- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Trevor Bryce. (21 Mei 2019). First Kingdoms: The Forgotten Mesopotamian Kingdom of Ebla. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/ebla-0011940
Trevor Bryce. (21 Mei 2019). First Kingdoms: The Forgotten Mesopotamian Kingdom of Ebla. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/ebla-0011940
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Banyak hal yang
mengagumkan berlaku di Mesopotamia pada era yang dipanggil sebagai Zaman Gangsa
Awal, terutama sekali di kawasan selatan yang secara umum dipanggil sebagai
Babylonia. Di situlah ketamadunan Sumeria yang kaya lagi canggih terbangun –
perkembangan kuasa dan kemewahannya banyak dipicu oleh penciptaan sistem
penulisan.
Kepelbagaian barangan tempaan yang mengagumkan seperti yang telah
dijumpai di permakaman diraja Ur membuktikan betapa tingginya kemahiran
pertukangan di masa-masa perdana ketamadunan Sumeria. Barangan tersebut kini
dipamerkan di Muzium British.
Menyusuli Dinasti Awal
Sumeria (2900-2334SM), buat kali pertamanya dalam sejarah Timur Dekat muncul
sebuah empayar hebat di kawasan selatan Mesopotamia – iaitu Empayar Akkadia
(2334-2193SM) yang diasaskan oleh Sargon. Masa kemuncak bagi empayar tersebut
memperlihatkan wilayah naungannya merentas luas ke seluruh Mesopotamia dan
bahagian barat laut serta tenggara Anatolia.
Tinggalan-tinggalan
arkeologi dan tablet-tablet dari Zaman Gangsa Awal di Mesopotamia memberikan
lapangan penyelidikan yang luas dan mengujakan buat ahli-ahli arkeologi, para
sejarahwan dan ahli-ahli linguistik.
Namun di seberang Sungai
Furat di wilayah Syria, gambaran sejarahnya kelihatan lebih suram. Sehingga
tahun 1960an, Syria pada milenium ke-3SM secara umumnya dianggap tidak lebih
dari hanya sekadar “sebuah komuniti celik huruf yang kecil lagi mundur,
terletak jauh dari pembangunan ketamadunan yang hebat di Mesopotamia dan
Mesir.”
Namun pada hakikatnya,
keadaan di Syria jauh lebih baik itu! Berkemungkinan sejumlah gundukan runtuhan
yang belum diteroka di seluruh wilayah itu sememangnya mengandungi sisa
tinggalan petempatan masyarakat terdahulu yang hidup sezaman dengan
ketamadunan-ketamadunan awal di Mesopotamia.
Pun begitu, perhatian
lebih banyak ditumpukan kepada wilayah-wilayah lain yang menawarkan prospek
yang lebih meyakinkan seperti di Mesopotamia, Mesir dan Palestin. Namun,
seorang ahli arkeologi dari Itali yang bernama Paolo Matthiae meyakini bahawa
Syria tidak seharusnya dikesampingkan. Beliau memilih sebuah tapak yang bernama
Tell Mardikh, berlokasi di utara Syria dan berada kira-kira 60 km (37 batu)
arah barat daya dari Aleppo untuk melakukan penyelidikan lanjut.
![]() |
| Tapak ekskavasi Ebla di padang pasir Syria |
RAHSIA-RAHSIA DI
SEBALIK KERAJAAN EBLA
Serpihan-serpihan
tembikar ditemui berselerakan di permukaan tapak berkenaan. Hal ini memberikan
petunjuk tentang tarikh awal kerajaan berkenaan di samping kepentingan itu
bukit terseut yang pada hemat Professor Matthiae, berbaloi untuk diselidiki
dengan lebih lanjut.
Lanjutan daripada misi
berkenaan, beliau lantas mengetuai misi ekskavasi pertamad di Tell Mardik pada
tahun 1964 di mana beliau bertugas sebagai ketua Ekspedisi Arkeologi Itali dari
Universiti ‘La Sapienza’ di Rome. Tidak lama kemudian, hasil ekskavasi tersebut
membuktikan bahawa sememangnya terdapat petempatan besar di tapak berkenaan
yang bertarikh pada era yang dikenali sebagai ‘era kemunduran Syria’. Namun,
misi tersebut mengambil masa selama empat tahun sebelum tapak berkenaan benar-benar
dapat dikenal pasti.
