- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mahbod Khanbolouki. (21 Januari 2015). Babak Khorramdin – The Freedom Fighter
of Persia. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/babak-khorramdin-freedom-fighter-persia-002590
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/babak-khorramdin-freedom-fighter-persia-002590
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Kekhalifahan Umayyah
dan Abbasiyah telah menguasai empayar Sassanid Parsi selama 144 tahun apabila
pada tanggal 10 Jun 795M, lahir seorang bayi di kampung Balal Abad (berhampiran
Ardabil moden di barat daya Iran). Anak kecil ini bakal membesar menjadi ketua
penentang terkemuka dalam kalangan masyarakat Parsi dan beliau kelak akan
menubuhkan pasukan pemberontak terbesar yang pernah dihadapi oleh bala tentera
Arab di zaman Kekhalifahan Islam. Beliau memerangi pihak
Arab ini dengan tujuan untuk merebut semula wilayah-wilayah Parsi, demi
membebaskan rakyat Parsi dan mengembalikan kebudayaan mereka. Beliau kelak akan
dikenang dengan nama Babak Khorramdin.
Babak kehilangan
bapanya, Merdas semasa kanak-kanak lagi. Hal ini membuatkan beliau menggalas
tanggungjawab menyara keluarga, termasuklah ibu dan dua orang adiknya. Ibunya
yang bernama Mahrou bekerja sebagai pengasuh bayi sementara Babak sendiri
mengambil upah sebagai penggembala sehingga usianya mencecah 12 tahun.
Menjelang umur 18 tahun, Babak telah pun berkecimpung dalam perdagangan
senjata. Beliau gemar dan meminati musik serta nyanyian di samping mempelajari
cara bermain instrumen bertali Parsi bernama tambour.
Terdapat sejumlah kisah
yang memerihalkan beliau. Salah sebuah kisah menceritakan bahawa pernah di satu
ketika, Babak tertidur di bawah sebatang pokok pada waktu tengahari. Kemudian,
ibunya melihat rambut dan dada anaknya itu dibasahi darah. Namun setelah
dikejutkan oleh ibunya, kesemua darah itu hilang dan tiada apa-apa berlaku pada
Babak. Berdasarkan apa yang disaksikannya itu, Mahrou pun memberitahu Babak
bahawa beliau bakal memikul tugas yang besar kelak.
![]() |
Babak Khorramdin |
KUMPULAN PENENTANG
ALIRAN KHORRAMIAN
Pada suatu hari di
musim sejuk, seorang lelaki kaya bernama Javidan Shahrak sedang dalam
perjalanan pulang dari bandar Zanjan. Di sana, beliau dilantik sebagai pemimpin
bagi sebuah pasukan penentang Parsi, dikenali sebagai aliran Khorramian –
aliran yang ditubuhkan di kawasan pergunungan berhampiran. Berikutan ribut
salji yang membadai agak lebat, Javidan pun tidak dapat meneruskan
perjalanannya dan terpaksa mencari tempat untuk berteduh. Entah bagaimana,
beliau menemukan rumah Babak lantas mengetuk pintu rumah tersebut.
Ibu Babak menjemputnya
masuk dan menyalakan api untuk menghangatkan Javidan. Sepanjang berada di situ,
kuda-kuda milik Javidan dijaga oleh Babak yang memberikan layanan yang baik
kepadanya. Tahap kebijaksanaan beliau mengagumkan Javidan dan apabila sudah
tiba masanya untuk Javidan beredar, beliau meminta izin Mahrou untuk membawa
Babak bersama supaya beliau dapat bekerja di ladang miliknya. Javidan turut
berjanji bahawa Babak akan pulang dengan membawa wang yang banyak.
Mahrou bersetuju dengan
permintaan tersebut dan menerusi peristiwa inilah, Babak menyertai pasukan
penentang Khorramian. Javidan serta-merta menjadi idola dan guru Babak.
Beberapa tempoh waktu kemudian, Babak meraih nama Khorramdin yang bermaksud
‘kepercayaan indah’, merujuk kepada agama pra-Islam yang dianuti oleh
masyarakat Parsi sejak zaman purbakala lagi, iaitu Zoroastrianism.
