- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Joshua J. Mark. (14 September 2014). Zenobia. Ancient History Encyclopedia.
https://www.ancient.eu/zenobia/
https://www.ancient.eu/zenobia/
Penterjemah: Amir Zayyanid
Zenobia merupakan ratu Empayar Palmyrene yang mencabar kekuasaan Rom
pada lewat era yang dipanggil sebagai Krisis Abad ke-3 dalam sejarah Rom
(235-284 M). Era ini, yang turut dikenali sebagai Krisis Diraja, disifatkan
sebagai sebuah era yang penuh dengan perang saudara memandangkan ramai panglima
Rom saling bertelagah demi berebutkan tampuk kekuasaan empayar.
Krisis ini
dicatatkan dengan lebih lanjut oleh para sejarahwan sebagai era di mana
berlakunya kehuru-haraan sosial, ketidakstabilan ekonomi dan yang paling
penting, perpecahan empayar yang terbahagi kepada tiga; Empayar Gallic, Empayar
Rom dan Empayar Palmyene.
Berbeza dengan anggapan umum, Zenobia tidak pernah memimpin
pemberontakan terbuka melawan Rom. Beliau juga mungkin tidak pernah dimalukan
dalam perarakan di jalan-jalan di kota Rome dan malah, tidak pun dihukum bunuh
oleh Maharaja Aurelian (memerintah 270-275 M).
Sumber-sumber lama yang
memerihalkan kehidupan dan pemerintahan Zenobia datang dari Zosimus (490 M), Historia
Augusta (abad ke-4 M), Zonaras (abad ke-12 M) dan al-Tabari (839-923 M).
Walaupun kesemua sumber terseut mengekalkan naratif bahawa Ratu Zenobia bertanggungjawab
mencabar kekuasaan Rom, namun tidak ada satu pun yang secara langsung
menyifatkan tindakannya itu sebagai satu pemberontakan terbuka. Sudah tentu, ia
bergantung kepada definisi masing-masing terhadap maksud ‘pemberontakan’ itu
sendiri. Sepanjang pemerintahannya, Zenobia sangat berwaspada agar tindakannya
tidak mencetuskan konflik terbuka terhadap Rom, walaupun jelas sekali beliau
cuba mengenepikan kekuasaan Rom dan mengangkat diri sebagai monarki yang sah di
wilayah timur.
KEHIDUPAN AWAL ZENOBIA
Zenobia dilahirkan di Palmyra, Syria sekitar tahun 240SM dan diberi nama
Julia Aurelia Zenobia. Syria pada masa itu merupakan wilayah jajahan Rom sejak
ditakluk pada tahun 115/116 Masihi. Zenobia merupakan seorang warga Rom
memandangkan gelaran Aurelia pada nama keluarga Zenobia mungkin telah diberikan
semasa pemerintahan Marcus Aurelius (161-180 M). Menurut Historia Augusta,
salasilah bapa Zenobia boleh dijejak sehingga bertemu dengan Julia Domna
(170-217 M).
Sejak kecil, Zenobia dididik dalam bahasa Greek dan Latin walaupun
mengalami kesukaran untuk menuturkannya secara fasih. Beliau lebih fasih
berbicara dalam bahasa Mesir dan Aramaic. Zenobia turut mendakwa dirinya
berketurunan Dido dari Carthage dan Cleopatra VII dari Mesir.
Menurut versi
Arab yang diceritakan oleh Imam al-Tabari, Zenobia dipertanggungjawabkan untuk
menjaga haiwan ternakan keluarga sejak remaja. Dari situlah bakat kepimpinan
beliau terlatih. Kemahiran menunggang kuda dan ketahanan serta stamina tubuh
badan Zenobia turut mengalami peningkatan pada masa itu. Oleh kerana itu,
beliau mampu mara berjalanan kaki bersama pasukan tenteranya dalam menghadapi
perjalanan yang jauh dan mampu berburu seperti lelaki-lelaki lain.