![]() |
| Ebla – kini Tell Mardikh, Syria, merupakan sebuah kota purba yang terletak sekitar 55 km arah barat daya dari Aleppo |
Pada tahun 1968,
serpihan dari sebuah patung ditemui bersama inskripsi. Patung tersebut
dipercayai dibina khusus buat Dewi Ishtar oleh seorang lelaki bernama
Ibbit-Lim, pemerintah Kerajaan Ebla. Menerusi petunjuk ini, Tell Mardik didakwa
sebagai sebahagian dari kota purba Ebla – sebuah kota yang telah pun dikenali
oleh para sejarahwan menerusi sejumlah teks dari pelbagai tamadun.
Sumber-sumber tersebut
ada mencatatkan perihal ketumbangan Ebla di tangan raja-raja Akkadia seperti
Sargon dan cucunya, Naram-Sim. Turut disebutkan bahawa kota tersebut
kemudiannya hadir dalam catatan ekonomi Empayar Ur III (yakni Dinasti Ketiga
Ur, 2112-2004SM).
Catatan-catatan
bertulis ini dengan jelas merakamkan kewujudan Ebla sejak awal abad ke-24SM
lagi. Kemunculannya sekali lagi pada waktu terkemudian, iaitu sesudah Empayar
Ur III, disahkan pula di dalam teks-teks daripada Alalah yang terletak di utara
Syria, bertarikh sekitar abad ke-17 hingga abad ke-15SM. Pada kurun-kurun
selanjutnya, Ebla muncul dalam senarai kota yang ditakluk oleh Tuthmosis III
dalam kempen penaklukan Syria-Palestin.
![]() |
| Patung yang dikenal pasti sebagai Dewi Ishtar ditemui di tapak Ebla |
Jadinya, tapak
tinggalan sejarah Ebla telah pun ditemui dan maklumat berkenaannya pula hadir
dalam pelbagai sumber luar. Namun, adakah Ebla turut mencatat perihal
kewujudannya sendiri? Jawapan kepada persoalan ini hadir pada tahun 1974,
apabila Matthiae dan pasukannya dengan tekun menyelidiki lapisan-lapisan tapak
berkenaan.
Sebelum tahun itu, Ebla
tidak banyak meraih perhatian dari dunia luar. Kerja-kerja ekskavasi yang
dijalankan pada tahun 1974 secara drastic mengubah pandangan tersebut. Setahun
sebelumnya, Matthiae dan pasukannya telah pun menemukan tanda-tanda kompleks
binaan besar betul-betul di bawah permukaan gondokan, semasa menyelidiki
cerunam barat acropolis tapak berkenaan.
Kewujudan dan
kepentingan kompleks ini disahkan sepenuhnya menerusi kerja-kerja ekskavasi
yang dilakukan pada tahun 1974. Ia merupakan sebuah binaan yang besar;
dinding-dindingnya mencapai ketinggian 7 meter. Binaan tersebut dibina di dua
sisi pada sebuah kawasan lapang yang luas yang kini dikenali sebagai
‘Gelanggang Hadirin’.
Turut terdapat di situ
sebuah pentas tinggi yang diperbuat daripada lumpur dan ia tercantum dengan
tembok di bahagian utara. Apakah penemuan itu merupakan tapak kepada balairung
istana? Tidak dinafikan bahawa binaan tersebut merupakan sebahagian daripada
istana diraja. Ia dinamakan sebagai ‘Istana G’ dan di dalam istilah arkeologi,
penemuan ini merupakan relik dari era Mardikh IIB1.
![]() |
| Istana G dari kota purba Ebla |
Bahagian dalam bagi
kompleks berbilang-ruang ini sendiri merupakan penemuan arkeologi yang penting.
