KOTA DUR-SHARRUKIN – IBU KOTA SARGON II YANG TIDAK SEMPAT DIRASMIKAN

Pautan ke artikel asal:
DHWTY. (7 Mac 2019). The Lost City of Dur-Sharrukin – The Capital That Never Was. Ancient Origins.

Penterjemah: Amir Zayyanid


Dur-Sharrukin merupakan sebuah kota purba Assyria yang dibina pada lewat abad ke-8SM. Kota ini diasaskan oleh Sargon II dengan tujuan untuk menjadikannya sebagai ibu kota baru bagi Empayar Assyria. Namun, Sargon mangkat sebelum atau sebaik sahaja pembinaan kota ini siap sepenuhnya. Rentetan itu, kota ini pun ditinggalkan dan kewujudannya dilupakan seiring peredaran zaman.

Tapak bersejarah ini ditemukan semula pada abad ke-19M yang pada waktu kawasan tersebut menempatkan sebuah perkampungan kecil bernama Khorsabad. Kerja-kerja ekskavasi di tapak Dur-Sharrukin ini banyak menyumbang kepada pengetahuan yang lebih mendalam tentang budaya kesenian dan seni bina Assyria.

Dur-Sharrukin terletak di Iraq moden, berjarak sekitar 15 kilometer (9.3 batu) arah timur laut dari Mosul. Nama kota purba ini boleh diterjemahkan sebagai ‘Kubu Sargon’ atau ‘Istana Sargon’ sekaligus memanifestasikan impian tinggi pengasasnya, Sargon II.


SARGON II – PENGASAS DUR-SHARRUKIN

Sargon II merupakan seorang pemerintah Assyria yang hidup pada kurun terakhir Empayar Assyria dan dianggap sebagai salah seorang pemerintah terhebat empayar tersebut. Beliau naik takhta pada tahun 721SM selepas kemangkatan Shalmanese V. Sargon dipercayai adalah putera bongsu Tiglath-Pileser III sekaligus hal ini menjadikannya sebagai adik kepada pemerintah yang terdahulu.

Tugas Sargon sebagai pemerintah bermula dengan agak sukar memandangkan berlakunya sejumlah pemberontakan. Salah satu pemberontakan tersebut dipimpin oleh Marduk-apal-iddina II, seorang pembesar Chaldea di selatan Babylonia. Ketua pemberontak ini mengisytihakan dirinya sebagai Raja Babylon. Walaupun Sargon kehilangan Babylin di tangan Marduk-apal-iddina, beliau berjaya merebutnya semula beberapa tahun kemudian.

Sargon II (kiri), pemerintah Dur-Sharrukin, bersama seorang pegawai berkedudukan tinggi, berkemungkinan Sennacherib si putera merangkap putera makhtoanya, 710-705SM


Seperti pemerintah-pemerintah ulung Assyria yang lain, Sargon banyak melancarkan kempen ketenteraan yang berakhir dengan kejayaan. Salah satu kempen yang dilakukannya adalah penaklukan ke atas Carchemish dan Musasir yang mana meraihkannya rampasan perang yang begitu banyak sehingga memenuhkan peti simpanan diraja. Carchemish merupakan sebuah kerajaan kecil namun kaya yang terletak di sempadan moden antara Turki dan Syria. Sementara Musasir pula adala kota suci yang dibina khas untuk Dewa Haldi. Kekayaan yang diraih hasil dari kempen-kempen ketenteraannya itu digunakan oleh Sargon II untuk membina ibu kota baru.

Sewaktu zaman pemerintahan raja-raja Assyria yang terdahulu, kota Nimrud memainkan peranan sebagai ibu kota Empayar Assyria. Setelah menaiki takhta selama empat tahun, Sargon II mula membina Dur-Sharrukin yang dihajatkan untuk menggantikan Nimrud sebagai ibu kota. Pembinaan kota ini berlangsung sepanjang masa pemerintahan Sargon II. 

Walaupun sebahagian sejarahwan mempercayai bahawa kota tersebut siap pada tahun 707SM iaitu dua tahun sebelum kemangkatan Sargon II (diandaikan terkorban di medan perang), terdapat juga sejarahwan lain yang berpendapat bahawa kota itu tidak pernah disiapkan. Wlaau bagaimanapun, tidak lama selepas kemangkatan Sargon II, penggantinya yang bernama Sennacherib memutuskan untuk memindahkan ibu kota ke Nineveh.

