TIDAK HANYA SATU ISU PEMBUANGAN SAMPAH, PUNTUNG ROKOK JUGA MERENCATKAN PERCAMBAHAN TUMBUHAN

Pautan ke artikel asal:
Ellen Cranley. (22 Julai 2019). Cigarette Butts Are A Huge Trash Issue, And Now We Know They’re Harming Plant Growth. Science Alert.
https://www.sciencealert.com/cigarette-butts-are-our-most-common-trash-and-they-re-harming-plant-growth

Penterjemah: Amir Zayyanid


Puntung rokok yang dibuang di rumput dan tanah bakal mendatangkan bahaya kepada percambahan (perkembangan) tumbuhan yang berada berhampiran, menurut hasil kajian terbaharu.

Kajian yang diketuai oleh Universiti Anglia Ruskin di Cambridge, England mendapati bahawa puntung rokok boleh merencatkan percambahan atau perkembangan tumbuhan sekaligus menambahkan lagi kerisauan terhadap pembuangan puntung-puntung rokok yang sebelum ini hanya dianggap sebagai satu gejala pencemaran alam sekitar yang kian berleluasa.

Puntung rokok boleh menjejaskan kadar percambahan rumput sebanyak 10% dan pertumbuhan pucuknya sebanyak 13% sambil merencatkan percambahan daun semanggi sebanyak 27% dan 28% bagi pertumbuhan pucuknya, menurut laporan hasil kajian yang disiarkan di dalam jurnal Ecotoxicology and Environmental Safety (Ekotoksikologi dan Keselamatan Alam Sekitar).

Walaupun pembuangan straw-straw plastik sering mendominasi propaganda pihak yang ingin memperjuangkan pengurangan pencemaran, pada hakikatnya gejala pembuangan rokok merupakan satu pencemaran yang paling berleluasa setakat ini.

BBC melaporkan bahawa kajian tersebut mendapati bahawa kira-kira 4.5 trillion puntung pokok dibuang di seluruh dunia pada setiap tahun. Walaupun sebenarnya sukar untuk menentukan jumlah puntung rokok yang dibuang secara tepat, anggaran ini dihasilkan menerusi angka 5.6 trillion bagi penghasilan rokok di seluruh dunia pada setiap tahun di mana kebanyakan puntung rokok ini ‘dibuang secara tidak bertanggungjawab’, memetik NBC News.

Bahan lazim pada rokok yang mendatangkan bahaya kepada alam sekitar datangnya dalam bentuk selulosa asetas, sejenis plastik yang memperuntukkan paling tidak selama sedekad untuk terurai.

Dilaporkan bahawa para penyelidik telah mengambil sampel dari kota Cambridge, termasuklah beberapa lokasi yang dikatakan mempunyai sebanyak 128 puntung rokok di setiap meter persegi. Kajian ini dilaporkan tidak menemukan perbezaan di antara bahaya yang didatangkan oleh asap rokok dengan bahaya yang berpunca daripada rokok yang tidak dihisap.

Berikutan ancaman bahaya yang diberikan oleh rokok kepada alam sekitar dan ditambahkan pula lagi dengan asap rokok yang dikeluarkan, sebahagian aktivis alam sekitar turut mendesak supaya penggunaan penapis rokok diharamkan sepenuhnya.
Memandangkan penapis rokok tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada kesihatan dan hanya berperanan sebagai ‘alat pemasaran’, ianya perlu diharamkan bagi mengurangkan ancaman bahaya kepada alam sekitar, ujar Thomas Novotny, seorang professor kesihatan awam di San Diego State University kepada NBC News pada tahun 2018.

Walau bagaimanapun, usul pengharaman tersebut gagal ketika ianya dikemukakan oleh seorang wakil rakyat dari California. Sambil itu pengetatan undang-undang ke atas salah-laku pembuangan rokok di merata-rata juga ternyata menghadapi kesukaran untuk meraih kesan yang efektif dalam rangka membendung isu pencemaran dalam tahun-tahun kebelakangan ini.