SEJARAH 600 TAHUN EMPAYAR UTHMANIYAH

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (16 Februari 2020). The Ottoman Empire: 600 Years of Domination. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/ottoman-empire-0013297

Penterjemah: Amir Zayyanid


Empayar Uthmaniyah merupakan salah sebuah empayar paling besar dan bertahan paling lama dalam sejarah. Empayar ini ditubuhkan sekitar hujung kurun ke-13 atau awal kurun ke-14 Masehi dan bertahan sehingga enam kurun lamanya. Empayar ini ditubuhkan oleh puak-puak Turki yang berpangkalan di Anatolia (kini sebahagian Turki) dan wilayah kekuasaannya berkembang seiring peredaran masa.

Pada zaman kemuncaknya, wilayah Empayar Uthmaniyah merangkumi kebanyakan Eropah tenggara, sebahagian Timur Tengah, Afrika Utara hingga ke Algeria, dan sebahagian Semenanjung Arab. Namun menjelang pertengahan kurun ke-19, Empayar Uthmaniyah mengalami keruduman yang ketara hinggakan ia dipanggil sebagai ‘lelaki sakit Eropah’.

Empayar Uthmaniyah tumbang tidak lama selepas tamatnya Perang Dunia Pertama. Monarki yang sudah berdiri berkurun-kurun lamanya ini dihapuskan dan Turki diisytiharkan sebagai sebuah republik. Walaupun Kekhalifahan Uthmaniyah dibenarkan wujud sebagai sebuah institusi, ia juga kemudiannya dihapuskan.

Mehmed II memasuki Konstantinopel


PENUBUHAN DAN PENAKLUKAN-PENAKLUKAN AWAL EMPAYAR UTHMANIYAH

Empayar Uthmaniyah meraih namanya daripada Osman I (juga dikenali sebagai Osman Gazi) yang dikreditkan sebagai pengasas empayar. Walaupun Osman adalah figura penting dalam Empayar Uthmaniyah, tidak banyak yang kita ketahui tentang kisah hidupnya. Beliau diyakini lahir sekitar pertengahan kurun ke-13 Masehi dan berasal dari puak Kayi dalam kaum Oghuz Turk.

Bapanya, Ertugrul, telah menubuhkan sebuah kerajaan kecil di Sogut (barat laut Turki moden) dan berkonflik dengan Byzantine di barat. Osman dikatakan mewarisi takhta bapanya pada usia 23 tahun dan melanjutkan polisi peperangan dengan Byzantine. Menurut legenda, Osman pernah didatangi suatu mimpi ketika bermalam di rumah seorang syeikh yang bernama Edebali.

Dalam mimpinya itu, Osman melihat syeikh itu dan bulan yang muncul pada dada syeikh itu menaik lalu turun ke dadanya sendiri. Kemudian, sebatang pokok muncul dari pusatnya dan tumbuh dengan begitu besar hinggakan teduhan dahan-dahannya melitupi seluruh dunia. Osman menceritakan mimpi itu kepada syeikh, yang menafsirkannya dengan mengatakan bahawa beliau dan keturunannya ditakdirkan untuk memerintah dunia.

Sekitar tahun 1300, Osman mengisytiharkan diri sebagai pemimpin terkemuka di Asia Kecil dengan menubuhkan Empayar Uthmaniyah. Walaupun tradisi Uthmaniyah mendakwa bahawa Osman mangkat pada tahun 1326 selepas menakluk Bursa, sumber-sumber lain berpandangan bahawa tarikh kemangkatannya adalah 1324 iaitu semasa puteranya, Orhan menaiki takhta.

