- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Penterjemah:
Amir Zayyanid
“Rom tidak dibina dalam
masa sehari” dan peradaban manusia tidak membangun semudah memetik jari.
Perkembangan teknologi dan kemapanan industri, kedua-duanya umpama mata rantai
yang terus menggerakkan roda ketamadunan.
Milenium demi milenium
yang diharungi oleh nenek-moyang kita di Zaman Batu tidaklah berlalu tanpa
berlakunya pencapaian yang signifikan. Selembar demi selembar, kemahiran mereka
dalam pelbagai lapangan hidup dipertingkat ke aras yang lebih baik sehinggalah
pada akhirnya ia membuahkan hasil dalam bentuk peralihan ke Zaman Gangsa.
BERMULA DARI ZAMAN
TEMBAGA
Untuk lebih memahami
sejarah kemunculan Zaman Gangsa yang berlaku secara berperingkat ini, molek
seandainya kita menjengah ke zaman yang mendahuluinya – iaitu zaman Chalcolithic
atau turut dikenali sebagai Zaman Tembaga. Zaman ini dianggap sebagai fasa
terakhir bagi Zaman Batu, di mana ia bermula sekitar milenium ke-5 Sebelum
Masehi (bergantung tempat) dan berpanjangan selama kurang lebih seribu tahun.
Zaman Tembaga berakhir
seiring perkembangan ilmu logam yang memperkenalkan manusia dengan gangsa –
logam yang terhasil daripada campuran timah dan tembaga yang dileburkan. Bukti
arkeologi yang menuding kepada aktiviti peleburan tembaga terawal boleh
dijejaki di Belovode, sebuah tapak berusia 7,000 tahun yang bertempat di
Gunung Rudnik, Serbia moden.
Perkembangan dalam ilmu
logam ini tidak mungkin berlaku tanpa peralihan daripada penggunaan alatan batu
kepada alatan tembaga yang berlaku lebih awal. Kehadiran alatan tembaga –
terutama mata kapak – juga melonjakkan lagi kreativiti dalam pembuatan alatan
batu, khususnya bagi tamadun-tamadun yang tidak memiliki akses atau kepakaran
melebur tembaga.
Namun, masa tidak
pernah berhenti berganjak dan ia terus-menerus menggesa manusia yang punya
upaya untuk terus mengorak langkah maju ke hadapan. Untuk menghasilkan gangsa,
campuran dua bahan utama diperlukan – iaitu tembaga dan timah.Setakat yang
diketahui, aloi timah terawal bagi menghasilkan gangsa dijumpai di Serbia,
berusia sekitar milenium ke-5 SM dan mempunyai kaitan dengan tamadun Vinča.
Antara aktiviti peleburan tembaga terawal boleh dijumpai di tapak arkeologi, Belovode, Serbia
Cuma, waktu kemunculan
teknologi gangsa tidaklah sama bagi setiap tamadun. Ada yang awal dan ada juga
yang lewat. Apa yang pasti, ia membawa banyak pembaharuan sepanjang tempoh 2,000
tahun penggunaannya. Ia bukan sekadar mengubah gaya hidup, malahan turut
memberi impak yang ketara dalam berbagai lapangan industri – misalnya
perlombongan, pembuatan, dan perdagangan. Aktiviti import-eksport juga antara
yang tidak ketinggalan.
KESAN TERHADAP AKTIVITI
PERDAGANGAN
Kemunculan Zaman Gangsa
membawa kesan langsung terhadap jaringan komunikasi dan perdagangan rentas
tamadun – baik antara Denmark dan Alps Timur, juga antara Sumer, Zagros,
Kaukasus, Mesir, dan Sinai.
Sumber bijih tembaga
dan timah pula rata-ratanya berjauhan antara satu sama lain, justeru ia perlu
dilombong dan diangkut ke pusat serantau secara berasingan. Hanya sesudah itu,
barulah kerja-kerja peleburan boleh dilakukan.
