- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
DHWTY. (27 Februari 2019). Closer to Enlightenment? Potala Palace, the Highest
in the World. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/closer-enlightenment-potala-palace-highest-world-007800
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/closer-enlightenment-potala-palace-highest-world-007800
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Istana Potala, lambang
ikonik bagi kepercayaan Buddha di Tibet merupakan istana yang paling tinggi di
dunia. Istana ini pernah berfungsi sebagai kediaman musim sejuk untuk Dalai
Lama di samping berperanan sebagai pusat pentadbiran Tibet. Istana Potala
terletak di Lhasa, ibu kota Tibet dan kini dibuka sebagai sebuah musium yang
memelihara kebudayaan silam. Ia turut tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia
yang indah.
Gambar Istana Potala, Tibet |
LOKASI DI PUNCAK BUKIT
Istana Potala terletak
di puncak Marpo Pi (bermaksud ‘Bukit Merah’), sebuah bukit di Lembah Lhasa yang
memiliki ketinggian mencecah 130 meter (426.51 kaki). Menurut legenda, terdapat
sebuah gua suci di bukit ini. Gua berkenana pernah menjadi tempat penghunian
Avalokitesvara (juga dikenali sebagai ‘Chenrezi’ dalam bahasa Tibet), seorang
bodhisattva yang diangga sebagai penjelmaan keluhuran Buddha.
Maharaja Songtsen Gampo
juga dipercayai pernah menjadikan gua tersebut sebagai tempat untuknya
bermeditasi.
Semasa pemerintahan
beliau, iaitu pada tahun 637M, istana pertama dibina di Marpo Ri. Menurut suatu
sumber, istana tersebut dibina supaya maharaja dapat menyambut ketibaan
permaisuri barunya, Puteri Wencheng yang berasal dari Tang-Cina.
Panah petir menyambar di kawasan sekitar Istana Potala, Lhasa, Tibet |
KEDIAMAN MUSIM SEJUK
BUAT DALAI LAMA
Walau bagaimanapun,
binaan yang kekal pada hari ini hanya dibina semasa pemerintahan Dalai Lama
ke-5, iaitu Ngawang Lobsang Gyatsu pada abad ke-17M atau lebih tepat,
pembinaannya dimulakan pada tahun 1645M. Tiga tahun kemudian, Istana Putih yang
berfungsi sebagai kediaman musim sejuk bagi Dalai Lama siap dibina sepenuhnya.
Pun begitu, binaan yang
siap hanyalah istana berkenaan sahaja. Binaan-binaan lain mengambil masa
beberpa dekad untuk disiapkan. Pembinaan stana Merah (yang didedikasikan kepada
ajaran dan pemujaan Buddha) misalnya, hanya dapat disiapkan pada tempoh masa
antara tahun 1690 hingga 1694M. Dalai Lama ke-5 pula mangkat pada tahun 1682M.
Dalai Lama ke-5, Ngawang Lobsang Gyatso |
Oleh kerana berasa
khuatir kalau-kalau kemangkatan Dalai Lama itu akan mengakibatkan projek
pembinaan tergendala, para sami mengambil keputusan untuk merahsiakan khabar
kemangkatan tersebut sehingga 10 tahun lamanya – masa Istana Merah disiapkan.
Sepanjang tempoh itu, seorang sami yang memiliki rupa paras yang mirip dengan
Ngawang Lobsang Gyatsu ditugaskan supaya menyamar sebagai Dalai Lama itu.
PENGUASAAN CINA KE ATAS
ISTANA POTALA
Pada tahun 1959M,
Pemberontakan Tibet meletus bagi menentang pentadbiran Cina. Namun,
pemberontakan tersebut meraih kegagalan dan Dalai Lama ke-14, iaitu Tenzin
Gyatso terpaksa melarikan diri ke India. Akibatnya, Istana Potala tidak lagi
berpenghuni dan kefungsiannya sebaai kediaman Dalai Lama pun terhenti.
