- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mark Cartwright. (3 Oktober 2016). Silla. Ancient History Encyclopedia.
Mark Cartwright. (3 Oktober 2016). Silla. Ancient History Encyclopedia.
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Silla merupakan sebuah kerajaan yang memerintah wilayah tenggara Korea pada zaman Tiga Kerajaan yang berlangsung dari abad pertama SM sehingga abad ke-7 Masihi. Kerajaan Silla terlibat dalam perseteruan panjang dengan kerajaan-kerajaan jiran seperti Baekje (Paekche) dan Goguryeo (Koguryo) serta konfederasi Gaya (Kaya).
Ibu kota kerajaan ini
terletak di Kumsong (Gyeongju) dan kerajaan Silla memiliki pentadbiran berpusat
serta sistem sosial yang berhierarki. Kemewahan Kerajaan Silla dapat dilihat
menerusi mahkota emasnya yang sangat menakjubkan. Mahkota tersebut merupakan
salah satu khazanah yang paling berharga di Asia Timur purba.
Jalinan persekutuan
dengan Dinasti Tang-China kemudiannya membolehkan Silla menakluk seluruh
semenanjung Korea pada tahun 668M. Silla kemudian memerintah selama tiga kurun
sebagai Kerajaan Silla Bersatu.
MENINJAU SEJARAH SILLA
Tarikh penubuhan
Kerajaan Silla adalah pada tahun 57SM, jika menurut sebuah catatan abad ke-12M berjudul
Samguk Sagi (Catatan Sejarah Tiga
Kerajaan). Namun, pentarikhan ini dianggap kurang tepat dan sejarahwan moden
lebih cenderung untuk memakai tarikh yang lebih tua bagi merujuk pada Kerajaan
Silla Lama (Ko-Sila, panggilan yang bertujuan untuk membezakannya dengan zaman
penyatuannya kelak).
Kerajaan ini pertama
kali ditubuhkan semasa puak Chinhan di wilayah tenggara Korea menubuhkan sebuah
konfederasi (pergabungan antara wilayah). Pengasas kerajaan ini ialah
Hyeokgeose (atau Pak Hyokkose, 57SM – 4M). Beliau dipercayai dilahirkan
daripada sebiji telur magis berwarna merah menyala. Hyeokgeose kemudian
menubuhkan ibu kota di Saro yang kemudian dikenali sebagai Kumsong (kini
Gyeongju/Kyongju).
Pemimpin-pemimpin awal
kerajaan ini memakai gelaran chahaung
yang bermaksud dukun atau sami. Hal ini mengisyaratkan bahawa mereka dipilih
sebagai ketua atas faktor peranan mereka sebagai dukun dalam kalangan
masyarakat.
Puak-puak yang
mendominasi zaman awal kerajaan ini ialah Pak, Sok dan Kim. Kemudian, Nulchi
(417 – 458M) menubuhkan sistem pewarisan monarki bagi menggantikan sistem
giliran kuasa antara puak yang diamalkan sebelum ini. Semasa pemerintahan Raja
Soji (458 – 500M), pos-pos kawalan ditubuhkan untuk menambah-baik lagi jaringan
komunikasi antara sebuah kota benteng dengan sebuah kota benteng yang lain.
Nama ibu kota kerajaan
ini, iaitu Saro diambil sebagai nama pertama bagi kerajaan tersebut yang turut
dikenali sebagai Sorabol yang
bermaksud Tanah Timur. Nama Saro kemudian
diubah menjadi Silla semasa pemerintahan Raja Beopheung (Pophung, 514 – 540M)
di mana pada waktu itu pemusatan kuasa telah mencapai tahap yang lebih tinggi.
Berkurun lamanya Kerajaan
Silla terlibat dalam konflik peperangan dengan kerajaan-kerajaan jiran seperti
Goguryeo, Baekje dan konfederasi Gaya. Kesemua kerajaan ini saling berebutkan
hegemoni ke atas Semenanjung Korea. Mereka juga saling bertukar persekutuan
antara satu sama lain dalam usaha mencapai matlamat tersebut.