Seni bina sebegini merupakan yang paling awal dibina di Syria sekaligus jelas
menonjolkan Ebla sebagai sebuah pusat kekuasaan di wilayah berkenaan. Namun,
perkara yang paling penting dalam penemuan ini sudah tentu adalah koleksi
ribuan tablet tanah liat bertulisan kuneiform yang ditemukan di bilik-bilik
istana berkenaan. Melebihi hal-hal yang lain, tablet-tablet yang dinaikkan pada
tempoh masa antara 1974 hingga 1976 berhasil menarik minat dunia kepada sejarah
Ebla.
Dengan usia yang
diperkirakan menjangkau abad ke-24SM, tablet-tablet tersebut menghidangkan
bukti penulisan antara yang terawal di Syria. Tambah menarik, kebanyakan
inskripsi pada tablet-tablet tersebut ditulis dalam bahasa Semitik tempatan,
atau kini dikenali sebagai bahasa ‘Eblaite’. Hal ini memiliki signifikasi
tersendiri apabila ia menjadi bukti penulisan tertua yang dimiliki bagi
mana-mana bahasa Semitik. Selain itu, terdapat juga sejumlah teks Sumeria,
termasuklah syair pujian dan penyenaraian bahasa antara Eblaite dan Sumeria –
dijelaskan sebagai kamus paling tua.
![]() |
| Sebuah tablet dari kota purba Ebla |
Kebanyakan kandungan
sebenar tablet ini meliputi hal-hal yang biasa. Selain beberapa teks sastera
(syair pujian misalnya) dan teks leksikal, kebanyakannya adalah merupakan
dokumen pentadbiran Ebla dan kerajaan jiran yang disusun secara teratur.
Inskripsi pada tablet-tablet tersebut mengisyaratkan tentang wujudnya barisan
kerabat diraja yang hebat, birokrasi yang begitu memusat, dibarisi oleh
sejumlah pegawai, dan tenaga kerja yang ramai dari kalangan artisan dan buruh –
kesemuanya didokumentasikan dalam rekod-rekod istana. Tidak ketinggalan juga
rekod tentang catuan makanan yang bertujuan untuk memantau kelangsungan mereka.
Kekayaan Ebla yang
melimpah-ruah banyak disumbang oleh kegiatan agrikultur, sebagaimana yang
digambarkan oleh inskripsi-inskripsi tersebut – wujudnya gembalaan biri-biri
berskala besar milik keluarga diraja di samping kemajuan industri tekstil yang
melibatkan penghasilan bulu kambing. Tablet-tablet berkenaan turut memerihalkan
tentang pengedaran produk-produk tersebut – baik kepada para pegawai tempatan
Ebla mahupun kepada pihak luar.
Walaupun
catatan-catatan tersebut meliputi perkara-perkara yang biasa, namun banyak yang
dapat dipelajari. Antaranya tentang betapa tingginya kadar keefisienan struktur
organisasi dalam Kerajaan Ebla di samping tegasnya mereka dalam hal pentadbiran
dan hierarki sosial.
Selain itu,
tablet-tablet ini turut memperjelaskan kepada kita tentang keadaan sosial,
politik dan ekonomi di wilayah utara Syria pada pertengahan milenium ke-3
Sebelum Masihi, iaitu bersamaan dengan pertengahan Zaman Gangsa Awal. Begitu
juga dengan pengetahuan tentang corak pentadbiran negara-negara kota di wilayah
tersebut pada waktu itu, di mana raja, pegawai diraja dan ‘orang-orang tua’
berada di puncak hierarki.
Kepelbagaiian teks yang
merangkumi hal ekonomi, pentadbiran, perundangan, leksikal, kesusasteraan,
diplomatik dan persuratan turut menghadirkan pengetahuan berharga tentang
pentadbiran, kehidupan harian dan kebudayaan di Ebla serta hubungannya dengan
wilayah jiran – termasuklah persaingannya dengan Mari.
