MARGUERITE DE LA ROCQUE: WANITA BANGSAWAN ABAD KE-16 YANG TERDAMPAR DI KEPULAUAN HANTU

Pautan ke artikel asal:
M R Reese. (15 Februari 2015). Marguerite de La Rocque: 16th Century Noblewoman Stranded on the Isle of Demons. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/marguerite-de-la-rocque-16th-century-noblewoman-isle-demons-020216

Penterjemah: Farahi Kamaruddin


Marguerite de la Rocque adalah seorang wanita bangsawan Perancis yang terkenal kerana berjaya bertahan hidup selama beberapa tahun secara berseorangan di sebuah pulau terpencil yang dikenali sebagai Kepulauan Hantu. Marguerite telah dibuang ke pulau tersebut oleh sepupunya, Jean-Francois de Roberval. 

Sebahagian pendapat mengatakan bahawa beliau melakukannya kerana perasaan marah, akibat dari sikap Marguerite yang gemar berskandal. Pendapat lain pula menyatakan bahawa beliau melakukannya kerana tamak, dengan harapan dapat menerima bahagian (yang lebih besar) dalam warisan harta.

Walau apapun sebab Roberval membuang Marguerite ke Kepulauan Hantu, waktu-waktu yang terpaksa ditempuh oleh Marguerite di tempat tersebut memang mengerikan. Bermula dengan kehidupan yang penuh kemewahan kemudian berubah menghadapi tempoh-tempoh sukar. Beliau telah menyaksikan kematian beberapa orang, termasuklah anaknya yang masih bayi. Berkat tuah yang menyebelahinya, Marguerite akhirnya diselamatkan dari Kepulauan Hantu dan terus berpeluang melangsungkan hidup bagi menitipkan kisahnya itu.

Marguerite de la Rocque dilahirkan pada sekitar tahun 1515M di Perancis. Pada usia 20 tahun, Marguerite memperoleh kekayaan yang melimpah-ruah dan menjalani kehidupan yang penuh dengan kesenangan serta kemewahan. Beliau memiliki sebuah tanah yang besar di Selatan Perancis, terletak di sebuah kawasan yang dikenali sebagai Languedoc. Selain mempunyai tanah milik peribadi, beliau juga turut memiliki sebahagian besar tanah bersama dengan sepupunya,  Jean-Francois de Roberval. Sebagai wanita yang memiliki kemewahan sebegitu, kehidupan Marguerite sememangnya berlangsung bebas dan santai.

Marguerite de la Rocque memiliki sebahagian besar tanah di Languedoc, Perancis


Sepupu Marguerite, Roberval, dilihat oleh ramai orang sebagai ‘pendaki tangga sosial’. Beliau sering mendekati sesiapa sahaja yang dianggap dapat memberi kemanfaatan terhadap dirinya – terlibat secara aktif dalam aktiviti sosial. Salah satu individu yang beliau dekati adalah Raja Francis I dari Perancis. Beliau bersahabat dengan raja itu dan mereka berdua sering menghabiskan masa bersama dengan berfoya-foya dan memburu permainan. Melalui hubungan yang terjalin akrab ini, Roberval berjaya meyakinkan Raja Francis supaya melantiknya sebagai Leftenan Jeneral bagi Perancis Baru, sebuah kawasan yang kini dikenali sebagai Kanada.  

Potret Raja Francis I dari Perancis oleh Joos van Cleve c. 1530


Pada tahun 1542, Roberval diaturkan supaya berlayar menaiki salah sebuah dari tiga buah kapal yang menuju ke Perancis Baru. Kapal-kapal ini membawa ratusan orang kolonis, bahan mentah dan peralatan untuk Perancis Baru. Roberval menempuh perlayarannya itu di atas sebuah kapal bernama Valentine, dan sepupunya Margeurite mengambil keputusan untuk ikut bersama. Tidak dapat dijelaskan mengapa seorang wanita yang memiliki status setinggi itu memilih untuk menempuh perlayaran dalam kapal tersebut, mengharungi perjalanan jauh ke Perancis Baru. Hal ini kekal menjadi suatu persoalan yang masih belum terjawab, lebih-lebih lagi wanita seperti Marguerite tidak mempunyai sebab untuk berbuat demikian.

Walau bagaimanapun, beliau tetap menempuh perlayaran itu dan apa yang bakal berlaku selanjutnya bakal menjadi suatu kisah legenda – berkenaan seorang yang mampu bertahan hidup setelah bergelut panjang di sebuah pulau terpencil. Selepas kapal tersebut berlayar, Roberval membuang Margeurite dan dua orang lain ke Kepulauan Hantu, sebuah tanah legenda yang dipercayai wujud di Pulau Quirpon, Newfoundland di Kanada – dibiarkan mereka supaya lenyap di sana.

