- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Kallie Szczepanski. (25 Februari 2019). The Genpei War in Japan, 1180-1185. ThoughtCo.
Kallie Szczepanski. (25 Februari 2019). The Genpei War in Japan, 1180-1185. ThoughtCo.
Penterjemah:
Amir Zayyanid
FAKTA RINGKAS PERANG
GENPEI:
Tarikh:
1180-1185
Lokasi: Honshu dan Kyushu, Jepun
Kesan: Puak Minamoto menang dan hampir menghapuskan puak Taira; era Heian berakhir dan Keshogunan Kamakura bermula
Kesan: Puak Minamoto menang dan hampir menghapuskan puak Taira; era Heian berakhir dan Keshogunan Kamakura bermula
Perang Genpei (juga
diromanisasikan sebagai Perang Gempei) di Jepun merupakan konflik pertama yang
melibatkan peperangan antara puak samurai yang besar. Walaupun ia berlaku
hampir 1000 tahun yang lalu, masyarakat pada hari ini masih mengingati nama
pahlawan-pahlawan hebat yang terlibat dalam peperangan ini.
Kadangkala peperangan
ini dibandingkan dengan War of the Roses di
England, memandangkan Perang Genpei menyaksikan dua buah keluarga saling
berperang kerana berebutkan kuasa. Putih merupakan warna yang mewakili puak
Minamoto, sama seperti House of the York.
Sementara itu, Taira pula menggunakan warna merah, sama seperti Lancaster.
Walau bagaimanapun,
Perang Genpei berlangsung 300 tahun lebih awal berbanding War of the Roses. Tambahan pula, puak Minamoto dan Taira tidak
berperang untuk menduduki takhta Jepun, sebaliknya masing-masing mahu
memanipulasi pencalonan maharaja agar memberi kepentingan kepada puak
masing-masing.
PUNCA BERLAKUNYA
PEPERANGAN
Puak Taira dan Minamoto
merupakan kuasa yang saling berseteru. Mereka berhasrat untuk memanipulasi
maharaja dan mencalonkan pewaris takhta yang bakal menguntungkan pihak
masing-masing. Dalam Pemberontakan Hogen yang berlaku pada tahun 1156 dan Pemberontakan
Heiji pada tahun 1160, Taira merupakan puak yang mengungguli keadaan.
Kedua belah pihak ini
mempunyai anak-anak perempuan yang dikahwinkan dengan keturunan maharaja. Namun
selepas kejayaan Taira dalam kemelut pemberontakan tersebut, Taira no Kiyomori
meraih kedudukan sebagai Menteri Dalam Negeri. Sebagai hasil, beliau berjaya
memastikan putera kepada anak perempuannya menjadi pewaris takhta pada Mac
1180. Kenaikan takhta Maharaja Antoku yang masih sangat kecil itu menjadi bibit
bermulanya pemberontakan Minamoto.
MELETUSNYA PERANG
GENPEI
Pada tanggal 5 Mei
1180, Minamoto Yoritomo dan calon pewaris takhta pilihannya, iaitu Putera
Mochihito mengeluarkan seruan perang. Mereka berdua menggesa keluarga-keluarga
samurai agar bersekutu dengan Minamoto. Begitu juga dengan pahlawan-pahlawan
sami dari pelbagai kuil Buddha.
Menjelang tanggal 15 Jun, Menteri Kiyomori
mengeluarkan waran tangkap sekaligus memaksa Putera Mochihito agar melarikan
diri dari Kyoto dan berlindung di kuil Mii-dera. Disebabkan beliau dikejar oleh
ribuan tentera Taira, Putera bersama 300 orang pahlawan Minamoto bergegas ke
arah selatan dan menuju ke Nara. Di sana, terdapat pahlawan-pahlawan sami
tambahan yang bersedia untuk menghulurkan bantuan kepadanya.
Setelah lelah berjalan
dengan agak lama, Putera Mochihito berhenti sejenak untuk beristirehat.
Pasukannya berlindung bersama para tentera sami di kuil Byodo-in, sebuah kuil
yang mudah dipertahankan. Mereka berharap agar tentera-tentera sami dari Nara
sempat tiba untuk membantu mereka sebelum pasukan tentera Taira yang mengejar
tiba. Namun sebagai langkah berwaspada, mereka menghancurkan satu-satunya
jambatan yang menghubungkan laluan ke kuil Byodo-in.