![]() |
| Sisa runtuhan dari kerajaan Ebla, Syria |
Sejumlah penemuan lain
di tapak Istana G turut menghadirkan bukti lanjut berkenaan kekayaan Ebla pada
fasa itu. Perhubungan antara Kerajaan Ebla dengan Mesir diisyaratkan menerusi
penemuan serpihan alabaster dan tembikar diorite yang berasal dari lembah Nil.
Sejumlah besar lapis lazuli yang juga ditemukan di sana mendatangkan andaian
bahawa rangkaian hubungan tersebut turut melebar sehingga ke Afghanistan.
Tahap kemahiran
pertukangan masyarakat Ebla pada era ini dapat digambarkan menerusi penghasilan
patung kerbau berkepala manusia yang disadur dengan emas pada teras kayunya.
Begitu juga dengan penemuan perhiasan kayu yang ditatah dengan batu kapar,
berfungsi sebagai dekorasi dinding. Hasil-hasil kerja yang digayakan dengan
emas, lapis lazuli dan gading yang ditemukan di istana itu berkemungkinan
berasal, atau diinspirasikan dari Babylonia.
Tidak dinafikan bahawa
kemajuan Ebla sebagai sebuah pusat politik, komersial dan budaya banyak dipicu
oleh hubungan kebudayaan yang dijalinkannya dengan sejumlah kota Babylonia.
Menerusi sumber
bertulis dan sumber arkeologi yang ditemui, kita dapat meraih gambaran tentang
peranan Ebla sebagai sebuah kerajaan yang paling berkuasa dalam soal politik
dan ekonomi di utara Syria pada Zaman Gangsa Awal.
Secara arkeologi, hal
tersebut sangat penting untuk kita lebih memahami kemajuan dan pembangunan
komersial Syria pada waktu tersebut. Ketika itu, Syria terdiri dari sejumlah
negara-negara kota yang setiap satunya diperintah oleh seorang raja. Hubungan
raja-raja tersebut dengan pemerintah-pemerintah Kerajaan Ebla ada direkodkan di
dalam arkib Istana G.
Wilayah kekuasaan Ebla
sememangnya besar – munasabah memandangkan keadaan hujan yang kurang di wilayah
itu di samping keperluan untuk memiliki kawasan yang luas bagi memberi makanan
yang secukupnya kepada ternakan, yang kemudiannya berperanan membekalkan
kuantiti besar bulu biri-biri bagi perkembangan industri tekstil.
Selain itu, jelas sekali
bahawa kekayaan dan kepentingan Kerajaan Ebla ini dipacu oleh kekuatan
rangkaian perdagangan antara bangsanya – hubungan Ebla dengan selatan Syria,
wilayah Anatolia tengah, Mesopotamia dan wilayah-wilayah timur yang lebih jauh.
Buat suatu tempoh yang
singkat, Ebla pernah menjadi wilayah naungan kepada Mari. Namun, mereka meraih
kemerdekaan 15 tahun kemudian dan menjadi seteru utama Mari dalam soal politik
dan komersial. Hal ini dapat diketahui menerusi catatan arkib kerajaan terbabit
yang memaklumkan tentang kewujudan tiga orang pemerintah Ebla – iaitu
Igris-Halab, IrkabDamu, dan Isar-Damu.
Walapun tablet-tablet
di tapak berkenaan hanya menyebutkan tiga nama sahaja, sebenarnya terdapat
ramai lagi raja Ebla yang lain. Dalam catatan lain di arkib berkenaan menyebutkan
nama 10 orang raja, yang mana Isar-Damu merupakan pemerintah yang terakhir. Pun
begitu, masih ada lebih ramai lagi pemerintah lain. Versi tambahan bagi senarai
tersebut boleh didapati di dalam arkib Mari dan versi ini menyebutkan nama
tidak kurang dari 26 orang raja Ebla.
Pengetahuan tentang hal
ini (nama-nama raja) menjelaskan kepada kita bahawa dinasti diraja Ebla dan
kota diraja itu sendiri, sekurang-kurangnya berusia 3 abad lebih awal sebelum
meraih zaman kemuncaknya pada abad ke-24SM. Dalam erti kata lain, permulaan
dinasti dan kota tersebut boleh menjangkau usia seawall abad ke-27SM.
