- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
DHWTY. (8 Disember 2018). Samodiva: The Life-Sucking Temptress and Wood Nymph of Bulgarian Folklore. Ancient Origins.
DHWTY. (8 Disember 2018). Samodiva: The Life-Sucking Temptress and Wood Nymph of Bulgarian Folklore. Ancient Origins.
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Samodiva (juga dikenali
sebagai samovila atau vila; samodivi atau samodivas
secara jamak) merupakan suatu makhluk yang dapat ditemui di dalam kisah rakyat
Balkan, atau lebih tepat, Bulgaria. Secara umum, makhluk ini merupakan lembaga
atau peri hutan yang muncul sebagai gadis jelita. Namun kadangkala, sesuatu itu
tidak seharusnya dinilai menerusi rupa parasnya, Dalam kebanyakan kisah, Samodivi
muncul sebagai makhluk yang berbahaya, atau paling tidak, bersifat nakal.
MAKHLUK DARI RIMBA YANG
INDAH DARI MITOLOGI SLAVIC
Nama ‘samodiva’
terbentuk menerusi gabungan dua buah perkataan yang berbeza, iaitu ‘samo’
dan ‘diva’. ‘Samo’ bermaksud ‘sendirian’ sementara ‘diva’
pula bermaksud ‘rimba’ atau ‘indah’. Maka, nama samodiva secara literalnya bermaksud
‘makhluk indah dari rimba yang bersendirian (terasing dari manusia)’. ‘Samo’
membawa isyarat tentang sikapnya yang menghindari manusia sementara ‘diva’
pula menggambarkan sifatnya sebagai makhluk rimba yang indah.
![]() |
Gambaran samodivas sedang menari |
Terdapat beberapa versi
penceritaan tentang asal-usul samodivi. Salah satu versinya secara
ringkas menyatakan bahawa mereka adalah puteri kepada Bendis, iaitu dewi bulan
dan pemburuan bagi masyarakat Thracia. Dewi Bendis mempunyai kemiripan dengan
Dewi Artemis dari Greek. Versi asal-usul ini sedikit-sebanyak bersesuaian
dengan kedua-dua maksud yang dibawa oleh perkataan ‘diva’ pada nama
samodiva; iaitu rimba (pemburuan) dan indah (bulan).
Versi lain pula
mempercayai bahawa samodivi merupakan anak kepada lamia, iaitu
suatu makhluk jahat berbentuk seperti naga dalam kisah rakyat Bulgaria. Namun,
ada juga yang meyakini bahawa samodivi ini adalah roh wanita jahat yang
tergantung di antara syurga dan neraka, atau gadis yang mati sebagai seorang
perawan.
Walau apa sekalipun
kisah berkenaan asal-usulnya, samodivi sering digambarkan sebagai gadis
yang sangat jelita dan sentiasa awet muda. Mereka memiliki rambut yang panjang
berwarna perang. Matanya pula berwarna biru terang. Mereka memakai gaun putih
yang bersinar bak bulan sambil tali pengikat pinggangnya pula berwarna pelangi
ataupun hijau. Selain itu, samodivi turut menghiasi kepala mereka dengan
jambak bunga liar.
NARATIF LAZIM DALAM
KISAH BERKENAAN SAMODIVA
Samodivi menetap di
kawasan bergunung dan antara tempat kegemaran mereka termasuklah Gunung Pirin,
Gunung Vitoasha, Gunung Rila dan Gunung Stara Planina. Mereka gemar menunggang
rusa dan menggunakan ular sebagai tali pengekangnya. Mereka sangat melindungi
tunggangan yang dinaiki dan akan menjampi sesiapa sahaja yang membunuh rusa
milik mereka, walaupun pwmbunuhan tersebut adalah secara tidak sengaja. Jampi
tersebut diyakini boleh mengakibatkan maut bagi orang tersebut.
Kisah-kisah berkenaan samodivi
sering menggambarkan mereka sebagai makhluk yang berbahaya bagi manusia.