Penghasilan alatan gangsa merancakkan pelbagai lapangan industri, termasuklah perdagangan rentas tamadun
Lingkungan arkeologi
mendapati kebanyakan kilang di Eropah Tengah dan Scandinavia memperoleh sumber
tembaga dari Alps Timur dan Slovakia, sementara timah pula diangkut dari
Bohemia dan England.
Bagi masyarakat pada
waktu itu, suasana import-eksport sebegini bukanlah suatu kebiasaan. Dahulu,
mereka boleh mendapatkan bahan-bahan yang diperlukan untuk mencipta peralatan
batu secara mandiri tanpa perlu bergantung pada aktiviti perdagangan rentas
tamadun.
ZAMAN GANGSA DI SERATA
DUNIA
Antara rantau terawal
yang memperkenalkan alatan gangsa ialah Mesir Purba. Ia berlaku sekitar tahun
3,150 SM (Zaman Proto-Dinasti) dan berpanjangan sehingga 2,686 SM. Tempoh
tersebut turut menyaksikan berbagai-bagai hasil seni agung dihasilkan di Mesir
Purba, seiring dengan pembentukan identiti budaya mereka khususnya dalam aspek
keagamaan dan seni bina.
Di Asia Timur pula
(khususnya China), Zaman Gangsa muncul seawal 3,000 SM. Kebiasaannya, gangsa
digunakan oleh masyarakat China bagi menghasilkan sen-jata dan barang keagamaan.
Eropah juga menerima kehadiran gangsa secara berperingkat.
Di Kepulauan British
dan Ireland misalnya, penggunaan alatan gangsa bermula sekitar 2,100 SM dan
berpanjangan sehingga 750 SM. Kelangsungan Zaman Gangsa di Britain dapat
disaksikan dengan cukup jelas menerusi penemuan Isleham Hoard, melibatkan lebih
6,500 barangan gangsa yang tertanam di sekitar kampung Isleham, England.
Di Asia Tenggara, Zaman Gangsa muncul dengan berkembangnya kebudayaan Dongson
Tamadun-tamadun Norse
juga tidak ketinggalan daripada menerima gelombang peralihan ke Zaman Gangsa,
walau ia berlaku sedikit lewat – yakni sekitar 1,700 SM dan berlanjutan
sehingga munculnya Zaman Besi di Scandinavia (c. 500 SM).
Kelewatan ini berlaku
kerana masyarakat Eropah Utara (Denmark, Sweden, Norway, dan Pomerania – hanya
berpeluang untuk berinteraksi dengan peralatan serta pengetahuan berkaitan
gangsa menerusi hubungan perdagangan antarabangsa. Mereka bukanlah masyarakat
yang giat menjalankan aktiviti dua hala dengan tamadun luar.
Kehidupan mereka lebih
bersifat mandiri dan kebiasaannya sesebuah komuniti Norse hanya dibentuk oleh
sebuah rumah panjang, dengan kesemua isi rumah mengamalkan kegiatan menternak
dan bertani sebagai punca rezeki.
Oleh kerana itu, kita
dapat menyaksikan betapa di Scandinavia terdapat banyak artifak gangsa yang
diimport dari Eropah Tengah. Lingkungan arkeologi sendiri pernah menjumpai
kapak-kapak gangsa yang ditempa menggunakan tembaga dari Cyprus, sekali gus
membuktikan betapa rancaknya aktiviti perdagangan jarak jauh pada waktu itu.
Gambaran masyarakat Zaman Gangsa di selatan Scandinavia
KEMAJUAN YANG MEMBAWA
KEPADA PEPE-RANGAN
Kemajuan selalunya
datang beriringan dengan pengorbanan, atau kadangkala kehan-curan – bergantung
pada kemampuan manusia untuk menemukan titik keseimbangan sesama mereka.