Kerajaan Silla memiliki
pertahanan semula jadi berupa gunung-ganang. Pada tahun 400M, Kerajaan Silla
membentuk persekutuan dengan Goguryeo dalam usaha menentang kekuatan pakatan
Jepun-Baekje. Namun apabila Goguryeo semakin menunjukkan belang mahu menguasai
Semenanjung Korea, Baekje dan Silla saling menjalinkan persekutuan dalam tempoh
masa yang panjang, iaitu dari tahun 433 hingga 553M.
Kerajaan Silla meniti
masa-masa puncak semasa pemerintahan Chijung (500-514M). Pada waktu itu, hasil-mahsul
pertanian mencapai jumlah yang lebih banyak berkat penggunaan kerbau sebagai
haiwan pembajak serta sistem pengairan yang lebih efektif.
Kerajaan tersebut juga
diperkayakan dengan sumber-sumber asli seperti besi dan emas. Antara barangan
yang dihasilkan oleh Silla termasuklah sutera, barangan kulit, perabot berukir,
seramik dan peralatan besi. Kesemua penghasilan ini diselia oleh jabatan
pentadbiran yang sangat berdedikasi.
Hubungan antara Silla
dengan Baekje menjadi renggang apabila Silla menakluk sebahagian lembah Sungai
Han. Pada tahun 554, Silla menewaskan pasukan tentera Baekje dan membunuh raja
mereka, Song dalam sebuah pertempuran yang berlangsung di Kwansan-song (kini
Okchon). Langkah ketenteraan tersebut membenarkan Silla meraih akses ke pesisiran
barat dan Laut Kuning. Hal ini sekaligus membuka peluang yang lebih luas untuk
menjalinkan hubungan dengan Cina.
Peta Korea pada zaman Tiga Kerajaan |
Silla meraih kejayaan
yang lebih banyak di selatan menerusi serangan yang dilancarkan ke atas ibu
kota Gaya di Pon Kaya. Ibu kota tersebut tumbang pada tahun 532M. Menjelang
tahun 562M, Tae Kaya juga dikuasai dan konfederasi Gaya diserap sepenuhnya ke
dalam Kerajaan Silla. Pun begitu, Silla masih tetap memiliki dua buah musuh
yang begitu berbahaya, iaitu Goguryeo dan Baekje.
Pada tahun yang sama,
iaitu 562M, kedua-dua pihak itu saling bergabung dan berjaya menakluk
Taeya-song (kini Hapchon). Silla kemudian mendapatkan bantuan daripada luar
untuk merealisasikan impiannya yang mahu menguasai seluruh Semenanjung Korea.
Tuah seakan-akan memihak
Kerajaan Silla apabila Cina yang pada waktu itu diperintah oleh Dinasti Tang
(618-907M) turut memberikan perhatian kepada kemelut yang berlaku di antara
kerajaan-kerajaan di selatan Korea. Sudah tentu, mereka mahu memanfaatkan
situasi tersebut untuk kepentingan sendiri.
Cina memilih Silla
sebagai sekutu, namun keadaan tidak berjalan dengan lancar buat kedua belah
pihak itu. Hal ini kerana pasukan tentera gabungan Silla-Tang ditewaskan oleh
pasukan tentera Goguryeo yang dipimpin oleh panglima terkenal mereka, iaitu
Yang Manchun pada tahun 644M.
Pada dekad-dekad
berikutnya, pasukan tentera Tang masih terus mengalami kekalahan sebanyak tiga
kali. Dalam tempoh beberapa tahun kemudian, seluruh peta di semenanjung itu
mengalami perubahan yang drastik hasil daripada kerancakan aktiviti
ketenteraan.
Tang dan Silla
bergabung dalam membentuk pasukan tentera dan armada perang dengan tujuan untuk
melancarkan sebuah serangan berskala besar. Silla menghantar sebuah bala
tentera seramai 50 000 orang yang dipimpin oleh panglima Kim Yushin sementara Maharaja
Tang Gaozong pula membentuk sebuah armada perang gergasi yang terdiri daripada
130 000 orang tentera. Armada ini berlayar sehingga ke Sungai Paek (kini Kum).
Gabungan bala tentera
gergasi itu menghimpit Baekje dari dua hala. Ibu kota Sabi dihancurkan dan
kerajaan itu disapu habis pada tahun 660M. Silla kemudiannya dengan mudah
menundukkan pemberontakan yang meletus pada tahun 663M. Makanya, tumbanglah
sebuah kerajaan dan berbaki lagi sebuah kerajaan untuk ditundukkan oleh Silla.
