ZAMAN TIGA KERAJAAN DI KOREA

Pautan ke artikel asal:
Mark Cartwright. (5 Oktober 2016). Three Kingdoms Period in Korea. Ancient History Encyclopedia.
https://www.ancient.eu/Three_Kingdoms_Period_in_Korea/

Penterjemah: Farahi Kamarudddin


Zaman Tiga Kerajaan pada era Korea purba (57 tahun sebelum Masehi – 688 Masehi) mendapat gelarannya kerana ia didominasi oleh tiga kerajaan yang terdiri daripada Baekje (Paekche), Goguryeo (Koguryo) dan Silla. Ia turut mempunyai entiti keempat, iaitu Gaya (Kaya) sebuah konfederasi di bahagian selatan Semenanjung Korea.

Keempat-empat kerajaan ini sentiasa berada dalam perseteruan, jadi mereka sering membuat pakatan antara satu sama lain dan juga dengan dua kuasa dominan China dan Jepun. Pada akhirnya, Kerajaan Silla, dengan bantuan daripada dinasti Tang telah mendominasi sebagai sebuah kerajaan tunggal, pada akhir abad ke-7 Masehi, dengan panggilan Kerajaan Silla Bersatu.


GAMBARAN KESELURUHAN SEJARAH TIGA KERAJAAN DI KOREA

Kesemua negeri tersebut bermula daripada puak-puak tempatan yang menetap dan akhirnya membina bandar-bandar berkenaan. Mereka kemudiannya berkumpul bersama-sama bagi membentuk entiti politik tersendiri. Menurut tradisi berdasarkan Samguk-sagi (Rekod Sejarah Tiga Kerajaan) pada abad ke-12 Masehi, keadaan ini berlaku sejak daripada abad pertama sebelum Masehi, namun pakar sejarah moden memilih tarikh abad kedua atau abad ketiga Masehi (atau selepasnya) sebagai tarikh tepat di mana negeri-negeri tersebut boleh digambarkan sebagai mempunyai kerajaan yang lebih berpusat.

Pada abad kedua hingga ketiga Masehi, Goguryeo mula mengembangkan kawasannya dengan menakluk bahagian utara China, namun mengalami dua kekalahan teruk pada pertengahan abad ke-4 Masehi apabila Murong Huang menceroboh dari China dan menawan Kungnaseong, dan mengambil 50,000 banduan tempatan (342 Masehi).

Raja Baekje, Kunchogo yang kemudiannya telah menakluk federasi Mahan, telah menyerang Pyongyang dan membunuh Raja Gogugwon (371 Masehi). Kerajaan Baekje begitu makmur hasil daripada tanah pertanian yang subur dan hubungan perdagangan yang kuat dengan kedua-dua China dan Jepun melalui Laut Kuning dan Laut Selatan.

Zaman Tiga Kerajaan ini menyaksikan pembentukan kerajaan berpusat di Korea di mana raja-raja memerintah dengan bantuan daripada hierarki aristokrat yang kukuh.

Kekalahan kepada Baekje pada 371 Masehi telah mendorong Goguryeo untuk membentuk pakatan bersama Silla yang membentuk asas kepada abad ke-5 Masehi yang gemilang di bawah pemerintahan Gwanggaeto (391-413) yang terkenal dengan gelarannya iaitu ‘penyebar kawasan yang luas’ dan membawa Goguryeo untuk mendominasi kawasan utara Korea, sebahagian besar Manchuria dan satu bahagian pedalaman Mongolia. Ibu negeri baru telah dibuat di Pyongyang pada 427 Masehi dan kejayaan tenteranya berterusan apabila Hansong (Gwangju moden), iaitu ibu negeri Baekje ditawan pada 475 Masehi dan Raja Gaero telah dihukum pancung.

