- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
DHWTY. (4 Ogos 2017). Ninja Warrior Ishikawa Goemon: Charitable Hero or Violent Outlaw? Ancient Origins.
DHWTY. (4 Ogos 2017). Ninja Warrior Ishikawa Goemon: Charitable Hero or Violent Outlaw? Ancient Origins.
Penterjemah: Amir Zayyanid
Ishikawa Goemon merupakan
seorang penjenayah dan wira rakyat dalam legenda Jepun yang hidup pada abad
ke-16 Masihi. Goemon kadangkala dibandingkan dengan Robin Hood, memandangkan
beliau mencuri barangan daripada orang-orang kaya untuk diberikan kepada
golongan miskin. Goemon sering dianggap sebagai pencuri terhebat dalam sejarah
Jepun.
Seperti Robin Hood,
terdapat beberapa versi kisah berkenaan Goemon. Kisah-kisah ini kemudiannya
diadaptasi dalam persembahan-persembahan kabuki. Pada hari ini, beliau
merupakan satu figura yang sangat terkenal dalam budaya pop – muncul dalam
pelbagai media seperti permainan video, siri animasi dan filem.
GOEMON BERSUMPAH UNTUK
MENUNTUT BELA ATAS KEMATIAN BAPANYA
Diyakini bahawa
Ishikawa Goemon dilahirkan sekitar pertengahan abad ke-16 Masihi. Pada masa
itu, Jepun berada di bawah pemerintahan Keshogunan Ashikaga. Menurut beberapa
buah versi penceritaan, Goemon merupakan anak kepada seorang samurai dan
dilahirkan di kawasan Kouchi, Wilayah Osaka moden. Versi lain pula menyatakan
bahawa tempat lahir beliau adalah Wilayah Iga yang masyhur dengan ninjanya.
Goemon dikhabarkan telah kehilangan kedua orang tuanya sejak usia remaja lagi.
Menurut satu versi
penceritaan, bapa Goemon merupakan seorang samurai yang bernama Ishikawa
Akashi. Apabila Akashi dibunuh oleh orang-orang suruhan Keshogunan Ashikaga,
anaknya Goemon mengangkat sumpah untuk menuntut bela atas kematiannya. Atas
tujuan itu, Goemon berhenti dari menjadi seorang samurai dan mula menjalani kehidupan
sebagai seorang pencuri.
Pelakon bernama Bando Mitsugoro III memainkan watak Ishikawa Goemon dalam persembahan drama berjudul Sanmon Gosan no Kiri yang bertarikh Mac 1820 di Nakamura-za |
NINJA YANG HANDAL NAMUN
GANAS
Goemon dipercayai
merupakan pelajar kepada Momochi Sandayu, salah seorang pengasas Sekolah
Ninjutsu di Iga. Walaupun Goemon ini seorang ninja yang mahir, namun beliau
memiliki keperibadian yang buruk. Beliau seorang yang bersifat panas baran dan
sering mengikut kepalanya sendiri.
Tambahan lagi, beliau menjalinkan hubungan sulit dengan isteri Sandayu dan bertindak melarikan diri bersamanya dari Iga setelah mencuri sejumlah syiling emas daripada gurunya itu. Dalam beberapa versi penceritaan, wanita tersebut kelak dibunuh oleh Goemon kerana menjadi penghalang dalam salah satu cubaan melarikan diri.
PENTINGKAN DIRI ATAU
DERMAWAN?
Goemon mula menempa
namanya sebagai seorang pencuri di kota Kyoto. Beliau menubuhkan sebuah
kumpulan pencuri dan bersama-sama menjarah kota itu. Pencuri-pencuri ini
bergiat pada waktu malam dan menyamar menjadi pedagang pada waktu siang.
Sebelum mencuri, mereka terlebih dahulu mengenal pasti sasaran dengan teliti –
kebiasannya adalah kediaman daimyo yang penuh mewah.
Goemon dan
rakan-rakannya turut mengagihkan barang curian tersebut kepada orang ramai,
mungkin untuk menimbulkan faktor keraguan kepada pihak berkuasa untuk
menangkapnya. Tindakan mereka ini kemudiannya (pada zaman Edo) diubah menjadi
naratif yang lebih romantis, iaitu Goemon dan kumpulan pencurinya dikisahkan
mencuri dari golongan kaya untuk diberikan hasil curian itu kepada orang-orang
miskin. Hal ini mengubah status Goemon menjadi seorang wira sekaligus menjamin
kemasyhurannya dalam kebudayaan Jepun.
Ishikawa Goemon merampas kayu yang digunakan oleh isterinya Oritsu untuk memukulnya |
KEMATIAN GOEMON
Terdapat dua versi yang
menceritakan bagaimana pencuri hebat ini pada akhirnya ditangkap oleh pihak
berkuasa. Dalam versi yang pertama, beberapa orang pengikut Goemon diberkas dan
setelah menjalani penyeksaan selama beberapa tempoh, mereka kemudiannya
mendedahkan nama Goemon. Hal ini membawa kepada penangkapannya.
Dalam versi kedua pula,
dikisahkan bahawa Goemon melakukan cubaan memecah masuk kediaman Toyotomi
Hideyoshi, lelaki paling berkuasa di Jepun pada masa itu. Tidak dapat
dijelaskan mengapa Goemon mengambil keputusan untuk melakukan hal yang sebegitu
berisiko. Sebahagian pendapat mendakwa bahawa beliau mahu mencuri barangan
Hideyoshi sambil pendapat lain pula menyebutkan bahawa beliau berhasrat untuk
membunuhnya.
Walau apa sekalipun
keadaannya, Goemon ternyata gagal dalam cubaannya itu. Menurut sebuah legenda
masyhur, Hideyoshi memiliki sebuah pembakar setanggi ajaib yang mampu
mengeluarkan bunyi amaran andai terdapat penceroboh yang memasuki kamarnya.
Berkat keajaiban pembakar setanggi itu, para pengawal Hideyoshi berjaya
memberkas Goemon.
Hideyoshi kemudiannya
menjatuhkan hukuman mati ke atas Goemon dan seluruh keluarganya – iaitu direbus
di dalam periuk yang sedang menggelegak panas. Hukuman mereka bakal dijalankan
di gerbang Kuil Nazenji, Kyoto sambil disaksikan oleh khalayak ramai.
Goemon dimasukkan ke
dalam periuk tersebut bersama anaknya. Sambil mengharungi hukuman yang amat
menyeksakan itu, Goemon mengangkat anaknya supaya tubuh anak kecil itu tidak
mencecah minyak yang sedang menggelegak. Tidak dapat dipastikan secara jelas
sama ada anak itu terselamat ataupun tidak.
Pelaksanaan hukuman Ishikawa Goemon, yang mengangkat anaknya agar terselamat dari minyak yang sedang menggelegak |
Walaupun Goemon menemui ajalnya dengan cara yang begitu tragis, kisah hidupnya diabadikan dalam sejarah dan beliau menjadi figura yang masyhur dari semasa ke semasa. Bahkan pada hari ini, Goemon sering ditampilkan dalam pelbagai bentuk budaya pop sekaligus membuktikan kebenaran di sebalik puisi nukilannya sendiri menjelang kematiannya, “Andai pepasir di sungai dan pantai sirna dek kehabisan, benih-benih pencuri tidak akan pernah mati sama sekali.”
SUMBER
- Anonymous Writers. 2009. Ishikawa Goemon, the Ninja Thief.
- Coslett, M. 2014. Goemon Ishikawa: The Robin Hood of Japan.
- Headsman. 2011. 1594: Ishikawa Goemon, bandit.
- Ninja Encyclopedia. 2015. The Thief Ninja Ishikawa Goemon.
- Riley, E. C. 2014. 10 Amazing Legends of Ninjas From History.
- Yasuka. 2015. Ishikawa Goemon: Japan’s Legendary Outlaw.
- Get link
- X
- Other Apps