Dalam karyanya, Edward Gibbon merincikan tentang Zenobia menerusi
perenggan berikut:
“Zenobia berkemungkinan merupakan satu-satunya wanita yang kemampuannya
menjangkaui norma ketidakcergasan yang lazim disinonimkan dengan wanita-wanita
lain, berkat cuaca dan cara hidup di Asia. Beliau mendakwa dirinya berketurunan
raja Mesir, memiliki kejelitaan seperti moyangnya Cleopatra. Zenobia dimuliakan
sebagai wanita yang paling jelita dan paling gagah perkasa. Zenobia memiliki
kulit yang hitam kemanisan. Giginya memancar putih dan matanya yang hitam pekat
galak memancarkan cahaya sambil wajahnya dihiasi kemanisan yang menawan hati.
Suaranya lantang. Kecerdasannya dikuat dan dihiasi dengan kelazimannya menuntut
ilmu. Lidah beliau tidaklah kelu untuk bertutur dalam bahasa Latin, dan mampu
berbicara fasih dalam bahasa Greek, Syria dan Mesir.”
Perenggan ini dipetik dengan panjang kerana penerangan tersebut banyak
diambil daripada Historia Augusta. Selain itu, karya Gibbon ini memiliki
impak yang signifikan tentang bagaimana generasi mendatang melihat dan memahami
peribadi Ratu Palmyra itu. Baik di zaman dahulu dan sekarang, Zenobia dikenali
sebagai seorang wanita yang memiliki keupayaan mengagumkan.
Bahkan dalam sumber-sumber Arab yang tidak begitu menonjolkan
keperwiraannya, Zenobia tetap ditampilkan sebagai seorang ratu yang berkaliber.
Banyak pekerti luhurnya diulang dengan kerap dalam sumber-sumber purba dan
sebutan sifat paling khusus yang sering diperikan adalah kesucian dirinya.
Zenobia berpegang bahawa hubungan intim hanya boleh dilakukan dengan tujuan
untuk mendapatkan zuriat. Bahkan setelah berkahwin, beliau tetap enggan tidur
bersama suaminya kecuali untuk tujuan tersebut.
PERKAHWINAN ZENOBIA
Menjelang tahun 258 Masihi, Zenobia berkahwin dengan Lucius Septimus
Odaenthus, seorang gabenor Rom di Syria. Melalui perkahwinan dengan Zenobia,
Odaenthus dikurniakan seorang anak lelaki bernama Vaballathus. Zenobia
merupakan isteri kedua Odaenthus dan Odaenthus sendiri telah mempunyai seorang
anak lelaki yang menjadi pewarisnya, iaitu Herodes hasil dari perkahwinan
pertamanya.
Odaenthus diberi tanggungjawab ke atas wilayah yang sangat mewah.
Kota yang paling utama dalam pemerintahannya adalah Palmyra, yang berfungsi
sebagai pusat perdagangan penting di Jalan Sutera, yang menjadi penghubung
antara timur dan barat. Para pedagang yang keluar masuk ke Rom pasti akan
melalui Palmyra – sama ada utuk membayar cukai mahupun untuk berehat.
![]() |
| Matawang syiling Zenobia |
Namun begitu, sejak tahun 227 Masihi, perdagangan yang rancak itu
terhenti akibat pencerobohan yang dilakukan oleh Parsi Sassanid yang mengepung
laluan tersebut. Dalam tempoh konflik tersebut, Raja Sassanid bernama Shapur I
(240-270/272 M) menawan kota Antioch yang juga merupakan salah satu pusat
perdagangan penting buat Rom. Hal ini tidak boleh didiamkan.