![]() |
| Patung pemerintah yang sedang duduk dari kota purba Ebla |
ABAD KE-24 HINGGA ABAD
KE-21SM
Pengakhiran bagi fasa
hebat kewujudan Ebla ini disebabkan oleh tumbangnya Kerajaan Ebla di tangan
raja Akkadia, berkemungkinan Sargon, walaupun cucunya, iaitu Naram-sim mendakwa
dirinya sebagai pemerintah yang bertanggungjawab menghancurkan Kerajaan Ebla.
Berkemungkinan beliau
atau raja-raja lain menganggap Kerajaan Ebla sebagai sebuah kerajaan yang amat
berkuasa sekaligus menghadirkan ancaman terhadap impian mereka yang mahu
melebarkan kekuasaan Akkadia hingga ke barat Furat. Ataupun paling tidak, Ebla
enggan bekerjasama dengan Akkadia dalam membenarkan Akkadia meneruskan
kempennya ke barat itu.
Walau bagaimanapun,
hayat Ebla masih lagi dapat bertahan. Kerajaan tersebut seakan-akan meraih
talian hayat baru apabila sebuah petempatan bersaiz sederhana, dinamakan
sebagai Mardikh IIB2, dibina di bahagian utara tapak berkenaan berikutan
penghancuran Ebla di tangan Akkadia. Binaan paling penting pada fasa ini, yang
dikenali pada hari ini sebagai “Istana Kuno”, berkemungkinan berfungsi sebagai
kediaman bagi raja-raja baru.
Namun, kota tersebut
juga tidak dapat bertahan lama. Ia turut dimusnahkan sekitar tahun 2000SM,
iaitu sekitar waktu empayar Ur III dimusnahkan, berkemungkinan oleh anasir yang
sama. Pun begitu, Ebla dapat bangkit sekali lagi. Sebagaimana yang dapat kita
lihat dan pelajari, Ebla sekurang-kurangnya berjaya mengalami kenaikan semula
sebelum menempuh kejatuhan muktamadnya.
![]() |
| Anggaran sempadan bagi Kerajaan Ebla kedua |
PUAK AMORI
Setibanya di bahagian
ini, kita perlu berbicara sedikit perihal puak Amori (Amorites) yang akan
banyak menonjol dalam bab-bab selanjutnya. Pada hari ini mereka mungkin
dikenali sebagai salah sebuah puak yang disebutkan di dalam Perjanjian Lama,
menghuni sebahagian wilayah Canaan – puak yang diarahkan supaya dimusnahkan
oleh kaum Israel.
Sebagai penutur bahasa
Semitik di wilayah barat daya, puak Amori pada asalnya terdiri dari sejumlah
kumpulan nomad yang menghuni wilayah Syria dan Palestin. Menjelang abad ke-24SM,
sebahagian daripada mereka berpindah ke Ebla dan menetap di sana – memandangkan
kita dapat menemukan nama Amori di dalam arkib istana berkenaan.
Tidak dapat dinafikan
bahawa suasana yang selamat, kemewahan dan kebudayaan yang canggih yang
terdapat di Ebla merupakan faktor dorongan yang cukup untuk mempengaruhi
kumpulan nomad ini supaya mengubah gaya hidup secara menetap – hal yang turut
berlaku di wilayah-wilayah yang jauh di selatan seperti Qatna dan Hamath yang
berkemungkinan turut mempunyai penduduk dari puak Amori pada waktu itu.
![]() |
| Tablet-tablet kuneiform dari Ebla menyebut nama Amorite |
Namun ketika
rakan-rakan sepuak mereka menetap dengan selesa dan selamat di kota-kota di
kawasan Syria-Palestin, kumpulan Amori yang lain yang mengekalkan tradisi lama
mula tersebar ke timur memasuki Mesopotamia Selatan. Berkemungkinan cuaca
kemarau memaksa mereka untuk mencari tanah subur baharu untuk dijadikan tempat
ternakan gembalaan mereka.