Peta menunjukkan kawasan kekuasaan Empayar Uthmaniyah pada zaman pemerintahan Osman I


Fasa pertama kekuasaan Empayar Uthmaniyah berpanjangan sehingga tahun 1402. Pada dekad-dekad sesudah kemangkatan Orhan, Empayar Uthmaniyah mengalami perkembangan yang meluas hingga memasuki wilayah Byzantine. Adrianople, kota nombor dua Empayar Byzantine ditakluk oleh Uthmaniyah pada tahun 1361. Nama kota ini diubah kepada Edirne dan menjadi ibu kota baru Empayar Uthmaniyah.

Uthmaniyah melebarkan kuasanya hingga ke wilayah Balkan, yang memuncak menerusi Pertempuran Kosovo yang meletus pada tahun 1389. Walaupun kedua-dua pihak tidak meraih kemenangan taktikal (kerana masing-masing mengalami kerugian besar), Uthmaniyah boleh mendabik dada dan mendakwa bahawa mereka telah meraih kemenangan strategik lantaran pasukan tentera mereka yang terkorban boleh digantikan dengan jumlah yang lebih ramai sedangkan pihak Serbia pula bukan hanya kehilangan tentera, tetapi majoriti golongan elit mereka turut terkorban. Apapun, penaklukan Eropah tenggara oleh Uthmaniyah hanya selesai sepenuhnya pada tahun 1459.


EMPAYAR UTHMANIYAH MENUMPU PADA PERMASALAHAN DALAMAN

Uthmaniyah tidak berpeluang melanjutkan serangan ke atas Eropah selepas tamat Pertempuran Kosovo memandangkan perlu menumpukan perhatian kepada masalah-masalah dalaman. Di Anatolia, Uthmaniyah berupaya melebarkan kuasa dengan aman yakni menerusi jalan perkahwinan politik mahupun pembelian wilayah. Kaedah perluasan kuasa secara aman ini membolehkan mereka menumpahkan tumpuan sepenuhnya pada penaklukan di Eropah. Namun, polisi ini juga mengizinkan kebangkitan kerajaan-kerajaan kecil di Anatolia yang lain yang seterusnya berpotensi memberikan ancaman kepada Uthmaniyah.

Keadaan ini berlaku terutama sekali melibatkan Kerajaan Karaman, yang menubuhkan sebuah kerajaan kecil di bahagian selatan Anatolia. Dalam Pertempuran Kosovo, sultan Uthmaniyah iaitu Sultan Murad I terkorban dan kedudukan beliau digantikan oleh puteranya, Beyazid I.

Beyazid inilah yang bertanggungjawab menangani permasalahan dengan Karaman dan kerajaan kecil itu ditundukkan pada tahun 1397. Sekitar waktu itu juga, Uthmaniyah berjaya menundukkan kerajaan-kerajaan kecil lain di Anatolia dan meraih kemenangan muktamad ke atas tentera salib dalam Pertempuran Nicopolis 1396.

Namun, pengaruh dan kekuasaan Beyazid menggamit perhatian Timur (Timurlane), pengasas empayar Tatar (Timurid) yang kekuasaannya terbentang luas di seluruh Asia Tengah, Iran, Afghanistan dan Mesopotamia. Pada tahun 1398, Timur berhasrat untuk menyerang India. Namun, rancangannya itu dihentikan lantaran beliau khuatir sempadan baratnya akan terdedah kepada serangan Uthmaniyah.

Beberapa orang pemerintah Turki yang kehilangan kerajaan kecil mereka di Anatolia sebelum ini membawa diri ke istana Timur. Malah, mereka turut memujuk pemerintah Tatar itu agar menyerang Uthmaniyah. Justeru, Timur pun termakan dengan pujukan itu dan menyerang Anatolia dengan tujuan untuk melemahkan kekuatan tentera Uthmaniyah, sebelum menyambung pula serangan ke atas India.

Pada tahun 1402, Timur menewaskan Beyazid dalam Pertempuran Ankara. Sultan Uthmaniyah itu ditangkap dan mangkat setelah setahun berada dalam tawanan. Timur tidak memasang sebarang rancangan jangka panjang di Anatolia. Maka, beliau pun mengembalikan takhta kerajaan-kerajaan kecil di Anatolia kepada raja-raja Turk dan kembali semula ke empayarnya sendiri.