Pada tempoh masa antara
1960an hingga 1970an, banyak binaan keagamaan di Tibet menjadi mangsa
kedurjanaan Pengawal Merah semasa berlakunya Revolusi Budaya. Apapun, Istana
Potala terselamat daripada ikonoklasme (gerakan menghancurkan patung keagamaan)
itu memandangkan binaan tersebut dilindungi sendiri oleh tentera-tentera Zhou
Enlai.
Istana Potala
kemudiannya diubah oleh kerajaan Cina menjadi sebuah musium negara. Pada hari
ini, ia kekal sebagai tapak kunjungan yang penting di samping meraih status
sebagai Tapak Warisan Dunia daripada UNESCO.
Istana Potala pada hari ini, merupakan sebuah Tapak Warisan Dunia yang terkenal |
MEMELIHARA SEJARAH
SILAM
Baru-baru ini,
diumumkan bahawa kerajaan Cina bercadang mahu membelanjakan kira-kira 3000 juta
yuan ($45 juta) bagi tujuan memelihara dokumen dan teks-teks purba yang
terdapat di tapak bersejarah itu. Projek berjangka 10 tahun ini melibatkan
sejumlah usaha termasuklah pemeliharaan digital di samping penyenaraian lebih
2800 buah jilid teks.
China Daily melaporkan
bahawa dokumen-dokumen daripada Han, Tibet, Man, Mongolia dan Sanskrit yang
meliputi 20 lapangan ilmu itu terkandung di dalam lebih 40 000 buah buku.
Kesemua khazanah ini terdapat di beberapa buah tempat seperti biara kecil pada
stupa-stupa dan patung-patung Buddha, balairung dan beberapa buah perpustakaan
lain.
Jondan, pengarah
jabatan pentadbiran istana memaklumkan kepada pihak media, “Dokumen dan teks
kesusasteraan yang berharga ini merangkumi hampir keseluruhan dokumen purba
Tibet. Antara kandungannya termasuklah tiga buah koleksi ajaran Sakyamuni
Buddha, 10 macam pengetahuan sains, biografi, perubatan, sejarah, opera,
hikayat pertahunan, dan bibliografi.”
BINAAN YANG MENGAGUMKAN
Salah satu perkara yang
menonjolkan Istana Potala ini adalah seni binanya yang amat mengagumkan. Seluruh
binaan ini diperbuat daripada kayu dan batu di samping mengandungi lebih 1000
buah bilik, biara kecil dan dewan.
Pelan bangunan Istana Potala pada abad ke-17 |
Istana ini juga
menempatkan sejumlah karya seni yang boleh membuatkan mana-mana pengunjung yang
melihatnya berasa terpukau. Antara barangan seni tersebut termasuklah
patung-patung Budha, barangan antik dan lukisan dinding. Lukisan-lukisan
dinding pada Istana Potala ini menggambarkan banyak peristiwa penting sepanjang
sejarah Tibet di samping memaparkan kisah hidup beberapa orang Dalai Lama.
Selain itu, ciri
keagamaan pada Istana Potala diserlahkan lagi dengan tempat persemadian
beberapa orang Dalai Lama. Lapan orang Dalai Lama disemadikan di Istana Merah
dan binaannya memiliki keunikan yang tersendiri.
Misalnya jasad Dalai
Lama ke-5 yang telah dimumiakan, ditempatkan di sebuah stupa (sebuah binaan
berbentuk kubah) di bahagian barat Istana Merah. Stupa berkenaan memiliki
ketinggian 5 tingkat, diselaputi 4 tan emas dan ditatahkan dengan sejumlah batu
berharga.
SUMBER
- Gray, M., 2016. Potala Palace.
- Kelly, 2015. The Potala Palace — The Highest Ancient Palace.
- Lonely Planet, 2017. Potala Palace.
- Sacred Destinations, 2017. Potala Palace, Lhasa.
- TibetDiscovery.com, 2017. Potala Palace.
- UNESCO, 2017. Historic Ensemble of the Potala Palace, Lhasa.
- Get link
- X
- Other Apps