Pada awal pagi keesokan
harinya, iaitu pada tanggal 20 Jun, pasukan tentera Taira mara secara sulit ke
Byodo-in dan bersembunyi di sebalik kabus tebal. Minamoto tiba-tiba terdengar
laungan perang Taira lantas mengarahkan tentera-tenteranya agar menyahut laungan
tersebut. Lantas, pertempuran yang dahsyat pun berlangsung sambil panah-panah
saling dilontar dari kedua belah pihak.
Pasukan tentera dari
sekutu Taira, iaitu Ashikaga berjaya menyeberang sungai dan memberi tekanan
terhadap pasukan Minamoto. Putera Mochihito cuba melarikan diri ke Nara, namun
Taira berjaya menghambat dan membunuhnya.
Tentera-tentera sami dari Nara sempat
mara menuju ke Byodo-in untuk memberikan bantuan, namun ternyata mereka sudah
terlalu lambat lantas mengambil keputusan untuk berpatah-balik tanpa bertempur.
Sementara itu, Minamoto Yorimasa melakukan seppuku
pertama dalam sejarah – menulis syair kematian yang ditujukan pada
rakan-rakan seperjuangannya dan kemudian membelah perutnya sendiri.
Pertempuran tersebut menghentikan
pemberontakan Minamoto dan Perang Genpei secara mendadak. Sebagai hukuman ke
atas kerjasama yang diberikan kepada Putera Mochihito, puak Taira menjarah dan
membakar kuil-kuil sambil ribuan sami habis disembelih. Kofuku-ji dan Todai-ji
di Nara turut sama dibakar.
YORITOMO MENGAMBIL ALIH
KEPEMIMPINAN MINAMOTO
Kepemimpinan puak
Minamoto kemudian beralih kepada Minamoto no Yoritomo yang ketika itu berusia
33 tahun. Beliau hidup sebagai tawanan dalam sebuah rumah milik keluarga sekutu
Taira. Yoritomo kemudiannya menyedari bahawa dirinya sudah menjadi buruan
pemerintah.
Maka, beliau pun segera mengumpulkan beberapa sekutu tempatan
Minamoto dan melarikan diri dari cengkaman Taira. Namun, kebanyakan tentera
yang mengikutnya itu kemudiannya terkorban dalam Pertempuran Ishibashiyama yang
berlangsung pada tanggal 14 September. Yoritomo sendiri terpaksa melarikan diri
ke dalam hutan sambil dikejar oleh pasukan tentera Taira.
Beliau berjaya tiba di
pekan Kamakura yang terletak di dalam wilayah naungan Minamoto. Yoritomo
kemudian memanggil bala bantuan daripada seluruh keluarga sekutu yang berada
berhampiran. Maka, pada tanggal 9 November 1180M, Minamoto bersama pasukan
tenteranya berhadapan dengan kekuatan Taira dalam Pertempuran Fujigawa (sungai
Fuji).
Oleh kerana pemimpin yang mengetuai pasukan itu dikenali sebagai seorang
yang lemah sambil jalan perhubungan antara medan tempur dan ibu kota pula
terbentang begitu jauh, pasukan Taira mengambil keputusan untuk berundur ke
Kyoto tanpa berperang.
Suatu catatan yang
terkandung dalam Heike Monogatari (Hikayat
Heike) ada menyatakan dakwaan yang berlebih-lebihan kononnya terdapat
segerombolan burung di kawasan sungai tersebut yang terbang pada waktu tengah
malam. Tatkala mendengar bunyi kepakan sayap yang begitu kuat, tentera-tentera
Taira menjadi panik lantas lari bertempiaran. Betapa huru-haranya keadaan
mereka sehingga digambarkan bahawa mereka mencapai busur tanpa mengambil anak
panah dan mencapai anak panah tetapi meninggalkan busur.
Catatan ini malah
mendakwa kononnya tentera-tentera Taira yang dilanda kekacauan itu “menunggang
kuda-kuda yang sedang ditambat lalu memukul punggung kuda itu supaya mereka
berlari lebih laju. Namun, perbuatan tersebut hanya menyebabkan mereka sekadar berpusing-pusing
di tiang tempat kuda-kuda itu ditambat.”