Baekje telah membentuk pakatan dengan kerajaan Silla antara tahun 433 dan 553 Masehi. Silla, sewaktu pemerintahan Raja Beopheung (atau Pophung, 514-540 Masehi), telah mencapai perkembangan pusat kerajaan yang lebih besar. Ia mempunyai ibu negeri yang hebat di Kumsong (Gyeongju) dan terus makmur di bahagian pantai timur hasil daripada inovasi pertanian seperti pembajakan menggunakan lembu dan sistem pengairan, dan juga sumber asli yang melimpah ruah, terutamanya emas dan besi. Pakatan Baekje-Silla, walau bagaimanapun, tidak mampu menghalang kawalan kuasa oleh Goguryeo ke atas 90% daripada Korea purba.

Seramik pahlawan Silla


Cinderella pada Zaman Tiga Kerajaan ini ialah konfederasi Gaya yang terletak jauh ke dalam bahagian selatan semenanjung. Tidak seperti negeri-negeri yang lain, ia tidak pernah berkembang menjadi sebuah kerajaan berpusat penuh, sebahagiannya disebabkan oleh ia dihimpit oleh dua jiran yang lebih dominan iaitu Baekje dan Silla. Ia turut menerima keuntungan hasil daripada perlombongan bijih besi, namun pada pertengahan abad ke-4 Masehi, Gaya telah diserang oleh Baekje dan Silla kemudiannya telah meluaskan kuasanya dan menawan ibu negeri Pon Kaya pada tahun 532 Masehi. Bandar-bandar Gaya yang lain runtuh tidak lama kemudian dan menjelang tahun 562 Masehi, negeri itu tidak lagi wujud.

Sementara itu, pakatan Baekje dengan Silla menemui pengakhiran yang dramatik apabila Silla menduduki bahagian bawah lembah Sungai Han. Pada tahun 554 Masehi, sewaktu pertempuran di Kubu Kwansan-song (Okchon moden), Baekje cuba untuk menakluk kembali jajahannya yang hilang, namun 30,000 orang tenteranya yang gagah telah dikalahkan dan Raja Song terbunuh. Keadaan ini memberi ruang kepada Silla ke bahagian pantai barat dan Laut Kuning, menyediakan peluang buatnya untuk menjalin hubungan lebih besar bersama China.

Keadaan berjalan lancar pada abad ke-7 Masehi untuk Goguryeo apabila jeneralnya, Ulchi Mundo menang besar dalam pertempuran di Sungai Salsu pada tahun 612 Masehi, mengalahkan segerombolan angkatan tentera penceroboh Sui Cina. Dua lagi serangan telah dipatahkan, dan tembok pertahanan sepanjang 480-km (300 batu) telah dibina pada tahun 628 Masehi bagi menghalang sebarang niat daripada orang-orang Cina.

Ini tidak menghentikan Dinasti Tang – yang bercita-cita untuk melaga-lagakan kerajaan-kerajaan bermasalah di bahagian selatan sesama mereka – membentuk angkatan tentera dan tentera laut dan menyerang Goguryeo pada tahun 644 Masehi, namun jeneral agung Yang Manchun sekali lagi membawa kemenangan buat orang-orang Korea.

Goguryeo bergabung dengan Baekje bagi melawan Silla pada tahun 642 Masehi dan menakluk Taeya-song (Hapchon moden) dan sekitar 40 buah kubu sempadan. Orang-orang Tang masih tidak melepaskan kawasan utara, dan lebih banyak serangan dilakukan yang mana akhirnya Goguryeo, yang menjadi lemah akibat keperluan untuk pertahanan, dan oleh bahagian dalamannya sendiri yang tidak mampu untuk bertahan.

Pyongyang telah dikepung pada tahun 661 dan 667 Masehi oleh tentera Tang, dan pada waktu ini, bandar itu runtuh bersama negerinya, Goguryeo. Pada 668 Masehi, Pojang, iaitu raja Goguryeo (642-668 Masehi) telah dipindahkan ke China bersama 200,000 orang pengikutnya dalam satu program penempatan semula.

