KESHOGUNAN ASHIKAGA

Pautan ke artikel asal:
Kallie Szczepanski. (29 Julai 2018). The Ashikaga Shogunate. ThoughtCo.

Penterjemah: Amir Zayyanid


Jepun diperintah oleh Keshogunan Ashikaga pada tempoh masa antara tahun 1336 hingga 1573 Masihi. Walau bagaimanapun, Keshogunan Ashikaga bukanlah sebuah kuasa pemerintahan pusat yang kuat. Pada hakikatnya, Ashikaga Bakufu menyaksikan kerancakan kuasa para daimyo di seluruh negara. Raja-raja feudal ini memerintah wilayah mereka dengan bebas, memandangkan campur tangan atau pengaruh dari shogun di Kyoto adalah sangat kurang.




BERMULANYA PEMERINTAHAN ASHIKAGA

Abad pertama pemerintahan Ashikaga dikenali dengan mekarnya kebudayaan dan kesenian Jepun, termasuklah persembahan teater serta normalisasi Zen Buddhisme. Seiring peredaran masa, Jepun di bawah Keshogunan Ashikaga dihumban ke dalam kancah huru-hara zaman Sengoku di mana daimyo-daimyo saling berperang antara satu sama lain demi berebutkan wilayah dan kuasa sepanjang perang saudara yang berlangsung seabad lamanya.

Bibit-bibit permulaan kuasa Ashikaga boleh dirintis sejak sebelum era Kamakura (1185-1334M) lagi. Semasa era Kamakura, Jepun diperintah oleh sebuah keluarga dari cabang puak Taira yang kalah kepada puak Minamoto dalam Perang Genpei (1180-1185M). Walaupun mengalami kekalahan, mereka berjaya meraih semula kuasa pada akhirnya. Ashikaga pula merupakan cabang dari puak Minamoto. Pada tahun 1336M, Ashikaga Takauji menggulingkan Keshogunan Kamakura, sekali lagi menewaskan Taira dan mengembalikan semula Minamoto ke puncak kuasa.

Ashikaga berhasil memanfaatkan keadaan lemah puak Taira yang mengalami kesan-kesan susulan akibat serangan yang dilakukan oleh Kublai Khan, maharaja Monggol yang mengasaskan Dinasti Yuan di Cina. Dua buah serangan yang dilancarkan oleh Kublai Khan ke atas Jepun, iaitu pada tahun 1274 dan 1281M tidak berhasil meraih kejayaan akibat peristiwa kamikaze. Pun begitu, mereka secara efektif berjaya melemahkan Keshogunan Kamakura. Rakyat yang tidak berpuas hati terhadap pemerintahan Kamakura turut meluaskan lagi peluang buat Ashikaga untuk menggulingkan shogun dan merampas kuasa.

Pada tahun 1336M, Ashikaga Takauji mengasaskan Keshogunan Ashikaga yang berpusat di Kyoto. Keshogunan tersebut kadangkala turut dikenali sebagai Keshogunan Muromachi kerana istana shogun terletak di daerah Muromachi, Kyoto. Sejak awal pemerintahan Ashikaga lagi mereka diselubungi dengan pelbagai kontroversi dan masalah. 

Perbalahan dan perbezaan pendapat tentang pemegang kuasa yang layak membuatkan Maharaja Go-Daigo diturunkan dan digantikan dengan Maharaja Komyo. Go-Daigo kemudian melarikan diri ke selatan dan menubuhkan kekuatannya yang tersendiri. Rentang waktu di antara tahun 1336 hingga 1392M dikenali sebagai era Istana Utara dan Istana Selatan memandangkan Jepun pada masa itu mempunyai dua orang maharaja.

Dalam soal hubungan antarabangsa pula, shogun-shogun Ashikaga sering menghantar misi diplomatik dan perdagangan ke Joseon-Korea. Daimyo yang memerintah Pulau Tsushima kerap digunakan sebagai orang tengah dalam urusan tersebut. Surat-surat daripada Ashikaga mengandungi perkataan ‘kepada raja Korea’ dan ‘dari raja Jepun’ sekaligus memperlihatkan hubungan setara yang terjalin antara kedua belah pihak itu. 

Jepun juga menjalankan hubungan perdagangan yang aktif dengan Ming-China selepas Dinasti Yuan digulingkan pada tahun 1368M. Hubungan dua hala ini tidak digemari oleh para penganut ajaran Confucius di Cina yang menganggap Jepun sepatutnya menghantar ufti kepada Cina dan bukannya ‘bertukar-tukar hadiah’ dengan maharaja Cina menerusi hubungan perdagangan itu. 

Pada hakikatnya, Ashikaga dan Joseon masing-masing sememangnya menghantar ufti kepada Ming-Cina. Dalam masa yang sama, Jepun juga menjalankan aktiviti perdagangan dengan Asia Tenggara dan menghantar barangan seperti tembaga, pedang dan bulu untuk membawa pulang rempah ratus dan kayu-kayuan.


ASHIKAGA DIGULINGKAN

Walau bagaimanapun, shogun-shogun Ashikaga pada hakikatnya lemah di tanah airnya sendiri. Puak Ashikaga tidak mempunyai wilayah yang besar sekaligus merencatkan sumber harta dan kuasa mereka yang jelas sangat jauh  berbeza berbanding shogun-shogun Kamakura mahupun Tokugawa. Pengaruh yang terus berkekalan dari era Ashikaga hanyalah kebudayaan dan kesenian Jepun.

Pada masa pemerintahan Ashikaga, masyarakat kelas samurai mengamalkan Zen Buddhisme secara meluas. Pengaruh yang datang dari Cina itu masuk ke Jepun seawal abad ke-7 Masihi lagi. Golongan samurai ini kemudian mengembangkan cara hidup yang penuh zuhud, melibatkan perenungan pada keindahan alam semula jadi, kesederhanaan dalam kehidupan serta mengambil kemanfaatan dari setiap sesuatu. Antara kesenian yang berkembang pada masa ini termasuklah upacara meminum teh, melukis, penghiasan kebun bunga, seni bina dan reka bentuk dalaman, penghasilan tembikar dan persembahan teater.

Pada tahun 1467M, Perang Onin meletus dan terus berpanjangan selama sedekad. Peperangan tersebut dengan pantas merebak ke seluruh negara dengan daimyo-daimyo saling berperang antara satu sama lain demi menamakan calon pewaris takhta Ashikaga menurut pilihan masing-masing. Jepun sekali lagi dihuru-harakan dengan kecamuk perpecahan dan peperangan. Ibu kota Kyoto turut hangus terbakar. 

Perang Onin menandakan permulaan era Sengoku, iaitu sebuah era perang saudara selama 100 tahun. Pada permukaan, Ashikaga memegang kuasa pemerintahan sehingga tahun 1573 Masihi iaitu tepat sehingga Oda Nobunaga menggulingkan shogun yang terakhir – Ashikaga Yoshiaki. Namun sebenarnya, kuasa Ashikaga telah pun berakhir sejak bermulanya Perang Onin.