LEGENDA YUKI-ONNA – WANITA SALJI YANG JELITA NAMUN BERBAHAYA

Pautan ke artikel asal:
Marina Sohma. (13 Disember 2016). A Heart as Cold as Ice? The Japanese Legend of Yuki-onna, the Beautiful yet Dangerous Snow Woman. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends/heart-cold-ice-japanese-legend-yuki-onna-beautiful-yet-dangerous-snow-woman-007186

Penterjemah: Amir Zayyanid


Legenda Yuki-onna (wanita salji) berasal dari Negara Matahari Terbit. Sosok jelita namun berbahaya ini mungkin merupakan personafikasi kematian berakibat dari ribut salji yang dahsyat. Legenda-legenda Jepun ada menyebutkan keupayaannya mengubah manusia menjadi ais. Namun pada versi lain, Yuki-onna disifatkan sebagai sosok yang lebih lembut dan ayu sekaligus mendatangkan pendapat bahawa Yuki-onna ini lebih cenderung sebagai semangat-salji yang berperibadi luhur berbanding lembaga salji si pencabut nyawa.


MEMANGSAKAN PENGEMBARA YANG SESAT DALAM RIBUT SALJI

Yuki-onna termasuk dalam senarai makhluk yang dikenali sebagai ‘yokai’ (makhluk ghaib berupa raksasa, syaitan, roh ataupun makhluk mitos) dari Jepun. Beliau bukanlah makhluk mitologi yang masyhur, namun Yuki-onna dikenali oleh kebanyakan penduduk yang mendiami kawasan tinggi lagi sejuk di Jepun.

Bagi pembaca yang agak asing dengan kepelbagaian di dalam kisah rakyat Jepun, yokai ini sebenarnya membentuk sebahagian daripada mitologi dan legenda masyarakat Jepun. Kebanyakan fenomena misteri atau kuasa elemen alam boleh dijelaskan sebagai angkara yokai – menurut kepercayaan mereka.

Yuki-onna dipercayai mendiami kawasan gunung-ganang bersalji di mana beliau menghisap tenaga manusia di samping turut memakan makanan biasa. Namun, terdapat pelbagai variasi berkenaan kisah ini, bergantung kepada di mana cerita ini disampaikan.

Dalam erti kata lain, legenda berkenaan Yuki-onna wujud dalam pelbagai naratif yang berubah dari semasa ke semasa – namun naratif umum menyatakan bahawa Yuki-onna memangsakan para pengembara yang tersesat dalam ribut salji yang lebat. Legenda ini meraih tempat di dunia barat berkat usaha penterjemahan yang dilakukan oleh mendiang Lafcadio Hearn.

Lukisan tahun 1737 yang menggambarkan Yuki-onna dari Hyakkai-Zukan oleh Sawaki Suushi


PENAMPILAN YUKI-ONNA

Di samping kulit yang mulus tidak berkedut dan tubuh yang sejuk seperti ais, Yuki-onna dikatakan turut memiliki mata yang berwarna ungu kelam dan rambut berwarna hitam atau putih yang mengurai panjang. Beliau menghisap nyawa manusia dengan menyedutnya dari mulut mangsa, sekaligus membuatkan manusia tersebut mati membeku.

Walaupun Yuki-onna boleh jatuh cinta, berkahwin dan malah hidup bersama manusia, umurnya tidak akan meningkat. Keadaan tersebut akan membuatkan identitinya sebagai ‘semangat-salji’ terdedah. Oleh kerana itu, kebanyakan legenda menyebutkan bahawa Yuki-onna lebih cenderung untuk menetap berhampiran jalan pergunungan dan memangsakan para pengembara.

Antara banyak-banyak elemen yang berbeza dalam legenda Yuki-onna ini, terdapat satu aspek yang agak menarik perhatian – iaitu waktu kemunculannya. Sebagaimana yang disebutkan sebelum ini, legendanya berubah mengikut lokasi penceritaan.