Topi besi dari Gaya


Baekje juga tidak mampu bertahan seperti Goguryeo. Kerajaan ini gagal untuk mendapatkan bantuan dari Jepun dan tidak dapat menghalang kejatuhan ibu negerinya Sabi apabila diserang oleh angkatan Tang dan Silla di darat dan laut pada 660 Masehi. Sebanyak 50,000 orang tentera Silla yang diketuai oleh jeneral Kim Yushin dan angkatan tentera laut yang terdiri daripada 130,000 orang yang dihantar oleh Maharaja Tang, Gaozong telah membuktikan ia adalah lebih daripada cukup untuk menghancurkan tentera Baekje.

Uija, iaitu raja terakhir Baekje, telah dijadikan banduan ke China dan kerajaan itu akhirnya mengikut langkah Gaya dan Goguryeo. Menjelang tahun 668 Masehi, Silla berjaya mengawal keseluruhan Korea, menubuhkan apa yang dikenali sebagai Kerajaan Silla Bersatu, selepas menghadapi tentera Tang yang masih tinggal untuk mentadbir wilayah China yang turut meliputi Goguryeo dan Baekje.


KERAJAAN DAN KELAS SOSIAL

Kesemua kerajaan pada zaman ini mempunyai sistem kerajaan dan organisasi sosial yang sama. Pemerintahan sebuah monarki dibantu oleh pegawai pentadbiran senior yang datangnya daripada golongan aristokrat yang memiliki tanah. Kerajaan akan melantik para pegawai bagi mentadbir wilayah-wilayah dengan bantuan daripada ketua-ketua puak tempatan. Majoriti daripada populasi adalah buruh-buruh memiliki tanah dan pihak negeri mengambil cukai daripada mereka, yang biasanya dibayar dalam pelbagai bentuk. Pihak negeri juga boleh mewajibkan rakyat untuk berkhidmat dalam tentera atau bekerja bagi projek-projek kerajaan seperti pembinaan kubu.

Kelas paling bawah dalam tangga sosial adalah golongan hamba (kebiasaannya banduan perang atau mereka yang banyak berhutang) dan penjenayah, yang terpaksa bekerja di ladang-ladang milik aristokrat. Masyarakat dibahagikan secara ketat kepada kasta-kasta sosial, ditunjukkan melalui contoh sistem kasta suci Silla, yang berdasarkan kepada kelahiran dan mengawal peluang pekerjaan seseorang, kewajipan cukai, malah pakaian yang harus dipakai atau perkakasan yang boleh digunakan oleh seseorang.  


HUBUNGAN DENGAN CINA DAN JEPUN

Walaupun berlaku konflik antara China dengan negeri-negeri Korea selama beberapa abad, namun kedua-duanya kerap menjadi rakan perdagangan. Besi, emas dan kuda dibawa ke China, dan sutera, teh serta bahan-bahan penulisan datang darinya. Mereka juga mempunyai hubungan budaya yang rapat dengan orang Korea menerima sistem tulisan Cina, penggunaan panggilan Wang bagi raja, syiling Cina, kesusasteraan, amalan pengkebumian dan elemen-elemen seni. Negeri-negeri Korea ini yang secara tradisinya mengamalkan perbomohan, awalnya menerima Confucianism, kemudiannya Taoism dan Buddhism dari China, dan menjadikannya sebagai agama rasmi negeri.

Patung Maitreya yang bercelup gangsa


Hubungan dengan Wa (Wae) di Jepun adalah kukuh dalam konfederasi Gaya. Ia memiliki kebudayaan yang lebih maju dan mengeksport besi dalam kuantiti yang banyak, namun bagaimana sesebuah negeri itu dipengaruhi atau dikawal oleh negeri yang lain masih menjadi pertikaian dalam kalangan ahli cendekiawan dan dikaburi dengan kecenderungan kenegerian. Budaya Baekje telah dieksport ke Jepun, terutamanya melalui para guru, cendekiawan, dan artis, yang turut menyebarkan kebudayaan Cina seperti teks klasik Confucius.


