SUNDIATA KEITA – SI RAJA SINGA MALI

Pautan ke artikel asal:
DHWTY. (26 April 2019). Sundiata Keita – The Lion King of Mali. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/sundiata-keita-lion-king-mali-005733

Penterjemah: Amir Zayyanid


Sundiata Keita merupakan pengasas Empayar Mali dan secara masyhur dikenali sebagai Raja Singa. Sebelum menubuhkan empayar tersebut, Sundiata merupakan seorang raja atau pembesar bagi puak Mandinka, salah sebuah puak yang membentuk Empayar Ghana. Berikutan kejatuhan Empayar Ghana pada abad ke-13M, Sundiata merebut peluang untuk meningkatkan kuasanya dan kemudian, menguasai Empayar Ghana dan menjadikannya sebagai wilayah bawahan.

Kebanyakan maklumat yang kita peroleh berkenaan kisah hidup Sundiata datangnya daripada sumber hikayat, atau lebih khusus untuk disebutkan – Epik Sundiata. Tambahan lagi, bukti-bukti bertulis yang memerihalkan beliau juga boleh ditemui dalam sejumlah penulisan yang dihasilkan oleh beberapa orang pengembara Muslim yang pernah melawat Mali.


IBUNDA SUNDIATA – SI WANITA KERBAU

Menurut Epik Sundiata, pengasas kepada Empayar Mali ini merupakan anak kepada seorang raja atau pembesar yang bernama Maghan Kon Fatta (juga dikenali sebagai Frako Mahgan Keigu yang bermaksud ‘Maghan Si Tampan’) bersama isteri keduanya, Sogolon Kedjou. Wilayah yang diperintah oleh Maghan dipercayai terletak di tanah tinggi berhampiran Sungai Niger, di barat laut negara Guinea moden. Di dalam epik berkenaan, terdapat ramalan yang menyebutkan tentang kegemilangan yang bakal dikecap oleh keturunan Maghan dan Empayar Mali.

Namun untuk mencapai perkara tersebut, Maghan terlebih dahulu perlu mengahwini seorang wanita bernama Sogolon. Menurut epik tersebut, Sogolon yang dijuluki sebagai “Wanita Kerbatu” dirincikan sebagai seorang wanita yang “hodoh, mengerikan, dan memiliki bonggol di bahagian badan belakangnya. Matanya terbelalak seolah-olah terkeluar dari mukanya.”

Maghan menemui Sogolon semasa Sogolon dibawa menghadap ke istana oleh dua orang pemburu muda. Sogolon pada asalnya bakal dikahwinkan dengan salah seorang pemburu tersebut. Namun, mereka kemudiannya memutuskan untuk menghadiahkan Sogolon kepada Maghan. Oleh kerana beliau sememangnya berhasrat untuk memenuhi ramalan tersebut, Maghan pun mengahwini Sogolon.

Sogolon Kedjou, si ‘Wanita Kerbau’
                

USIA AWAL SUNDIATA YANG TIDAK MENAMPAKKAN TUAH GEMILANGNYA

Sogolon kemudiannya mengandungkan putera raja dan melahirkan Sundiata. Zaman kanak-kanak Sundiata tidak menampakkannya memiliki masa depan yang cerah atau gemilang. Anak itu banyak mengambil pengaruh ibunya dan seakan-akan tidak ditakdirkan untuk mewarisi ayahandanya.

“Pada usia tiga tahun, beliau masih merangkak sementara kanak-kanak lain seusianya telah pun berjalan. Beliau tidak memiliki satu pun keindahan yang dipunyai oleh ayahandanya, Nard Maghan. Kepalanya sangat besar sampaikan kelihatan seperti tubuhnya tidak dapat menampung kepala itu. Matanya juga besar dan terbuka luas jika ada sesiapa yang memasuki rumah ibundanya. Beliau merupakan seorang yang pendiam dan sering meluangkan masa seharian suntuk dengan hanya duduk di dalam rumah. Apabila ibunya keluar, beliau akan merangkak dan menggeledah mencari makanan kerana beliau seorang yang sangat gelojoh.”

Lukisan yang menggambarkan Sundiata Keita


Ketika beliau menginjak usia 7 tahun, bapanya mangkat. Saudara tiri kepada Sundiata, yang bernama Dankaran Touman ditabalkan sebagai raja dan sebuah sidang majlis pemangku diraja ditubuhkan di mana Saussoma, iaitu ibu kepada Dankaran memegang kuasa sepenuhnya ke atas pemerintahan. Rentetan itu, Sundiata dan Sogolon menerima layanan yang buruk daripada Sassoma memandangkan Maghan sangat melebihkan mereka berdua berbandingnya.

Legenda menceritakan betapa dengan keazaman dan usaha keras, Sundiata pada akhirnya berjaya mengatasi kekurangan fizikalnya – beliau mampu berjalan. Menjelang usia 10 tahun, beliau mula menunjukkan tanda-tanda sebagai seorang yang bakal menerima takdir gemilang.


