- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (22 Julai
2018). Ehecatl: The Aztec Wind God was Hard to Pin Down. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-americas/ehecatl-aztec-0010413
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-americas/ehecatl-aztec-0010413
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Ehecatl adalah dewa angin
bagi pantheon Aztec. Sebagai dewata cuaca, Ehecatl juga secara tidak langsung
dikaitkan dengan pertanian dan kesuburan tanah. Selain itu, Ehecatl juga secara
umum dianggap sebagai salah satu aspek bagi Dewa Quetzalcoatl, iaitu salah satu
dewa paling penting bagi masyarakat Aztec. Kuil-kuil yang didedikasikan kepada
dewa ini memiliki seni bina yang unik, di mana ia secara jelas menggambarkan
status dewa ini sebagai dewata angin. Salah sebuah kuil tersebut ditemukan pada
tahun 2016 di bawah pasar yang terletak di Bandar Mexico.
ASPEK
PENTING BAGI QUETZALCOATL
Nama ‘Ehecatl’ boleh
diterjemahkan secara ringkas sebagai ‘angin’. Beliau dianggap sebagai aspek
penting bagi Quetzalcoatl, dan kedua-dua dewa ini sering digabungkan sebagai
Quetzalcoatl-Ehecatl. Dewa ini juga dikaitkan dengan kesemua arah mata angin
memandangkan sifat angin yang bertiup ke semua arah. Dua ciri penting angin
yang lain turut diberikan perhatian oleh masyarakat Aztec. Pertama, angin tidak
memiliki bentuk fizikal dan keduanya pula ia sentiasa berubah-ubah hala tiupan.
Oleh kerana itu, masyarakat Aztec mempercayai bahawa Ehecatl adalah dewa yang
sukar untuk ditundukkan.
Quetzalcoatl, menggunakan ciri Ehecatl si dewa angin justeru menggambarkan angin yang membawa hujan. Juga dikenali sebagai ular berbulu |
Sebagai dewata cuaca,
Ehecatl memainkan peranan yang penting dalam pertanian, walaupun tidak secara
langsung. Misalnya, hujan dipercayai dibawa dan diturunkan oleh Dewa Tlaloc.
Namun, Ehecatl bertanggungjawab meniup dan menerbangkan awan-awan hujan itu ke
ladang tanaman. Oleh kerana itu, sembah korban yang melibatkan penumpahan darah
dan korban manusia dilakukan khusus buat dewa ini demi memastikan hasil tuaian
berlangsung sejahtera.
EHECATL DALAM MITOS
AZTEC
Walau bagaimanapun,
Ehecatl memiliki peranan yang lebih besar untuk dimainkan berbanding hanya
sekadar meniupkan awan hujan. Masyarakat Aztec percaya bahawa dewa inilah yang
menggerakkan matahari dan bulan dengan meniup dan menerbangkan mereka di orbit
alam semesta pada setiap hari. Kepercayaan ini dapat dilihat di dalam mitos
penciptaan Aztec apabila Ehecatl dipertanggungjawabkan dengan tugas tersebut
semasa penciptaan dunia kelima.
Gambaran moden terhadap Ehecatl |
Mitos lain yang
memperlihatkan peranan penting yang dimainkan oleh Ehecatl adalah mitos
berkenaan penciptaan tumbuhan maguey, sejenis tumbuhan yang sarinya
digunakan untuk membuat pulque, iaitu minuman beralkohol bagi tradisi
masyarakat asli di Mexico tengah. Mitos ini dimulakan dengan perincian tentang
dewi bernama Itzpapalotl yang mempunyai tabiat jijik di mana beliau mencuri
cahaya pagi dan mengurungnya. Itzpapalotl hanya akan melepaskannya setelah
menerima tebusan berbentuk korban manusia.
CINTA PANDANG PERTAMA
Akibat tidak lagi dapat
bersabar dengan keadaan ini, Ehecatl pun mengembara ke Tamoanchan, iaitu syurga
bagi masyarakat Aztec merangkap rumah kepada Dewi Itzpapalotl. Pengembaraan ini
bertujuan untuk bertemu dan berbincang dua hala dengan dewi tersebut. Namun
sebelum sempat berbuat demikian, Ehecatl bertembung dengan seorang wanita
manusia yang bernama Mayahuel, cucu kepada Itzpapalotl. Mereka berdua langsung
sahaja saling jatuh cinta antara satu sama lain dan lantas turun ke bumi. Tepat
di tempat pasangan kekasih ini mendarat, berputih sebatang pokok yang begitu
indah.
Mayahuel, Dewi Agave |
Namun malangnya,
kebahagiaan tidak dapat dinikmati oleh mereka berdua dengan lebih lama. Apabila
Itzpapalotl pulang dan menyedari kehilangan cucunya, beliau segera memanggil
Tzitzimime, iaitu kumpulan dewata bintang. Mereka diarahkan untuk mencari dan
membunuh Mayahuel. Menyedari keadaan bahaya yang sedang dihadapi, Ehecatl pun
mengubah kekasih dan dirinya menjadi dahan pokok yang tumbuh di tempat mereka
mendarat. Akan tetapi, penyamaran tersebut tidak berupaya memperdaya Tzitzime
yang pantas memanah pokok itu dengan sambaran petir yang mengorbankan Mayahuel.
Dengan penuh rasa dukacita, Ehecatl mengumpulkan jasad Mayahuel dan
mengebumikannya. Masyarakat Aztec percaya bahawa tumbuhan Maguey pertama tumbuh
dari jasad Mayahuel ini.
PENGHORMATAN KE ATAS
DEWA ANGIN AZTEC
Di penghujung artikel
ini, sesuai kiranya jika dikepilkan tentang kuil-kuil yang didedikasikan kepada
Ehecatl di mana ia mempunyai seni bina yang amat unik. Seperti mana-mana kuil
Aztec yang lain, ia berbentuk piramid. Cuma bezanya, platform kuil Ehecatl ini
tidak berbentuk segi empat, sebaliknya bulat sekaligus menghasilkan bentuk kon.
Justeru, lahir pendapat yang mengatakan bahawa bentuk tersebut berkemungkinan
sengaja dibuat dengan tujuan untuk menggambarkan Ehecatl sebagai beliung atau
taufan, yang dianggap sebagai aspek angin yang menggerunkan. Kuil yang berciri
seperti ini ditemukan pada tahun 2016 di Bandar Mexico semasa para arkeologis
menjalankan kerja-kerja ekskavasi di bawah sebuah pasaraya yang baru sahaja
dirobohkan.
SUMBER
- Associated Press. 2016. Revealed: Pre-Columbian circular temple to the god of wind is found beneath a supermarket in Mexico City.
- GodsLaidBare. 2010. Ehecatl.
- Maestri, N. 2017. Aztec Creation Myth: The Legend of the Fifth Sun.
- McDermott, A. 2016. 650-Year-Old Temple to Aztec Wind God Unearthed Under Supermarket in Mexico.
- The White Goddess. 2018. Ehecatl – God of Wind.
- Mexicolore.co. 2018. Study the… WIND GOD.
- Get link
- X
- Other Apps