KESENIAN PADA ZAMAN TIGA KERAJAAN

Kesenian dalam Kerajaan Baekje secara umumnya dianggap sebagai yang paling halus di antara Tiga Kerajaan, namun malangnya untuk generasi seterusnya, kerajaan ini memiliki hanya sebilangan kecil artifak kerana kemusnahan besar akibat daripada peperangan dan rompakan. Gaya dan Goguryeo turut mengalami nasib yang sama, terutamanya makam-makam mereka mempunyai pintu masuk yang mudah dicerobohi. Makam-makam Silla yang lebih tertutup telah menjadi sumber yang lebih baik bagi objek seni dari zaman Tiga Kerajaan.

Tembikar kelabu berkulit keras telah dihasilkan oleh kerajaan Baekje, Gaya dan Silla (sedikit barangan tembikar Goguryeo telah selamat). Bentuk-bentuk biasa adalah cawan bertangkai, mangkuk dengan tapak yang luas (kobae), cawan bertanduk, pasu tinggi berbentuk bulat, dan bejana berbentuk mewakili haiwan, bot, kuil dan pahlawan. Seramik dihiasi dengan hirisan, yang diletakkan tambahan kepingan tanah liat dan dengan memotong tanah liat itu bagi mencipta kesan kerja berawang.

Lukisan makam yang terbaik boleh dilihat pada makam-makam Goguryeo. Lebih 80 daripadanya mempunyai kamar-kamar yang dihiasi dengan dicat terang dengan gambaran kehidupan seharian, potret pemilik makam, dan makhluk-makhluk mistik. Lukisan-lukisan tersebut dihasilkan dengan menggunakan cat sama ada secara terus ke atas dinding atau ke atas lapisan asas plaster kapur.

Lukisan kuda dari Silla


Hasilan kerja bercelup gangsa adalah medium biasa bagi wilayah ini, mungkin yang terbaik dilihat ialah dupa (pembakar kemenyan) Baekje dari kawasan berhampiran Sabi yang mewakili gunung samawi yang disokong oleh seekor naga dan diduduki oleh burung phoenix. Kesenian Buddha adalah popular di keseluruhan semenanjung, dan celupan gangsa telah digunakan bagi menghasilkan patung-patung yang menunjukkan Buddha, Maitreya (Buddha yang akan datang) dan bodhisattvas.

Artis-artis Baekje turut mengukir tebing dengan wajah bagi mewakili Buddha seperti di Sosan. Satu lagi penggunaan celupan gangsa ini ialah pada mahkota diraja, yang turut dihasilkan dalam kepingan emas, yang paling terkenal oleh Kerajaan Silla. Ia mempunyai pohon dan ranting seperti bertanduk, yang mewakili hubungan dengan amalan perbomohan. Mahkota emas dan semua jenis barang kemas dibuat dengan menggunakan teknik-teknik dalam kerja-kerja membuat emas seperti pendawaian dan granulasi. Jed, selalunya diukir menjadi bentuk bulan sabit, adalah bentuk perhiasan popular bagi barang kemas dan perhiasan yang berkilau.


SENI BINA PADA ZAMAN TIGA KERAJAAN

Malang sekali, hanya ada beberapa buah bangunan dari zaman Tiga Kerajaan yang masih selamat. Walau bagaimanapun, arkeologi dan makam-makam yang selamat serta lukisan dinding mereka telah membolehkan para ahli sejarah untuk mengenalpasti ciri-ciri utama bagi istana dan seni bina kuil pada masa kini. Ciri-ciri ini termasuklah atap genting yang cerun dan mengunjur ke atas pada bahagian penjuru, turus kayu dan batu, hiasan dalaman pada kertas dinding pembahagi, laman dalam dan taman, serta keseluruhan tempat yang berada pada platform yang diangkat.

