- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (5 Mei 2018). Ereshkigal: The Mighty Mesopotamian Goddess of the
Underworld. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/ereshkigal-mighty-mesopotamian-goddess-underworld-0010004
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/ereshkigal-mighty-mesopotamian-goddess-underworld-0010004
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Ereshkigal merupakan
dewi alam neraka yang tersebut di dalam mitologi Mesopotamia purba. Beliau
dipercayai sebagai Ratu Alam Neraka dan merupakan satu dewata yang sangat
berkuasa. Kisah berkenaan Ereshkigal boleh dilihat di dalam mitos yang dikenali
sebagai Inanna’s Decent to the Underworld (Pengembaraan Inanna ke Alam
Neraka), di mana Ereshkigal ditampilkan meraih kemenangan dalam pertembungan
dengan adik perempuannya, Inanna yang juga merupakan seorang dewi yang kuat.
Sebuah lagi mitos yang memperlihatkan peranan penting yang dimainkan oleh Ereshkigal
adalah mitos berkenaan perkahwinannya dengan Nergal.
KERAJAAN ERESHKIGAL
Masyarakat Mesopotamia
purba percaya kepada kehidupan sesudah mati. Mereka turut meyakini bahawa roh si
mati akan pergi ke Alam Neraka. Bagi masyarakat Sumeria, tempat tersebut
dikenali sebagai Kur sementara masyarakat Akkadia pula memanggilnya sebagai
Irkalia. Ia merupakan sebuah tempat yang suram lagi gelap di mana roh-roh si
mati dipercayai meminum air lumpur dari becak dan memakan pepasir.
Bagi
masyarakat Mesopotamia, Alam Neraka dipercayai diperintah oleh Ereshkigal,
dewata yang namanya memikul pengertian “Ratu Alam Bawah yang Agung” atau “Cikpuan
bagi Tempat yang Agung”. Agung di sini merujuk kepada keluasan kerajaannya.
ASAL-USUL ERESHKIGAL
Dalam sebahagian mitos,
Ereshkigal dikatakan merupakan anak kepada Anu, dewa terulung dalam panteon
Mesopotamia merangkap personafikasi langit. Menurut sebuah mitos, semasa air
mata Anu gugur kerana perpisahannya dengan Ki (personafikasi bumi), ia
bercampur dengan air masin daripada dewa laut yang bernama Nammu. Dari situ,
maka lahirlah Ereshkigal.
Dewi ini kemudiannya
menjadi Ratu Alam Neraka setelah beliau ditangkap oleh naga Kur, iaitu saudara
tiri Ereshkigal. Kur membawa dewi tersebut ke Alam Neraka walaupun Ereshkigal
cuba diselamatkan oleh para dewa yang lain. Namun, tiada yang mampu berbuat demikian
kerana tiada siapa termasuklah para dewa dapat kembali dengan selamat jika
memasuki alam kematian.
![]() |
| Ereshkigal |
PENGEMBARAAN INANNA KE
ALAM NERAKA
Ereshkigal memainkan
peranan yang besar dalam mitos yang dikenali sebagai Inanna’s Descent to the
Underworld. Watak utama di dalam mitos ini adalah Inanna, si Ratu Langit
dan adik kepada Ereshkigal. Dalam mitos tersebut, Inanna mengembara ke Alam
Neraka untuk menyaksikan upacara pengebumian Gugalanna, suami kepada
Ereshkigal.
Walaupun Inanna diberikan izin untuk melalui ketujuh-tujuh gerbang
Alam Neraka, Ereshkigal memerintahkan pengawal gerbangnya, Neti, untuk
menanggalkan sehelai pakaian atau sebuah alat kemas milik adiknya setiap kali
gerbang dilepasi.
Hal ini boleh
ditafsirkan sebagai kehilangan kuasa Inanna secara bertahap apabila beliau
berjalan semakin jauh ke perosok Alam Neraka.
Akhirnya, semasa Inanna tiba di
singgahsana Ereshkigal, beliau benar-benar telanjang dan tidak memiliki kuasa.
Setelah Anunna memberikan penghakiman ke
atasnya, Inanna pun dibunuh oleh Ereshkigal dan jasadnya digantung pada sebuah
cangkung di dinding. Namun, para dewa berjaya menyelamatkannya dan membawanya
keluar dari Alam Neraka hidup-hidup.