Pada tahun 260 Masihi, Maharaja Rom yang bernama Valerian (253-260 M)
berangkat memerangi kekuatan Sassanid, namun mengalami kekalahan dan diambil sebagai
banduan. Sepanjang menjadi tawanan perang, Valerian dipergunakan sebagai tempat
pemijak oleh Shapur I untuk menaiki kudanya. Valerian terus berada dalam
tawanan sehingga beliau meninggal dunia dan kemudian, jasadnya digantung dan
dipamerkan di khalayak ramai. Puteranya yang bernama Gallienius tidak mampu
berbuat apa-apa untuk membaiki keadaan ini.
Oleh kerana itu, Odaenthus
mengambil tanggungjawab untuk memerangi Sassanid dan berjaya menewas dan
mengusir mereka kembali ke Sungai Furat, menjauhi wilayah Syria. Walaupun
Odaenthus menampilkan dirinya sebagai seorang yang bertindak bagi kepentingan
Rom dan menyelamatkan Valerian, beliau sebenarnya mempunyai motif-motif lain –
beliau cuba membentuk persekutuan dengan Shapur namun ditolak dan kemudian
barulah bermusuh dengan pihak Sassanid.
Atas jasanya terhadap Rom, Odaenthus dilantik sebagai gabenor kepada
seluruh wilayah timur Empayar Rom. Pada tahun 261 M, sempasa Quietus mencabar
pemerintahan Gallienius, Odaenthus sekali lagi tampil menewaskan dan membunuh
Quietus. Jasanya itu meraihkannya pengaruh yang cukup untuk membenarkannya
memerintah wilayah timur Rom dengan lebih bebas dan berkuasa.
Pada tahun
266/267 Masihi, Odaenthus terkorban bersama anaknya, Herodes akibat dibunuh
oleh anak buahnya selepas berlaku sebuah pertelingkahan. Terdapat spekulasi
kononnya Zenobia menjadi orang yang bertanggungjawab menghasut supaya Odaenthus
dan Herodes dibunuh demi menaikkan anaknya, Vaballathus. Namun pendapat ini
ditolak oleh kebanyakan sejarawan.
MERAIH KUASA & MENAKLUK MESIR
Zenobia kemudian dilantik menjadi pemangku gabenor memandangkan
Vaballathus masih kecil. Sebaik meraih kuasa, beliau sering berdampingan dengan
ahli-ahli intelek dan falsafah terkemuka di istananya. Antara mereka
termasuklah Platonist Cassius Longinus (213-273 M) yang kelak akan dihukum
bunuh atas kesalahan kononnya menghasut Zenobia agar membelakangi Rom. Setakat
kenaikan kuasa Zenobia, hubungan antara Palmyra dan Rome masih berlangsung
mesra berkat gerakan-gerakan ketenteraan yang dilancarkan oleh Odaenthus
sebelum ini banyak memelihara dan memihak kepentingan Rom.
Zenobia mengekalkan polisi pemerintahan mendiang suaminya. Sepanjang
fasa huru-hara yang melanda Rom ketika itu, yang dipanggil sebagai Krisis Abad
ke-3, seramai 26 orang telah naik dan turun sebagai maharaja. Odaenthus mungkin
pernah terlintas untuk menjadi salah seorang daripadanya, lebih-lebih lagi
dirinya begitu akrab dengan Maharaja Gallienus dan wilayah pemerintahannya pula
begitu mewah. Selepas kematiannya, Zenobia pula mungkin menganggap anaknya,
atau bahkan dirinya sendiri mampu menaiki takhta Rom.
Sejarawan bernama Richard
Stoneman menulis:
“Dalam tempoh 5 tahun selepas kematian Odaenthus pada tahun 267 M,
Zenobia berjaya meletakkan dirinya disenangi oleh rakyatnya dan dikenali
sebagai Ratu Timur. Mendiami sebuah istana yang boleh dikatakan antara yang
termewah pada zaman itu, dikelilingi oleh cendekiawan ulung yang berkhidmat di
istana, dilayan oleh sida-sida setia, dan dipakaikan dengan kain sutera paling
berkualiti dari Antioch dan Damsyik, Zenobia juga mewarisi reputasi kehebatan
pasukan tentera yang ditinggalkan oleh Odaenthus dan unit tentera Badwi yang
begitu efektif.
