut legenda, pemimpin Monggol di Khara Khoto
dipercayai mempunyai seorang panglima yang bernama Khara Bator (bermaksud
‘Perwira Hitam’). Legenda ini juga menyifatkan perkubuan kota Khara Khoto amat
ampuh hinggakan pasukan China tidak berupaya merebutnya dengan jalan kekerasan.
Justeru, mereka pun
mengepung kota. Bagi meningkatkan tekanan terhadap Monggol, pasukan China
memindahkan aliran Sungai Ejin yang berada di luar kota. Ia merupakan
satu-satunya sumber air warga Khara Khoto. Sebagai susulan, perigi-perigi di
Khara Khoto pun mengering dan pasukan yang bertahan terpaksa memutuskan sama
ada mahu mati kehausan ataupun mati di medan pertempuran.
Dalam satu versi
penceritaan, dilemma ini menyebabkan Khara Bator hilang pertimbangan. Lantas,
beliau bertindak membunuh keluarganya sebelum membunuh diri. Satu versi yang
lain pula mengisahkan bagaimana beliau melarikan diri dari kota melalui sebuah
laluan yang disediakannya di penjuru barat laut tembok kota. Sememangnya,
terdapat sebuah lubang yang cukup besar untuk dilalui oleh seorang penunggang
kuda di tembok Khara Khoto.
Sambil itu,
tentera-tentera Monggol yang lain terus menanti takdir mereka di dalam kota
sehinggalah pasukan China akhirnya melancarkan gempuran terakhir ke atas Khara
Khoto. Pihak Monggol dibunuh tanpa belas kasihan sekaligus menimbulkan legenda
urban bahawa kononnya runtuhan kota itu masih dihantui oleh roh-roh warga
Monggol yang gugur. Oleh kerana itulah makanya ramai masyarakat tempatan enggan
menghampiri runtuhan Khara Khoto.
PENEMUAN SEMULA
RUNTUHAN KOTA KHARA KHOTO
Tidak seperti Monggol
yang memelihara Khara Khoto selepas menguasainya dari tangan Tangut, China sama
sekali tidak pedulikan kota berkenaan. Sebagai susulan, kota itu pun
ditinggalkan. Diandaikan bahawa salah satu punca Khara Khoto ditinggalkan adalah
kerana kurangnya sumber air.
Pada kurun-kurun yang
menyusul, kota Khara Khoto mula runtuh dan hancur. Walau bagaimanapun,
kewujudannya tidaklah dilupakan sepenuhnya kerana khabar angin tentangnya masih
terus tersebar. Khabar angin inilah yang kemudiannya mendorong kepada penemuan
semula runtuhan Khara Khoto pada kurun ke-20.
![]() |
Runtuhan kota Khara Khoto pada 1914 |
Menjelang lewat kurun
ke-19, Russia menjalankan ekspedisi saintifik di wilayah utara China dan
Monggolia. Dua orang peneroka mereka, iaitu Grigory Potanin dan Vladimir
Obruchev, mendengar buah mulut masyarakat tempatan tentang sebuah kota purba
yang terletak di sekitar Sungai Ejin. Sekembalinya mereka ke Russia, khabar
angin ini ternyata menggamit perhatian Muzium Asiatik di Saint Petersburg (kini
ia merupakan sebahagian daripada Institute of Oriental Manuscripts of the
Russian Academy of Sciences). Lantas, sebuah ekspedisi Monggol-Sichuan di bawah
kelolaan Pyotr Kuzmich Kozlov pun dilancarkan pada tahun 1907.
Dalam tempoh setahun,
Kozlov berjaya menemukan lokasi Khara Khoto. Pada Mei 1908, Kozlov memperoleh
izin daripada Dashi Beile, seorang pembesar Torghut, untuk menjalankan
kerja-kerja ekskavasi di tapak berkenaan. Bagi menghargai jasa Dashi, Kozlov
menjamu beliau makan malam dan menghadiahkannya sebuah gramofon.
Penemuan paling
mengujakan dalam ekspedisi ini adalah kuantiti teks purba yang begitu banyak,
termasuklah manuskrip, buku, dan lembaran. Kesemuanya ditulis dalam bahasa
Tangut, dan keadaannya terpelihara berikutan cuaca kering di padang pasir.
Ketika tamatnya ekspedisi arkeologi yang pertama itu, Kozlov berjaya menghantar
sebanyak 10 buah peti yang dipenuhi dengan artifak ke Saint Petersburg.