Walaupun makhluk ini sangat gemar menari terutama apabila diiringi oleh mainan alat
musik kaval atau seruling milik penggembala, mereka sering menggoda atau
menculik penggembala untuk merampas alat musik tersebut.
Jika ada manusia malang
yang bertembung dengan samodivi semasa mereka sedang menari, manusia
tersebut akan dipujuk supaya menyertai mereka. Kemudian, manusia yang lazimnya
tidak mampu mengikut rentak tarian mereka akan mati akibat kelelahan.
![]() |
Samodivas sedang menari dalam lukisan bertajuk ‘Le Villi’ (1906) oleh Bartolomeo Giuliano |
Namun dalam beberapa
buah hikayat, dikisahkan bahawa manusia mampu mengatasi keupayaan samodiva,
walaupun untuk sementara. Kuasa magis samodivi terletak pada pakaian
mereka. Makanya, kelemahan mereka terdedah semasa sedang mandi. Oleh kerana
itu, mereka perlu menjaga pakaian milik mereka dengan begitu berhati-hati agar
tidak dicuri sekaligus mengakibatkan mereka kehilangan kuasa.
Dalam sebuah hikayat,
diceritakan bahawa seorang penggembala yang bernama Ivalyo bertindak mencuri
pakaian samodiva yang bernama Marika. Perbuatannya itu mengakibatkan
Marika kehilangan sumber kuasa. Ivalyo kemudiannya mengahwini Marika dan tiga
tahun kemudian, mereka dikurniakan zuriat.
Semasa pasangan itu
mengadakan parti untuk meraikan kelahiran anak mereka, bapa pembaptis anak
tersebut meminta agar Marika menari. Tatkala melihat tarian Marika, bapa
pembaptis itu menyatakan bahawa Marika tidak menari seperti kebiasaan seorang samodiva.
Kenyataan itu dibalas oleh Marika bahawa beliau tidak mampu menari dengan baik
tanpa memakai gaun miliknya. Maka, bapa pembaptis itu pun meminta agar Ivalyo
memulangkan semula gaun milik Marika yang telah lama disimpannya. Sebaik sahaja
Marika mengenakan gaunnya itu, kuasanya yang hilang kini diraih semula dan
beliau pun menghilangkan diri dari Ivalyo dan anak mereka buat selama-lamanya.
SAMODIVA MASIH TERUS
HIDUP
Bahkan sehingga ke hari
ini, terdapat masyarakat yang masih mempercayai kewujudan samodiva, terutama
mereka yang hidup di kampung-kampung terpencil di Bulgaria. Berikutan kuasa
yang mereka miliki dan ancaman bahaya yang sering mereka timpakan ke atas
manusia, maka samodivi ini disikapi dengan rasa takut dan hormat.
Walaupun kepercayaan
terhadap makhluk tersebut sudah berakar sejak zaman paganisme lagi, kedatangan
Kristian tidak langsung melenyapkan kepercayaan tersebut malah menambahkan lagi
rencah pada mitos samodivi. Sebagai contoh, samodivi dipercayai
memelihara hari-hari cuti penganut Kristian, terutama sekali Hari Easter.
Mereka malah dipercayai akan menghukum sesiapa sahaja yang tidak menghormati
hari-hari cuti tersebut.
Oleh kerana itu,
mitos-mitos yang menyelubungi samodivi ini mungkin akan terus hidup di
zaman moden, selama mana masih ada yang mempercayai kewujudannya.
![]() |
Peri hutan |
SUMBER
- Aveela, R. 2015. Samodivi – Witches of Darkness or Thracian Goddesses?
- Bishop R. 2016. Balkan Mythology And Folklore Are Riveting.
- Darina. 2018. Bulgarian Folklore: Samodiva.
- Friedman, A & Johnson, M. 2015. The Samodiva and the Shepherd (A Bulgarian Tale).
- Marto. 2018. Bulgaria – Myths and Legends.
- Get link
- X
- Other Apps