Dengan kekuatan ketenteraan dan pengaruh yang begitu hebat,
Zenobia menjadi salah satu figura yang mencabar kekuasaan Rom yang menghadapi
abad yang huru-hara. Rom yang ketika itu digugat oleh serangan dari utara,
tidak mampu untuk melindungi wilayahnya di Timur. Syria untuk suatu tempoh
hilang dari perhatian penguasa-penguasa Rom.”
Gallienus mati dibunuh pada tahun 268 Masihi dan digantikan oleh
Claudius II yang kemudian meninggal dunia akibat demam. Kedudukannya diwarisi
oleh Quintillus pada tahun 270 Masihi. Sepanjang tempoh peralihan kuasa pantas
ini, polisi pentadbiran Zenobia berubah dengan lancar dan menjelang tahun 269
Masihi, Zenobia memanfaatkan keadaan dengan menghantar ketua panglimanya,
Zabdas ke Rom-Mesir untuk menawan wilayah tersebut.
Pun begitu, tindakan ini juga dilakukan oleh Zenobia dengan begitu
berhati-hati agar tidak terlihat sebagai melancarkan konflik terhadap Rom.
Semasa gabenor yang memerintah Mesir sedang melancarkan kempen di luar kawasan,
seorang warga Syria-Rom bernama Timagenes memulakan pemberontakan. Oleh kerana
itu, kemaraan pasukan tentera Zenobia ke Mesir ini boleh dijelaskan sebagai
sebuah kempen yang memelihara kepentingan Rom. Apapun, terdapat kemungkinan
bahawa Timagenes ini batu api yang sengaja dihantar terlebih dahulu oleh
Zenobia semata-mata untuk mewujudkan alasan yang membenarkannya menceroboh
Mesir.
Pada awalnya, tentera Zenobia berjaya meraih kemenangan namun kemudian
diusir dari wilayah Mesir apabila pasukan tentera tempatan pulang dari kempen.
Tidak berpuas hati dengan kejayaan mengusir penceroboh itu, tentera-tentera
Rom-Mesir malah mengejar pasukan tentera Zenobia sehingga melepasi sempadan dan
terus mara memasuki wilayah Syria. Di sana, pasukan tentera Zenobia melancarkan
serangan balas dan berjaya menewaskan pasukan tentera Rom-Mesir.
Sebaik sahaja menguasai Mesir, Zenobia dengan pantas mengadakan rundingan
diplomatik dengan wilayah-wilayah di Levant dan Asia Kecil sekaligus
memasukannya ke dalam Empayar Palmyra-nya yang sedang berkembang besar.
Dengan
keadaan Empayar Rom yang sedang huru-hara, kekayaan dan kekuasaan Empayar
Palmyra yang sedang meningkat naik membuatkan pemerintah-pemerintah tersebut
memilih untuk berpihak kepada Zenobia. Akibat terlalu sibuk dengan masalah
dalaman, Rom tidak mampu berbuat apa-apa terhadap perkembangan kuasa Zenobia
ini. Apapun, walaupun jelas sekali beliau sedang membina sebuah empayar sendiri
yang bersebelahan dengan empayar Rom, Zenobia masih belum melakukan sebarang
tindakan yang secara terbuka mencetuskan konflik dua pihak dengan Rom.
Masa berlalu dan berlalu sehinggalah Aurelian naik menjadi Maharaja.
Zenobia pula pada masa itu menitahkan agar syiling yang memaparkan imej
Vaballathus di satu sisi dan Aurelian di satu sisi dihasilkan. Beliau juga
mengarahkan agar inskripsi-inskripsi berkenaan sifat mulia Aurelian diletakkan
di Palmyra sambil urusan-urusan rasmi dijalankan dengan menggunakan nama
maharaja. Namun pada masa yang sama, beliau dengan beraninya menggunapakai
gelaran diraja Augustus untuk anaknya, Vaballathus dan Augusta untuk dirinya
sendiri; gelaran yang sepatutnya hanya layak disandang oleh keluarga diraja Rom
sahaja.