TAKDIR YANG DIPENUHI – NAIKNYA SUNDIATA KE KERUSI TAKHTA

Ketika itu, hanya seorang sahaja menghalang Sundiata dari mengecap takdirnya – iaitu Saussoma. Menurut Sogolon, anaknya itu akan terus menjadi Saussoma jika mereka tetap tinggal di sana. Makanya, beliau mengambil keputusan untuk membawa anaknya itu ke luar negara dan tiba di istana raja wilayah Mema, yang bernama Moussa Tounkara. Moussa berkenan mengurniakan perlindungan kepada mereka.

Seiring peredaran masa, Sundiata meraih perhatian dan kasih sayang daripada Moussa Tounkara yang menyimpan rasa kagum terhadap usaha kerasnya dalam menghadapi kesusahan. Kedudukannya di istana terus meningkat naik. Tidak lama kemudian, beliau dilantik sebagai wakil raja dan memerintah semasa ketiadaan Moussa. Namun dalam lipatan takdir, Sundiata dituliskan bakal meraih masa hadapan yang lebih gemilang daripada itu. Sundiata kemudian pulang ke tanah airnya.

Pintu kepada takdir yang gemilang itu terbuka semasa Mandinka jatuh ke tangan Soumaoro Kante, si raja Sosso. Sundiata naik berang dengan layanan yang diberikan oleh Sosso kepada rakyatnya dan makanya beliau pun melancarkan perang ke atas Soumarou Kante dengan menggunakan separuh daripada tentera Moussa Tounkara. Tugas yang digalasnya ini bukanlah suatu hal yang mudah terutama apabila ia menuntutnya agar menyatukan pelbagai puak demi menewaskan musuh.

Dalam Pertempuran Kirina, Soumaoro Kante berjaya ditewaskan oleh Sundiata dan sekutu-sekutunya. Kemenangan tersebut menandakan langkah awal yang membuka jalan kepada tertubuhnya Empayar Mali, empayar yang kemudiannya nanti bakal menjadi kuasa besar di Afrika Barat.

Saat tersebut juga merupakan permulaan kepada apa yang disebutkan oleh legenda sebagai tahun pemerintahan Sundiata yang panjang – yang ketika itu beliau dikenali sebagai Raja Singa Mali. Gelaran Raja Singa datang dari sebutan lain bagi Sundiata, iaitu Sogolon Djata – Sogolon merujuk kepada ibunya dan Djata pula merujuk kepada Jata (Jara) yang bermaksud singa. Oleh kerana itu, gelaran tersebut membawa maksud Singa Sogolon dan juga Raja Singa Mali.


Sebuah balafon moden. Balafon memainkan peranan penting dalam Epik Sundiata. Balafon magis milik Soumaoro Kante dicuri oleh Balla Fasseke dan dibawa ke negara Mandinka

Walaupun sumber berupa hikayat tidak ada menyebutkan tentang tarikh bagi sesebuah peristiwa, berdasarkan catatan-catatan para pengembara Muslim, Pertempuran Kirina dianggarkan berlaku sekitar tahun 1230M dan pada sekitar masa itu jugalah Empayar Mali tertubuh. Sundiata juga merupakan raja Mandinka pertama yang menggunakan gelaran Mansa – yang bermaksud raja atau maharaja dalam bahasa itu.


KISAH SUNDIATA SELEPAS PERTEMPURAN KIRINA – EMPAYAR RAJA SINGA

Antara langkah ketenteraan yang diambil oleh Mansa Sundiata Keita adalah melibatkan penaklukan Kumbi, iaitu bekas ibu kota Empayar Ghana merangkal simbol terakhir kegemlangan tersebut. Setelah itu, panglima tentera beliau terus meluaskan wilayahnya hingga ke utara dan selatan Sahara – hingga ke Sungai Niger di timur, hingga ke Sungai Senegal di barat, dan hingga ke tanah emas Wangara di selatan.

Walau bagaimanapun, Sundiata sendiri memberikan penumpuan yang lebih kepada pentadbiran kerajaan. Dengan lokasi pemerintahannya yang begitu strategik untuk menjalankan aktiviti perdagangan emas, Niani (juga dikenali sebagai Mali) berhasil menjadi kuasa pusat dan tempat kunjungan utama para pedagang. Mansa Sundiata turut mengaturkan garis panduan yang baik dalam melayan para pedagang baik yang berlatarbelakangkan agama Islam mahupun bukan-Islam.

Sundiata diperkirakan mangkat sekitar tahun 1255M. Pun begitu, faktor kemangkatannya masih menjadi perbahasan dalam kalangan sejarahwan. Sebahagian daripada mereka berpendapat bahawa beliau secara tidak sengaja terkena bidikan panah beracun sambil pendapat lain mengujarkan bahawa beliau merupakan mangsa pembunuhan politik. Namun, pendapat yang diterima secara meluas adalah kemangkatan Sundiata Keita adalah kerana beliau lemas di dalam Sungai Sankarani – memandangkan terdapat sebuah makam yang bersertakan namanya masih teguh berdiri di sana.
Empayar Mali terus mengecap kegemilangan walaupun setelah kemangkatan Sundiata. Salah seorang maharajanya yang paling masyhur, Mansa Musa merupakan cucu saudara beliau.


SUMBER