- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
April Holloway. (21
Ogos 2014). Kamikaze – The Divine Winds that Saved Japan. Ancient Origins.
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Pada abad ke-13M,
Monggol yang ketika itu dipimpin oleh Kublai Khan si cucu kepada Genghis Khan
melakukan dua percubaan serangan ke atas Jepun, tepatnya pada tahun 1274M dan
1281M. Walau bagaimanapun, kedua-dua percubaan itu menyaksikan satu ribut
kencang membadai dan menghancurkan armada perang mereka sekaligus memaksa
Monggol mengabaikan hasrat mereka untuk menakluk Jepun. Masyarakat Jepun
mempercayai bahawa ribut taufan itu dikirim oleh para dewa bagi melindungi
mereka daripada musuh lantas memanggilnya sebagai Kamikaze (angin suci).
Selepas menguasai Cina
pada tahun 1230M dan menakluk Korea pada tahun 1231M, Kublai Khan diangkat
menjadi maharaja pertama Mongolia dan menamakan pemerintahannya sebagai Dinasti
Yuan yang bermaksud ‘permulaan pertama’. Jepun pula terletak hanya 100 batu
jauh sekaligus hal ini membuatkan mereka risau bakal menjadi mangsa serangan
Monggol yang seterusnya.
Di antara tahun 1267M
hingga 1274M, Kublai Khan mengutus sejumlah perwakilan kepada Maharaja Jepun bagi
menyampaikan pesanan yang menuntut beliau agar tunduk kepada kekuasaan Monggol
atau berhadapan dengan serangan. Namun, utusan-utusan tersebut dihalang oleh
shogun, entiti kuasa sebenar di sebalik takhta Jepun sekaligus pesanan tersebut
langsung tidak sampai ke pengetahuan maharaja.
Hal ini membuatkan
Kublai Khan naik berang terutama apabila beliau langsung tidak menerima surat
balas daripada maharaja Jepun, yang dianggapnya sebagai ‘pemerintah negara
kecil’. Beliau lantas bersumpah untuk menyerang Jepun. Monggol kemudiannya
melakukan persiapan dan membina armada perang yang besar di samping merekrut
ribuan tentera dari Cina dan Korea.
SERANGAN PERTAMA MONGGOL
KE ATAS JEPUN
Pada musim luruh tahun
1274M, Monggol melancarkan serangan pertama mereka ke atas Jepun, yang membawa
kepada tercetusnya Pertempuran Bun’ei. Dianggarkan kira-kira 500 hingga 900
buah kapal dan 40 000 orang tentera yang kebanyakan beretnik Cina dan Korea
berlabuh di pesisiran Teluk Hakata, tempat di mana kedua-dua belah pihak saling
bertembung. Monggol berjaya menewaskan ketumbukan tentera Jepun.
Namun kerana
khuatir Jepun akan kembali bersama bala bantuan, Monggol pun mengundurkan
kapal-kapal mereka. Pada malam itu juga, ribut taufan membadai dan memukul
kapal-kapal yang ketika itu sedang melabuhkan sauh di Teluk Hakata. Menjelang
subuh, hanya tinggal beberapa buah kapal sahaja masih berbaki. Yang lainnya
habis musnah dan meragut ribuan nyawa tentera Monggol.
SERANGAN KEDUA MONGGOL
KE ATAS JEPUN
Walaupun Jepun dengan
bertuah berjaya lolos daripada situasi getir itu pada tahun 1274M, keadaan ini
masih belum berakhir secara muktamad. Pihak Monggol kini lebih bertekad untuk
menakluk Jepun. Mereka dengan bersungguh-sungguh membina semula armada perang
dan merekrut tentera untuk membentuk ketumbukan yang lebih besar. Sementara
itu, Jepun pula membina tembok yang berketinggian dua meter untuk melindungi
diri daripada serangan yang mendatang.
Tujuh tahun kemudian,
Monggol bertandang semula bersama armada gergasi mereka yang terdiri dari 4400
buah kapal perang dan sekitar 70 000 hingga 140 000 orang tentera. Ketumbukan
ini dibahagikan kepada dua pasukan di mana pasukan pertama diberangkatkan dari
Korea sambil sepasukan yang lain berlayar dari selatan Cina. Kedua-dua pasukan
ini kemudiannya bergabung di Teluk Hakata pada bulan Ogos 1281M.