Sekali lagi, Tang
memainkan peranan dalam perebutan hegemoni di Korea. Ibu kota Goguryeo, iaitu
Pyongyang diserang oleh pasukan tentera Cina itu pada tahun 661 dan 667M.
Setelah menghadapi pengepungan selama setahun lamanya, kota itu itu pun tumbang.
Menjelang tahun 668M, Kerajaan Goguryeo dimasukkan sebagai wilayah naungan Cina,
sama seperti Baekje.
Walau bagaimanapun,
Silla tidak berhasrat untuk membenarkan Cina terus meraih kelebihan sebegitu.
Ketika Tang sedang disibukkan dengan pemberontakan yang berlaku di Tibet, Silla
menghantar sebuah pasukan tentera untuk memerangi kekuatan Cina yang masih
berada di Korea. Pertempuran yang berlangsung di Maesosong (675M) dan Kibolpo
(676M) menyaksikan Silla meraih kemenangan sekaligus menjadi satu-satunya kerajaan
yang berkuasa di Korea.
KELAS PENTADBIRAN DAN
SOSIAL
Sama seperti hierarki
dalam kerajaan-kerajaan lain pada zaman itu, kekuasaan kerabat diraja disusuli
oleh kekuasaan pentadbiran pusat yang berfungsi mengawal kerajaan menerusi
pegawai-pegawai yang dilantik. Mereka berperanan memantau enam buah wilayah (pu).
Jika dibandingkan
dengan raja dari kerajaan-kerajaan lain, raja-raja Silla mungkin memiliki kuasa
yang agak kurang memandangkan mereka berkongsi kuasa pentadbiran dengan sidang
aristokrat kecil iaitu hwabaek.
Golongan aristokrat ini turut berpengaruh dalam membuat keputusan-keputusan
besar seperti pengisytiharan perang.
Lakonan semula istiadat perkahwinan diraja Korea |
Dalam pemerintahan
Kerajaan Silla yang didominasi oleh golongan lelaki, terdapat juga dua orang maharani
yang berkuasa– iaitu Ratu Seondeok (632 – 647M) dan Ratu Chindok (647 – 654M). Ratu
Seondeok dapat menaiki takhta kerana ayahandanya, iaitu Maharaja Chinpyong (579
– 632M) tidak memiliki pewaris lelaki.
Pemerintahan Ratu Seondeok
ini memiliki keunikan yang tersendiri memandangkan agama Buddhism semakin
tersebar secara meluas ke dalam kerajaan tersebut sekaligus diangkat sebagai
agama rasmi.
Ratu Chindok pula
mengikut jejak langkahnya dan membantu Silla untuk terus menguasai Semenanjung
Korea. Selain itu, terdapat juga pemerintah wanita yang ketiga – iaitu Ratu
Chinsong (887 – 898M) yang memerintah pada zaman Kerajaan Silla Bersatu.
Kebanyakan rakyat
kepada maharaja atau ratu ini merupakan petani yang mengusahakan tanah milik
sendiri. Namun, mereka juga dituntut untuk terlibat dalam projek-projek
kerajaan seperti pembinaan kubu benteng atau bertempur dalam barisan tentera
Silla pada masa-masa peperangan.
Kelas aristokrasi
mendominasi jawatan pentadbiran dan keagamaan sekaligus harta kekayaan mengalir
ke dalam poket mereka menerusi aktiviti perdagangan dan hasil-mahsul
perladangan yang diusahakan oleh hamba-hamba sahaya (kebanyakannya daripada
tawanan perang dan banduan).
Pemuda-pemuda dari
kelas aristokrat pula dilatih dalam sistem Hwarang,
iaitu sebuah sistem yang menerapkan ajaran Buddha namun pada masa yang sama
turut menekankan nilai kegagahan dan keperwiraan.
Pada tahun 520M, Maharaja
Beophung memperkenalkan sistem kasta yang dibahagikan mengikut keturunan,
dikenali sebagai bone rank system (Golpum atau Kolpum). Sistem ini adalah satu sistem yang mengklasifikasikan
taraf sosial seseorang berdasarkan kelahirannya.
