- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Riley Winters. (17 Mac 2019). Fenrir: The Monstrous Wolf of Norse Legend.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/legend-fenrir-wolf-bite-002498
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/legend-fenrir-wolf-bite-002498
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Dipercayai sebagai
salah satu anak Loki bersama gergasi-betina (jötunn) yang bernama Angrboða,
Fenrir memainkan peranan penting, walau singkat, dalam mitologi Norse. Fenrir
adalah serigala bersaiz besar yang memiliki kekuatan yang dahsyat.
Walaupun
Fenrir hanya dikisahkan di dalam satu penceritaan utama pada saga Norse, namun
ia cukup untuk menggambarkan tentang keberanian seorang dewa dan petanda maut
bagi dewa-dewa yang lain. Malang buat dewa Aesir dan Vanir, kewujudan Fenrir merupakan salah satu tanda pengakhiran dunia Norse: atau dikenali sebagai Ragnarök.
Menurut Prose Edda karya
Snorri Sturluson, hikayat tentang Fenrir ini bermula sama seperti mana-mana
raksasa dalam hikayat lain, iaitu dengan kelahirannya yang mencarik norma. Ketika
Fenrir dilahirkan bersama adik-beradiknya yang lain, iaitu naga besar Jörmungandr dan
wanita berambut gelap bernama Hel, para dewa Aesir berhimpun untuk membincangkan
tentang tindakan lanjut terhadap tiga makhluk berbahaya tersebut – yang mana
tiga beradik itu diramalkan akan terlibat dalam kemusnahan dunia Norse.
Hel dihantar ke
Niflheim, satu lokasi yang memiliki kesamaan dengan Neraka bagi penganut Kristian
– tempat yang amat sejuk dan gelap. Jörmungandr pula dihantar ke
laut dan kekal di sana sehingga waktu yang ditetapkan (Ragnarök).
Namun, Fenrir ternyata menghadirkan masalah yang lebih besar buat para dewa.
Ketika Hel dan Jörmungandr sempat dihantar ke tempat yang
ditentukan, Fenrir dengan ajaibnya membesar dengan begitu pantas – menjadi jötunn dalam
kalangan serigala. Untuk melindungi dewa-dewa Aesir dari bahaya yang dibawa
oleh Fenrir, maka mereka pun memutuskan supaya Fenrir ini perlu dibelenggu.
![]() |
| Odin dan Fenrir, dari lukisan berjudul “Myths of the Norsemen from the Eddas and Sagas”, 1909 |
CUBAAN MEMBELENGGU SANG
SERIGALA
Tiga jenis belenggu
atau pengikat terlebih dahulu dicipta sebelum para dewa berjaya membelenggu
Fenrir. Belenggu yang pertama dikenali sebagai Leyding. Ia tidak dapat bertahan
lama apabila menerima tendangan padu daripada Fenrir. Belenggu kedua, iaitu Dromi
ternyata lebih kuat berbanding belenggu pertama. Namun, ia tetap berjaya
dihancurkan oleh Fenrir walaupun masa yang diambil oleh serigala itu pada kali
ini lebih lama.
Dalam cubaan yang
ketiga, para dewa menyedari bahawa mereka memerlukan kepakaran yang menjangkaui
kemampuan mereka. Oleh kerana itu, Odin, dewa utama Aesir pun menghantar
pesanan kepada penghuni Svartálfaheimr, dunia bagi peri-peri hitam.
Mereka hidup di bawah tanah dan berperwatakan buruk secara umum. Pun begitu,
mereka tetap bersetuju untuk menciptakan sejenis belenggu yang cukup kuat untuk
merantai serigala gergasi itu.
Peri-peri hitam itu
kemudiannya membekalkan Odin dengan Gleipnir, belenggu yang diperbuat daripada
enam jenis bahan mitos: bunyi tapak kaki kucing, akar gunung, urat beruang,
janggut wanita, nafas ikan dan ludah burung. Dengan keenam-enam bahan tersebut
maka terhasillah sejenis belenggu yang sehalus riben namun sekuat besi. Para dewa Aesir membuat
perhitungan sekali lagi dengan Fenrir di Pulau Lyngvi.
