TABLET BERUSIA 3800 TAHUN MENGANDUNGI ADUAN-PERKHIDMATAN PERTAMA DI DUNIA

Pautan ke artikel asal:
Bernadette Deron. 10 September 2018). This 3800-Year-Old Tablet Contains The World’s First Customer Service Complaint. All That Interesting.
https://allthatsinteresting.com/first-customer-service-complaint-ea-nasir

Penterjemah: Amir Zayyanid


Sebelum talian hangat pengguna dan media sosial wujud, pelanggan yang tidak berpuas hati dengan khidmat yang mereka terima akan mengukir aduan mereka di tablet-tablet batu. Begitulah yang berlaku salah sebuah tablet yang dianggap mengandungi aduan tertua di dunia – menjangkau era Mesopotamia.

Tablet aduan ini berusia kira-kira 3800 tahun yang lalu dan ia dihantar oleh seorang pelanggan yang menetap di Kota Ur, sebuah kota di selatan Mesopotamia – kini Tell el-Muqayyar yang terletak di Iraq moden.

Tablet yang kini menjadi hak milik Muzium British di London ini mengandungi aduan daripada seorang lelaki yang bernama Nanni kepada seorang ahli perniagaan yang bernama Ea-Nasir. Aduan tersebut ditulis dalam bahasa Akkadia menggunakan sistem tulisan kuneiform. Nanni mengadu kepada Ea-Nasi tentang kesalahan gred bijih tembaga yang dihantar kepadanya di samping komplen berkenaan kesilapan lokasi dan kelewatan penghantaran.

Ea-Nasir merupakan salah seorang ahli Alik Tilmun, iaitu sebuah persatuan pedagang yang berpusat di Dilmun, Para arkeologis menemukan bahawa beliau merupakan seorang pedagang tembaga yang masyhur. Namun sebagaimana yang dibuktikan menerusi tablet aduan itu, Ea-Nasir ternyata adalah seorang pedagang yang agak teruk terutama apabila beliau menerima sejumlah aduan daripada para pelanggan yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatannya.

Tablet tanah liat yang mengandungi surat daripada Nanni kepada Ea-Nasir yang mengadu tentang kesalahan gred bijih timah yang dihantar kepadanya


Menurut media Forbes, seorang lelaki yang bernama Arbituram pernah menghantar sebuah nota kepada Ea-Nasir dan mengadu tentang tembaga yang masih belum diterimanya walaupun pembayaran telah pun dibuat. “Mengapa kamu tidak berikan aku tembaga itu? Jika kamu tidak serahkannya kepada aku, aku akan ulangi semula kata-kata janji kamu. Tembaga yang berkualiti, beri dan berikannya kepadaku. Hantarkan pada aku seseorang (untuk membawa tembaga itu),” terjemahan secara kasar bagi aduan pada tablet berkenaan.

Namun, terdapat sebuah lagi tablet yang dianggap mengandungi aduan yang paling keras. Aduan ini dihantar oleh Nanni yang memahat aduannya itu di kedua-dua bahagian tablet – depan dan belakang – untuk dihantarkan kepada Ea-Nasir.

Tablet tersebut diterjemahkan oleh seorang ahli kaji Assyria yang bernama A. Leo Oppenheim dan hasil terjemahan tersebut tercantum di dalam sebuah bukunya yang bertarikh 1967, berjudul Letters From Mesopotamia: Official, Business, and Private Letters on Clay Tablets from Two Millenia. Terjemahan tersebut bebunyi seperti berikut:

“Beritahu pada Ea Nasir; Nanni menghantar pesanan berikut:

Semasa kamu datang (dahulu), kamu katakan kepada aku, “Aku akan serahkan kepada Gimil-Sin jongkong-jongkong tembaga yang berkualiti tinggi.” Kemudian, kamu beredar (begitu sahaja) tanpa menunaikan janji-janji yang kamu lontarkan pada aku. Kamu meletakkan jongkong-jongkong yang tidak berkualiti di hadapan utusan aku (Sit-Sin) dan berkata, “Kalau kamu mahu mengambilnya, ambil sajalah. Kalau tidak mahu, pergi berambus!”

Kamu menganggap aku ini siapa sehingga kamu melayan aku dengan begitu hina? Aku telah menghantar utusan-utusan yang budiman untuk mengambil semula beg duit aku (yang aku serahkan kepada kamu sebagai bayaran deposit), tetapi kamu melayan aku dengan amat hina dan mengusir mereka pulang dengan tangan kosong. Bahkan mereka terpaksa melalui wilayah musuh!

Pernahkah pedagang-pedagang yang berdagang dengan (persatuan) Tilmun melayan aku sebegini? Hanya kamu seorang sahaja melayan utusan aku dengan begitu hina! Berkenaan satu hal remeh iaitu wang perak yang aku masih berhutang pada kamu, sememangnya kamu bebas untuk berbicara (dan mengungkit) pasal itu. Namun (ingatlah bahawa) aku telah pun berikan 1080 paun tembaga kepada istana bagi pihak kamu, umi-abum juga telah diberikan 1080 paun tembaga – (satu tindakan yang) di luar dari apa yang telah kita berdua tuliskan (sepakati) dalam tablet mohor yang tersimpan di kuil Samas.

Bagaimana caranya kamu melayan (membalas budi) aku soal (pemberian) tembaga itu? Kamu menahan beg duit aku di wilayah musuh; dan sekarang (aku minta) kamu kembalikan (duit aku itu) dengan jumlah penuh.

Sedarlah bahawa (mulai sekarang) aku tidak akan menerima sebarang tembaga yang tidak berkualiti daripada kamu. Dan aku juga (mulai sekarang) akan memilih dan mengambil sendiri jongkong-jongkong (tembaga) di laman milik aku sendiri, dan aku menolak untuk berurusan dengan kamu (lagi) kerana kamu telah melayan aku dengan begitu hina.”

Walau pada zaman ketamadunan terawal yang pernah diketahui oleh sejarah sekalipun, para pelanggan tetap jua mengadu dan mengkritik tentang perkhidmatan yang mereka terima sekeras dan setajam seperti yang dilakukan pada hari ini.