Melalui sistem ini,
pemegang status tertentu dibenarkan untuk memohon tahap-tahap kerja tertentu
dalam jawatan pentadbiran. Malah, jumlah cukai yang perlu dibayar juga ditentukan
menerusi sistem ini.
Secara asasnya,
terdapat tiga tahap di dalam sistem kasta ini – iaitu ‘keturunan suci’ (seonggol), ‘keturunan mutlak’ (jingol) dan ‘keturunan pemimpin’ (tupum). Kasta yang terakhir itu (tupum) merupakan kasta yang paling besar
dan dibahagikan kepada 6 tahap.
Sistem kasta ini meresap
dengan begitu kuat dalam Kerajaan Silla hinggakan ia turut mempengaruhi hal-hal
yang remeh seperti jenis pakaian yang boleh dipakai oleh seseorang, saiz rumah
yang boleh dimiliki oleh seseorang dan bentuk kenderaan yang boleh dinaiki oleh
seseorang. Sistem ini begitu ketat tanpa membenarkan sebarang ruang toleransi
antara satu kasta dengan satu kasta yang lain. Hal tersebut mendorong kepada
berlakunya kebekuan sosial dalam Kerajaan Silla sekaligus menyumbang kepada
kejatuhannya.
Barangan seramik berbentuk pahlawan Silla |
HUBUNGAN DENGAN CINA
Pada abad ke-4 M,
Kerajaan Silla mengekalkan hubungan diplomatik dengan Cina dan membayar ufti kepada
kuasa besar tersebut. Bermula dari abad ke-6M, pemerintah-pemerintah Silla mula
memakai gelaran daripada Cina iaitu wang (raja)
bagi menggantikan gelaran maripkan
(bermaksud ‘yang ditinggikan’) yang digunakan oleh raja-raja Silla terdahulu.
Antara pengaruh lain
yang digunapakai ialah sistem tulisan Cina, ajaran Confucianisme pada zaman
Han, dan ajaran Buddhisme yang kemudiannya menjadi agama rasmi kerajaan itu
pada tahun 535M walaupun pada masa itu amalan perdukunan tradisional masih lagi
berterusan. Semasa ajaran Taoisme menjadi masyhur pada zaman Tang, ia turut
tersebar luas dalam Kerajaan Silla.
Dua buah kerajaan itu
menjalinkan hubungan perdagangan yang berpanjangan di mana Cina mengeksport
barangan seperti sutera, teh, buku dan barangan perak sementara Silla pula
mengeluarkan emas, kuda, ginseng, kulit binatang, barang-barangan berukir
seperti meja, dan hamba sahaya.
Pemerintahan Ratu
Sondok dan Maharaja Taejong Muyol pada pertengahan abad ke-7M memperlihatkan
hubungan yang lebih rapat dengan Tang-Cina. Hal ini kerana budaya diraja Tang
turut diamalkan di Kumsong. Penuntut-penuntut ilmu daripada Silla turut
dihantar ke Cina untuk melanjutkan pelajaran.
Hal yang lebih penting
dari itu semua sudah tentulah bantuan ketenteraan yang dihantar oleh Tang untuk
membantu Silla dalam menundukkan kerajaan-kerajaan seterunya di Semenanjung
Korea.
KESENIAN SILLA
Tidak diragukan lagi
bahawa hasil kerja para karyawan Silla yang paling diraikan adalah mahkota emas
yang bersalut gangsa – khazanah yang ditemukan dari beberapa buah makam diraja.
Mahkota-mahkota ini menjadi bukti kukuh yang melayakkan ibu kota Kerajaan Silla
itu dinamakan sebagai Kumsong yang bermaksud ‘kota emas’.
Dengan diperbuat
daripada emas dan dihiasi dengan manik-manik dan anting-anting jed (magatama) yang berbentuk bulan sabit, mahkota itu turut dipercayai memiliki
kaitan dengan simbol-simbol perdukunan.
Walau bagaimanapun,
barang kesenian tersebut tidak hanya terhad pada mahkota – tetapi juga barang
kemas, tali pinggang, kasut dan cawan. Barangan ini semua diperbuat daripada
lapisan emas nipis, diukir dengan teliti dan dihiasi dengan sulam-sulaman emas
serta cebisan-cebisan kecil jed.
