YOSHITSUNE – PAHLAWAN SUTERA YANG MENUNTUT-BELA KEMATIAN BAPANYA

Pautan ke artikel asal:
Valdar Roric. (10 Oktober 2017). Yoshitsune: The Silk Clad Warrior With a Noble Quest for Revenge. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/yoshitsune-silk-clad-warrior-noble-quest-revenge-008938

Penterjemah: Amir Zayyanid


Selain kaya dengan mitologi yang pelbagai, Jepun juga mempunyai lembaran sejarah yang sarat dengan begitu banyak perwira. Salah satunya adalah kisah tentang Yoshitsune. Berjalan ke sana-sini dengan berpakaian sutera indah dan meniup seruling, sesiapa sahaja yang memandang beliau buat kali pertama sama sekali tidak akan menyedari ancaman yang dibawa oleh lelaki itu. Yoshitsune memiliki semangat setia yang begitu tinggi, namun beliau juga adalah lelaki yang teramat bahaya bagi sesiapa sahaja yang berani bersilang takdir dengannya.


KEMAHUAN UNTUK MEMBALAS DENDAM

Semasa beliau masih kecil, Ushiwaka (kelak Yoshitsune) menetap di sebuah kuil yang terletak di Gunung Kurama. Di sana, beliau menjalani hidup dengan bahagia dan membesar sebagai kanak-kanak yang baik. Ushiwaka menimba pelbagai pelajaran yang murni dan beliau bersenang hati dengan perjalanan hidupnya itu; beliau bahkan pernah memasang hasrat untuk menjadi seorang sami suatu hari nanti. Namun, takdir mempunyai suratan yang tersendiri buat beliau dan pada usia 15 tahun, berlaku suatu perubahan yang besar dalam hidup Ushiwaka.

Semasa usianya menginjak 11 tahun, terdapat seorang lagi kanak-kanak berjaya meloloskan diri daripada orang-orang yang mengejarnya. Kanak-kanak itu kemudiannya bersembunyi di sebuah kuil. Hatinya tidak tenteram kerana tuannya telah pun dibunuh oleh puak Heike dan beliau sangat berhajat untuk menuntut bela. Pemuda itu lantas meredah perjalanan yang jauh dan membawa diri ke Kyoto, di mana beliau meluangkan beberapa tempoh untuk bersembunyi. 

Memandangkan beliau begitu berhasrat untuk membalas dendam terhadap puak Heike, maka apabila sebaik sahaja beliau mengetahui bahawa anak bekas tuannya berada di Kuil Kurama, langsung sahaja beliau berangkat ke sana. Iya, putera kepada tuannya itu adalah Ushiwaka.

Pandangan dekat gerbang Kuil Kurama


Setibanya pemuda itu ke kuil, beliau pun menceritakan kepada Ushiwaka tentang asal-usul sebenarnya sebagai seorang bangsawan. Beliau turut memaklumkan bagaimana bapa Ushiwaka telah dibunuh oleh Kiyomori. Tambahnya lagi, sudah menjadi tanggungjawab Ushiwaka untuk menuntut bela kematian bapanya, lebih-lebih lagi seorang anak jantan tidak wajar hidup berkongsi langit yang sama dengan pembunuh bapanya sendiri. 

Kisah ini benar-benar mengejutkan Ushiwaka rentetan beliau belum pernah mendengarnya daripada sesiapa pun di kuil itu. Beliau langsung tidak pernah mendengar perihal kematian tragis bapanya, atau kesusahan yang dialami oleh ibunya atau bahkan status kebangsawan keluarganya sendiri, iaitu puak Genji – yang kini sedang dicabul maruahnya oleh musuh sejati mereka.

Hal ini membuatkan Ushiwaka naik angin dan beliau turut berkongsi impian untuk membalas dendam. Si pemuda yang melawatnya itu gembira dengan perubahan tersebut dan beliau turut membawakan senjata untuk Ushiwaka. Ushiwaka kemudiannya mengenepikan ajaran-ajaran murni yang dianutinya sebelum ini dan bertindak menyembunyikan senjata di hutan yang terletak di belakang kuil. 

Pada setiap malam, beliau akan pergi ke sana untuk berlatih. Sebelum mencapai pedang, beliau akan terlebih dahulu memanjatkan doa kepada para dewa agar memberikannya kekuatan supaya dapat membalas dendam terhadap puak Heike dan menenteramkan roh bapanya. Ushiwaka berlatih melibas pedang pada pokok dengan membayangkannya seolah-olah sebagai Kiyomori dan puak Heike. Merentas masa, beliau menjadi seorang pemedang yang sangat mahir.

Tugu Yoshitsune di Taman Mimosusogawa, Shimonoseki, berhampiran medan Pertempuran Dannoura


JALAN BARU DAN NAMA BARU

Sikapnya yang sering keluar malam itu disedari oleh orang ramai. Masing-masing mula berspekulasi kononnya Ushiwaka si tampan itu keluar menemui wanita pada setiap malam. Oleh kerana itu, salah seorang rakannya dari kuil berhasrat untuk mengetahui hal yang sebenar dan mengekornya pada waktu malam. Beliau berasa sangat terkejut apabila melihat Ushiwaka berlatih bermain pedang dari seekor tengu (satu dewa Shinto, mungkin seekor syaitan yang berupa menakutkan).

