- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (6 Julai 2015). The Battle of Pelusium: Psychological warfare leads Persians to victory. Ancient Origins.
Wu Mingren. (6 Julai 2015). The Battle of Pelusium: Psychological warfare leads Persians to victory. Ancient Origins.
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Pertempuran Pelusium
merupakan sebuah pertempuran bersejarah yang sangat penting. Ia berlangsung
pada abad ke-6 SM dan memperlihatkan pasukan tentera Mesir dikalahkan oleh
ketumbukan Parsi sekaligus mengangkat kuasa Parsi di wilayah tersebut.
Pertempuran ini merupakan salah satu contoh awal perang psikologi.
Dengan mengetahui
bahawa masyarakat Mesir menyembah kucing sebagai simbol kepada Dewi Bastet,
maka Cambyses II pun mengarahkan perajurit-perajuritnya agar melukis gambar
dewi kucing di perisai masing-masing.
Bahkan semasa
pertempuran sedang berlangsung, pasukan tentera Parsi dikatakan mara di
belakang sekumpulan kucing. Tentera-tentera Mesir yang tidak sanggup
mengapa-apakan haiwan suci itu terpaksa menyerahkan kota mereka kepada Parsi.
Pelusium merupakan
sebuah kota Mesir yang sangat penting dan terletak di penghujung timur Delta
Sungai Nil. Pada zaman purba, kota ini dianggap sebagai pintu masuk ke Mesir
dari dunia timur. Makanya, Pelusium memegang signifikasi yang sangat besar jika
dilihat dari sudut ketenteraan. Mana-mana kuasa dari dunia timur yang berimpian
mahu menakluk Mesir perlu terlebih dahulu menakluk kota ini.
SERANGAN ASSYRIAN KE
ATAS PELUSIUM
Pertempuran Pelusium
bukanlah cubaan pertama dari dunia timur dalam mencerobohi wilayah Mesir. Pada
abad ke-8 SM, raja Assyria yang bernama Sennacherib pernah cuba menyerang Mesir
dan memberangkatkan bala tenteranya ke Pelusium.
Menurut sejarahwan
Greek yang bernama Herodotus, pemerintah Mesir yang bernama Sethos telah mengundang
kemarahan golongan berkelas pahlawan di wilayahnya itu. Akibatnya, mereka
enggan menghulurkan bantuan dalam mempertahankan Mesir semasa Assyria datang
menyerang.
Sebelum menaiki takhta,
Sethos merupakan seorang “paderi Hephaestus” dan makanya beliau adukan
permasalahan yang dihadapinya itu kepada dewa. Dewa kemudian muncul dalam mimpi
Sethos dan memaklumkan padanya agar tak usah gusar kerana bala bantuan akan
dihantar kelak. Sethos lantas menghimpunkan seramai mungkin sukarelawan dan
menubuhkan pangkalan tentera berhampiran kota Pelusium.
Tidak lama kemudian,
bala tentera Assyria pun sampai. Namun pada waktu malam, segerombolan tikus
“mengunggis bekas anak panah, busur panah dan pemegang perisai tentera-tentera
Assyria”. Akibatnya, ketumbukan Assyria yang kini tidak bersenjata terpaksa
berundur. Malahan, mereka kehilangan ramai tentera di tangan ketumbukan Mesir.
![]() |
Pada abad ke-8 SM, raja Assyria yang bernama Sennacherib (digambarkan di sini sedang duduk di atas takhtanya) menyerang Mesir di Pelusium, namun ditewaskan |
SERANGAN PARSI KE ATAS
PELUSIUM
Kekuatan Mesir tidak
meraih tuah sedemikian dalam Pertempuran Pelusium pada tahun 525SM. Kali ini,
giliran Achaemenid-Parsi pula untuk menyerang Mesir. Serangan ini dipimpin oleh
Cambyses II, iaitu pemerintah kedua dalam Empayar Achaemenid.
Menurut Herodotus (yang
catatannya ini berdasarkan “apa yang dikatakan oleh masyarakat Parsi”), faktor
yang mendorong Cambyses II untuk menyerang Mesir adalah kerana beliau naik
murka setelah menyedari tipu-helah yang dilakukan oleh Amasis si pemerintah
Mesir.
Sebelum itu, Cambyses
II telah melamar puteri Amasis untuk dikahwini. Namun, Amasis menganggap bahawa
perkahwinan tersebut akan menjatuhkan martabat puterinya itu sebagai gundik
kepada Cambyses II dan bukannya sebagai ratu Parsi. Makanya, beliau berasa berat
hati untuk memenuhi permintaan pemerintah dari Parsi itu. Pada masa yang sama,
beliau juga berasa takut terhadap kekuatan yang dimiliki oleh Empayar
Achaemenid.