Contohnya, di wilayah Aomori dan Iwate, Yuki-onna dikatakan akan muncul semasa perayaan 'Koshogatsu' yang berlangsung pada tanggal 15 Januari sebagai tradisi keraian akhir tahun bagi wilayah tersebut. Di sana, kisah rakyat menyebutkan bahawa Yuki-onna akan muncul pada Hari Tahun Baru dan kemudiannya akan beredar pada hari pertama bulan Februari.

Lukisan tahun 1781 yang menggambarkan Yuki-onna dari Gazu Hyakki Yako


Memetik ulasan Zack Davisson: “Hubungan di antara tarikh tersebut dengan Yuki-onna agak kabur. Sebahagian pendapat mengatakan bahawa pada zaman dahulu, Yuki-onna dipuja sebagai Toshigami, iaitu dewata khusus yang akan muncul pada hari-hari tertentu bagi membawa petanda baik atau buruk untuk tahun yang mendatang.

Namun, perkaitan dengan bulan Februari pula agak menarik, memandangkan ia sama seperti keraian Gaelic bagi Imbolc. Yuki-onna mungkin boleh diibaratkan seperti Punxsutawney Phil bagi penduduk Aomori, kerana ia bakal menamatkan atau melanjutkan musim sejuk dengan kehadirannya.

Pendapat lain pula mengatakan bahawa beliau mungkin merupakan semangat yang berkhidmat untuk Dewa Gunung, memainkan peranan sebagai ‘Miko’ atau ‘Penjaga Kuil’ sekaligus membawakan rahmat berbentuk kesuburan dan penuaian hasil tanaman yang baik.

Ada juga pendapat yang menyebutkan bahawa Yuki-onna hanya memunculkan diri pada malam bulan mengambang, ketikamana salji baru sahaja turun. Ibu-ibu di wilayah Ehima sering diingatkan agar tidak membiarkan anak-anak mereka bermain di luar pada malam-malam sebegitu.

Ada pula yang berpendapat bahawa Yuki-onna ini muncal dan hilang bersama ribut salji. Dan sekurang-kurangnya terdapat satu kisah yang menceritakan bahawa Yuki-onna muncul pada awal musim luruh untuk mengucapkan salam perpisahan-sementara kepada musim salji.”

Lukisan yang menggambarkan Yuki-onna disinari cahaya bulan


LEGENDA-LEGENDA YUKI-ONNA

Walaupun kisah-kisah berkenaan Yuki-onna di dalam hikayat Jepun dianggap purba, namun rekod bertulis pertama yang menyebutkan tentang kisah ini datangnya dari zaman Muromashi (1333-1573M). Seorang sami yang bernama Sogi menulis tentang pertemuannya dengan Yuki-onna semasa beliau keluar dari rumahnya pada suatu pagi yang bersalji.

Penulisannya itu merincikan bahawa seorang wanita muda jelita yang bertubuh tinggi berdiri di hadapan kebunnya yang sejuk membeku. Wajahnya putih bak salji. Anehnya, walaupun wanita tersebut kelihatan muda, rambut si jelita itu juga putih seumpama salji. Beliau mengenakan kimono putih yang hampir lutsinar – pemakaian yang langsung tidak masuk akal untuk dikenakan oleh seseorang manusia pada hari yang sesejuk itu.

Apabila Sogi cuba bercakap dengannya, wanita yang menawan hati itu langsung sahaja hilang. Sogi dimaklumkan bahawa Yuki-onna merupakan Semangat/Roh Salji yang sering memunculkan diri sewaktu salji turun dengan lebat. Namun, penampakannya jarang dilihat pada awal musim bunga.

Yuki-onna yang berambut putih


Sejumlah versi yang lain bagi kisah ini tampil lebih menakutkan. Yuki-onna diceritakan sebagai roh jahat yang mengambil nyawa manusia. Mungkin, salah satu versi penceritaan yang paling masyhur dalam menggambarkan Yuki-onna sebagai roh-salji yang menyeramkan datangnya daripada Lafcadio Hearn.