Akibat tidak berjaya
menemukan tapak yang sesuai untuk melakukan pendaratan rentetan kewujudan
tembok pertahanan yang dibina oleh pihak Jepun, armada Monggol ini terpaksa
kekal berada di atas laut selama berbulan-bulan. Hal ini menjejaskan perbekalan
mereka yang menyusut dengan begitu banyak sepanjang kegagalan mereka mencari
tempat untuk berlabuh.
Pada tanggal 15 Ogos,
Monggol bersedia untuk melancarkan serangan ke atas ketumbukan Jepun yang
saiznya jauh lebih kecil. Namun sekali lagi, sebuah ribut taufan datang
membadai dan menghancurkan armada perang tersebut sekaligus meranapkan secara
muktamad cubaan untuk menakluk Jepun.
![]() |
| Serangan Kedua Mongol Ke Atas Jepun – Tentera Monggol yang terselamat dari ribut taufan dibunuh oleh samurai Jepun di tebing tasik |
Catatan-catatan
daripada Jepun menganggarkan lebih dari 4000 buah kapal musnah dan sekitar 80
peratus tentera mati lemas ataupun dibunuh oleh samurai-samurai yang berkawal
di pantai sekaligus menjadikan peristiwa ini sebagai kasualti tertinggi dalam
sejarah perang laut. Sejak itu, Monggol tidak lagi menyerang Jepun.
RAIJIN DAN ANGIN SUCI
Menurut legenda Jepun,
Kamikaze (angin suci) ini dikirim oleh Raijin si dewa kilat, petir dan ribut
dengan tujuan untuk melindungi Jepun dari gempuran Monggol. Sebagai salah satu
dewata tertua Jepun, Raijin dianggap sebagai dewa Shinto yang asal, dikenali sebagai
kaminari (‘kami’ bermaksud ‘semangat’ atau ‘dewata’ sementara ‘nari’
pula bermaksud ‘petir’). Beliau secara umum digambarkan sebagai semangat (roh)
yang berupa paras umpama syaitan yang memukul gendang untuk menghasilkan petir.
Satu lagi variasi legenda menyebutkan bahawa ribut taufan Kamikaze itu dihantar
oleh Fujin si dewa angin.
![]() |
| Fujin-rajin-zu oleh Tawaraya Sotatsu. Raijin digambarkan di sebelah kiri sementara Fujin pula di sebelah kanan |
KAMIKAZE SEBAGAI SATU
METAFORA
Seperti yang diketahui
umum, istilah ‘kamikaze’ kemudiannya digunakan dalam Perang Dunia Ke-2 untuk
merujuk kepada juruterbang-juruterbang Jepun yang membunuh diri dengan
menghempaskan kapal terbang mereka tepat mengenai musuh – kebiasaannya
kapal-kapal musuh yang menjadi mangsa. Istilah ‘kamikaze’ dalam hal ini
dianggap sebagai satu metafora yang bermaksud bahawa juruterbang-juruterbang
itulah yang menjadi ‘angin suci’ yang akan sekali lagi menghapuskan musuh-musuh
Jepun dari lautan. Juruterbang yang digelar sebagai kamikaze ini memberikan
kerosakan yang begitu teruk kepada armada US, dibayar dengan harga sekitar 2000
orang daripada mereka.
Pergerakan kamikaze ini
didorong daripada keadaan mendesak di mana pada waktu itu, Jepun diyakini bakal
mengalami kekalahan. Perkataan ‘kamikaze’ kemudiannya diserap ke dalam
penggunaan harian Bahasa Inggeris bagi merujuk kepada seseorang yang mengambil
risiko besar tanpa mengendahkan keselamatan sendiri.
![]() |
| Juruterbang Kamikaze Jepun |
Melihat kepada pemasaan
kedua-dua peristiwa ribut taufan itu yang secara berbetulan membadai semasa
berlakunya dua serangan Monggol ke atas Jepun, tidak hairanlah jika ianya
dianggap sebagai kiriman daripada para dewa. Andai bukan kerana dua ribut kamikaze
itu, berkemungkinan besar Jepun akan ditakluk oleh Monggol sekaligus
mencipta sejarah yang sama sekali berbeza daripada apa yang kita ketahui
sekarang.
SUMBER
- Kamikaze of 1274 and 1281
- The Mongol Invasions of Japan and the Fall of the Kamakura Shogunate – Madeline Schwartz
- Kamikaze Saves Japan From Mongol Invasion, Again
- The Mongol Invasions of Japan in 1274 & 1281
- Kamikaze: Divine Wind
- Get link
- X
- Other Apps



