- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
DHWTY. (22 Mei 2018).
The Jin Dynasty: The Sima Clan Fights to Hold China Together. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/jin-dynasty-sima-clan-fights-hold-china-0010084
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/jin-dynasty-sima-clan-fights-hold-china-0010084
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Dinasti Jin merupakan
sebuah dinasti diraja yang memerintah Cina pada rentang waktu antara abad ke-3
hingga abad ke-5M. Dinasti ini tertubuh setelah berakhirnya era Tiga Kerajaan,
era di mana Cina terpecah kepada tiga buah kerajaan yang berkuasa. Dinasti Jin
berjaya menundukkan ketiga-tiga kerajaan tersebut sekaligus menyatukan seluruh
Cina. Walau bagaimanapun, tidak lama kemudian negara berkenaan sekali lagi
tumbang ke kancah huru-hara.
Sebaik sahaja Dinasti
Jin kehilangan kuasa ke atas wilayah-wilayah di utara, keadaan tersebut
menandakan bermulanya era 16 Kerajaan. Kehilangan wilayah-wilayah tersebut juga
menyebabkan berlakunya perpecahan antara Dinasti Jin Barat dan Dinasti Jin
Timur. Dinasti ini berakhir secara rasmi apabila maharaja terakhirnya dipaksa supaya
turun takhta oleh salah seorang panglimanya.
Lukisan pada batuan makam dari Dinasti Jin Barat |
BERAKHIRNYA ERA TIGA
KERAJAAN
Sebelum tertubuhnya
Dinasti Jin, Cina terbahagi kepada tiga buah kerajaan yang saling berperang –
Shu, Wei dan Wu. Era ini, yang dikenali sebagai era Tiga Kerajaan, hanya
berakhir apabila ketiga-tiga kerajaan terbabit ditundukkan oleh keluarga Sima,
keluarga yang mengasaskan Dinasti Jin.
Walaupun Sima Yan (juga
dikenali sebagai Maharaja Wu dari Jin) merupakan individu yang bertanggungjawab
menubuhkan Dinasti Jin, batu asas kepada penubuhan tersebut telah pun dimulakan
oleh orang-orang tuanya. Sima Yi, dilantik sebagai pemangku maharaja semasa Cao
Fang menaiki takhta pada usia yang begitu muda. Kenaikan kuasa keluarga Sima terus
berlanjutan di bawah pengaruh anak-anak Sima Yi, iaitu Sima Shi dan Sima Zhao.
Semasa zaman kekuasaan Sima Zhao, Shu berjaya ditundukkan oleh Wei.
Pada tahun 266M, putera
Sima Zhao yang bernama Sima Yan bertindak memaksa Cao Huan untuk turun takhta
dan menabalkan dirinya sebagai maharaja sekaligus menamatkan pemerintahan Wei.
Cao Huan kemudiannya hanya dikurniakan gelaran ‘Tengku Chenliu’ dan dilayan
dengan baik oleh SIma Yan dan pemerintah yang menggantikannya.
Walaupun sejak itu
kuasa berada di tangan Dinasti Jin, ia masih tidak belum dapat mendominasi
seluruh tanah besar Cina. Hal ini hanya dapat diraih pada tahun 280M apabila
era Tiga Kerajaan secara rasminya berakhir. Pada tahun tersebut, Dinasti Jin
berjaya menundukkan Wu, kerajaan terakhir yang paling lama bertahan di antara
ketiga-tiga kerajaan.
Walaupun Sima Yan
merupakan seorang pemerintah yang berkebolehan, penggantinya yang bernama Sima
Zhong tidak mewarisi bakat tersebut. Maharaja kedua Jin yang dikenali sebagai
Maharaja Hui menghidap penyakit ketumbuhan sekaligus menyebabkannya tidak
berupaya untuk memerintah dengan baik. Oleh kerana itu, tercetus pertelagahan
dalaman di kalangan ahli kerabat diraja Jin yang masing-masing berebutkan
takhta. Konflik ini dikenali sebagai Perang Lapan Putera dan hanya berakhir
dengan kemangkatan maharaja pada tahun 306M.