Oleh kerana itu, beliau
mengambil keputusan untuk mengarahkan Nitetis, puteri kepada Apries si
pemerintah Mesir yang sebelumnya agar menyamar sebagai puterinya. Nitetis
kemudian dihantar dan dikahwinkan dengan Cambyses II. Namun, Nitetis
kemudiannya membocorkan helas Amasis itu dan Cambyses II yang naik berang pun
mengambil keputusan untuk menyerang Mesir.
![]() |
Kepala patung Firaun Amasis |
PERANG PSIKOLOGI DILANCARKAN
OLEH CAMBYSES
Tatkala Cambyses dan
pasukan tenteranya tiba di sempadan timur Mesir, Amasis pun mangkat. Puteranya
yang bernama Psammeritus (Psamtek III) naik takhta sebagai pemerintah baru
Mesir. Herodotus tidak banyak menulis tentang Pertempuran Pelusium ini,
melainkan kenyataan bahawa “pertempuran itu berlangsung hangat dan jumlah kehilangan
di kedua belah pihak sangat tinggi, namun pada akhirnya tentera Mesir berjaya
ditewaskan.”
Catatan lain berkenaan
pertempuran ini juga boleh ditemui di dalam penulisan Polyaenus, seorang
penulis abad ke-2 Masihi dari Macedonia. Dalam karyanya yang berjudul Stratagems,
Polyaenus mendakwa bahawa kelicikan Cambyses merupakan faktor yang meraihkan
kemenangan bagi pihak Parsi.
Untuk menghadapi
bedilan yang dilontarkan dari kem pertahanan Mesir, Cambyses menyusun barisan
hadapannya dengan meletakkan sejumlah haiwan yang dianggap suci oleh masyarakat
Mesir. Antara haiwan tersebut termasuklah kucing, anjing, burung bangau dan
kambing.
Oleh kerana berasa
khuatir akan mencederakan haiwan-haiwan suci itu, tentera-tentera Mesir pun
menghentikan serangan sekaligus mengakibatkan ketumbangan Pelusium ke tangan
Cambyses.
Satu sumber moden
mendakwa bahawa Cambyses turut mengarahkan agar gambar Bastet (dewi Mesir yang
sering digambarkan sebagai seekor kucing) dilukiskan pada perisai
tentera-tenteranya. Sumber lain pula menyebutkan bahawa kucing-kucing itu
bukannya dilukis, sebaliknya dilekatkan pada perisai tentera Parsi dengan
tujuan untuk melemahkan psikologi pasukan tentera Mesir.
Walau bagaimanapun, apa
yang sebenarnya berlaku pada hari pertempuran itu tidak dapat kita pastikan
dengan jelas.
![]() |
Cambyses II dari Parsi menangkap firaun Psamtik III. Gambar pada mohor Parsi yang bertarikh abad ke-6 SM |
Herodotus juga
menghadirkan sebuah lagi hikayat berkenaan Pertempuran Pelusium. Semasa beliau
melawat medan pertempuran itu, Herodotus ditunjukkan dengan tulang-belulang
tentera-tentera yang terkorban dalam pertempuran tersebut. Jasad
tentera-tentera Mesir terletak di satu sisi medan sambil sisi yang lain pula
menempatkan jasad tentera-tentera Parsi.
Satu kaedah untuk
mengenal-pasti sama ada jasad tersebut milik tentera Mesir ataupun Parsi adalah
dengan melontarkan batu padanya. Jika batu tersebut mengakibatkan lubang
terhasil pada tengkorak tersebut, maka ianya bermaksud bahawa jasad tersebut adalah
milik tentera Parsi; jika tidak, maka ia adalah milik tentera Mesir.
Menurut sejarahwan
Greek itu, hal ini kerana sejak kecil lagi masyarakat Mesir telah “mencukur
kepala mereka dan tulang mereka telah mengeras akibat disinari matahari”,
sementara tentera Parsi pula “memakai mahkota (penutup kepala) sejak lahir dan
menutup kepala mereka dari sinaran matahari”. Sekali lagi, kita tidak dapat
memastikan dengan jelas kebenaran dakwaan tersebut.
SUMBER
- Bresciani, E. 2011. Egypt i, Persians in Egypt in the Achaemenid period.
- Dunn, J. 2013. Egypt: Pelusium (Tell el-Farama) in the Sinai.
- Herodotus. The Histories.
- [Waterfield, R. (trans.) 1998. Herodotus’ The Histories. Oxford: Oxford University Press.]
- Holland, T. 2005. Persian Fire: The First World Empire, Battle for the West. London: Abacus.
- Polyaenus, Stratagems.
- [Shepherd, R. (trans.) 1793. Polyaenus’ Stratagems.]
- Rickard, J. 2015. Battle of Pelusium, early 525.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Kerana Kucing, Mesir Kalah Perang Dengan Parsi’
- Get link
- X
- Other Apps