Tatkala melihat belenggu
tersebut, Fenrir sendiri meragui kemampuannya untuk menghancurkannya. Ketika
para dewa cuba memprovoknya supaya menghancurkan belenggu tersebut, Fenrir
meminta supaya dewa meletakkan tangan di rahangnya. Permintaan itu dipenuhi
oleh satu-satunya dewa Aesir yang cukup berani untuk membahayakan dirinya demi
kebaikan sejagat – iaitu Dewa Tyr, dewa perundangan dan keadilan, Hanya
menerusi tindakan itu, barulah Fenrir berhasil dirantai.
Segala cubaan serigala
itu untuk membebaskan diri ternyata gagal. Oleh kerana berasa marah dengan
kegagalannya itu di samping berang terhadap para dewa yang berjaya
membelenggunya, Fenrir bertindak membaham tangan Tyr. Lantas, dewa-dewa Aesir
itu pun membelenggunya dengan lebih ketat. Erangan Fenrir pula membenarkan
sebilah pedang dibenam pada rahangnya sementara hulu pedang tersebut membuatkan
mulutnya terus ternganga sekaligus mendiamkan makhluk itu sehingga tibanya Ragnarök.
Hanya pada masa itulah Fenrir akan dapat merasai kebebasan. Bergegarnya bumi
dan hancurnya gunung-ganang yang berlaku pada waktu itu akan meleraikan
belenggu Gleipnir, membebaskan serigala itu untuk kemudiannya membahan membaham
Odin.
![]() |
| Fenrir membaham tangan Tyr dalam sebuah ilustrasi yang termuat pada manuskrip Iceland abad ke-18 |
PENGAKHIRAN AESIR
Kejadian itu merupakan
permulaan kepada pengakhiran buat dewa-dewa Aesir. Prose Edda menyatakan
bahawa dua ekor anak Fenrir, iaitu Sköll dan Hati Hróðvitnisson
akan mengikuti jejak langkah ayahnya – membaham matahari dan bulan,
menghancurkan bintang dan segala esensi masa. Hanya selepas semua ini berlaku,
barulah Fenrir dibunuh oleh anak Odin yang bernama Víðarr.
Tidak lama kemudian, dunia Aesir pun lenyap dan sebuah dunia baru muncul bagi
menggantikannya.
Walaupun hikayat
daripada kepercayaan Norse purba ini telah menjangkau usia berabad-abad
lamanya, ternyata hikayat ini adalah satu-satunya sumber yang menyebutkan
secara terperinci tentang karakter Fenrir. Serigala ini meluangkan seluruh
hidupnya dalam keadaan terbelenggu di sebuah pulau terpencil, hinggalah takdir
menetapkan kebebasannya.
Kisahnya memiliki signifikasi tersendiri kerana ia
melalui kepedihan yang lebih berbanding ahli-ahli keluarganya yang lain.
Bapanya, Loki merupakan figura yang bertanggungjawab memimpin para jötunn dan
bala tentera dari Niflheim dalam memerangi dewa-dewa Aesir semasa berlakunya Ragnarök.
Sambil itu, amukan Jörmungandr pula berperanan membebaskan Fenrir
daripada belenggu Gleipnir. Namun, sosok yang bakal membunuh ketua dewa itu
adalah Fenrir sendiri, dan atas kerana itulah namanya terus diingati.
![]() |
| Tyr dan Fenrir, dalam lukisan berjudul “Our Fathers’ Godsaga”, 1911 |
SUMBER
- Abram, Christopher. Myths of the Pagan North: the gods of the Norsemen (Continuum International Publishing Group: London. 2011)
- Colum, Padriac. Nordic Gods and Heroes (Dover Publication: New York. 1996)
- Guerber, Helene A. Myths of the Norsemen (Barnes & Noble, Inc: New York. 2006)
- Sturluson, Snorri. The Poetic Edda. Trans. Lee Hollander (University of Texas Press: Austin. 2011)
- Unknown Author. The Prose Edda. Trans. Jesse L. Byock (Penguin Classics: New York. 2006)
- Get link
- X
- Other Apps



