- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
DHWTY. (25 Januari 2015). The Search for Cibola, the Seven Cities of Gold. Ancient Origins.
DHWTY. (25 Januari 2015). The Search for Cibola, the Seven Cities of Gold. Ancient Origins.
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Pada abad ke-15 Masihi,
Zaman Penemuan bermula di dunia Eropah. Empayar-empayar maritim seperti
Sepanyol dan Portugal mendahului kuasa-kuasa Eropah dalam melancarkan ekspedisi
merentas lautan dunia. Penemuan-semula Dunia Baru, pengembaraan di perairan
Afrika Barat, dan penemuan laluan laut ke Timur menghasilkan kekayaan yang
besar buat dua buah kuasa maritim tersebut.
Akibat didorong oleh
rasa hauskan pengembaraan dan laparkan emas, maka sebaik sahaja mereka
mendengar legenda-legenda tempatan perihal Cibola, iaitu tujuh buah kota emas,
langsung sahaja para pengembara tersebut digamit untuk melancarkan ekspedisi
mencari khazanah tersembunyi itu.
Legenda Cibola si Tujuh
Buah Kota Emas mungkin berasal-usul dari sebuah legenda berkenaan nasib hidup
Don Rodrigo apabila beliau kehilangan kerajaannya, Sepanyol di tangan Muslim
pada abad ke-8 Masihi. Dikisahkan bahawa beliau membawa tujuh orang paderi
berserta sejumlah orang awam dan berlayar ke sebuah pulau bernama Antilia. Di
pulau tersebut, setiap seorang paderi membina sebuah kota sambil kapal-kapal
dan segala peralatan navigasi dibakar untuk menghindarkan orang awam dari
kembali semula ke Sepanyol.
Legenda tersebut
kemudiannya dihidupkan semula pada 1530an apabila empat individu yang
terselamat dari nasib malang yang menimpa ekspedisi kelolaan Narváez
berjaya kembali ke New Spain. Ekspedisi yang bermula pada tahun 1527 itu
bermatlamat untuk mengkolonikan wilayah Florida. Pada tahun berikutnya, iaitu
1528M, kru kapal mereka terdampar di pantai Texas dalam cubaan untuk berlayar
dari Mexico ke Florida. Mereka yang terselamat kemudiannya ditangkap oleh
orang-orang asli.
Setelah berada dalam
tahanan selama empat tahun, mereka berjaya melarikan diri dan empat tahun
berikutnya pula diluangkan dengan merayau tanpa hala tuju di kawasan selatan
Amerika Syarikat moden.
Semasa mereka bertemu
dengan tentera-tentera Sepanyol di Sinaloa yang terletak di Mexico moden, jumlah
yang berbaki hanya tinggal empat orang dari keseluruhan 600 orang pada asalnya.
Sepanjang berkelana selama bertahun-tahun itu, mereka bertemu dengan sejumlah
puak orang asli dan salah satu legenda yang sering didengari oleh mereka adalah
berkenaan tujuh buah kota yang dipenuhi dengan emas, dipercayai terletak di
Gurun Sonoran.
Menurut legenda, tujuh buah kota emas itu boleh ditemui di Gurun Sonoran, Arizona |
Lantas pada tahun
1539M, Perwakilan New Spain yang bernama Antonio de Mendoza bertindak
menghantar salah seorang kru yang terselamat, iaitu seorang hamba warga Afrika
Utara yang bernama Esteban de Dorantes bersama seorang paderi Franciscan yang
bernama Marcos de Niza dalam sebuah ekspedisi yang bertujuan mencari Tujuh Buah
Kota Emas itu.
Dalam ekspedisi
tersebut, Esteban dilaporkan telah dibunuh oleh puak Zunis yang mereka temui
sementara Marcos pula berjaya kembali ke Mexico City. Marcos melaporkan bahawa
beliau sempat melihat salah sebuah kota Cibola dari jauh. Namun, beliau tidak
berani memasuki kota itu kerana khuatir akan menerima nasib yang sama seperti
Esteban.
Lukisan oleh Frederic Remington yang menggambarkan kemaraan Francisco Vázquez de Coronado bersama pasukan tenteranya dalam usaha mencari Cibola |
Antonio de Mendoza yang
mempercayai laporan Marcos itu pun berhasrat untuk melancarkan sebuah ekspedisi
berskala besar pada tahun berikutnya. Kali ini, ekspedisi tersebut dipimpin
oleh seorang conquistador bernama Francisco Vázquez de Coronado. Pada bulan Februari 1540,
Coronado pun berangkat bersama 350 orang tentera Sepanyol dan kira-kira
900-1300 orang asli dari utara yang merupakan sekutu mereka dalam sebuah misi
pencarian Tujuh Buah Kota Emas.
Ekspedisi yang
berlanjutan selama dua tahun ini menemui kegagalan mutlak. Bukannya kota besar
yang bertembokkan emas yang mereka temui. Sebaliknya, Coronado dan pasukannya
hanya menemukan kampung-kampung orang asli yang bertembokkan tanah liat.
Akibatnya, ramai dari kalangan mereka termasuk Coronado sendiri jatuh bankrup
setelah pulang ke Mexico City dengan membawa tangan kosong.
Conquistador Francisco Vázquez de Coronado melancarkan sebuah misi mencari Tujuh Buah Kota Emas |
Bagi mengurangkan rasa
kecewa di atas kegagalan tersebut, mereka tidak berangkat pulang sebelum
terlebih dahulu menguasai wilayah-wilayah yang kini dikenali sebagai Arizona,
New Mexico, Texas dan Kansas bagi pihak Sepanyol sekaligus menghindarkan kuasa
Eropah lain dari mengkolonikan wilayah barat daya Amerika.
Peta yang menunjukkan perjalanan Ekspedisi Coronado yang diketuai oleh Francisco Vázquez de Coronado dari tahun 1540 hingga 1542M |
Walau bagaimanapun,
Coronado pulang menghadap pihak pentadbir dengan perasaan yang amat marah
kerana tidak menemukan khazanah seperti yang dijanjikan. Sejak itu, Coronado
tidak lagi memimpin sebarang ekspedisi dan meninggal dunia dalam keadaan penuh
rasa malu akibat kegagalannya itu.
SUMBER
- cibola.net. 2015. The Seven Cities of Gold.
- Drye, W. 2015. Seven Cities of Cibola Legend Lures Conquistadors.
- kuschk. 2012. Coronado and the Seven Cities of Cibola.
- History.com. 2014. Sep 22, 1554: Coronado dies, without finding the fabled cities of gold.
- Watertown. 2015. Encounters in the Americas, The Seven Cities of Gold.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Cibola – 7 Kota Emas Yang Hilang Di Amerika Utara’
- Get link
- X
- Other Apps