SEBUAH KOTA BERUSIA 2000 TAHUN DITEMUI TIDAK BERUSIK DI ALBANIA

Pautan ke artikel asal:
Christina Ayele Diossa. (19 Jun 2018). Found: An Untouched 2000-Year-Old City in Albania. Atlas Obscura.
https://www.atlasobscura.com/articles/the-lost-city-in-albania

Penterjemah: Amir Zayyanid


Kadangkala, batu-batuan yang ditemui oleh kita itu sebenarnya lebih daripada sekadar runtuhan biasa. Pada ketika yang lain, batu-batuan ini bahkan mendedahkan petunjuk tentang sejarah lampau yang berlaku di bumi ini. Buat para arkeologis dari Pusat Penyelidikan Barangan Antik Eropah Tenggara di Universiti Warsaw, ternyata batu-batuan yang terdapat di Shkoder, Albania merupakan sisa runtuhan dari kota Bassania yang telah hilang selama 2000 tahun.

Pada masa dahulu, Bassania merupakan sebuah kota yang memiliki ekonomi dan ketenteraan yang ampuh. Ia merupakan sebahagian dari Kerajaan Illyria yang wujud pada tempoh masa di antara tahun 400 hingga 100SM. Kota purba ini memuatkan sejumlah petempatan dan kubu yang sebahagian daripadanya telah pun berjaya ditemukan oleh ahli-ahli arkeologi.

Apa yang mereka temukan itu adalah batuan purba dari kubu yang dilindungi oleh tembok benteng dan gerbang yang bersaiz kira-kira 10 kaki lebar. Menurut professor Piotr Dyczek dari Universiti Warsaw, bangunan pertahanan ini memiliki ciri seni bina lazim bagi kebudayaan Hellenistik. Pasukan arkeologis ini mengesahkan usia runtuhan tersebut menerusi penganalisaan yang dilakukan terhadap syiling dan serpihan tembikar seramik yang ditemui di kawasan berhampiran – usianya bertepatan dengan tempoh pemerintahan Kerajaan Illyria.

Mengikuti rapat kesan-kesan tinggalan batu-batuan itu berupaya membawa petunjuk yang lebih banyak tentang kota tersebut. Tembok batu yang besar mengelilingi kawasan tersebut yang berkeluasan sekitar 300 000 meter persegi – bermaksud bahawa Bassania memiliki saiz tiga kali ganda lebih besar berbanding Shkoder purba yang hanya seluar 70 000 meter persegi.

Namun, kota ini dan Kerajaan Illyria tumbang secara muktamad dalam serangan Rom yang dilancarkan pada awal abad pertama Masihi. Hal ini berkemungkinan menjadi sebab mengapa ahli-ahli arkeologi mengambil masa yang lama untuk menemukan Bassania.

“Sebabnya adalah berkemungkinan kota ini telah lama hilang hinggakan namanya turut dilupakan,” tulis Dyczek.

Ahli-ahli arkeologis dari Poland dan Albania ini turut mempertimbangkan faktor infrastruktur geologikal kedudukan kota berkenaan sebagai salah satu sebab mengapa ia sukar ditemui. Runtuhan ini dijumpai di “sebuah bukit yang dipanggil oleh penduduk tempatan sebagai ‘bibir ular’ di (kampung) Bushat yang terletak beberapa batu dari Shkoder,” tulis Dyczek.

Setelah mengalami penghakisan selama ratusan malah ribuan tahun, runtuhan batu ini kelihatan seperti sebahagian daripada batu pepasir dan paduan semula jadi yang membentuk bukit berkenaan. Oleh kerana itu orang yang lalu-lalang di kawasan tersebut hanya melihatnya sebagai timbunan batu, bukan sebagai sebuah struktur binaan buatan manusia.

Memandangkan kota itu kini telah dilakukan usaha penggalian dan ekskavasi, maka runtuhan terbabit dapat dilihat dan dibuka untuk dikunjungi.