Dapatan arkeologi mendedahkan betapa Zaman Gangsa membawa manusia ke kancah
pepe-rangan dan persaingan dalam skala yang jauh lebih besar (dan tersusun) –
sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum itu.
Keadaan tersebut boleh
dilihat kembali menerusi hasil penyelidikan yang dijalankan ke atas Lembah
Tollense, salah sebuah medan pertem-puran terbesar dan terpenting di Zaman
Gangsa. Medan ini terletak di rantau Pomerania (atau Mecklenburg-Vorpommern,
Jerman moden) dan dipercayai sebagai sebuah laluan perdagangan yang penting di
zaman silam.
Kerja-kerja penggalian
yang dilakukan di sana berhasil menemukan lebih 140 rangka lelaki, dengan
kesemuanya mempunyai kesan luka parah. Turut dijumpai, lebih 13,000 tulang yang
berselerakan. Pakar menganggarkan bahawa pertem-puran tersebut melibatkan
kira-kira 4,000 orang – jumlah ten-tera yang cukup ramai bagi pertem-puran yang
berlaku di Zaman Gangsa.
Lembah Tollense pernah menjadi medan pertem-puran besar di Zaman Gangsa, dengan dapatan arkeologi menjumpai lebih 13,000 tulang berselerakan, termasuklah 140 rangka manusia
Dapatan arkeologi juga
membuktikan betapa kedua-dua belah pihak tidak dilengkapi dengan persenja-taan
yang sama. Artifak-artifak yang dijumpai (mata panah, misalnya) bersifat
pelbagai, dengan ada yang diperbuat daripada batu dan ada pula yang ditempa
daripada gangsa. Justeru, sejarahwan berpendapat pertem-puran ini ibarat
mentimun dengan durian.
Dalam erti kata lain,
Pertem-puran Lembah Tollense bukanlah sekadar kon-flik berskala besar di Zaman
Gangsa. Akan tetapi, ia juga memberikan gambaran sebenar tentang jurang kekuatan
antara tamadun yang memiliki akses terhadap peralatan gangsa dan tamadun yang
masih ketinggalan.
VINČA – TAMADUN GANGSA
YANG MUNCUL SECARA MANDIRI DI EROPAH
Nama-nama seperti
Mesopotamia, Indus, Mesir Purba, dan China mungkin cukup sinonim dengan topik
berkaitan tamadun awal manusia. Di Eropah, antara tamadun terawal yang muncul
ialah tamadun Vinča. Tamadun ini umumnya berkembang di Eropah Tenggara (Serbia,
Bulgaria, Kosovo, Macedonia, dan Romania moden) sekitar 5700-4500 SM.
Dekad kebelakangan, lingkungan
arkeologi berhasil membuat penemuan signifikan di Pločnik, Serbia. Sebanyak 14
artifak gangsa yang berusia seawal 4,000 SM dijumpai, bersama beberapa kepingan
gangsa lain yang didapati jauh lebih tua, iaitu 4,650 SM. Penemuan ini
membuktikan betapa penggunaan alatan gangsa di Eropah berlaku 1,500 tahun lebih
awal dari jangkaan awal dan bersifat mandiri tanpa pengaruh dari
tamadun-tamadun di Timur Dekat.
Patung yang dihasilkan oleh Tamadun Vinča
Zaman Gangsa kemudian
disusuli oleh Zaman Besi (c. 1200-600 SM) yang turut membawa pelbagai perubahan
kepada tamadun di serata dunia. Peralihan dari satu zaman ke satu zaman ini
mengajarkan kita banyak perkara, antaranya bagaimana nenek-moyang kita meneroka
dunia di sekeliling mereka dan memanfaatkannya untuk perkembangan manusia.
TERJEMAHAN
Aleksa Vučković. (15 Januari 2021). The Bronze Age – A Spark that Changed
the World. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/bronze-age-0013179
- Get link
- X
- Other Apps