Walau apa sekalipun
kebenaran di sebalik pengunduran pasukan tentera Taira itu, nyatanya peristiwa
tersebut disusuli oleh keamanan yang menyelimuti negara tersebut – terhentinya peperangan.
Pun begitu, Jepun masih jua menghadapi masa-masa sukar akibat bencana kemarau dan
banjir yang memusnahkan tuaian padi dan barli sepanjang tahun 1180 hingga
1181M. Kemiskinan dan wabak penyakit mula menular di wilayah pedalaman.
Dianggarkan sekitar 100 000 orang menjadi korban wabak tersebut. Ramai dalam
kalangan rakyat menyalahkan perbuatan Taira yang menyembelih para sami dan
membakar hangus kuil-kuil pada tahun-tahun sebelum ini. Mereka yakin bahawa
perbuatan tersebut telah mengundang kemurkaan para dewa.
Pada tahun berikutnya,
iaitu tahun 1182M, peperangan sekali lagi meletus. Kali ini, Minamoto memiliki
seorang pahlawan jaguh yang bernama Yoshinaka. Walaupun hubungannya sebagai ahli
sepuak kepada Yoritomo agak renggang, namun beliau merupakan seorang panglima
yang berkebolehan.
Kemenangan demi kemenangan yang diraih oleh Yoshinaka serta
hasratnya untuk melanjutkan kemaraan ke Kyoto membuatkan Yoritomo berasa
semakin bimbang terhadap impian ahli sepuaknya itu. Lantas, beliau menghantar
sebuah pasukan tentera bagi memerangi Yoshinaka pada musim bunga tahun 1183M.
Namun, kedua belah pihak berjaya menghindarkan peperangan menerusi rundingan
damai.
Tuah seakan-akan
memihak Minamoto kerana puak Taira ketika itu sedang berada dalam keadaan yang
tidak tersusun. Mereka memiliki bala tentera gergasi dan mara untuk memerangi
Minamoto pada tanggal 10 Mei 1183M. Namun, pasukan tersebut tidak
diorganisasikan dengan baik sehingga kehabisan bekalan makanan ketika berada
hanya sejauh 9 batu arah timur dari Kyoto.
Untuk mengatasi masalah tersebut,
pemimpin pasukan mengarahkan tentera-tenteranya agar menjarah makanan di wilayah-wilayah
yang dilalui – walaupun ia merupakan naungan mereka sendiri dan baru sahaja
pulih daripada kemiskinan akibat bencana beberapa tahun yang lalu. Hal ini
mendorong kepada pemberontakan beramai-ramai dalam kalangan rakyat Taira.
Sebaik sahaja pasukan
Taira memasuki wilayah naungan Minamoto, mereka memecahkan pasukan tersebut
kepada dua buah kekuatan. Minamoto Yoshinaka berjaya mengumpan pasukan yang
lebih besar saiznya menuju ke sebuah lembah sempit sekaligus memulakan
Pertempuran Kurikura yang menurut catatan epik, “seramai 70 000 orang tentera
berkuda Taira habis terkorban dan dikebumikan dalam satu lembah yang agak dalam
sambil sungai yang mengalir membasuh darah-darah mereka…”
Pertempuran ini menjadi
titik yang mengubah skrip Perang Genpei.
MINAMOTO DAN
PERJUANGANNYA
Kyoto dilanda kekalutan
tatkala menerima berita kekalahan Taira di Kurikura. Pada tanggal 14 Ogos 1183,
Taira melarikan diri dari ibu kota. Mereka membawa bersama kebanyakan keluarga
diraja, termasuklah putera maharaja dan batu permata pada mahkota. Tiga hari
kemudian, sekumpulan tentera Minamoto di bawah kepemimpinan Yoshinaka mara
menuju Kyoto sambil ditemani oleh bekas Maharaja Go-Shirakawa.
Kemaraan tersebut
membuatkan Yoritomo dilanda kerisauan. Namun, tidak lama masa yang diambil oleh
Yoshinaka untuk meraih rasa benci para penduduk Kyoto. Mana tidaknya, beliau
membenarkan tenteranya untuk menjarah dan merompak penduduk kota itu tanpa
mengambil peduli kepentingan politik mereka. Kemudian pada bulan Februari tahun
1184M, Yoshinaka menerima laporan bahawa pasukan tentera Yoritomo sedang mara
ke ibu kota untuk menewaskannya.
