- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
DHWTY. (22 Jun 2018). The Delhi Sultanate: 300 Years of Muslim Power Over the
Indian Subcontinent. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/delhi-sultanate-muslim-power-indian-subcontinent-0010244
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/delhi-sultanate-muslim-power-indian-subcontinent-0010244
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Kesultanan Delhi
merupakan sebuah kesultanan Islam yang wujud pada tempoh masa antara abad ke-13
hingga abad ke-16M. Berpangkalan di Delhi, wilayah naungan Kesultanan ini
merangkumi bahagian utara India walaupun pada masa-masa kemuncaknya ia pernah
mendominasi hampir seluruh sub-benu India.
Seiring peredaran masa,
Kesultanan Delhi diperintah oleh lima buah dinasti yang berlainan – Dinasti
Mamluk, Dinasti Khalji (Khilji), Dinasti Tughlaq, Dinasti Sayyid dan Dinasti
Lodi. Apabila sultan terakhir daripada Dinasti Lodi terkorban dalam
pertempuran, Kesultanan Delhi pun menemui pengakhirannya dan hal ini membawa
kepada penubuhan Empayar Mughal.
Gerbang Alai dan Qutub Minar dibina semasa pemerintahan Dinasti Mamluk dan Khalji |
PENUBUHAN KESULTANAN
DELHI
Sebelum tertubuhnya
Kesultanan Delhi, tentera-tentera Islam dari Asia Tengah sering menyerang
kerajaan-kerajaan di utara India. Hal ini terus berlanjutan hinggalah semasa
pemerintahan Muhammad al-Ghor, seorang sultan Ghor yang memasang hasrat untuk
menubuhkan sebuah kerajaan Islam di utara India dan tidak hanya sekadar
menyerang dan menjarah wilayah-wilayah berkenaan.
Muhammad al-Ghor tidak
mempunyai putera. Oleh kerana itu, setelah beliau dibunuh pada tahun 1206M maka
empayarnya pun terbahagi dalam kalangan hamba-hambanya yang berbangsa Turki.
Salah seorang daripada hamba tersebut bernama Qutbu ad-Din Aibak yang menjadi
pemerintah Delhi sekaligus mengasaskan Kesultanan Delhi.
Dinasti pertama yang
memerintah kesultanan tersebut dipanggil sebagai Dinasti Mamluk. Ia turut
dikenali sebagai Dinasti Hamba atau Dinasti Ghulam. Dinasti ini meneruskan
polisi perluasan kuasa yang diamalkan oleh Muhammad al-Ghor.
Menjelang
pertengahan abad ke-13M, kesultanan ini menjadi kuasa utama di wilayah utara
India – bermula dari Laluan Khyber di barat hingga ke Bengal di timur.
Dinasti Mamluk berakhir
pada tahun 1290M apabila berlakunya pertelagahan dalam kalangan pembesar dan
pemerintah terakhirnya, Muiz ad-Din dibunuh oleh Jalal ad-Din Khalji yang
mengasaskan Dinasti Khalji.
Salah seorang figura
paling menonjol dalam Dinasti Mamluk ialah Sultana Razia, salah seorang dari
sejumlah kecil pemerintah wanita dalam sepanjang lipatan sejarah Islam dan
satu-satunya sultan wanita yang memerintah Kesultanan Delhi.
Makam Sultana Razia, pemerintah Delhi pada tahun 1236 hingga 1240M |
DINASTI-DINASTI
KESULTANAN DELHI YANG SETERUSNYA
Dinasti kedua yang
memerintah Delhi ialah Dinasti Khalji. Diasaskan oleh Jalal ad-Din Khalji yang
merupakan bekas pembesar bawahan Dinasti Mamluk, dinasti ini memerintah
Kesultanan Delhi sehingga tahun 1320M. Walaupun dinasti ini hanya bertahan
selama 30 tahun, pemerintah-pemerintahnya merupakan penakluk hebat yang berjaya
meluaskan wilayah naungan hingga ke Deccan.
Selain itu,
tentera-tentera dari Dinasti Khalji ini turut berupaya melebarkan kuasa ke
bahagian selatan India. Lantas, kebanyakan kerajaan Hindu di sana ditundukkan
sebagai wilayah bawahan Kesultanan India. Walau bagaimanapun, pencapaian paling
ulung Dinasti Khalji adalah peperangan mereka dalam menentang Mongol. Berkat
kekuatan yang dimiliki oleh pasukan tentera mereka, Khalji berjaya menangkis
sejumlah serangan besar dari pihak Mongol.
‘Ketumbukan Alaudeen mara ke Deccan’, lukisan seorang artis abad ke-20 |
Seperti Dinasti Mamluk,
Dinasti Khalji ini juga berakhir apabila pemerintah terakhirnya dibunuh.
Pembunuh tersebut adalah Ghiyath al-Din Tughlug. Mengulangi skrip yang sama
seperti Jalal ad-Din Khalji sebelum ini, Ghiyath juga mengasaskan Dinasti
Tughlaq. Tempoh pemerintahan Muhammad bin Tughluq dianggap sebagai masa
kemuncak Kesultanan Delhi.
Walau bagaimanapun,
tempoh tersebut berlangsung dengan begitu singkat, iaitu dari tahun 1330 hingga
1335M. Hal ini diakibatkan oleh banyaknya pemberontakan yang meletus sekaligus
banyak wilayah yang hilang dari genggaman Delhi. Menambah parah bagi keadaan
sedia ada, para pemerintah Tughluq langsung tidak melakukan sebarang usaha
untuk merebut semula wilayah-wilayah berkenaan.
Makanya dengan pantas,
pada tahun 1347M, bangsawan Muslim di Deccan memerdekakan diri dari Kesultanan
Delhi dan menubuhkan Dinasti Bahman. Jauh di selatan, Empayar Hindu
Vijayanagara pula ditubuhkan pada tahun 1351M selepas mengisytihar kemerdekaan
dari naungan Kesultanan Delhi. Pada tahun 1398/1399, Kesultanan Delhi mengalami
kekalahannya yang paling besar apabila ditewaskan oleh Timurlane. Delhi sendiri
habis dijarah.
Dinasti Tughluq terus
melanjutkan pemerintahannya sehingga tahun 1413 sebelum ia digantikan oleh
Dinasti Sayyid. Dari sudut politik, dinasti ini tidak banyak mencapai kejayaan
besar melainkan berhasil menguatkan pengaruh Islam di wilayah Kashmir.
Lukisan gerbang barat kubu Firozabad, berhampiran Delhi. Kubu ini dibina oleh Feroz Shah Tughlaq pada tahun 1350an namun dimusnahkan oleh dinasti-dinasti berikutnya |
TUMBANGNYA KESULTANAN
DELHI
Dinasti terakhir bagi
Kesultanan Delhi adalah Dinasti Lodi. Pemerintah dinasti berkenaan berasal-usul
dari Afghan. Pengasasnya adalah Bahlul Lodi, individu yang pernah berkhidmat
sebagai gabenor Punjab dan kemudiannya mengambil-alih kepemimpinan setelah
kemangkatan pemerintah terakhir Dinasti Sayyid pada tahun 1451M.
Sultan-sultan Lodi
tidak berupaya mencantas ranting-ranting rosak yang menjalar di setiap sudut
pemerintahan. Rentetan hal itu, Kesultanan Delhi pun pada akhirnya menemui
penghujung semasa pemerintahan sultan ke-3 dinasti berkenaan, iaitu Ibrahim
Lodi. Sultan ini dicatatkan sebagai seorang yang lemah dan berlaku korup.
Makanya salah seorang gabenor wilayah yang juga merupakan kerabat Dinasti Lodi
bertindak menjemput Babur si pengasas Empayar Mughal untuk menyerang Kesultanan
Delhi sekaligus menamatkan kepenguasaannya.
Sultan Ibrahim Lodi merupakan Maharaja Afghan di Delhi, India. Empayarnya meliputi timur Afghanistan, seluruh Pakistan dan utara India |
SUMBER
- Anwar, S., 2017. Timeline of Delhi Sultanate.
- Encyclopedia, N. W., 2013. Delhi Sultanate.
- Hambly, G. R. G. & Asher, C. B., 2011. Delhi Sultanate.
- Ikram, S. M. & Embree, A. T., 1964. Muslim Civilization in India.
- Quatr.us, 2018. Delhi Sultanate in India.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica, 2017. Delhi sultanate.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Kesultanan Delhi – Kuasa Islam Yang MenguasaiIndia’
- Get link
- X
- Other Apps