![]() |
| Ereshkigal, Ratu Alam Neraka |
BERKAHWIN DENGAN NERGAL
Sebuah lagi mitos yang
menyaksikan kemunculan Ereshkigal adalah mitos perkahwinannya dengan Nergal,
pasangannya yang keempat. Di dalam mitos ini, dikisahkan bahawa para dewa
mengadakan jamuan yang tidak dapat dihadiri oleh Ereshkigal. Maka, Ratu Alam
Neraka itu pun mengutus anaknya, Namtar sebagai wakil. Sebaik sahaja Namtar
tiba, kesemua dewa kecuali Nergal si dewa perang bangun untuk memberikan
penghormatan kepada Namtar, bagi pihak Ereshkigal. Namtar berasa terhina dengan
perbuatan Nergal itu dan apabila pulang ke Alam Neraka, kejadian itu diadukan
kepada ibunya.
Ereskhigal yang naik
berang segera menuntut agar Nergal diserahkan kepadanya untuk dibunuh. Para
dewa akur dengan permintaannya itu. Namun sebelum itu, Nergal diberikan 14 ekor
iblis untuk membantunya di setiap gerbang. Ereshkigal mengarahkan agar
gerbang-gerbang itu ditutup setelah dilalui oleh Nergal dan apabila dewa perang
itu tiba di singgahsananya, Ereshkigal berniat untuk membunuhnya.
![]() |
| Ukiran patung Parthia purba yang menggambarkan Nergal, dewa kematian dan wabak bagi Mesopotamia purba |
Namun, Nergal
memanfaatkan sepasang iblis pada setiap gerbang supaya gerbang tersebut kekal
terbuka. Apabila dewa perang itu tiba di hadapan Ereshkigal, beliau berjaya
menewaskan Ratu Alam Neraka dan anaknya, Namtar. Ketika Nergal hampir mahu
memancung Ereshkigal dengan menggunakan kapaknya, dewi itu meminta agar dibelas
kasihani dan berjanji untuk menjadi isteri Nergal dan berkongsi kuasa
dengannya.
Nergal berasa
serba-salah dengan perbuatannya itu lantas memenuhi permintaan Ereshkigal.
Walaupun Nergal hidup bersama Ereshkigal di Alam Neraka, keadaan tersebut hanya
berlangsung selama setengah tahun sahaja. Hal ini kerana beliau adalah dewa
perang dan peperangan merupakan satu ciri semula jadi dalam kewujudan manusia –
suatu ciri yang tidak boleh dihapuskan buat selama-lamanya.
RATU MALAM
Akhir sekali, sesuai
kiranya untuk disebutkan bahawa tiada ikonografi Ereshkigal yang kekal sehingga
ke hari ini. Malah, para sejarahwan memperdebatkan sama ada Burney Relief (juga
dikenali sebagai Ratu Malam) itu merupakan satu gambaran bagi dewi ini ataupun
tidak. Walau bagaimanapun, pendapat tersebut tidak diterima secara menyeluruh
memandangkan ada yang berpendapat bahawa relik tersebut menggambarkan adik
Ereshkigal, iaitu Inanna atau bahkan mungkin Lilith.
![]() |
| Ukiran patung ini menunjukkan dewi Syria, berkemungkinan Ishtar atau adiknya, Ereshkigal |
SUMBER
- Anon., Inanna’s Descent to the Nether World [Online]
- Anon., Nergal and Ereshkigal
- [Dalley, S. (trans.), 2008. The Epic of Creation , in Myths from Mesopotamia, Creation, the Flood, Gilgamesh, and Others . Oxford: Oxford University Press.]
- [The Electronic Text Corpus of Sumerian Literature, Faculty of Oriental Studies, University of Oxford (trans.), 2002. Inanna’s Descent to the Nether World.
- DHWTY, 2017. The Descent of Inanna into the Underworld: A 5,500-Year-Old Literary Masterpiece.
- Heffron, Y., 2016. Ereškigal (goddess).
- New World Encyclopedia, 2017. Ereshkigal.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica, 2018. Ereshkigal.
- Get link
- X
- Other Apps