Sebagai ketua pasukan
penentang Khorramian, Javidan sering memerangi tentera Arab dengan membawa
bersama Babak Khorramdin di sekitar kubu kuat mereka yang terletak di Parsi, di
antara tahun 807-817M. Keadaan berlanjutan sehinggalah Javidan menerima luka
parah dalam sebuah pertempuran dan meninggal dunia pada tahun 817M. Menjelang
waktu kematian Javidan, Babak telah pun menguasai kemahiran penggunaan lokasi
geogstrategik, pengaplikasian pelbagai taktik ketenteraan dan cara memimmpin
tentera. Javidan juga memilih Babak sebagai penggantinya dan pemimpin aliran
Khorramian.
Pada masa kepemimpinan
Babak, terdapat sejumlah pasukan penentang berselerakan di seluruh Parsi. Tidak
lama kemudian, Babak mengahwini Banu Khorramdin, balu Javidan yang merupakan
seorang srikandi yang ikut sama berjuang bersama Babak dan tenteranya.
Ahli-ahli pasukan Khorramian mengenakan pakaian berwarna merah. Oleh kerana
itu, mereka dikenali sebagai sork jamegan dalam kalangan penduduk
tempatan, yang membawa maksud ‘orang yang berpakaian merah’.
BERMULANYA KEMPEN
PENENTANGAN
Pada tahun sama
kematian Javidan, Babak mula menyuntik motivasi kepada para pengikutnya agar
bersatu dan memulakan penentangan terhadap Kekhalifahan Islam dari Arab.
Lantas, kebangkitan rakyat Parsi pun bermula. Babak semakin giat merekrut para
petani dan ketua-ketua penentang dari seluruh Parsi lalu mengarahkan mereka
agar menyertai barisan tentera dan menyebarkan ketakutan ke pihak Arab.
Kemasyhuran Babak meningkat dengan pantas dan ribuan orang datang menyertai
pergerakannya itu.
Terdapat sejumlah
catatan yang berbeza tentang bilangan rekrut itu, namun angka tersebut
dianggarkan di antara 100 000 – 300 000 orang. Pasukan tentera ini
kebanyakannya terdiri dari kalangan petani. Pun begitu, Babak melatih mereka
tentang selok-belok peperangan. Beliau mengarahkan para tenteranya agar
menyerang kafilah-kafilah dagang di sepanjang Laluan Sutera, menghapuskan
kubu-kubu kuat Islam dan menawan kampung-kampung. Hal ini mendatangkan kerugian
dalam kebanyakan wilayah pemerintahan kekhalifahan.
![]() |
Tugu Babak Khorramdin di Azerbaijan Selatan |
Pada 819M, pertempuran-pertempuran
skala penuh antara Parsi dan Arab bermula. Kekhalifahan Islam terus-menerus
mengarahkan para panglima agar memerangi Babak. Seorang panglima Arab bernama
Yahya ibn Muadh dihantar untuk memerangi pasukan penentang Khorramian, namun
menemui kegagalan. Sepanjang tempoh dua tahun, pasukan tentera pimpinan Isa ibn
Muhammad ibn Abi Khalid berterusan menyerang Babak, namun tetap tidak meraih
kejayaan.
Pada 824M, Ahmad ibn
al-Junayd pula dihantar tetapi tewas sambil tahun 827M menyaksikan Muhammad ibn
Humayd Tusi berhasil meraih kemenangan walaupun tidak berupaya menangkap Babak
dan orang-orang kanannya. Dua tahun kemudian, iaitu 829M, Babak kembali membaik
pulih kubu-kubu kuatnya dan menewaskan Muhammad ibn Humayd Tusi. Panglima Islam
itu sendiri terkorban sambil bala tenteranya kalah telak.
Kubu kuat kumpulan
penentang Khorramian bertempat di Istana Babak yang berlokasi di ketinggian
2600 meter di gunung Badd. Istana ini dikelilingi oleh gunung-ganang dan jurang
yang sejak dahulu kala mejadi tempat perlindungan. Sejumlah kecil tentera
Khorramian memadai untuk menewaskan ribuan tentera penyerang dengan mudah.
Malah, istana tersebut
mustahil untuk diserang pada musim sejuk. Istana ini dibina pada zaman dinasti
Sassanid (224M-651M) dengan tapak asasnya didirikan di zaman dinasti Parthian
(247SM-224M). Sebagai seorang ketua perang yang berkebolehan, Babak Khorramdin
memanfaatkan sepenuhnya lokasi strategik istana itu, istana yang banyak
menyumbang kepada kejayaannya menewaskan sejumlah panglima Arab.