Beyazid I di hadapan Timur. Setelah menewaskan Empayar Uthmaniyah dalam Pertempuran Ankara, Timur menjadi pemerintah dominan dalam dunia Islam


PENYATUAN SEMULA EMPAYAR UTHMANIYAH

Tempoh antara tahun 1402 hingga 1413 dikenali pada hari ini sebagai Interregnum. Tempoh ini memperlihatkan empat orang putera Beyazid saling bersaing antara satu sama lain demi berebutkan takhta. Kemuncaknya, Mehmed I, putera keempat Beyazid tampil juara dan menyatukan semula Empayar Uthmaniyah. Susulan daripada itu, Empayar Uthmaniyah pun menyambung kembali kempen perluasan kuasanya.

Pada tahun 1453, Konstantinopel, ibu kota Empayar Byzantine akhirnya ditakluk oleh Uthmaniyah yang berada di bawah kepimpinan Mehmed II. Detik tersebut dianggap penting dalam sejarah lantaran beberapa sebab. Ketumbangan Konstantinopel menandakan berakhirnya Empayar Byzantine yang telah wujud sejak kurun ke-4M.

Tambahan lagi, Konstantinopel dianggap oleh masyaakat Eropah sebuah sebuah kubu pertahanan yang ampuh. Namun, apabila kota itu jatuh ke tangan Uthmaniyah, mereka mampu melancarkan serangan demi serangan ke Eropah Timur dengan lebih mudah. Lebih daripada itu, setelah menakluki Konstantinopel. Sultan Mehmed mengisytiharkan dirinya sebagai ‘Kaisar Rom’ dan meyakini bahawa beliau adalah pewaris Empayar Rom dan seluruh wilayahnya.

Sememangnya, menjelang lewat kurun ke-15, Sultan Mehmed berjaya menundukkan seluruh Balkan dan Greece. Pada kurun berikutnya, wilayah-wilayah yang dahulunya pernah dikuasai oleh Empayar Rom, seperti Afrika Utara, Mesir, Levant dan Mesopotamia tunduk di bawah pemerintahan Uthmaniyah.


KEMUNCAK EMPAYAR UTHMANIYAH

Empayar Uthmaniyah mencapai kemuncak kuasanya pada kurun ke-16. Pada zaman pemerintahan Selim I, Uthmaniyah berupaya menggulingkan Kesultanan Mamluk dan menyerap seluruh wilayah kekuasaannya yang merangkumi Mesir, Syria, Palestin dan pantai timur Semenanjung Arab. Memandangkan Uthmaniyah kini mengawal Mekah dan Madinah, dua buah kota paling suci dalam Islam, maka Selim pun memakai gelaran ‘Penjaga Dua Kota Suci’.

Sumber tradisi di zaman yang lebih terkemudian mempercayai bahawa Khalifah Abbasiyah yang terakhir, iaitu al-Mutawakkil III yang menetap di Mesir memindahkan kekhalifahannya kepada Selim. Walau bagaimana pun jua kesahihan di sebalik dakwaan ini, kini, Empayar Uthmaniyah berada di tampuk kepimpinan dunia Islam dan memainkan peranan sebagai penaungnya yang terkemuka sehinggalah empayar ini terbubar.

Empayar Uthmaniyah terus mengecapi kegemilangan di bawah pemerintahan pengganti Selim, iaitu Suleiman al-Qanuni. Tidak seperti Selim yang memerintah hanya selama lapan tahun (1512-1520), pemerintahan Suleiman berpanjangan selama hampir 50 tahun (1520-1566). Sepanjang tempoh itu, Empayar Uthmaniyah terus mengalami perkembangan pesat di timur dan barat.