Sima Yan, Maharaja Yu bagi Dinasti Jin |
PAHLAWAN-PAHLAWAN
DINASTI JIN
Salah satu kesan
susulan daripada peristiwa Perang Lapan Putera adalah melemahnya kekuasaan
pusat Dinasti Jin. Pada kurun-kurun terdahulu, puak-puak bukan beretnik
Han-Cina mendiami kawasan bahagian utara Cina. Puak-puak ini mengambil
kesempatan semasa berlakunya huru-hara dalam pemerintahan Dinasti Jin untuk
mencetuskan pemberontakan dan menubuhkan kerajaan tersendiri.
Pemberontakan Lima Puak
Gasar bermula pada tahun 304M dan berakhir pada tahun 316M. Dalam kemelut ini,
kemenangan diraih oleh pihak pemberontak sekaligus membawa kepada era yang
dikenali sebagai era 16 Kerajaan. Bagi pihak Jin yang mengalami kekalahan,
mereka terpaksa memindahkan pusat pemerintahannya semakin ke selatan di mana
Dinasti Jin Timur mula ditubuhkan.
Selain kerabat istana,
para bangsawan di wilayah utara ikut berpindah. Hal ini memerlukan pihak
pemerintah menangani keadaan tersebut dengan begitu teliti bagi mewujudkan
keharmonian dan keseimbangan di antara para bangsawan yang datang dari utara
dengan para bangsawan yang menetap di selatan.
Lukisan abad ke-4M, di zaman pemerintahan Dinasti Jin |
Walaupun pada
hakikatnya Dinasti Jin Timur tidak pernah berjaya mengukuhkan pusat
pemerintahan mereka di selatan, mereka tetap jua berhasil mempertahankan diri
dari serangan dari utara dan entah bagaimana, meraih kejayaan dalam
kempen-kempen ketenteraan yang dilancarkan ke atas mereka.
Patung seorang pahlawan Dinasti Jin di sebuah makam |
KEJATUHAN
Walaupun para panglima
Dinasti Jin Timur merupakan pihak yang menyumbang kepada kejayaan-kejayaan
tersebut, pada hakikatnya mereka jualah yang mengakibatkan kejatuhan dinasti
berkenaan. Huan Wen, yang dianggap sebagai panglima paling berkemampuan dalam
Dinasti Jin, bertindak menurunkan Maharaja Fei dari takhta lalu menaikkan
seorang maharaja boneka yang bernama Maharaja Jianwen. Kemudian, anaknya yang
bernama Huan Xuan menjadi individu yang bertanggungjawab merampas takhta
daripada Maharaja An dan menubuhkan kerajaan Chu pada tahun 403M.
Namun, kerajaan
tersebut tidak dapat bertahan lama apabila tercetus sebuah pemberontakan yang
dipimpin oleh Liu Yu yang berhasil menggulingkan Huan Xuan dan menaikkan
kembali Maharaja An. Akan tetapi, maharaja mangkat pada tahun 419M dan
saudaranya, Maharaja Gong mengambil-alih takhta. Tidak lama kemudian, maharaja
dipaksa supaya turun takhta bagi diserahkan kepada Liu Yu pada tahun 420M
sekaligus menamatkan pemerintahan Dinasti Jin secara rasmi.
Liu Yu |
SUMBER
- Fercility, 2018. The Jin Dynasty.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica, 2011. Jin Dynasty.
- Theobald, U., 2000. Jin Dynasty 晉 (265-420).
- TravelChinaGuide, 2018. Jin Dynasty.
- Learn Chinese History. 2018. Western Jin Dynasty: Facts, Achievements and More.
- Learn Chinese History. 2018. Eastern Jin Dynasty: Facts & History.
- Get link
- X
- Other Apps