Selain itu, antara
hasil seni yang didapati termasuklah patung-patung batu yang bersalut gangsa,
terutama sekali patung-patung Buddha, bodhisattva dan Maitreya. Patung Maitreya
yang bersalut gangsa yang berusia 600M merupakan salah satu patung zaman Korea
purba yang paling menakjubkan. Patung tersebut menggambarkan sebuah figura yang
sedang bertafakur. Patung itu kini dipamerkan di Musium Negara Korea, Seoul.
Anting-anting emas dari zaman Silla, Khazanah Negara 52 |
Tembikar-tembikar dari Silla
pada zaman Tiga Kerajaan kebanyakannya merupakan perkakas berwarna kelabu yang
memiliki perhiasan yang indah. Terdapat dua bentuk tembikar yang paling awal,
iaitu kendi berleher panjang (changgyong
ho) dan cawan bermulut bulat dan memiliki penutup serta mempunyai kaki yang
lebar, dikenali sebagai kobae. Kobae ini bukanlah digunakan untuk
mengisi minuman, sebaliknya adalah untuk menyediakan makanan.
Antara bentuk-bentuk
tembikar yang lain termasuklah cawan bertanduk, cawan yang dilekatkan dengan
roda, cawan yang memiliki satu pemegang, lampu, dan cawan berloceng yang
memiliki tanah liat kecil di dalam bahagian bawah yang kosong agar ianya bergemeretak
jika diangkat.
Kaki tembikar (kurut pachim) yang kebiasaannya
berfungsi sebagai penyokong atau penopang mangkuk-mangkuk yang besar turut
dihasilkan dengan memiliki hiasan tersendiri. Mungkin, barangan tembikar yang
paling menakjubkan dari Kerajaan Silla adalah bekas air yang berbentuk pahlawan
berkuda yang lengkap berbaju besi.
Patung Maitreya yang bersalut gangsa dari Kerajaan Silla |
SENI BINA SILLA
Makam-makam Silla pada
zaman Tiga Kerajaan kebiasaannya terdiri daripada kayu yang diletakkan di dalam
sebuah lubang. Lubang tersebut kemudian ditutup dengan timbunan batu besar dan
longgokan tanah. Untuk membuatkan makam tersebut kalis air, lapisan-lapisan
tanah liat disapukan pada celah-celah batu tersebut.
Kebanyakan makam
digunakan beberapa kali, kadangkala sehingga 10 orang individu dikebumikan di
dalam makam yang sama. Jika dibandingkan dengan dua buah kerajaan yang lain,
banyak makam dari Kerajaan Silla terselamat sehingga ke hari ini sekaligus kerajaan
itu mewariskan sejumlah khazanah kepada kita – daripada mahkota emas hinggalah
perhiasan jed.
Makam Hwangnam Taechong merupakan antara yang
paling besar – menempatkan jasad seorang maharaja dan seorang maharani. Makam
tersebut dianggarkan bertarikh seawal abad ke-5 hingga abad ke-7M dan berukuran
80 x 120 m sambil anak bukitnya pula setinggi 22 dan 23 m.
Salah satu binaan
penting yang masih terselamat di Gyeongju ialah pencerap bintang Cheomseongdae,
sebuah relik pertengahan abad ke-7 Masihi yang berketinggian 9 meter. Ia
merupakan balai pencerap paling tua di Asia Timur yang masih terselamat
sehingga ke hari ini.
SUMBER
- Jackson, B. Korean Architecture. Seoul Selection USA, Inc. 2013.
- Jinwung Kim. A History of Korea “Land of the Morning Calm” to States in Conflict. Indianna University Press. 2012.
- Ki-baik Lee. A New History of Korea. Harvard University Asia Center. 1984.
- Kim, C. The Arts of Korea. Thames & Hudson. 1966.
- Kyung Hwang. A History of Korea. Palgrave Macmillan. 2010.
- Portal, J. Korea: Art & Archaeology. Thames & Hudson. 2000.
- Pratt, K. Korea: A Cultural & Historical Dictionary. Routledge. 1999.
- Get link
- X
- Other Apps