Lebih daripada itu, Zenobia juga mengadakan kesepakatan perdagangan
dengan Sassanid, serta menambah wilayah ke dalam empayar timurnya tanpa
terlebih dahulu merujukkan hal tersebut kepada penguasa Rom. Menjelang tahun
271 Masihi, pemerintahan Zenobia berkeluasan dari Iraq moden hingga ke Turki
dan turun sampai ke Mesir.
ZENOBIA & AURELIAN
Ketika maharaja-maharaja lain gagal untuk menyedari perkembangan kuasa
Zenobia atau mungkin tidak memiliki sumber untuk melakukan sesuatu terhadapnya,
Aurelian ternyata merupakan seorang pemerintah yang berbeza. Beliau mendaki
tangga kariernya dengan bermula sebagai seorang tentera pejalan kaki, lalu
menjadi panglima dan kini bergelar maharaja. Beliau terlebih dahulu menceburi
medan perang sebelum turun ke gelanggang politik.
Sebaik meraih kuasa, Aurelian
perlu memimpin pasukan tenteranya menewaskan Vandals, Alemanni dan Goths.
Menjelang tahun 272 Masihi, beliau akhirnya bersedia untuk merebut semula
wilayah-wilayah timur dari genggaman Zenobia. Beliau tidak menunggu untuk
menghantar sebarang surat ataupun menerima surat dari Zenobia, sebaliknya terus
sahaja mara ke Empayar Palmyra dengan membawa seluruh bala tenteranya.
Sebaik memasuki Asia Kecil, ketumbukannya memusnahkan setiap pekan dan
kota yang menumpahkan kesetiaan kepada Zenobia. Beliau turut memerangi beberapa
pasukan perompak yang ditemui dalam perjalanan. Kemaraan diteruskan sehinggalah
mereka tiba di Tyana, wilayah yang menempatkan seorang ahli falsafah terkenal
bernama Apollonius yang sangat dikagumi oleh Aurelian sendiri. Pernah di dalam
mimpinya, Aurelian didatangi oleh Apollonius yang memberi nasihat agar memberi
belas-kasih andai mahu meraih kemenangan.
Oleh kerana itu, Aurelian mempamerkan
rasa belas-kasih terhadap penduduk kota dan melanjutkan kemaraan tanpa
mengapa-apakan mereka. Ternyata sifat belas-kasih ini mendatangkan kesan yang
efektif. Kota-kota lain langsung sahaja menyerah kepada Aurelian. Sejak
keberangkatan dari kota Tyana, tidak ada lagi kota yang memerangi Aurelian dan
masing-masing menghantar utusan menyatakan pendirian mereka yang memihak
Aurelian dan meninggalkan Zenobia. Dengan begitu, ketumbukan Aurelian dapat
tiba di Syria dengan pantas.
![]() |
| Ratu Zenobia menghadap Maharaja Aurelianus |
Tidak dapat dipastikan sama ada Zenobia ada menghantar utusan kepada
Aurelian ataupun tidak. Terdapat rekod tentang perutusan surat antara mereka
berdua sebaik sahaja Aurelian tiba di Palmyra, namun catatan tersebut dianggap
sebagai rekaan oleh sejarawan terkemudian. Surat yang diberikan oleh Aurelian
semasa awal keberangkatannya sebagaimana yang terkandung dalam Historia Augusta
juga dianggap palsu; rekaan yang dilakukan untuk menunjukkan sifat belas-kasih
yang dimiliki Aurelian serta sifat kasar dan angkuh Zenobia.
