PERANG BUNGA MAWAR (1455 – 1487)

Pautan ke artikel asal:
Alcibiades. (21 April 2018). Wars of the Roses (1455 – 1487). About History.
https://about-history.com/wars-of-the-roses-1455-1487/

Penterjemah: Amir Zayyanid


Perang Bunga Mawar (War of the Roses) merupakan sebuah konflik bersenjata yang melibatkan pertelagahan di antara kumpulan-kumpulan bangsawan Inggeris pada rentang waktu antara tahun 1455 hingga 1485M dalam rangka perebutan kuasa di antara dua buah dinasti – Lancaster dan York. 

Peperangan tersebut berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Henry Tudor dari keluarga Lancaster – individu yang bertanggungjawab menubuhkan dinasti yang memerintah England dan Wales selama 117 tahun. Peperangan ini mengakibatkan kemusnahan dan kesusahan yang agak besar bagi rakyat England di samping mengorbankan sejumlah bangsawan Inggeris.


FAKTOR BERLAKUNYA PEPERANGAN

Peperangan ini tercetus akibat dari ketidakpuasan hati sebilangan besar masyarakat Inggeris dengan kesan susulan daripada Perang Seratus Tahun di samping polisi-polisi yang diperkenalkan oleh isteri kepada Raja Henry IV, Ratu Margarita (si raja itu sendiri merupakan seorang yang lemah dan berpenyakit mental). Pihak penentang diketuai oleh Duke Richard dari York yang pada mulanya menuntut agar raja yang tidak kompeten itu dipangku oleh individu yang lebih berkelayakan. Tuntutan tersebut kemudiannya melibatkan penyerahan mahkota Inggeris.

Di samping itu, antara elemen yang banyak mempengaruhi kepada tercetusnya peperangan ini datangnya dari sejumlah tentera professional yang kehilangan kerja setelah kekalahan yang dialami di tangan Perancis. Dengan bilangan mereka yang ramai itu, autoriti diraja menerima ancaman yang bukan calang-calang. 

Peperangan merupakan suatu kelaziman bagi tentera-tentera itu dan makanya, mereka sanggup menawarkan khidmat kepada baron-baron Inggeris yang secara drastik mengeluarkan oeruntukan sendiri bagi memperbesar pasukan tentera masing-masing. Rentetan itu, autoriti golongan bangsawan dan raja benar-benar terjejas dan terancam dengan besarnya kuasa ketenteraan yang amat berpengaruh ketika itu.


NAMA DAN SIMBOL

Nama Perang Bunga Mawar tidaklah digunakan semasa peperangan itu berlangsung. Bunga mawar berfungsi sebagai tanda yang membezakan antara dua pihak yang berperang. Tidak diketahui dengan jelas siapakah individu yang pertama sekali menggunakan nama itu. Namun apa yang diketahui, nama tersebut digunakan pada abad ke-19 setelah terbitnya penulisan novel.

Walaupun kadangkala bunga mawar digunakan sebagai simbol semasa berlangsungnya perang, kebanyakan pihak yang terlibat dalam konflik ini menggunakan simbol-simbol yang berkait dengan raja feudal mereka. Bukti pentingnya simbol bunga mawar ini dapat disaksikan apabila Raja Henry VII di hujung tempoh peperangan menggabungkan antara bahagian mawar putih dengan mawar merah sehingga menjadi Mawar Tudor (Tudor Rose) yang berwarna merah dan putih. Nama pihak-pihak yang bertelagah ini memiliki sedikit kemiripan dengan bandar York dan Lancaster, atau wilayah Yorkshire dan Lancashire.



PIHAK-PIHAK YANG TERLIBAT DALAM KONFLIK

Secara utamanya, konflik ini melibatkan golongan aristokrat feudal Inggeris bersama pasukan tentera dan penyokong masing-masing di samping sebilangan kecil tentera upahan dari luar. Sokongan kepada pihak-pihak penentang kebanyakannya didasari oleh faktor dinasti. Sistem yang kononnya dipanggil sebagai ‘feudal tidak gahara’ merupakan salah satu faktor utama yang mempengaruhi ketumbangan autoriti dan pengaruh kerabat diraja sekaligus mengundang kepada berlakunya konflik. Khidmat yang dibayar dengan pemberian tanah dan hadiah masih lagi dianggap penting, namun ia tidak ditentukan oleh tradisi feudal.

Tentera-tentera bagi kedua belah pihak diwakili oleh sejumlah pasukan tentera feudal yang dibentuk oleh tentera-tentera profesianal di samping beberapa pasukan kecil yang dipanggil berkhidmat atas perintah diraja. Tentera-tentera berkelas rendah kebiasaannya membentuk unit pemanah yang secara tradisinya, berbilangan lebih ramai berbanding tentera infantri dengan nisbah 3:1. 