Suleiman al-Qanuni, pemerintah Empayar Uthmaniyah, mara bersama tentera di Nakhichevan


Di timur, Uthmaniyah memerangi dan menewaskan Empayar Safawi sekaligus melebarkan sempadan empayar mereka hingga ke Iraq moden. Di barat pula, mereka memerangi pihak Kristian, terutama sekali Kerajaan Hungary dan meraih kemenangan. Kemaraan Uthmaniyah melebar hingga sejauh gerbang Vienna. Pasukan tentera mereka sempat mengepung kota itu pada tahun 1529.

Namun, Suleiman gagal menakluk kota tersebut. Hanya di situ sahaja batas perluasan kuasa Uthmaniyah di Eropah Tengah. Suleiman tidak hanya dikenang menerusi kempen-kempen ketenteraan yang beliau lancarkan. Akan tetapi, namanya juga mekar lantaran reformasi undang-undang dan pentadbiran yang beliau lakukan.

Pembaikpulihan total sistem perundangan yang dilaksanakan oleh Suleiman berjaya meraihkannya gelaran Al-Qanuni. Selain itu, Suleiman juga memperbaharui sistem percukaian dan menginstitusikan perlindungan buat kaum Kristian dan Yahudi yang duduk dalam empayarnya. Beliau turut mengubah polisi pelantikan menteri daripada berteraskan hubungan kekeluargaan kepada pemilihan berdasarkan merit.

Walaupun berjaya mengecapi segala kejayaan ini, Suleiman gagal dalam satu aspek yang penting sebagai seorang pemerintah iaitu pemilihan pengganti yang cekap untuk meneruskan legasinya. Sultan mempunyai dua orang isteri rasmi (selain sejumlah gundik), iaitu Mahidevran Sultan dan Hurrem Sultan. Suleiman dan Mahidevran mempunyai seorang putera bernama Mustafa, yang dijadikan sebagai putera mahkota.

Mustafa disifatkan sebagai seorang yang bijaksana dan berbakat, justeru diharapkan untuk menjadi sultan yang cemerlang. Namun, Hurrem Sultan menyebarkan khabar angin kononnya Mustafa mengatur komplot mahu menggulingkan Suleiman. Tatkala khabar angin ini sampai ke pengetahuan sultan, beliau langsung sahaja memanggil puteranya itu ke khemahnya di kem tentera.

Pada tahun 1553, Suleiman menghukum mati puteranya sendiri. Lantaran itu, selepas beliau mangkat, kedudukannya diwarisi oleh salah seorang putera Hurrem Sultan, iaitu Selim.

Empayar Uthmaniyah pada era kemangkatan Sulaiman al-Qanuni


KEJATUHAN EMPAYAR UTHMANIYAH

Selepas Sultan Suleiman mangkat, Empayar Uthmaniyah mula stagnan dan seterusnya mengalami fasa keruduman yang panjang namun perlahan. Sultan-sultan yang mewarisi Suleiman langsung tidak memiliki kecekapan sepertinya. Misalnya, Selim II (juga dikenali sebagai Pemabuk) sering mengabaikan urusan pentadbiran empayar.

Sultan lain, seperti Mahmud I, yang memerintah pada kurun ke-18, meluangkan lebih banyak masa dengan mengarang puisi berbanding mentadbir empayar. Berikutan sultan demi sultan yang mewarisi takhta tidak cekap, masalah-masalah dalaman yang lain pun muncul. Masalah yang paling utama tidak lain adalah korupsi dalam birokrasi. Tambahan lagi, Uthmaniyah turut berhadapan dengan masalah ekonomi dan ketidaktentuan sosial.

Keulungan pasukan tentera Uthmaniyah juga merudum. Ketika Uthmaniyah berperang sekali lagi dengan Safawi pada tahun 1603 dan 1618, mereka berakhir dengan kekalahan sekaligus kehilangan banyak wilayahnya di timur. Menjelang lewat kurun yang sama, Uthmaniyah sekali lagi berperang dengan Eropah.