Bagi menghadapi kemaraan Aurelian, Zenobia mengumpulkan bala tenteranya
dan kedua-dua pihak itu kemudian saling berhadapan di luar kota Daphne. Di
sana, meletus Pertempuran Immae pada tahun 272 Masihi yang dimenangi oleh
Aurelian. Ramai tentera Syria ditawan dan dibunuh. Zenobia sendiri bersama
panglimanya, Zabdas terpaksa berundur ke kota Emesa yang menempatkan lebih
ramai tentera dan harta.
Aurelian terus mengejar Zenobia dan kedua-dua pihak sekali lagi bertembung
di luar kota Emesa. Kali ini juga dimenangi oleh Aurelian melalui taktik yang
sama seperti di Immae. Kota Emesa habis dijarah. Namun, Zenobia masih berjaya
meloloskan diri dan berundur ke Palmyra.Tidak lama selepas beliau selesai
menyiapkan pertahanan kota, ketumbukan tentera Aurelian pun tiba dan langsung
sahaja melakukan pengepungan.
Edward Gibbon menulis, “Zenobia berundur ke tembok ibu kotanya,
melakukan persiapan terakhir dan melaungkan dengan penuh lantang, “Berakhirnya
pemerintahanku adalah berakhirnya hayatku. Berakhirnya hayatku adalah
berakhirnya pemerintahanku!” Entah benar ataupun tidak beliau ada mengatakan
sedemikian, namun apa yang pasti beliau jelas menunggu bantuan dari Parsi.
Apabila mendapati bantuan tidak dapat diterima, Zenobia dan Vaballathus
melarikan diri menaiki unta menuju ke Parsi.
Semasa Aurelian berjaya menggempur masuk ke dalam kota dan mendapati
bahawa Zenobia dan puteranya sudah tiada, pantas beliau menghantar sepasukan
tentera kavalri untuk menghambat Ratu Palmyra itu. Zenobia tertangkap semasa
sedang cuba merentas sungai Furat. Beliau kemudian dibawa menghadap Aurelian
dalam keadaan dibelenggu. Di hadapan Aurelian, Zenobia menafikan kesalahannya
dan menudingkan jari kepada hasutan yang diberikan oleh para penasihatnya,
terutama sekali Cassius Longinus. Cassius kemudian dihukum pancung sementara
Zenobia pula dibawa kembali ke kota Rome.
HARI-HARI TERAKHIR ZENOBIA
Apa yang berlaku terhadap Zenobia seterusnya berbeza mengikut setiap
catatan yang dibaca. Menurut Zosimus, Zenobia dan puteranya mati lemas di Selat
Bosforus semasa dalam perjalanan ke Rome. Namun, Zosimus juga mendakwa bahawa
Zenobia selamat tiba di Rome tanpa anaknya. Beliau kemudian dibicarakan dan
dibebaskan lalu meneruskan hidup di sebuah villa yang kemudian berkahwin dengan
seorang lelaki Rom.
Historia Augusta pula menyampaikan kisah di mana beliau diarak di
sepanjang jalan di kota Rom dalam keadaan dibelenggu oleh rantai emas semasa
perarakan kemenangan Aurelian. Zenobia kemudian dibebaskan dan dikurniakan
sebuah rumah mewah berdekatan kota Rome di mana beliau meluangkan hari-hari
terakhirnya dengan aman dan senang-lenang.
Sementara itu, Zonaras mendakwa bahawa Zenobia dibawa pulang ke kota
Rome, namun tidak pernah dimalukan dalam perarakan dan bersetuju bahawa Zenobia
berkahwin dengan seorang lelaki Rome sambil Aurelian pula mengahwini salah
seorang anak perempuan Zenobia.
Seperti penulis-penulis Arab yang lain, Imam al-Tabari langsung tidak
menyebut tentang Aurelian ataupun Rom dalam penceritaan mengenai Zenobia. Dalam
catatan al-Tabari, Zenobia membunuh seorang ketua kabilah bernama Jadhima pada
malam perkahwinan mereka. Lantas, anak buah Jadhima menuntut bela dengan
mengejar Zenobia yang melarikan diri menuju ke Furat. Zenobia telah terlebih dahulu
mengarahkan agar sebuah terowong digali di bawah sungai, kalau-kalau
rancangannya menemui jalan buntu dan menuntutnya melarikan diri. Dalam kisah
ini, Zenobia ditangkap ketika sedang memasuki terowong tersebut. Beliau
kemudiannya sama ada mati kerana membunuh diri dengan meminum racun, ataupun
dihukum.