![]() |
Istana Babak. Pada masa kini, runtuhan istana ini diziarahi oleh seluruh masyarakat Iran |
Pada tahun 835M,
khalifah Abbasiyah yang bernama Al-Mu’tasim mengarahkan panglima terhandalnya
untuk berhadapan dan menangkap Babak Khorramdin. Namanya adalah Haydar ibn
Kavus Afshin. Beliau dilantik sebagai gabenor di kawasan tempat Babak bergiat
secara aktif. Afshin merupakan bekas rakan seperjuangan Babak. Pada hari-hari
awal penentangan rakyat Parsi, Afhsin mengangkat sumpah setia terhadap Babak
untuk bekerjasama menewaskan tentera Arab dan mengembalikan kuasa Parsi ke
tangan monarki Sassanid.
Setelah 18 tahun
penentangan, Afshin akhirnya menjalinkan kerjasama dengan kekhalifahan Islam
demi meraih kelimpahan harta kekayaan dan pelbagai lagi manfaat lain seperti
dilantik menjadi ketua panglima pasukan tentera Arab. Dengan bantuan dan sumber
yang disediakan oleh khalifah, Afshin mengarahkan agar kubu-kubu yang telah
dimusnahkan oleh Babak dan tenteranya sebelum ini dibina semula dan diperkuat
dengan tentera.
Al-Mu’tasim pula
berjaya menangkap salah seorang tentera Babak yang diseksa agar membocorkan
maklumat tentang taktik-taktik Babak, strategi di setiap wilayah dan
jalan-jalan rahsia yang digunakan. Sejurus sebelum Afshin menyerang Istana
Babak, Babak terlebih dahulu mengirimkan sepucuk surat kepada maharaja
Byzantine yang bernama Theopilus dengan harapan dapat menerima bantuan
ketenteraan. Namun, surat tersebut tidak sampai pada masanya.
Rentetan itu, Babak dan
tenteranya terpaksa meninggalkan istana dan melarikan diri. Babak sendiri
bersama isteri serta sejumlah kecil tentera membawa diri ke Armenia sambil Afshin
menjarah dan menghancurkan istana tersebut. Ketika Babak hidup di bawah
perlindungan seorang putera Armenia yang bernama Sahl ibn Sonbat, sampai ke
pengetahuan si putera berkenaan ganjaran besar yang ditawarkan bagi sesiapa
yang dapat menemukan Babak. Lantas, keberadaan Babak di Armenia pun didedahkan
dan Afshin segera menghantar sejumlah besar tentera untuk menyerbu kediaman
Sahl ibn Sonbat lalu menangkap Babak.
![]() |
Penangkapan Babek Khorramdin (sekitar 800M) |
Babak Khorramdin
kemudiannya dibawa ke penghadapan khalifah di kota Samarra dan dijatuhi hukuman
pada tahun 838M. Sebelum hukuman dilaksanakan, tangan dan kakinya terlebih
dahulu dipotong. Turut dikisahkan bahawa dalam kesakitan, Babak membasuh
mukanya dengan darah yang bercucuran keluar dari lukanya.
Apabila ditanyakan oleh
khalifah tentang apa yang dilakukannya, Babak menjawab bahawa beliau enggan
membenarkan orang Arab melihat wajahnya pucat setelah mati agar beliau tidak
dianggap mati dalam keadaan takut terhadap mereka. Beliau lantas dipancung dan
kepalanya dipamerkan di kota-kota Parsi dengan tujuan menyebarkan perasaan
gerun dalam kalangan penduduk tempatan. Jasadnya pula digantung di tembok
Samarra.
Selama 21 tahun, Babak
Khorramdin berjaya memimpin penentangan besar-besaran yang berhasil
menumbangkan kekuatan Arab dalam satu pertempuran demi satu pertempuran. Pada
kemuncaknya, beliau tidaklah ditewaskan oleh Khalifah. Akan tetapi beliau
dikhianati oleh rakan seperjuangan.
Sehingga ke hari ini,
beliau terus dikenang sebagai wira Parsi yang berkorban nya demi kebebasan dan
kesejahteraan warisan budayanya. Beliau adalah pemimpin berkebolehan yang
namanya kekal hidup dalam kalangan penduduk Iran, sama seperti di zaman sesudah
kematiannya. Pada hari ini, masyarakat Iran menziarahi istananya pada 10 Julai
setiap tahun demi memperingati si legenda itu.
SUMBER
- Babak Khorfamdin: True Iranian National Hero.
- Babak Khoframdin: Patriot and Revolutionary.
- Get link
- X
- Other Apps