Pertempuran pada masa itu pula lazim berlaku tanpa tunggangan. Unit kavalri hanya digunakan bagi tujuan tinjauan dan mengumpulkan bekalan dan sumber di samping berperanan sebagai pasukan pengangkutan. Dalam kelangsungan pertempuran, para komander tenter lazimnya turun dari tunggangan dan bertempur secara berjalan kaki untuk menaikkan semangat para tentera. Senjata artileri juga hadir dalam jumlah yang banyak, begitu juga dengan bedil tangan.


PERISTIWA-PERISTIWA UTAMA DALAM PERANG

Konfrontasi ini mula bertukar arah menjadi peperangan terbuka pada tahun 1455, apabila meletusnya Pertempuran Pertama St. Albans. Pertempuran tersebut dimenangi oleh York yang kemudiannya Parlimen Inggeris mengisytiharkan Richard York sebagai pelindung kerajaan dan pewaris Henry VI. Namun pada tahun 1460M, Richard meninggal dunia dalam kelangsungan Pertempuran Wakefield. 

Pihak Mawar Putih kemudian dipimpin oleh anaknya, Edward dan pada tahun 1461M, beliau dimahkotakan di London sebagai Edward IV. Pada tahun yang sama, York meraih kemenangan di Mortimer dan Taunton. Kesan dari pertempuran terakhir itu, ketumbukan utama Lancaster habis ditewaskan dan Raja Henry VI serta Ratu Margarita lari dari negara (raja kelak ditangkap dan dipenjarakan di Menara London).

Permusuhan di antara dua pihak itu bersambung lagi pada tahun 1470M, apabila Count of Warwick dan Duke of Clarence (adik kepada Edward IV) menyertai Lancaster dan mengembalikan Henry VI ke kerusi takhta. Edward dan adik-beradiknya yang lain, iaitu Duke of Gloucester, melarikan diri ke Burgundy di mana mereka kemudiannya kembali lagi pada tahun 1471M. 

Pada waktu itu, Duke of Clanrence menyertai semula pihak abangnya – dan York meraih kemenangan di Barnet dan Tewskesbury. Dalam tempoh awal pertempuran-pertempuran tersebut, Earl Warwick terbunuh dan kemudiannya, Putera Edward yang merupakan satu-satunya putera Henry VI turut terkorban.





KESAN PEPERANGAN

Para sejarahwan masih lagi membincangkan tentang impak sebenar konflik ini terhadap kelangsungan Inggeris pada zaman pertengahan. Tidak dinafikan bahawa Perang Bunga Mawar ini membawa kepada pergolakan politik dan perubahan dalam keseimbangan kuasa. Kesan paling ketara adalah tumbangnya dinasti Plantagenet yang digantikan oleh dinasti Tudor yang mengubah England pada tahun-tahun berikutnya. Beberapa tahun kemudian, saki-baki pecahan Plantagenet pula terbubar setelah tidak meraih akses langsung ke istana apalagi takhta.

Kenaikan takhta Tudor pada tahun 1485M dianggap sebagai permulaan kepada Zaman Baru dalam sejarah Inggeris. Pada masa itu, kesan peperangan yang sedia buruk diparahkan lagi oleh Henry VII yang mahu meraih pencapaian yang lebih lagi di samping berhasrat untuk mengecap keamanan (yang menuntut polisi yang lebih keras).

Sudah tentu, kesan peperangan ini terhadap para pedagang dan rakyat tidaklah begitu buruk jika dibandingkan dengan perang-perang yang berlaku di Perancis atau tempat-tempat lain di Eropah – dipenuhi oleh tentera-tentera upahan yang sentiasa berminat dan berhasrat untuk meneruskan peperangan (untuk mendapat kerja).

Walaupun terdapat beberapa buah pengepungan panjang, mereka ini secara umumnya merupakan penduduk kawasan yang lebih terpencil (justeru terhindar dari konflik tersebut). Di kawasan yang berpopulasi tinggi milik kedua belah pihak yang bertelagah itu pula, mereka masing-masing memelihara kemaslahatan wilayah tersebut dan mencari solusi pantas kepada konflik yang tercetus dengan mengadakan pertempuran secara terbuka.

Tempoh pasca perang bukan sahaja menamatkan peperangan, tetapi ia juga menandakan pengakhiran kepada karier para tentera yang sebelum ini menjadi batu api dalam konflik terbabit. Oleh kerana khuatir akan berlakunya konflik di masa akan datang, Henry VII mengenakan kawalan yang ketat kepada para bangsawan dan melarang mereka dari melatih, mengupah, melengkapkan atau membekalkan senjata kepada tentera agar mereka tidak dapat mencetuskan sebarang peperangan sesama mereka, atau peperangan terhadap kerajaan.