PENCIPTAAN KERETA SORONG

Pautan ke artikel asal:
Kallie Szczepanski. (1 Februari 2018). The Invention of the Wheelbarrow. ThoughtCo.

Penterjemah: Amir Zayyanid


Mengapa perlu membebankan tubuh manusia ataupun haiwan dengan memikul muatan berat jika anda boleh sahaja meletakkannya ke dalam sebuah bekas ataupun raga yang dilengkapi dengan fungsi roda serta alat pemegang untuk menolak dan menarik raga tersebut? Voila! Hampir seluruh kerja mengangkut itu dapat dilakukan oleh kereta sorong dan menjimatkan kudrat anda. Namun, siapakah orang yang pertama memiliki idea untuk mencipta kereta sorong dan di manakah kereta sorong mula dicipta?


KERETA SORONG PERTAMA DICIPTA DI CINA

Dikatakan bahawa kereta sorong yang pertama telah dicipta di negara Cina – begitu juga dengan bahan api pertama, kertas pertama, seismoskop pertama, matawang kertas pertama, kompas magnetik pertama, busur silang (crossbow) pertama dan banyak lagi ciptaan hebat yang lain. Tarikh penciptaan dan nama si pencipta kereta sorong kelihatan seperti hilang dari rekod sejarah. Namun, ilmuwan meyakini bahawa masyarakat Cina telah pun memanfaatkan penggunaan kereta sorong seawal 2000 tahun yang lalu.


KERETA SORONG DICIPTA PADA TAHUN 231M

Menurut legenda, perdana menteri Dinasti Shu-Han pada zaman Tiga Kerajaan di Cina, iaitu Zhuge Liang telah mencipta kereta sorong pada tahun 231M sebagai sebuah teknologi ketenteraan. Pada masa itu, Shu-Han sedang terlibat dalam peperangan menentang Cao-Wei, iaitu sebuah lagi kerajaan yang membentuk tiga buah kerajaan yang berkuasa pada zaman tersebut.


KUDA YANG MENGGELONGSOR

Dalam peperangan tersebut, Zhuge Liang memerlukan suatu kaedah yang efisien untuk mengangkut bekalan makanan dan persenjataan dari ibu kota menuju ke barisan hadapan tenteranya. Maka, beliau pun hadir dengan sebuah idea untuk menghasilkan ‘kerbau kayu’ yang dilengkapi dengan sebuah roda. Panggilan tradisional bagi kereta sorong tersebut adalah ‘kuda yang menggelongsor’.

Dengan menggunakan kerbau kayu ini, seorang tentera dengan mudah mampu membawa bekalan makanan yang cukup untuk memenuhi keperluan 4 orang tentera selama sebulan. Ciptaan kereta sorong ini cuba dirahsiakan oleh Shu-Han daripada pengetahuan Cao-Wei agar mereka terus memiliki kelebihan pada sudut perbekalan tentera.


BUKTI ARKEOLOGI

Naratif daripada legenda ini kelihatan agak kemas dan memuaskan, namun terdapat kemungkinan bahawa maklumat yang terkandung di dalamnya tidak begitu tepat. Bukti-bukti arkeologi mengisyaratkan bahawa masyarakat Cina telah pun menggunakan kereta sorong seabad lebih awal berbanding apa yang diceritakan di dalam legenda Zhuge Liang (tahun 231M) itu.

Antara contoh penemuan arkeologi yang dapat mensahihkan dakwaan ini adalah lukisan dinding pada sebuah makam yang terletak berhampiran Chengdu, Wilayah Sichuan. Lukisan tersebut menggambarkan seorang lelaki sedang menggunakan kereta sorong dan dianggarkan bahawa ia dilukis pada tahun 118M. Di sebuah makam lain yang juga terletak di Wilayah Sichuan, terdapat lukisan sebuah kereta sorong yang dianggarkan dihasilkan pada tahun 147M.


DICIPTA PADA ABAD KE-2 DI WILAYAH SICHUAN

Oleh kerana itu, terdapat kemungkinan bahawa kereta sorong telah dicipta pada abad ke-2 di Wilayah Sichuan. Sementara itu, pemerintahan Dinasti Shu-Han meliputi kawasan yang kini dikenali sebagai Wilayah Sichuan dan Chongqing. Kerajaan Cao-Wei pula berkuasa di utara Cina, Manchuria dan wilayah yang kini dikenali sebagai Korea Utara sambil ibu kotanya terletak di Luoyang, Wilayah Henan.

Makanya, sangat munasabah jika masyarakat Wei sehingga ke tahun 231M langsung tidak menyedari kewujudan kereta sorong dan penggunaannya sebagai teknologi ketenteraan – dan bahawa kereta sorong ini cuba dirahsiakan dari pengetahuan Cao-Wei yang masih belum menyedari betapa mudahnya keadaan dengan adanya penciptaan kerbau kayu ini

Jika keadaannya seperti yang dinyatakan di atas, maka legenda tersebut bersifat separa-benar. Zhuge Liang mungkin bukanlah orang yang pertama diilhami dengan idea penciptaan kereta sorong. Berkemungkinan idea dan penciptaan tersebut dimulakan oleh individu yang tidak diketahui. Kemudian, Zhuge Liang menjadi orang yang pertama memanfaatkan teknologi kereta sorong itu dalam kempen ketenteraan dan cuba merahsiakannya daripada Wei yang belum lagi terdedah dengan ciptaan tersebut.

Setelah itu, kereta sorong digunakan secara meluas bagi mengangkut berbagai jenis bebanan – daripada hasil tuaian hinggalah tahi lombong; dan daripada tembikar hinggalah bahan binaan. Orang-orang yang sakit, tercedera atau uzur juga boleh diangkut dengan menggunakan kereta sorong untuk dibawa berjumpa dengan doktor ataupun tabib – sebelum munculnya fungsi ambulans. Sebagaimana yang ditunjukkan di dalam gambar di atas, kereta sorong masih digunakan untuk mengangkut kasualti perang pada abad ke-20.


DICIPTA SEKALI LAGI PADA ZAMAN PERTENGAHAN DI EROPAH

Pada hakikatnya, teknologi kereta sorong merupakan satu buah fikiran yang sangat bermanfaat hinggakan ia dicipta semula secara terasing di Eropah pada zaman pertengahan – berkemungkinan besar pada abad ke-12. Tidak seperti kereta sorong dari Cina yang memiliki roda di bahagian bawah-tengah pengangkut, kereta sorong Eropah secara umum mempunyai roda yang diletakkan di bahagian hadapan.




Penterjemahan artikel ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di portal berkenaan dengan judul ‘Sejarah Penciptaan Kereta Sorong