- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (20 Oktober 2018). Batu Khan: The Leader of the Golden Horde Kept
His Grandfather Genghis’ Legacy Going. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/batu-khan-0010868
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/batu-khan-0010868
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Batu Khan merupakan
seorang pemerintah Mongol dan pengasas Orda Emas (Golden Horde – turut dikenali
sebagai Kipchak Khanate atau Ulus Jochi). Beliau adalah cucu kepada Genghis
Khan menerusi jalur Jochi si putera sulung Khan Agung itu. Batu Khan juga
bertanggungjawab ke atas perluasan Empayar Mongol ke Russia dan Eropah Timur.
Khanate yang ditubuhkan oleh Batu Khan ini terus berkuasa selama 200 tahun.
KELUARGA KHAN
Batu dilahirkan sekitar
tahun 1205M sebagai putera kedua kepada Jochi. Walaupun merupakan anak sulung
Genghis Han, Jochi si bapanya dikesampingkan oleh Khan Agung dalam soal
pemerintahan. Perang saudara antara si ayah dan anak itu hampir-hampir sahaja
berlaku terutama apabila Jochi disyak berkomplot menentang Genghis. Walau
bagaimanapun, peperangan tersebut berjaya dielakkan rentetan kemangkatan Jochi
pada Februari 1227M.
Genghis Khan sendiri
mangkat enam bulan kemudian. Bahagian pewarisan empayar milik Jochi kemudiannya
dibahagi-bahagikan sesama anaknya. Selain dari wilayah yang paling barat bagi
empayar itu, anak-anak Jochi turut diberikan seramai 4000 orang tentera Mongol
untuk terus meluaskan lagi wilayah.
Genghis Khan duduk di tengah sambil Jochi berdiri di kiri |
BATU KHAN DAN ORDA EMAS
Sementara anak sulung
Jochi yang bernama Orda Khan menerima bahagian timur wilayah bapanya, bahagian
barat pula diserahkan kepada Batu Khan. Keadaan ini menandakan permulaan kepada
penubuhan Orda Emas. Saiz ketumbukan tentera Batu Khan turut bertambah menerusi
rekrut para pahlawan dari etnik Turki (terutama Kipchak Turki) yang telah
terlebih dahulu ditundukkan – sekaligus memasukkan identiti etnik berkenaan ke
dalam Orda Emas.
Pada tahun 1235M, Batu
Khan diberikan arahan agar memperluaskan lagi Emapyar Mongol ke barat. Perintah
tersebut dikeluarkan oleh Ogedei Khan, bapa saudaranya merangkap pengganti
Genghis Khan. Bagi tujuan kelangsungan kempen tersebut, Batu Khan diberikan
seramai 130 000 orang tentera.
Walau bagaimanapun,
kepemimpinan sebenar ketumbukan itu diserahkan kepada Subotai, salah seorang
panglima paling berbakat dalam Empayar Mongol. Beberapa orang kerabat Batu
Khan, seperti sepupunya Guyuk dan Mongke, juga dihantar untuk menyertai kempen
tersebut.
SERANGAN-SERANGAN BATU
KHAN
Pada tahun 1236M, Batu
Khan dan bala tentera Mongol menyeberangi Volga dan menyerang Volga Bulgaria.
Dalam masa setahun, Volga Bulgarian, Kipchak, dan Alani berjaya ditewaskan.
Batu Khan kemudiannya mengalihkan tumpuan ke wilayah-wilayah Russia. Ryazan
misalnya tumbang pada tahun 1237M, disusuli oleh Vladimir-Suzdal.
Serangan Orda Emas ke atas Ryazan |
Setelah itu, ketumbukan
Mongol dipecahkan kepada beberapa buah pasukan kecil bagi tujuan serangan ke
pelbagai wilayah secara serentak. Antara wilayah yang tidak digempur oleh bala
tentera Mongol ini adalah Smolensk (yang menyerah-diri), Novgorod dan Pskov
(dua kota yang tidak dapat dicapai oleh Mongol pada waktu itu). Pada musim
panas tahun 1238M, Crimea dan selatan steppe Ukraine tumbang ke tangan Mongol.
Kemudian pada bulan Disember tahun yang sama, Kyiv pula dijarah. Para putera
Russia kini menjadi pemerintah bawahan Orda Emas.
Dengan tamatnya kempen
Russia itu, Batu Khan kini menumpukan perhatiannya ke Eropah Tengah. Untuk
tujuan itu, bala tentera Mongol dipecahkan kepada tiga buah pasukan. Pasukan
pertama diarahkan menyerang Poland dan berjaya meraih kemenangan bergaya
menentang Henry II the Pious, Duke of Silesia, dan para sekutunya dalam
Pertempuran Legnica yang berlangsung pada tahun 1241M.
Pasukan kedua pula
mendepani Carpathian sambil pasukan ketiga bergerak di sepanjang Sungai Danube.
Ketiga-tiga pasukan ini kemudiannya bergabung semula di Hungary, di mana Batu
Khan dan Subotai menghancurkan ketumbukan Hungary yang berada di bawah
kepemimpinan Raja Bela IV dalam Pertempuran Mohi (yang berlangsung dua hari
selepas Pertempuran Legnica).
Pertempuran Mohi 1241 di antara tentera Hungary dan Mongol |
Ketika Batu Khan dan
para panglimanya sedang bersiap-sedia untuk menakluk saki-baki wilayah Eropah
yang lain, khabar berita datang dari Mongol memaklumkan bahawa Ogedei Khan
telah mangkat pada tahun 1241M. Sebuah kurultai dikatakan bakal diadakan
bagi memilih Khan Agung yang baru. Oleh kerana itu, para putera Mongol
dipanggil pulang ke Karakorom. Susulan daripada kejadian ini, Batu Khan dan
ketumbukan Mongol pun terpaksa berundur dari Eropah pada musim bunga tahun
1242M.
Kerusi Khan Agung
diserahkan kepada Guyuk. Disebabkan ketegangan yang berlaku di antara Guyuk dan
Batu Khan, maka mustahil untuk Batu Khan menyambung kempennya di Eropah. Semasa
Guyuk digantikan oleh sepupunya, Mongke pada tahun 1251, Batu Khan kembali
merancang untuk melancarkan kempen ke Eropah. Namun, beliau terlebih dahulu
mangkat pada tahun 1255M sebelum sempat hasratnya itu dimulakan.
Batu Khan. Lukisan Cina pada Zaman Pertengahan |
SUMBER
- Encyclopedia.com, 2018. Batu Khan.
- Enkhzul, 2016. “Barbaric” Batu Khan built Russia up.
- New World Encyclopedia, 2014. Batu Khan.
- New World Encyclopedia, 2017. Golden Horde.
- Szczepanski, K., 2017. What Was the Golden Horde?.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica, 2016. Batu.
- Get link
- X
- Other Apps