Hearn memainkan peranan yang sangat penting dalam penterjemahan dan perekodan maklumat berkenaan kebudayaan masyarakat Jepun. Antara karya Hearn yang paling masyhur adalah koleksi syarahan yang berjudul Japan: an attempt at interpretation (1904); Stories and Studios of Strange Things (1904) – yang banyak berkisar tentang pemahaman awal berkenaan kebudayaan dan adat masyarakat Jepun, termasuklah kisah-kisah hantu.

Lukisan tahun 1770 bagi lakonan Myoto giku Izu no Kisewata. Segawa Kikunojo II memainkan watak Yuki-onna (kiri) dan pelakon Arashi Sangoro II sebagai Minamoto no Yoritomo (kanan)


Di dalam naratif Hearn berkenaan Yuki-onna, diceritakan bahawa terdapat dua orang lelaki yang bekerja sebagai pemotong kayu – Mosaku yang lebih tua dan Minokichi yang lebih muda. Mereka berdua pulang ke rumah pada suatu malam yang dingin dengan diiringi oleh ribut salji yang agak lebat. Mereka menjumpai tempat untuk berteduh dan bermalam di sebuah pondok yang terletak berhampiran dengan sebatang sungai.

Kemudian, mereka berdua pun tertidur walaupun Minokichi tidak lama selepas itu terjaga akibat hembusan angin sejuk yang agak kuat – sampaikan pintu pondok pun terbuka. Dalam kesempatan itu, beliau ternampak kelibat seorang wanita yang berpakaian serba putih. Kelibat tersebut sedang membongkok menghadap Mosaku sambil menghembuskan nafas ke arah lelaki itu.

Menyedari Minokichi yang sudah terjaga dari tidur, Yuki-onna itu pun bergerak menghampirinya. Namun, ia berasa simpati terhadapnya tatkala mengenangkan usia lelaki itu yang masih muda di samping rupa-parasnya yag agak tampan.

Yuki-onna itu mengambil keputusan untuk tidak mengapa-apakan Minokichi dengan syarat lelaki itu tidak membuka mulut tentang apa yang berlaku pada malam itu. Syarat tersebut dipersetujui oleh Minokichi. Sebelum beredar, Yuki-onna itu sempat berpesan sekali lagi kepada Minokichi agar tidak memberitahu sesiapa tentang kejadian tersebut atau tidak, dia akan datang dan membunuhnya.

Setahun kemudian, Minokichi berkahwin dengan seorang gadis jelita yang bernama O-Yuki (bermaksud ‘salji’). Mereka berdua menjalani kehidupan rumah tangga yang bahagia terutama apabila dikurniakan cahaya mata. Pada suatu hari, Minokichi terlupa tentang janjinya pada Yuki-Onna. Lantaran itu, beliau pun menceritakan tentang kejadian pada malam pertemuannya dengan semangat-salji itu.

Namun alangkah terkejutnya Minokichi apabila isterinya, O-Yuki tiba-tiba mendedahkan dirinya sebagai Yuki-onna yang sama yang pernah dilihatnya sebelum ini. Gadis itu kemudian mengingatkan sekali lagi kepada Minokichi agar menjaga rahsia tersebut. Yuki-onna juga sekali lagi memutuskan untuk tidak mengapa-apakan lelaki tersebut kerana mengenangkan anak yang perlu dibesarkan. Namun, gadis itu menghilangkan diri dan meninggalkan Minokichi buat selama-lamanya.

Lukisan tahun 1910 yang menggambarkan Yuki-onna di hadapan seorang pemuda


Tidak kira sama ada sebagai semangat salji yang baik ataupun pencabut nyawa yang menakutkan, atau juga makhluk ghaib yang hidup dalam kalangan manusia – apa pun jua versi penceritaan tentang Yuki-onna yang anda baca, ia pasti dapat meninggalkan kepada anda mesej yang indah berkenaan kisah rakyat Jepun satu ini.


SUMBER