- Get link
- X
- Other Apps
ASHURBANIPAL – PERPUSTAKAAN DIRAJA PALING LAMA BERTAHAN DI DUNIA DENGAN LEBIH 30 000 TABLET TANAH LIAT
- Get link
- X
- Other Apps
DHWTY. (9 April 2019).
Ashurbanipal: The Oldest Surviving Royal Library in the World with Over 30 000
Clay Tablets. Ancient Origins.
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Perpustakaan Diraja
Ashurbanipal kadangkala disebut sebagai ‘perpustakaan pertama’ di dunia,
ataupun ‘perpustakaan diraja yang paling lama bertahan di dunia’. Perpustakaan
ini ditemukan semula oleh sekumpulan ahli arkeologi yang melakukan kerja-kerja
ekskavasi di tapak Nineveh (kini dikenali sebagai Kuyunjik).
Memandangkan
tempat tersebut merupakan kota diraja bagi Empayar Neo-Assyria pada masa
pemerintahan Ashurbanipal, maka perpustakaan ini dinamakan bersempena nama
beliau.
Perpustakaan Diraja
Ashurbanipal memuatkan lebih 30 000 buah tablet tanah liat dan lembaran yang
mengandungi teks-teks kuneiform. Antara bidang ilmu yang dirangkumi oleh
teks-teks berkenaan termasuklah catatan pentadbiran, karya sastera dan
pengajian teknikal.
PEMERINTAHAN
ASHURBANIPAL
Ashurbanipal (bermaksud
‘dewa Ashur si pencipta pewaris’) sering dianggap sebagai seorang pemerintah
yang hebat bagi Empayar Neo-Assyria. Tempoh pemerintahannya berlangsung
antara tahun 668SM hingga 627SM. Pada
waktu itu, Empayar Neo-Assyria sedang mengalami tempoh kemuncak perluasan
wilayah. Antara kawasan yang termasuk di bawah pemerintahan Ashurbanipal ketika
itu adalah Babylon, Parsi, Syria dan Mesir.
Memandangkan
Ashurbanipal memerintah rakyatnya dengan penuh adil dan saksama, maka namanya
masyhur sebagai seorang raja yang dijulang tinggi. Walau bagaimanapun, beliau
turut dikenali dengan kekejamannya ketika berurusan dengan para musuhnya.
Apapun, kejayaan Ashurbanipal yang paling ulung adalah kewujudan perpustakaan
diraja miliknya.
![]() |
| Ukiran yang menggambarkan Ashurbanipal, raja terakhir Assyria yang hebat, sedang memburu singa, dari Istana Utara di Nineveh |
Pada mulanya,
Ashurbanipal tidak langsung dijangka akan mewarisi takhta ayahandanya, Esarhaddon
memandangkan beliau mempunyai abang sulung yang bernama Sin-iddina-apla.
Selepas abangnya mangkat pada tahun 672SM, beliau dinamakan sebagai pewaris
takhta. Sebelum kemangkatan abangnya, Ashurbanipal meraih kebebasan untuk
mendalami sebanyak mungkin ilmu pengetahuan memandangkan beliau pada asalnya
bukanlah pewaris takhta (jawatan yang sudah tentu mengehadkan masa lapangnya).
Oleh kerana itu, beliau
mampu meluangkan masa dengan membaca dan menulis, serta menguasai pelbagai
lapangan ilmu termasuklah matematik dan ramalan (kewujudan) minyak.
Berkemungkinan atas faktor inilah Ashurbanipal mengarahkan agar perpustakaan
diraja dibina setelah beliau selesai menstabilkan empayar.
PERPUSTAKAAN
ISKANDARIAH (ALEXANDRIA)
Menurut masyarakat
Parsi dan Armenia Purba, Alexander Agung sendiri pernah melawat dan melihat
Perpustakaan Diraja Ashurbanipal ini semasa kunjungannya ke Nineveh. Oleh
kerana terinspirasi dengan binaan tersebut, beliau pun berhajat untuk
mengumpulkan seluruh karya hasilan masyarakat yang telah ditaklukinya;
menterjemahkannya ke dalam bahasa Greek; dan menyimpannya di dalam sebuah
perpustakaan besar miliknya.
Memandangkan si
penakluk dari Macedonia ini tidak dikurniakan usia yang panjang untuk
merealisasikan impiannya itu, Ptolemy, iaitu salah seorang panglimanya yang
mewarisi kepemimpinan di Mesir mengambil tanggungjawab untuk memulakan
pembinaan Perpustakaan Besar Iskandariah.