![]() |
| Ratu Zenobia menatap Palmyra buat kali terakhir |
Makanya, pengakhiran hidup Zenobia bergantung kepada sumber yang
dirasakan paling sahih. Historia Augusta telah lama diakui sebagai sumber yang
tidak boleh dipercayai kerana ia sering mengubah tarikh, peristiwa dan bahkan
watak-watak yang terlibat demi menghadirkan suatu versi tertentu yang
bersesuaian dengan kepentingan maharaja yang memerintah pada masa itu. Stoneman
menulis:
“Pada beberapa aspek tentang sifat Zenobia, kita dihidangkan dengan
banyak maklumat menerusi Historia Augusta – namun mesti diingat bahawa
perincian penceritaannya tidak boleh begitu diyakini memandangkan penulisnya,
menulis apa yang dirasakannya sesuai mengikut citarasanya.”
Catatan-catatan dari Zonaras dan Zosimus dianggap lebih diyakini. Oleh
kerana itu, lebih cenderung untuk mengatakan bahawa di akhir hayatnya, Zenobia
dibawa ke kota Rome namun tidaklah dimalukan dalam perarakan kemenangan
Aurelian. Aurelian pasti begitu mempertimbangkan anggapan masyarakat Rom andai
mendapati kemenangannya itu adalah dari kempen ketenteraan melawan seorang
wanita.
Betapa malu baginya jika dianggap membenarkan seorang wanita menjadi
begitu berkuasa sehingga mampu memerintah satu pertiga empayar Rom. Tidak
mungkin Aurelian mahu memberikan perhatian yang lebih kepada Zenobia dan
makanya, hikayat masyhur kononnya Zenobia diarak dalam keadaan dibelenggu oleh
rantai emas adalah satu fiksyen.
Namun, kisah tentang pendakwaan dan pembebasannya lalu kehidupannya di
Rome dianggap munasabah. Tidak ada rekod yang mencatatkan tarikh kematian
Zenobia atau bagaimana beliau meninggal dunia. Namun apa yang pasti, tidak ada
sumber dari barat yang mengisyaratkan bahawa beliau dihukum bunuh. Oleh kerana
itu, terdapat kemungkinan bahawa kisah kematiannya itu diperkenalkan menerusi
versi penceritaan Arab.
Zenobia merupakan salah satu figura paling penting pada Zaman
Pertengahan. Identitinya sebagai seorang ratu dan pahlawan yang hebat berjaya
mempengaruhi ramai penulis dan pelukis untuk terus menghidupkan namanya dalam
tinta sejarah. Malah, monarki di kemudian hari seperti Catherine dari Russia
(1729-1796 M) turut membanding-bandingkan dirinya dengan Zenobia, menunjukkan
betapa Ratu Palmyra itu dijadikan sebagai kayu ukur kesuksesan seseorang
pemerintah wanita. Sehingga ke hari ini, Zenobia dikenang sebagai seorang ratu
dari Palmyra yang mencabar kekuasaan Rom dan memberi inspirasi kepada ramai
wanita.
SUMBER
- Historia Augusta
- Edward Gibbon. (1994). The Decline and Fall of the Roman Empire. Everyman’s Library.
- Gayle Young. (2009). A Worthy Warrior Queen. Georgetown University.
- Jon. E Lewis. (2003). The Mammoth Book of Eyewitness Ancient Rome. Running Press.
- Richard Stoneman. (1995). Palmyra and Its Empire. University of Michigan Press.
- Get link
- X
- Other Apps