Di samping lebih 2000
teks berbahasa Tangut, peti-peti itu juga turut dipenuhi dengan barangan agama
Buddha. Pada tahun 1909, Kozlov kembali semula ke Khara Khoto dan lebih banyak
manuskrip berjaya ditemui. Artifak-artifak tersebut kekal di Saint Petersburg
sehingga ke hari ini dan sebahagiannya telah pun disiarkan sebagai Russian
Collection of Khara-Khoto Manuscripts.
![]() |
Lukisan sutera dari Khara Khoto, kini disimpan di Hermitage Museum, St. Petersburg, Russia |
EKSPEDISI-EKSPEDISI
ARKEOLOGI DI KHARA KHOTO
Pada dekad-dekad
berikutnya, sejumlah ekspedisi dijalankan di Khara Khoto oleh para peneroka
yang datang dari serta benua. Misalnya pada tahun 1917, Aurel Stein mengunjungi
Khara Khoto dalam ekspedisinya ke Asia Tengah buat kali ketiga. Beliau singgah
ke tapak berkenaan selama lapan hari. Beberapa orang ahli arkeologi yang lain,
seperti Langdon Warner dari Amerika dan Folke Bergman dari Sweden, turut
mengunjungi kota purba ini, masing-masing pada tahun 1925, 1927 dan 1929. Dalam
kunjungannya yang kali kedua, Bergman menetap di Khara Khoto selama setahun
setengah bagi meninjau dan menghasilkan peta.
Masyarakat China juga
menunjukkan minat terhadap tapak bersejarah itu. Pada tahun 1927 dan 1931,
sebuah ekspedisi China-Sweden dengan diketuai oleh Sven Hedin dan Xu Bingchang
dilakukan dan kerja-kerja ekskavasi di tapak Khara Khoto dilaksanakan. Pada
tempoh 1983 hingg 1934 pula, Li Yiyou dari Inner Mongolian Institute of
Archaeology menjalankan ekskavasi di Khara Khoto dan berjaya menemukan lebih
3000 manuskrip.
Puing-puing runtuhan di
Khara Khoto juga menerima perhatian yang kurang lebih seperti
manuskrip-manuskrip purbanya. Antara struktur yang masih dapat dilihat di sana
adalah tanjakan-tanjakan kota yang setinggi 9 meter (29.5 kaki), tembok luar
setebal 4 meter (13.1 kaki), sebuah pagoda setinggi 12 meter (39 kaki), dan
kompleks perumahan tanah liat. Selain itu, terdapat juga sebuah bangunan di
luar tembok kota yang diandaikan sebagai sebuah masjid. Dipercayai masjid ini
digunakan oleh para pedagang Muslim yang mengunjungi kota berkenaan.
![]() |
Imej yang diambil daripada kunjungan Aurel Stein. Sebuah makam (atau mungkin masjid) di penjuru tenggara kota, pemandangan dari timur |
Berikutan lokasi Khara
Khoto yang sukar diakses, khususnya kerana persekitarannya yang dibentuk oleh
padang pasir, tapak bersejarah ini tidak dibangunkan menjadi destinasi pelancongan.
Walaupun ianya membawa maksud tapak ini tidak dapat menuaikan hasil pendapatan
kepada negara melalui sektor pelancongan, dalam masa yang sama, keadaan ini
juga dapat menghindarkannya dari mengalami kerosakan yang lazimnya diakibatkan
oleh para pelancong sekali gus membolehkannya terus berdiri kukuh untuk
diwariskan kepada generasi akan datang.
SUMBER
- Lonely Planet. 2020. Khara Khoto.
- Marco Polo, The Travels of Marco Polo the Venetian. [Rhys, E. (ed). 1908. Marco Polo’s The Travels of Marco Polo the Venetian].
- Nilsson, E. 2019. The spirit of ‘dark castle’ shines.
- Shi, J. 2020. Tangut Language and Manuscripts: An Introduction. Leiden: Brill.
- Szczepanski, K. 2018. The Tangut People of China.
- Tansuo Cultural Travel Solution Ltd. 2020. Khara-Khoto.
- The British Museum. 2020. Khara-Khoto.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2016. Tangut.
- Theobald, U. 2000. Chinese History – Yuan Period Event History.
- Webster, D. 2020. Alashan Plateau – China’s Unknown Gobi.
- Silkroad Tour. 2005. Khara-Khoto – the Black City.
- Get link
- X
- Other Apps