Struktur yang bergabung secara harmoni dengan persekitaran semulajadi ini adalah satu lagi pertimbangan penting bagi para arkitek Korea. Kuil Miruk di Iksan pada abad ke-7 Masehi (kini telah hilang) adalah istimewa untuk dinyatakan. Dibina oleh Mu, Raja Baekje, ia adalah kuil Buddha yang terbesar di Asia Timur dan mempunya dua pagoda batu serta satu daripada batu. Satu pagoda batu telah terselamat, meskipun hanya dengan enam daripada 7-9 tingkat asalnya.  

Terdapat tinggalan dinding kubu Goguryeo yang mempunyai gerbang dan menara dari Tonggou, Fushun dan Pyongyang. Ekskavasi telah mendedahkan bahawa ia turut mempunyai bangunan yang sangat besar berukuran sehingga 80 x 30 m dan istana-istana dengan taman-taman yang mempunyai bukit buatan serta tasik. Bangunan-bangunan dihiasi dengan atap genting tera yang membawa bunga lotus dan rekabentuk topeng hantu.

Makam Gwanggaeto Agung


Suatu struktur luar biasa adalah balai cerap Cheomseongdae pada pertengahan abad ke-7 Masehi yang terletak di Gyeongju, iaitu ibu negeri Silla. Tingginya sembilan meter, ia berfungsi seperti jam matahari, tetapi turut mempunyai tingkat menghadap selatan yang menangkap sinaran matahari pada tingkat dalam pada setiap ekuinoks. Ia merupakan balai cerap paling tua yang masih bertahan di Asia Timur.

Makam-makam begitu banyak, dengan lebih daripada 10,000 adalah dari Goguryeo sahaja. Ini dapat dilihat pada awalnya dengan batu penanda yang dibina menggunakan batu bulat sungai (Goguryeo) atau lubang yang dijadikan sebagai timbunan kubur semulajadi (Gaya dan Silla), kemudian potongan blok piramid dan akhirnya timbunan tanah yang dalamnya telah dibina kamar batu (atau bata bagi Baekje), yang kesemuanya mempunyai bukaan mendatar kecuali dari Silla yang tidak mempunyai sebarang bukaan.

Makam-makam tersebut menunjukkan pelbagai ciri pembinaan seperti atap bersangga, tiang ortogonal, dan pintu batu yang berputar. Salah satu daripada makam timbunan kubur, yang sebenarnya terdiri daripada dua timbunan dan memuatkan Raja dan Permaisuri Silla, adalah makam Hwangnam Taechong. Pada tarikh antara abad 5 hingga 7 Masehi, ia berukuran 80 x 120 m, dan timbunanya setinggi 22 dan 23 m.

Satu lagi contoh yang terkenal ialah Kungnaesong (Tonggou moden) dan dikatakan milik raja Goguryeo, iaitu Gwanggaeto yang Agung (391-412 Masehi). Panjangnya 75 meter dan menggunakan blok berukuran 3 x 5 meter, ia turut mempunyai empat struktur lebih kecil seperti dolmen pada setiap penjuru.

Akhir sekali, makam raja Baekje, Muryeong-Wang yang layak untuk disebutkan yang mana di dalam timbunan tanah yang besar terdapat sebuah peti kebal separa bulat sejujuk dengan beratus-ratus bata berbentuk, kebanyakannya dihiasi dengan bunga lotus serta corak geometri. Struktur tersebut, terletak berhampiran Gongju, bertarikh sehingga 525 Masehi, seperti yang ditunjukkan pada plak prasasti dalam makam tersebut.


SUMBER
  • Jackson, B. Korean Architecture. (Seoul Selection USA, Inc., 2013).
  • Jinwung Kim. A History of Korea"Land of the Morning Calm" to States in Conflict. (Indiana University Press, 2012).
  • Keith Pratt. Korea: A Cultural & Historical Dictionary. (Routledge, 1999).
  • Ki-baik Lee. A New History of Korea. (Harvard University Asia Center, 1984).
  • Kim, C. The Arts of Korea. (Thames & Hudson, 1966)
  • Kyung Hwang. A History of Korea. (Palgrave Macmillan, 2010).
  • Portal, J. Korea: Art & Archaeology. (Thames & Hudson, 2000).