Memandangkan jumlah
bilangan mereka di kawasan timur Sungai Furat semakin meningkat, maka begitu
jugalah dengan ancaman yang mereka hadirkan kepada kerajaan dan negara-negara
kota di sana. Menjelang waktu ini, puak Amori mula hadir di dalam teks-teks
Sumeria dengan panggilan MAR.TU, yang bermaksud ‘barat’ (isyarat bahawa mereka
datang dari barat). Kesemua sebutan tentang mereka ditulis dalam nada
permusuhan.
Sebuah catatan sastera
dari Sumeria merincikan puak Amori sebagai sebuah puak gasar yang tidak
bertamadun:
“MAR.TU, yan tidak tahu
cara bercucuk tanam… tidak memiliki rumah mahupun kota, puak gasar dari kawasan
pergunungan, MAR.TU yang merampas tanaman… yang tidak membengkokkan lutut
(mencangkung untuk mengusahakan tanah), yang memakan daging mentah, yang tidak
memiliki rumah semasa hayatnya, yang tidak memiliki kubur sesudah mati…”
![]() |
| Puak Amori muncul dalam teks-teks Sumeria, mereka datang dari barat dan sebutan mengenai mereka bersifat permusuhan. |
Apa hubungan yang
dimiliki antara puak Amori yang disebutkan di dalam catatan sastera ini dengan
puak Amori yang tercantum di dalam teks-teks Ebla pada era yang sama tersebut
masih tidak dapat dipastikan. Apapun, raj-raja Akkadia seperti Sargon dan
Naram-Sin pernah terlibat dalam konflik dengan puak penceroboh itu.
Naram-Sin pada akhirnya
berjaya menewaskan mereka semasa beliau menundukkan ‘Pemberontakan Besar’,
iaitu sebuah pemberontakan yang dilakukan oleh rakyat di kota-kota naungannya.
Pemberontakan ini berlaku di sebuah tempat bernama ‘gunung (penghunian) Martu
(Basar, Jebel Bishri moden). Pun begitu, ancaman puak Amori masih jua
berterusan.
Setelah ketumbangan
Empayar Akkadia, kumpulan-kumpulan Amori ini terus-menerus memberi tekanan
kepada wilayah-wilayah yang cuba dikuasai oleh raja baru Babylonia, iaitu
raja-raja dari Dinasti Ur III. Dalam sebuah cubaan untuk membebaskan wilayah
mereka dari ancaman Amori, raja-raja tersebut membina sejumlah kubu benteng
atau menara peninjau di sepanjang wilayah utara Babylonia. Usaha ini berakhir
dengan kegagalan. Empayar Ur III juga menemui penghujungnya tidak lama
kemudian.
Sekitar tahun 2004SM,
empayar tersebut habis dimusnahkan – tetapi bukan oleh puak Amori, sebaliknya
oleh penyerang dari wilayah barat laut Iran iaitu puak Elam (Elamites). Situasi
pada masa itu sememangnya sesuai dan terdedah kepada sebarang pengeksploitasian.
Oleh kerana itu,
pembesar-pembesar puak Amori dengan segera mengisi kekosongan kuasa di wilayah
berkenaan, rentetan dari kemenangan Elam. Pembesar-pembesar ini menabalkan diri
sebagai pemerintah di sejumlah kota Babylonia – kota-kota yang pernah
diperintah oleh Akkadia dan raja-raja dari empayar Ur III. Di antara kota-kota
yang dikuasai itu termasuklah Larsa, Babylon, Kish, Marad dan Sippar.
Budaya nomad yang
merupakan tradisi mereka sejak dahulu kala dibuang, dan puak Amori kini secara
muktamad telah berasimilasi dengan budaya komuniti yang lebih urban.
*Artikel ini merupakan
petikan daripada buku berjudul Ancient Syria: A Three Thousand Year History
karangan Trevor Bryce.
- Get link
- X
- Other Apps