![]() |
| Istana Besar Iskandariah, O. Von Corven, abad ke-19 |
TINGGALAN DARI
PERPUSTAKAAN LAMA INI
Seiring peredaran masa,
tinggalan berbentuk fizikal dan mungkin juga ingatan berkenaan Perpustakaan
Ashurbanipal ini hilang dan hanya ditemui semula pada abad ke-19M. Pada sekitar
tahun 1850an, Muzium British menjalankan sebuah usaha ekskavasi di tapak
arkeologi Nineveh. Ketika itulah perpustakaan ini ditemui.
Individu yang
bertanggungjawab ke atas penemuan tersebut adalah seorang ahli arkeologi dari
British yang bernama Sir Austen Henry Layard. Ekskavasi di Nineveh ini
kemudiannya berlanjutan secara berkala sehingga tahun 1930an. Pada waktu itu
pula, lebih dari 30 000 buah tablet tanah liat dan lembaran dijumpai.
![]() |
| Tablet tentang perkiasan, Muzium British |
Perpustakaan Diraja
Ashurbanipal ini dianggap penting atas sejumlah fakor. Antaranya, bilangan
tablet tanah liat dan lembaran yang begitu besar itu membuatkan perpustakaan
milik Ashurbanipal ini menjadi salah sebuah tempat pengkoleksian bahan-bahan
bertulis yang paling bezar di zaman itu. Tambahan lagi, keluasan lapangan ilmu
yang dirangkumi oleh teks-teks berkenaan turut meraih signifikasi tersendiri. Perpustakaan
ini mengandungi teks-teks yang meliputi bidang-bidang seperti perubatan,
mitologi, sains, puisi dan geografi.
Salah satu dokumen yang
paling masyhur dari perpustakaan ini adalah sebahagian catatan daripada Epik
Gilgamesh – epik yang sering dianggap sebagai karya sastera ulung yang paling
berusia. Berikutan keluasan lapangan ilmu yang dirangkumi oleh teks-teks yang
terkandung di dalam Perpustakaan Ashurbanipal ini, makanya ia dianggap sebagai
tinggalan sejarah yang sangat penting terutama dalam pengkajian moden berkenaan
Timur Dekat di zaman purba.
![]() |
| Tablet yang mengandungi sebahagian daripada Epik Gilgamesh |
Menurut sebuah artikel
dari Guardian, perpustakaan ini merupakan sumbangan berkekalan daripada
Ashurbanipal kepada peradaban dunia – sumbangan yang ditinggalkan oleh seorang
raja berkuasa, yang memerintah Empayar Assyria dalam tempoh waktu yang singkat.
Menerusi impian yang
tinggi serta pengorganisasian yang mantap, Ashurbanipal berjaya mengekalkan
kedaulatan empayarnya yang hebat. Impiannya itu dapat diungkap menerusi
kesenian Assyria. Menurut Guardian, ia termasuklah ‘sebahagian dari gambaran
paling mengerikan yang pernah tercipta’, iaitu antaranya penyeksaan, pembunuhan
beramai-ramai, lidah yang direntap hingga putus, serta pelbagai kekejaman lain
(menggambarkan keulungannya dari segi kekuatan).
Di celah-celah
keganasan ini, nilai pemuliharaan dan pemeliharaan kesusasteraan serta keilmuan
turut dijunjung dan diserlahkan dengan baik.
Tahun-tahun
kebelakangan ini, terdapat sebuah projek yang dikenali sebagai Projek
Perpustakaan Ashurbanipal (Ashurbanipal Library Project). Ia merupakan sebuah
kolaborasi di antara Muzium British dan Universiti Mosul di Iraq.
Projek tersebut
dimulakan pada tahun 2002 dan bermatlamat ingin menghidupkan semula
perpustakaan Ashurbanipal dengan cara mendokumentasikan sebanyak mungkin
perihal perpustakaan ini baik menerusi tulisan mahupun gambar.
Diharapkan supaya
projek berkenaan dapat mencambahkan minat, serta menggalakkan penyebaran pengetahuan
dan pengkajian terhadap teks-teks dari tinggalan Perpustakaan Ashurbanipal
sekaligus meningkatkan kefahaman kita tentang Timur Dekat di zaman purba.
SUMBER
- All Mesopotamia, 2012. Part III: Ashurbanipal!
- Hirst, K. K., 2016. Library of Ashurbanipal.
- Lamb, A., 2016. Ancient Libraries: 600s BCE
- oracc.museum.upenn.edu, 2013. The Ashurbanipal Library Project.
- Phillips, H., 2016. The Great Library of Alexandria?
- The British Museum, 2016. The Library of Ashurbanipal.
- web.utk.edu, 2016. Welcome to the Library of King Ashurbanipal Web Page.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Ashurbanipal – Perpustakaan Pertama Dunia’
- Get link
- X
- Other Apps