Hal ini merupakan suatu berita yang sangat buruk buat ketua sami kuil itu, memandangkan beliau telah pun berjanji kepada Kiyomori bahawa Ushiwaka tidak akan sekali-kali mengetahui masa silamnya yang sebenar. Andai berita tersebut bocor, ketua sami itu sudah tentu akan dipenggal kepalanya. Oleh kerana itu pada keesokan pagi, beliau pun menyuruh Ushiwaka mencukur rambut dan mendedikasikan hidup sepenuhnya kepada Buddha. Ushiwaka menolak suruhan itu dan susulannya, beliau pun dihantar ke kuil lain yang terletak berhampiran.

Di sana, Ushiwaka disapa oleh nasib yang baik. Beliau berkenalan dengan seorang pedagang yang menyokong puak Genji. Dengan bantuan pedagang itu, Ushiwaka berjaya meloloskan diri dari kuil. Sebelum beredar, beliau sempat memandang buat kali terakhir gunung yang amat beliau sayangi; tempat di mana beliau telah meluangkan masa selama lapan tahun daripada hayatnya. 

Kemudian, beliau pun berangkat menuju ke Wilayah Oshu. Fujiwara Hidehira merupakan gabenor di sana dan beliau merupakan seorang pendokong puak Genji sejak sebelum kejatuhannnya lagi. Pada masa-masa inilah Ushiwaka mengambil nama baru sebagai Yoshitsune.

Hidehira berjanji kepada Yoshitsune bahawa beliau akan menghulurkan sebarang bantuan apabila tiba masa untuk beliau keluar berperang. Namun, pemuda itu tidak dapat menahan sabar dan tanpa izin Hidehira, Yoshitune berangkat ke Kyoto untuk meninjau keadaan di sana. Dalam tempoh itu, beliau menempuh pelbagai pengembaraan sebagai seorang yang meminati seni dan musik. 

Beliau berjalan ke sana-sini dengan mengenakan pakaian sutera sambil bermain seruling. Dengan demikian, tiada siapa mengesyaki bahaya yang dibawa oleh beliau. Yoshitsune kemudian bertemu dengan rakan karibnya, Benkei dalam pengembaraannya ini. Sejak kali pertama bertemu, mereka berdua tidak pernah berpisah sehinggalah kematian datang.

Lukisan yang menggambarkan Yoshitsune, oleh Kikuchi Yosai


RAKAN YOSHITSUNE YANG SETIA

Pada suatu malam, Yoshitsune menyeberangi Jambatan Gojo untuk pergi ke sebuah kuil bagi memanjatkan doa. Di sana, beliau bertemu Benkei dan mencabarnya supaya bertarung. Jika Benkei mampu menjatuhkan senjata Yoshitsune, pedang tersebut menjadi miliknya sekaligus menjadikan hal tersebut sebagai rampasannya yang ke-1000. Walau bagaimanapun, Yoshitsune yang sangat terlatih dengan mudah berjaya menewaskan Benkei dan malah, menjatuhkan senjatanya pula. Melihat dirinya tewas, Benkei pun menawarkan diri untuk menjadi pengkhidmat kepada Yoshitsune dan membantunya menentang puak Taira. Mereka berdua lantas menjadi rakan-karib yang berkongsi semangat setiakawan yang tinggi.

Abang Yoshitsune, iaitu Yoritomo juga telah melarikan dari kuil tempat beliau tinggal dan mula menentang puak Heike demi menuntut bela atas kematian bapanya. Demikianlah bagaimana bermulanya kempen penentangan terhadap Heike. Dengan bantuan daripada sejumlah daimyo, kesemua saki-baki bekas pendokong puak Genji dikumpulkan dan abang Yoshitsune dilantik sebagai seorang pemimpin, namun tidak banyak yang diraihnya untuk meletakkan pihaknya dalam keadaan yang lebih baik.

Potret Yoritomo, dimiliki oleh Kuil Jingo-ji di Kyoto


KEPALA DI DALAM SAKE

Oleh kerana itu, Yoshitsune dan Benkei pun datang membantunya. Selepas berlakunya Pertempuran Dan-no-Ura, musuh mereka pun dihancurkan. Puak Genji lantas meluaskan kuasanya dan Yoritomo menyatukan seluruh wilayah Jepun lalu menubuhkan Kerajaan Kamakura.

Pun begitu, Yoritomo tidak menunjukkan sikap mengenang budi atas bantuan yang diberikan oleh Yoshitsune. Beliau diburu dan untuk meloloskan diri dari kematian, Yoshitsune dan Benkei terpaksa mendapatkan bantuan di wilayah yang jauh. Menurut legenda, lokasi Yoshitsune ditemui oleh barua-barua Yoritomo lantas beliau pun dibunuh. Kepalanya kemudian disimpan di dalam sake dan dihantar ke Kamakura sambil Benkei pula terkorban semasa melindungi sahabatnya itu.

Lukisan Tsukioka Yoshitoshi tahun 1885 yang menggambarkan Yoshitsune dan Musashibo Benkei di bawah sebatang pokok sakura