Kepulauan Hantu mula muncul di dalam peta pada awal permulaan abad ke-16, namun lenyap pada pertengahan abad ke-17. Menurut legenda, pulau tersebut didiami oleh banyak hantu dan haiwan liar, yang bertindak menyerang mana-mana kapal yang singgah atau mana-mana individu yang cukup dangkal berkeliaran di pulau tersebut.

Inskripsi/ gambaran Kepulauan Hantu di Newfoundland dalam peta


Faktor yang mendorong Roberval berbuat sedemikian masih dipertikaikan. Berdasarkan beberapa buah sumber, Roberval dikatakan tidak senang terhadap sikap Margeurite sewaktu berlayar di atas Valentine. Marguerite yang ketika itu berusia 27 tahun hamil setelah mengadakan hubungan sulit dengan seorang pemuda di atas kapal berkenaan. Roberval melihat tindakan Marguerite bersama lelaki tersebut sebagai suatu skandal dan memalukan nama baik keluarganya.

Sumber lain pula menyatakan bahawa Roberval bertindak bukan kerana perasaan marah, akan tetapi disebabkan oleh perasaan tamak di mana beliau ingin mewarisi harta milik Marguerite.

Walau apapun jua motif  dan tindakan yang dilakukan dengan kuasanya sebagai Leftenan Jeneral, Roberval telah mengarahkan kapal tersebut untuk membawa Marguerite ke sebuah pulau terpencil – Kepulauan Hantu. Tepat di pulau itu, Roberval meninggalkan Marguerite bersama pemuda si kekasih gelapnya dan pembantu peribadi Margeurite yang bernama Damienne. Menurut beberapa sumber, Roberval dipercayai hanya membuang Marguerite seorang dan kemudian kekasih gelapnya itu mengambil keputusan untuk tinggal di pulau itu bersamanya. Dalam sumber lain pula, pemuda itulah yang dibuang oleh Roberval sambil Marguerite yang memilih untuk terus hidup bersamanya.

Mereka bertiga masing-masing diberikan sejumlah bekalan, termasuklah sepucuk pistol, serbuk letupan dan beberapa jenis pisau serta sebuah Bible. Mereka kemudiannya menemui sebuah guda untuk dijadikan sebagai tempat berteduh. Namun malangnya, Dameinne dan pemuda si kekasih Marguerite meninggal dunia di pulau tersebut sebelum sempat beliau melahirkan kandungannya. Marguerite terpaksa menghadapi tempoh kehamilan dan melahirkan anak dengan sendirian.

Lebih menyedihkan, bayi itu juga meninggal dunia dan Marguerite terus tinggal di pulau tersebut berseorangan, terpaksa menghadapi kesukaran untuk melangsungkan kehidupan dengan bekalan yang sangat sedikit yang diberikan oleh Roberval.
  
Sebagai seorang wanita bangsawan, Marguerite menghadapi banyak rintangan dalam usahanya untuk bertahan hidup dengan keadaan pulau yang begitu sukar. Makanan, tempat berteduh dan air, kesemua barangan yang telah siap tersedia untuk dirinya sewaktu di Perancis, kini menjadi perjuangan harian untuk dirinya. Pada suatu ketika, beliau menggunakan pistol yang dibekalkan itu untuk menembak mati seeekor beruang. Daging beruang itu kemudiannya dilapah dan kulitnya pula digunakan untuk memanaskan tubuh badannya. 

Kemahuannya untuk terus hidup berkekalan kuat dan beliau menghuni pulau terpencil itu selama lebih dari dua tahun sebelum menerima bantuan. Pada tahun 1544, beliau ditemui oleh sekumpulan nelayan. Berkat pertolongan nelayan-nelayan itu, kehidupan sukar Marguerite di Kepulauan Hantu berakhir jua.

Tidak banyak yang diketahui tentang butiran waktu tibanya Margeurite di Kepulauan Hantu atau apa yang berlaku semasa beliau kembali ke Perancis. Tiada rekod yang menunjukkan bahawa beliau ada mengambil sebarang tindakan terhadap Roberval walaupun sepupunya itu menetap di Perancis sehingga mencecah usia 60 tahun di mana Roberval menemui ajal akibat dipukul sehingga mati dalam sebuah rusuhan. Marguerite sendiri kemudiannya menjadi penaung bagi sebuah sekolah persendirian yang dibuka kepada pelajar perempuan, dan meluangkan hayatnya di Nontron, Chateu de la Mothe.


SUMBER: