- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
John Black. (26 Oktober 2013). The Creation Myth of Fiji and the Serpent God.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/human-origins-folklore/creation-myth-fiji-and-serpent-god-00966
https://www.ancient-origins.net/human-origins-folklore/creation-myth-fiji-and-serpent-god-00966
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Dewa Ular memainkan
peranan yang penting dalam banyak kepercayaan dan mitos di seluruh dunia.
Namun, kebanyakan peranannya dikaitkan dengan unsur jahat walaupun naratif
lazim bagi Dewa Ular adalah ia mahu supaya manusia mendapatkan ilmu pengetahuan
(misalnya ular di Kebun Eden dalam kepercayaan Kristian).
Dalam mitos penciptaan
kepulauan Fiji, salah satu mitos penciptaan yang masyhur, Dewa Ular tidak hanya
digambarkan sebagai suatu dewa yang penting namun ia juga merupakan dewa pertama
yang wujud dan bertanggungjawab menciptakan manusia-manusia pertama. Nama dewa
ini adalah Dewa Degei. Beliau dipercayai sebagai pencipta kepulauan Fiji dan
seluruh manusia yang terkait dengan kepulauan berkenaan. Degei juga
bertanggungjawab menghakimi roh-roh manusia apabila mereka telah mati dan
menentukan hala tuju mereka di alam kematian kelak.
Menurut legenda, pada
awalnya hanya terdapat air dan cahaya samar-samar sahaja di seluruh dunia, di
samping sebuah pulau. Pulau tersebut dipercayai sebagai pulau para dewa yang
berapungan di suatu sudut dunia dan hanya boleh dilihat semasa waktu terbit
matahari. Dalam keadaan sebegitu, Dewa Degei wujud berseorangan dan
satu-satunya makhluk hidup yang ada hanyalah seekor helang betina bernama
Turukawa.
Turukawa tidak berupaya
untuk bercakap dan satu-satunya perkara yang dilakukannya adalah terbang di
atas bumi. Kemudian, ia mengumpulkan dedaunan dan rumput untuk menghasilkan
sebuah sarang dan pada akhirnya dua buah telur pun tercipta. Dewa Degei
mengambil dan membawa kedua-dua telur itu ke rumahnya di mana beliau
menyediakan sarang yang hangat untuknya dan mengeramkan telur tersebut dengan
tubuhnya. Apabila kedua-dua telur itu menetas, dua orang manusia pun muncul dan
mereka dianggap sebagai anak kepada Dewa Degei.
Sebaik sahaja
manusia-manusia itu dilahirkan, mereka dipindahkan ke sebatang pokok vesi di
mana Degei membina sebuah tempat berteduh untuk mereka. Degei turut menyediakan
makanan dan mengajarkan mereka tentang alam semula jadi. Namun, Degei
memisahkan anaknya antara satu sama lain supaya hidup berasingan.
Degei menanam
beberapa jenis pokok di sekitar rumah mereka supaya mereka sentiasa mempunyai
bekalan makanan. Antara yang ditanam oleh Degei adalah pokok pisang, dalo dan
keladi. Namun, manusia hanya dibenarkan makan buah-buahan daripada pokok
pisang, bukan dalo dan keladi kerana mereka tidak mengetahui cara
menggunakan api sementara buah daripada kedua-dua pokok itu tidak boleh dimakan
secara mentah-mentah. Tambahan lagi, dalo dan keladi adalah makanan para
dewa.
Apabila kedua-dua
manusia itu tumbuh membesar, mereka pun saling bertemu dan meminta kepada Degei
agar menunjukkan mereka cara untuk menghidupkan api dan cara memakan makanan
para dewa. Maka, Degei pun memberikan tunjuk ajar kepada mereka. Setelah itu,
kedua-dua manusia itu pun meninggalkan Degei untuk hidup secara berdikari dan
mendapatkan anak pertama mereka tidak berapa lama kemudian. Degei tidak berasa
dukacita terhadap situasi ini memandangkan beliau mengetahui bahawa mereka akan
memujanya sebagai dewa.
Menurut legenda,
kampung pertama yang menjadi tempat turun Degei adalah Lautoka. Di sana, beliau
menubuhkan kampung Viseisei. Agak menarik juga untuk mengepilkan nota kepada
para pembaca bahawa di Fiji tidak terdapat ular. Oleh kerana itu, konsep Dewa
Degei yang digambarkan sebagai ular bukan hanya suatu perkara yang aneh, namun
ia turut memiliki persamaan dengan mitologo Hindu dan ular Kalia. Pun begitu,
Degei digambarkan sebagai seorang dewa yang baik sementara Kaliya dicatatkan
sebagai dewa ular yang jahat.
Mitos-mitos masyarakat
Fiji agak menarik kerana mereka merupakan salah satu masyarakat unik yang
menggambarkan dewa ular sebagai dewa yang baik dan langsung tidak dikaitkan
dengan kejahatan. Menurut legenda, Dewa
Degei kini hidup di sebuah gua yang berlokasi di banjaran gunung Nakavadra di
Viti Levu.
SUMBER
- A.W. Reed. (1967). Myths And Legends of Fiji And Rotuma. AH & AW Reed.
- David Adams Leeming. (1994). Creation Myths of the World: An Encyclopedia. Volume 1. ABC. CLIO.
- Go Fiji. (n.d.). Fiji Myths and Legends.
- Padmini Gaunder. (28 September 2009). Degei or Kaliya – A Closer Look At One Of Fiji’s Enduring Myths. Indian Weekender.
- Get link
- X
- Other Apps