Istana Sargon II di Kota Dur-Sharrukin


KOTA DUR-SHARRUKIN YANG HILANG TELAH DIJUMPAI

Selepas Dur-Sharrukin ditinggalkan, kota itu mula dilupakan dan hanya dapat ditemukan semula pada abad ke-19M. Pada tahun 1842M, Konsul Perancis di Mosul yang bernama Paul-Emile Botta menyedari kewujudan tapak berkenaan dan percaya bahawa beliau telah menemukan kota Nineveh yang disebutkan di dalam Bible. Lantas, tapak Dur-Sharrukin pun digali oleh pihak Perancis. Pada separuh pertama abad ke-20M, tapak berkenaan menjalani kerja-kerja ekskavasi yang diusahakan oleh Institut Oriental dari Universiti Chicago.

Hasil daripada ekskavasi ini mendapati bahawa Dur-Sharrukin merupakan sebuah kota yang dibina dengan sangat terancang. Pelan binaan menunjukkan kadar simetri yang sangat tinggi pada seni bina Dur-Sharrukin. Faktor ini berkemungkinan disumbangkan oleh keadaan semasa kota itu mula dibina, iaitu tapak binaannya pada waktu itu dihuni oleh sebuah perkampungan kecil bernama Maganubba. Dalam erti kata lain, barisan jurutera Sargon II boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada geometri kota tanpa merisaukan tentang landskap di kawasan sekitar semasa merancang pelan binaan kota.

Nilai simetri pada Dur-Sharrukin terbukti jelas pada binaan tembok-tembok pertahanannya. Para arkeologis menemukan bahawa tembok yang mengelilingi kota ini hampir berbentuk petak yang sempurna (1.76 x 1.635km / 1.09 x 1.02 batu). Tembok-tembok ini memiliki ketebalan yang mencecah 24 meter (78.7 kaki) dan dilengkapi dengan tujuh buah gerbang besar.

Pelan binaan Dur-Sharrukin, oleh ahli ekskavasi Perancis, Victor Place


ARTIFAK-ARTIFAK ASSYRIA DINAIKKAN DI KOTA DUR-SHARRUKIN

Kebanyakan kerja-kerja ekskavasi yang dilakukan setakat ini menumpu pada istana Sargon, yang terletak di bahagian timur laut tapak berkenaan. Sewaktu penemuan Dur-Sharrukin pada abad ke-19M, istana tersebut tertimbus di sebuah timbunan batu. Kerja-kerja ekskavasi yang dilakukan oleh pihak Perancis dan Amerika tidak hanya menemukan binaan menakjubkan dari Assyria itu. Malahan, mereka turut berjaya menaikkan sejumlah artifak yang boleh meningkatkan lagi kefahaman dan penghargaan kita terhadap kesenian Assyria.

Bagi kes arkeologis Perancis, kebanyakan artifak yang mereka naikkan hilang semasa diangkut ke Paris. Pada tahun 1853, artifak-artifak dari tapak bersejarah itu diangkut melalui Sungai Tigris dengan menggunakan sebuah kapal dan empat buah perahu. Hanya dua buah perahu sahaja yang berjaya sampai ke destinasi sambil yang lain habis dirompak oleh lanun. Pada tahun1855 pula, sebuah kejadian yang hampir serupa sekali lagi berlaku apabila hampir kesemua 200 buah kota yang dipenuhi dengan artifak hilang semasa diangkut.

Pasukan ekskavasi dari Amerika menerima nasib yang lebih baik memandangkan mereka berjaya mengangkut penemuan-penemuan mereka itu pulang ke Chicago. Salah satu penemuan mereka yang paling mengagumkan adalah colossal lamassu (patung kerbau bersayap dan berkepala manusia) yang ditemui betul-betul di luar ruang singgahsana istana.

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, Dur-Sharrukin menerima perhatian meluas di peringkat antarabangsa. Namun menjelang Mac 2015, dilaporkan bahawa milita IS dengan tidak bertanggungjawab menghancurkan artifak-artifak dan meruntuhkan tembok serta binaan lain pada tapak bersejarah ini.

Kerbau bersayap dan berkepala manusia yang ditemui semasa ekskavasi oleh Botta di tapak Kota Dur-Sharrukin


SUMBER