Pada tahun 1683, Vienna dikepung oleh Uthmaniyah buat kali kedua. Setelah melakukan pengepungan selama dua bulan, pertempuran terbuka pun meletus dan Uthmaniyah ditewaskan oleh Liga Suci (Holy League). Namun, kekalahan ini hanya merupakan permulaan bagi Perang Besar Turki, atau turut dikenali sebagai Perang Liga Suci. Peperangan yang tamat pada tahun 1699 itu menyaksikan kekalahan di pihak Uthmaniyah dan mereka terpaksa menandatangani Perjanjian Karlowitz yang mengakibatkan banyak wilayahnya diserahkan kepada Eropah Tengah.

Pengepungan kedua ke atas Vienna oleh Empayar Uthmaniyah


Menjelang kurun ke-19, Empayar Uthmaniyah jelas sekali memerlukan reformasi untuk terus bertahan. Justeru, satu tempoh reformasi yang dikenali sebagai Tanzimat berlaku pada 1839-1876. Reformasi-reformasi ini bertujuan untuk memodenkan empayar, justeru ia ditentang oleh kelompok masyarakat Uthmaniyah yang lebih konservatif.

Sebelum itu pada kurun ke-17, rakyat bukan-Turki mendesak dan menuntut kemerdekaan. Sebagai contoh, masyarakat Greek memberontak pada tahun 1821, Moldavia dan Walachia pula masing-masing meraih autonomi pada tahun 1861. Semangat nasionalisme pula membara di wilayah-wilayah Arab yang dikuasai oleh Uthmaniyah.

Perang Kemerdekaan Greek (1821-1829) menentang Empayar Uthmaniyah


Masalah dalaman yang dihadapi oleh Empayar Uthmaniyah diperparah lagi dengan masalah luaran. Walaupun Uthmaniyah menjalinkan persekutuan dengan kuasa-kuasa Eropah seperti Perancis dan Britain, pada hakikatnya sekutu-sekutu ini langsung tidak boleh diharap memandangkan mereka sering mengubah polisi luar negara apabila dirasakan sesuai. Pada masa-masa ini, keadaan Empayar Uthmaniyah begitu gawat hinggakan ia dipanggil sebagai ‘lelaki sakit Eropah’.

Empayar Uthmaniyah menemui pengakhirannya tidak lama selepas tamatnya Perang Dunia Pertama. Dalam peperangan tersebut, Uthmaniyah menyebelahi Kuasa Pusat bersama dengan Jerman, Austria-Hungary dan Bulgaria. Pihak Jermah pernah menyokong Uthmaniyah pada kurun ke-19, dan Uthmaniyah pula memasang harapan untuk meraih semula wilayah-wilayah mereka yang telah hilang menerusi peperangan ini.

Namun ketika Perang Dunia Pertama berakhir pada tahun 1918, dunia menyaksikan betapa Kuasa Pusat ditewaskan. Susulan daripada itu, kerugian yang ditanggung oleh Uthmaniyah jauh lebih besar berbanding apa yang dikautnya. Timur Tengah dibahagikan antara Perancis dan Britain, dengan Britain mengambil-alih Syria dan Lebanon sementara Perancis pula menguasai Palestin dan Iraq.

Pada tahun 1922, institusi kesultanan dihapuskan dan Republik Turki ditubuhkan. Sultan terakhir, Mehmed VI dibuang negeri pada tahun sama. Dua tahun kemudian, institusi Kekhalifahan Uthmaniyah pula dihapuskan. Walaupun Empayar Uthmaniyah berupaya mengekalkan kuasa selama hampir 600 tahun, empayar ini pada akhirnya gagal bergerak seiring peredaran masa sekaligus menemui pengakhirannya.

Mehmed VI, Sultan terakhir Empayar Uthmaniyah meninggalkan negara selepas penghapusan kesultanan Uthmaniyah, 17 November 1922


SUMBER