- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Penterjemah: Amir Zayyanid
Siapa yang tidak
mengenali Dubai, metropolis abad ke-21 yang megah dengan Burj Khalifa, bangunan
pencakar langit tertinggi di dunia? Mungkin, tiada yang akan menyangkal jika
Dubai disifatkan sebagai epitome kemajuan, lebih-lebih lagi apabila ia berjaya
menggamit kunjungan 13 juta manusia setiap tahun sekali gus menjadikan lapangan
terbangnya sebagai antara yang paling sibuk di dunia.
Bagaimanapun, ramai
yang mungkin akan menggaru kepala jika Dubai secara khusus dan Emiriyah Arab
Bersatu secara umum disinonimkan dengan tamadun-tamadun padang pasir. Iya,
bandar metropolitan itu kaya dengan khazanah silam yang berkongsi kemegahan
serupa sejak zaman-berzaman. Dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan
nama-nama bandar purba yang pernah berdiri di bumi Dubai bersama secebis
pemerihalan tentangnya.
TAMADUN MARJAN DAN BINAAN-BINAAN
AWAL DI BUMI DUBAI
Lima ribu tahun dahulu,
Pergunungan Hajar di bahagian timur Dubai menyaksikan berlakunya beberapa
pembangunan yang mengubah dunia. Setelah sekian lama rantau tersebut menampung
kelangsungan hidup masyarakat pengumpul-pemburu, kawasan berhampiran sempadan
Oman moden kemudiannya menempa nama sebagai pembekal sumber tembaga yang langka.
Perlahan-lahan, manusia di sana mula belajar cara melombong, mengesktrak, dan
mengadunnya dengan timah bagi menghasilkan gangsa.
Pengeluaran gangsa ini
secara efektif meletakkan Tamadun Magan sebagai pembekal utama dalam industri
persenjataan dan peralatan di rantau Timur Tengah. Antara pembeli utama mereka
adalah Ur dan Uruk, dua buah kota pertama yang muncul di Sumeria. Kehadiran teknologi gangsa membuatkan
aktiviti pertanian berjalan dengan lebih efisien, sekali gus membajai benih
ketamadunan di rantau tersebut.
![]() |
Lokasi tamadun Magan |
Pada era mutakhir ini,
pasukan arkeologis berjaya menemukan beberapa buah bangunan, makam, dan saluran
air dari Tamadun Magan di sebuah tapak penyelidikan berkeluasan 50 ekar, Hili.
Hili berlokasi di utara al-Ain, bandar ketiga terbesar di UAE dan merupakan
satu-satunya bandar di negara tersebut yang menerima pengiktirafan UNESCO
sebagai Tapak Warisan Dunia.
Antara peninggalan
arkeologi yang paling menarik perhatian adalah sebuah makam berbentuk bulat
yang berdiamater kira-kira 10 meter, dilengkapi gerbang yang diukir dengan imej dua ekor oryx. Binaan ini dianggap unik
kerana bongkah-bongkah batunya dipotong dengan begitu sempurna, membuatkan
ingatan kita melayang ke Machu Picchu binaan Tamadun Inca. Cuma, Machu Picchu
dibina sekitar 500 tahun yang lalu sementara makam purba yang dijumpai di Hili
ini pula berusia 4,700 tahun.
KOTA-KOTA ZAMAN BESI:
MLEIHA, TELL ABRAQ DAN AD-DUR
Berganjak 2,000 tahun
ke hadapan, teknologi besi mengambil-alih teknologi gangsa dan memperbaharui
corak kehidupan di Semenanjung Arab. Salah sebuah lokasi penting yang
mengeluarkan sumber besi di sana ialah Mleiha, bandar berkubu yang terletak di
kawasan penghujung gurun, berhampiran al-Dhaid yang berjarak kira-kira sejam
pemanduan dari Dubai.
Mleiha mengecapi zaman
perdananya pada era Kristian dan ketika itu, ia berbangga sebagai salah sebuah
petempatan terbesar di Timur Tengah – dengan keluasan satu batu, cukup untuk
menempatkan ratusan buah rumah dan kilang logam. Kota tersebut dihuni
selama kira-kira 500 tahun, bermula dari pertengahan Zaman Besi sehingga kurun
pertama Masehi. Sewaktu ditinggalkan, tembok-tembok kota dibiarkan run-tuh dan
dilitupi pepasir.
![]() |
Mleiha, dahulunya salah sebuah petempatan terbesar di UAE |
Hasil ekskavasi pada
tempoh kebelakangan berjaya menjumpai dua buah kilang peleburan besi,
masing-masing menghasilkan sen-jata dan matawang syiling. Kilang-kilang tersebut
ditempatkan di dalam sebuah kubu dan dikelilingi oleh sejumlah rumah,
mengisyaratkan betapa ramainya manusia yang hidup dan bekerja di sana.
Jongkong-jongkong besi
dan produk-produk akhir lain kemudiannya diangkut dari Mleiha ke Tell Abraq dan
Ad-Dur. Dai sana, ia seterusnya dinaikkan ke dalam kapal lalu mengharungi Teluk
Parsi sebelum sampai ke tangan para
pelanggan di Mesopotamia dan Levant.
![]() |
Runtuhan di Tell Abraq |
Tell Abraq dan Ad-dur
masing-masing mempunyai ciri tarikan sejarah yang tersendiri. Tell Abraq
misalnya, dihuni selama dua ribu tahun dan merupakan tapak arkeologi yang aktif
dikaji. Ad-Dur yang terletak berhampiran, tepatnya di pantai seberang Umm
al-Quwain moden pula mempunyai keluasan sebesar 4 batu. Penyelidikan di sana
lebih mudah, dengan bongkah-bongkah batu pada binaan rumah-rumah purbanya masih
terpelihara dan tidak berusik.
![]() |
Runtuhan kuil di ad-Dur |
JULFAR : HUB
PERDAGANGAN ZAMAN PERTENGAHAN
Harimau ma-ti
meninggalkan tangisan, manusia ma-ti
meninggalkan nama. Kota lama takkan luput dek ingatan, kalau namanya diabadikan
dalam tinta. Salah sebuah kota purba yang paling masyhur di Tanah Arab ialah
Julfar. Walaupun jejak tinggalannya tidak pernah dijumpai kecuali pada tempoh
terkini, sejarahwan meyakini kewujudannya dengan berlandaskan catatan-catatan
yang dititipkan dari Zaman Pertengahan.
Julfar tersohor sebagai
kampung halaman Ahmed ibn Majid si pelaut legenda dan juga Sindbad, watak
fiksyen dari Alfun Laila wa Laila (Hikayat Seribu Satu Malam). Sebelum
lenyap ditelan padang pasir, Julfar dipercayai berdiri selama seribu tahun
sebagai sebuah kota pelabuhan yang mapan. Tidak keterlaluan, ada yang
menamakannya sebagai hub perdagangan di rantau selatan Teluk Arab pada Zaman
Pertengahan.
![]() |
Suasana penggalian arkeologi di Julfar, April 2010 |
Menurut catatan
sejarah, Julfar terletak di pantai utara Dubai. Lokasi sebenarnya berjaya
ditemui pada 1960an, dengan petempatan-petempatan terawalnya didapati berusia
dari kurun ke-6 Masehi. Sekitar waktu itu, para penghuninya sudah pun
menjalankan aktiviti perdagangan jarak jauh, hingga ke India dan Timur Jauh.
Kurun ke-10 hingga ke-14
Masehi menandakan titik zenith buat Julfar, dengan pedagang-pedagangnya secara
rutin melakukan perlayaran selama 18 bulan ke belahan timur dan barat dunia.
Jauh sebelum pelayar Eropah mengenali Lautan Hindi dan Teluk Parsi,
pedagang-pedagang Arab dari Julfar sudah pun berinteraksi dengan mereka, sambil
membawa segala macam barang dagangan yang diimpikan manusia. Hampir seribu
tahun lamanya, Julfar berdiri megah sebagai kota pelabuhan paling besar dan
paling penting di rantau selatan Teluk Parsi.
![]() |
Ahmed ibn Majid (kiri) dan Sindbad (kanan), dua tokoh yang terkait dengan Julfar |
Seiring dengan
kedudukannya sebagai sebuah pusat komersial, kota Julfar sering menjadi sasaran
beberapa buah negara seteru. Pada kurun ke-16 Masehi, Julfar yang ketika itu
dihuni oleh kira-kira 70,000 penduduk ditak-luki oleh Portugis. Sekurun
kemudian, Parsi pula yang menguasainya sebelum ia jatuh ke tangan suku Qawasim
dari Sharjah pada tahun 1750. Suku Qawasim kemudian menubuhkan sebuah entiti
politik yang tersendiri di Ras al-Khaimah dan kekuasaannya masih bertahan
sehingga ke hari ini. Apa yang luput hanyalah ingatan terhadap kota Julfar yang
kian lama kian surut ditenggelami pepasir Dubai.
Padang pasir yang
menyelimuti bumi Emiriyah Arab Bersatu umumnya masih menyimpan banyak khazanah
arkeologi. Saban tahun, penemuan-penemuan signifikan berjaya dilakukan. Setiap
satunya umpama serpihan kaca yang dahulunya bersepai dari sebentuk cermin utuh.
Cermin yang bernama ‘sejarah silam Dubai’, yang perlahan-lahan cuba dicantumkan
kembali.
TERJEMAHAN
David Millar. (25 Ogos 2015). The Lost Desert Cities of Dubai: The Hidden
History. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/lost-desert-cities-dubai-hidden-history-003668
RUJUKAN
Al-Abdessalaam. Thabit
Zahran et al. The Emirates: A Natural History. Trident Publishing, London.
2006.
Heard-Bey, Francis.
From Trucial States to United Arab Emirates. Motivate Publishing. 2004.
Kay, Shirley. A Potrait
of Ras al-Khaimah. Motivate Publishing. 2004.
Millar, David. Beyond
Dubai: Seeking Lost Cities in the Emirates. Melting Tundra Publishing. 2014.
Petraglia, M.D. and
Rose, J.I. The Evolution of Human Populations in Arabia: Paleoenvironments,
Prehistory and Genetics. Springer. 2009.
Potts, Daniel. Ancient
Magan – The Secrets of Tel Abraq. Trident Press. 1999.
- Get link
- X
- Other Apps