Pasukan tersebut dipimpin oleh adik kepada
Yoritomo, iaitu Minamoto Yoshitsune. Yoshitsune dengan mudah menewaskan pasukan
tentera Yoshinaka. Isteri Yoshinaka, iaitu pahlawan samurai wanita terkenal
yang bernama Tomoe Gozen dikatakan berjaya meloloskan diri selepas memenggal
kepala seorang tentera musuh. Yoshinaka sendiri terbunuh semasa cuba melarikan
diri pada 21 Februari 1184.
BERAKHIRNYA PEPERANGAN
DAN KESAN SUSULAN
Sambil itu,
tentera-tentera yang masih setia pada Taira berundur ke wilayah utama mereka.
Minamoto mengambil beberapa tempoh waktu untuk menguruskan mereka. Hampir
setahun selepas Yoshitsune menundukkan Yoritomo di Kyoto, puak Minamoto berjaya
menawan kubu dan ibukota-sementara Taira di Yashima.
Pada tanggal 24 Mac
1185M, berlangsung pertempuran terakhir berskala besar dalam Perang Genpei –
melibatkan sebuah pertempuran laut di Selat Shimonoseki yang berpanjangan
selama setengah hari, dikenali sebagai Pertempuran Dan-no-ura. Dalam
pertempuran itu, Minamoto no Yoshitsune memimpin armada puaknya yang
berkekuatan 800 buah kapal sementara Taira no Munemori mengetuai 500 buah kapal
Taira.
Taira lebih biasa
dengan perairan di situ. Makanya, mereka berjaya menekan armada Minamoto pada
awal pertempuran dan mengasak mereka dengan bidikan panah dari jarak jauh.
Kemudian, kedua armada itu mula saling mendekat dan pertempuran jarak dekat pun
berlangsung. Para samurai melompat ke kapal musuh dan melibas pedang panjang
dan pendek milik masing-masing. Seiring pergerakan waktu, gelora laut berubah
sekaligus menghempas kapal-kapal Taira ke tebing-tebing batu sambil armada
Minamoto mengejar dari belakang.
Ramai samurai Taira
memilih untuk terjun ke dalam laut dan mati lemas berbanding dibunuh oleh
Minamoto dalam situasi getir sebegitu. Maharaja Antoku yang berusia 7 tahun
turut terjun bersama neneknya. Masyarakat setempat mempercayai bahawa
ketam-ketam kecil yang hidup di Selat Shimonoseki itu dirasuki hantu-hantu
samurai Taira justeru cengkerangnya memiliki corak yang mirip dengan wajah
samurai.
Setelah tirai Perang
Genpei ditutup, Minamoto Yoritomo membentuk bakufu
pertama dan memerintah sebagai shogun pertama Jepun dengan berpusat di
Kamakura. Keshogunan Kamakura merupakan bakufu
pertama dari sekalian bakufu yang
memerintah negara tersebut sehingga ke tahun 1868M, tahun di mana Revolusi
Meiji mengembalikan sepenuhnya kuasa politik kepada maharaja.
Namun ironiknya, dalam
tempoh 30 tahun selepas kemenangan Minamoto dalam Perang Genpei, kuasa politik
dirampas dari tangan mereka oleh wakil-wakil pemerintah (shikken) dari puak Hojo. Tahukah anda siapa puak Hojo itu? Puak
Hojo merupakan cabang daripada keluarga Taira.
SUMBER
- Arnn, Barbara L. “Local Legends of the Genpei War: Reflections of Medieval Japanese History,” Asian Folklore Studies, 38:2 (1979), pp. 1-10.
- Conlan, Thomas. “The Nature of Warfare in Fourteenth-Century Japan: The Record of Nomoto Tomoyuki,” Journal for Japanese Studies, 25-2 (1999), pp. 299-330.
- Hall, John W. The Cambridge History of Japan, Vol. 3, Cambridge: Cambridge University Press (1990).
- Turnbull, Stephen. The Samurai: A Military History, Oxford: Routledge (2013).
- Get link
- X
- Other Apps
