CHANDRAGUPTA II DAN ZAMAN KEGEMILANGAN EMPAYAR TERBESAR INDIA

Pautan ke artikel asal: 
About History. (8 Ogos 2017). The Story of Chandragupta II and The Builder of the Largest Indian Empire.
https://about-history.com/the-story-of-chandragupta-ii-and-the-builder-of-the-largest-indian-empire/

 Penterjemah: A.D Alexander


Chandragupta II merupakan pemerintah ketiga bagi Empayar Gupta di India. Beliau menaiki takhta semasa Dinasti Gupta berada di kemuncak kuasa dan kebudayaan klasik India berada di zaman keemasaannya. Beliau memerintah seluruh kawasan India utara kecuali bahagian barat laut dan bahagian tengah India hingga ke Dataran Tinggi Deccan.

Dinasti Gupta diasaskan pada tahun 320M apabila seorang putera India yang bernama Chandragupta menabalkan dirinya sebagai Maharaja Maurya yang berpusat di ibu kota Pataliputra. Dinasti tersebut kemudiannya disatukan oleh puteranya, Samadragupta tetapi mencapai zaman kemuncaknya pada waktu pemerintahan cucunya, Chandragupta II.

Ukiran keagamaan di sebuah gua


INDIA DI BAWAH PEMERINTAHAN MAHARAJA CHANDRAGUPTA

Sebagaimana seorang duta dari Greek yang bernama Megasthenes menulikan catatan tentang India yang berada di bawah pemerintahan Maharaja Chandragupta Maurya pada abad ke-4SM, seorang sami Buddha dari Cina yang bernama Fa Xian (Fa-hsien) juga melakukan sedemikian pada abad ke-5M.

Fa Xian telah mengembara ke seluruh India selama enam tahun sewaktu zaman pemerintahan Chandragupta II dan telah merekodkan kekagumannya terhadap kerajaan berkenaan: karyanya itu, yang berjudul A Record of Buddhist Kingdoms, masih wujud pada hari ini. Beliau turut melawat Pataliputra, sebuah kota yang kaya-raya di mana hospital di kota berkenaan menyediakan perkhidmatan kepada orang miskin tanpa mengenakan bayaran.

Ajaran Buddha masih diamalkan secara meluas, namun ajaran Hindu kembali mendapatkan tempatnya di sana. Beliau juga mencatatkan tentang kewujudan kasta untouchable (kelompok masyarakat berkasta rendah) di pinggir kota sedang menjalankan tugas-tugas penting dan memukul gong untuk memaklumkan kepada orang ramai tentang kehadiran mereka yang dianggap mencemarkan suasana.

Beliau turut mengagumi ketaatan dan kemakmuran masyarakat India di samping kelonggaran undang-undangnya. Sebuah petikan daripada karyanya ada menyebutkan, “Raja memerintah tanpa menjatuhkan sebarang hukuman penggal kepala atau hukuman-hukuman berat yang lain. Pelaku jenayah hanya didenda, baik berbentuk ringan ataupun berat, mengikut situasi (untuk setiap kes)…

Di seluruh negara, masyarakat tidak membunuh benda-benda hidup dan tidak juga memakan bawang putih… mereka tidak mengurung khinzir dan burung, dan tidak juga menjual lembu hidup; di pasar tidak ada kedai yang menjual daging lapah dan tidak ada juga peniaga yang menjual minuman yang memabukkan… (Di bandar-bandarnya pula) penduduknya kaya-raya dan hidup makmur, bersaing antara satu sama lain dalam berbuat kebajikan dan menegakkan kebenaran.”

Ukiran Chandragupta II di atas kuda


ZAMAN PEMERINTAHAN GUPTA

Zaman Gupta terkenal dengan penghasilan seni, keunggulan ukiran gangsa dan seni bina yang mengagumkan, termasuklah juga keindahan binaan kuil dan ukiran keagamaan di gua. Para pedagang dan mubaligh India mengembara secara meluas melalui jalan laut ke Asia Tenggara dan turut meredah jalan darat melalui Laluan Sutera memasuki Asia Tengah dan Cina. Pemerintahan Chandragupta II sememangnya memanifestasikan kegemilangan Dinasti Gupta.