- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (30 Mac 2015). The Colossal Head of Decebalus, King of the Dacians.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/colossal-head-decebalus-king-dacians-002840
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/colossal-head-decebalus-king-dacians-002840
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Di jantung kota Rome,
berdiri teguh sebuah menara setinggi 38m yang dibina pada abad ke-2M. Pada
relif berpilin di monumen berkenaan terdapat lebih dari 2600 figura yang
menggambarkan para perajurit sedang berperang di sebuah daratan yang jauh.
Menara tersebut dikenali sebagai ‘Menara Trajan’ dan subjek yang cuba
disampaikan oleh relif-relif berkenaan adalah berkisar tentang Perang Dacia.
Salah satu figura
paling penting yang terdapat pada menara tersebut adalah Decebalus, pemimpin
kaum Dacia atau dikenali sebagai Raja Decebal. Dalam satu babak pada ukiran
berkenaan, beliau ditunjukkan sedang membunuh diri setelah mengalami kekalahan
di tangan Rom – lebih rela mati berbanding melutut tunduk sebagai tawanan.
Kekalahan yang dialami oleh Decebalus dan pembunuhan dirinya itu menandakan
berakhirnya Perang Dacia Kedua dan diserapnya Dacia sebagai sebuah wilayah
naungan Empayar Rom.
Walau bagaimanapun,
semangat Decebalus tidak lenyap dan ia dihidupkan semula pada beberapa tahun
kebelakangan ini di Romania, wilayah yang pernah menjadi sebahagian dari
Kerajaan Dacia. Mungkin, perkara yang paling menonjolkan perkara ini (semangat
yang dihidupkan semula) adalah berdirinya arca batu kepala Decebalus.
![]() |
| Menara Trajan, Rome |
![]() |
| Relif pembunuhan diri Raja Decebal pada Tiang Trajan |
Projek memahat tugu
kolossal Decebalus ini diilhamkan oleh seorang pedagang Rom yang kaya, bernama
Iosif Constantin Dragan. Pada tahun 1985, Dragan memilih batu-batuan yang bakal
dipahat. Batu yang dipilih oleh beliau
terletak pada ketinggian 128m di sekitar Jurang Besi (Iron Gorge). Mungkin,
salah satu faktor Dragan memilih tapak berkenaan adalah kerana Tabula Traiana,
iaitu sebuah memorial penaklukan Rom ke atas Dacia bertempat di seberang sungai
– berhadapan dengan tapak tersebut.
![]() |
| Potret Raja Decebal |
Projek ini hanya
dimulakan beberapa tahun kemudian, iaitu tahun 1993 setelah gunung itu dibeli
oleh Dragan. Projek ini sudah tentulah mencabar buat individu-individu yang
terlibat. Mereka diletakkan di bawah seliaan dan arahan seorang pemahat Itali
yang bernama Mario Galeotti. Sebelum kerja-kerja pemahatan bermula, beberapa
tugas lain dijalankan terlebih dahulu - bermula daripada mengambil sampel batu
hingga ke menentukan kualiti batu hingga ke penghasilan lakaran awal.
Lokasi arca ini juga
mempunyai akses yang sukar dan sejumlah perahu (atau bot) diperlukan untuk
mengangkut barang keperluan kepada para penukang. Tambahan lagi, para penukang
perlu mendaki bukit batu untuk mendirikan perancah sebelum mereka boleh
memulakan kerja-kerja menorah batu. Kebiasaannya, perkara-perkara yang sukar
dan berbahaya itu mengambil masa sehingga setengah jam setiap hari.
![]() |
| Arca Kepala Decebalus |
![]() |
| Pandangan Arca Kepala Decebalus dari sungai |
Dalam tempoh sepuluh
tahun, para penukang arca ini bekerja selama enam jam sehari dalam dua syif
yang silih berganti sepanjang bulan Mac hingga Oktober. Mereka turut
menggunakan dinamit untuk meletupkan bongkah-bongkah batu yang besar sambil
kerja-kerja yang lebih halus pula dihasilkan dengan menggunakan tukul-pneumatik
dan kapak genggam.
Dalam enam tahun pertama, hasil kasar bagi arca ini berjaya
disiapkan. Kemudian, empat tahun berikutnya pula dihabiskan dengan mengerjakan
sentuhan dan perincian kecil. Pada tahun 2000, plak peringatan yang diletakkan
di bahagian bawah arca disiapkan. Pada plak berkenaan tertulis inskripsi Latin
berbunyi, “DECEBALUS RES DRAGAN FECIT” yang bermaksud, “Raja Decebalus,
dihasilkan oleh Dragan.”
![]() |
| Relif-relif pada Menara Trajan oleh Conrad Cichorius. Plat bernombor CVIII: Kepala Decebalus dipamerkan kepada tentera-tentera Rom |
Tugu kepala Decebalus
ini bukan hanya sebuah kerja seni hasilan seorang pedagang yang berwawasan.
Terdapat faktor lain yang mendorong Dragan menaja projek berkenaan. Dragan
sebenarnya adalah seorang pendokong setia pergerakan proto-kronisme, iaitu
sebuah idealogi nasionalisme yang mempercayai bahawa Romania adalah punca-asal
(rangka) bagi sesebuah ketamadunan.
Penasihat kepada
pergerakan ini meyakini kononnya bermula dari Romania inilah, makanya
ketamadunan-ketamadunan dari sejauh Tanah Sumeria, Mesir, Turki dan Yunani,
serta di utara pula seperti Scandinavia lalu ke barat melibatkan Jerman dan
Britannia, kesemua berasal-usul dari Romania. Oleh kerana itu, Decebalus
digambarkan sebagai perwira kebangsaan dan kononnya, nenek-moyang beliau adalah
pemula ketamadunan manusia. Makanya
tidak menghairankan jika para pendokong pergerakan proto-kronisme ini meyakini
bahawa masyarakat Romania moden adalah pewaris legasi ulung itu.
Di dalam karya Michael
Palin yang berjudul New Europe, pengalaman peribadi pelawak British ini
ketika memasuki (melawat) Jurang Besi dan melihat sendiri tugu kepala Decebalus
digambarkan secara ringkas menerusi petikan, “Pada nota penanda ringkas yang
memerihalkan kebangkitan semangat kebangsaaan ini, (ketahuilah) kami sendiri (pernah)
melalui jurang tersebut.”
Jika berada di tangan
yang salah, semangat kebangsaan boleh menjadi satu senjata pemusnah dan pembawa
bahaya. Tugu Decebalus yang dihasilkan oleh Dragan ini boleh dianggap sebagai
cubaan untuk mempromosikan semangat kebangsaan Romania. Pun begitu, hala tuju
pergerakan ini di masa hadapan masih lagi menjadi suatu subjek yang terdedah
kepada spekulasi sesiapa pun jua.
SUMBER
- Gill, N. S. 2015. Decebalus.
- Palin, M. 2007. Day Sixty-five: On the Danube, Romania to Serbia.
- Stanestane. 2015. Decebal’s Head.
- Amazing Place on Earth. 2015. The Statue of Decebalus, Romania.
- Decebalusrex. 2014. DECEBALUX REX DRAGAN FECIT
- Get link
- X
- Other Apps






