JASA-JASA RAJA SHULGI DARI UR – PEMERINTAH ULUNG MESOPOTAMIA

Pautan ke artikel asal:
Carly Silver. (11 Mac 2019). The Mighty Deeds of King Shulgi of Ur, Master of Mesopotamian Monarchs. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/king-shulgi-0011602

Penterjemah: Amir Zayyanid


Pada awal milenia ke-2SM, negara-negara kota Mesopotamia meraih kegemilangan di zaman pemerintahan Dinasti Ur III. Selain menyambung rangka kerja politik yang sebelum ini terabai dek keadaan yang huru-hara, para pemerintah di zaman itu juga membawa pembaharuan dalam pembinaan dan ekonomi. Satu demi satu negara kota secara bergilir mendominasi kawasan selatan Iraq.


RAJA SHULGI DARI UR SEBAGAIMANA YANG DIGAMBARKAN DALAM PUISI-PUISI PUJIAN

Zaman Ur III dinamakan sebegitu kerana mandat maharaja dikurniakan secara dewata kepada Ur buat kali ketiga. Sementara itu, pemerintah yang paling menonjol antara semua adalah Shulgi yang dikenang zaman-berzaman sebagai seorang pemerintah yang bersifat belas-kasih.

Patung kepala Shulgi, raja Ur


Pada zaman pemerintahannya yang berpanjangan selama hampir lima dekad, Shulgi memajukan Ur dalam beberapa perkara penting. Beliau merupakan pemerintah yang menetapkan piawaian ukuran berat dan panjang di negara kotanya – suatu hal yang sangat penting untuk mengorganisasikan sesebuah kerja dan kemudiannya mencambahkan aktiviti perdagangan. Untuk memperkukuhkan lagi persekutuan dengan beberapa negara kota lain baik yang jauh mahupun yang dekat, Shulgi turut berkahwin paling kurang sembilan kali. Antara isterinya termasuklah puteri kota Mari di Syria, sementara gundik-gundiknya pula terdiri daripada jelitawan Ur dan kota-kota lain. Pelbagai pembaharuan penting dalam urusan perdagangan di samping pengukuhan hubungan baik menerusi perkahwinan berhasil menjamin kemewahan dan keamanan negara kota yang diperintah oleh Shulgi sepanjang kepenguasaannya.

Batu penimbang ½ mina dari Raja Shulgi yang memiliki simbol bulan sabit. Ia digunakan di kuil dewa bulan Nanna di Ur


Sebuah siri puisi yang didedikasikan kepada Shulgi yang diperkirakan dihasilkan sezaman dengan tempoh pemerintahannya memuji kebaikan hati, kegagahan fizikal, kekuatan batin dan bimbingan kedewataannya. Puisi-puisi pujian ini melontarkan pujian melangit kepada Shulgi. Misalnya di dalam Shulgi B, si pemuisi (yang mengambil sudut penceritaan sebagai Shulgi sendiri) bermegah-megah dengan berkata, “Ketika aku masih kecil, aku memasuki akademi di mana aku mempelajari seni penulisan dari tablet-tablet Sumer dan Akkad. Tiada bangsawan yang boleh menulis di atas tanah liat seperti yang mampu aku lakukan.”

Tablet ini merincikan keulungan Raja Shulgi dan kemenangannya ke atas kaum Lullubi dan ia menyebutkan kawasan Erbil dan Sulaymaniayh moden. 2111-2004SM. Muzium Sulaymaniyah, Iraq



SEMANGAT RAJA SHULGI YANG BERKOBAR UNTUK MEMPERBAHARUI PENTADBIRANNYA

Beliau bahkan menambah dengan mendakwa bahawa Enlil, Dewa Mandat Kemaharajaan memilihnya sebagai pemerintah Ur. Atas faktor apa? Atas faktor semangatnya membela ‘kebenaran’ yang didendangkan tidak kalah tanding berbanding semangat kepahlawanan dan pembelaan dirinya. Shulgi berkata, “Aku memiliki minat yang mendalam terhadap senjata.” Puisi-puisi pujian Shulgi menunjukkan bahawa Shulgi boleh melakukan hampir segala perkara – dari memburu hingga bermain muzik, dari menghafal hukum undang-undang hingga memuja para dewa – dengan jauh lebih baik berbanding orang-orang lain.

Sambil itu, Shulgi A pula merincikan bagaimana beliau melakukan penambahbaikan dalam infrastruktur dalaman negara kotanya, “Aku memperkuatkan jalan-jalan, memudahkan penggunaan lebuh-lebuh raya di daratan”. Malah, beliau turut meletakkan penanda-penanda jarak dan rumah-rumah singgahan di beberapa kawasan sebagai tempat istirehat yang selamat buat para pengembara. Jalan-jalan yang selamat ini pula berkait langsung dengan percukaian, suatu polisi yang sudah tentu turut diperbaharui oleh Shulgi. Cukai bala dikenakan ke atas teras geografik pentadbirannya dan ianya dibayar dalam bentuk bijirin, syiling dan lain-lain oleh seluruh lapisan masyarakat. Manakala cukai gun ma-dai pula disasarkan pada peringkat daerah dengan dibayar dalam bentuk haiwan. Sistem perjalanan yang dikawal-selia dengan baik sebegini juga membolehkan pasukan tentera digerakkan dengan lebih efisien.

Di dalam puisi-puisi pujiannya, Shulgi tidak hanya dikaitkan dengan dewata dan didakwa memiliki sifat yang sempurna, akan tetapi beliau juga didendangkan sebagai seorang pahlawan jaguh. Sememangnya, beliau bertanggungjawab memperluaskan lagi sempadan negara kotanya dan memerangi musuh-musuhnya di utara. Beliau bahkan menuntut bela kematian bapanya dengan menghukum pembunuh bapanya, iaitu kaum Gutian di dalam peperangan. Dalam pertempuran-pertempuran yang dilaluinya itu, Shulgi sudah tentu mengambil tawanan perang yang mereka ini kemudiannya dikerah untuk menyiapkan projek-projek pembinaan penting seperti ziggurat besar di Ur yang pembinaannya telah dimulakan oleh bapa Shulgi yang bernama Ur-Nammu.

Muka bangunan dan akses tangga ziggurat yang dibina semula. Tinggalan asal struktur Neo-Babylonia boleh dilihat di bahagian puncak


MEMBANGUNKAN REPUTASI SHULGI SEBAGAI RAJA

Untuk memanifestasikan keulungan mereka sebagai ketua pembina – terutama pembina kuil atau tempat-tempat suci yang lain – para pemerintah kebiasaannya mengarahkan agar patung-patung penubuhan didirikan. Patung-patung ini menggambarkan pemerintah sebagai seorang tukang bina marhaen – memikul batu di atas kepala. Rentetan itu, si pemerintah dilihat memainkan peranan yang aktif dalam proses pembinaan. Hal yang sama berlaku kepada Shulgi.

Patung-patung ini diletakkan di tapak-tapak asas kuil tempat beliau melibatkan diri dalam kerja-kerja pembinaan. Patung tersebut secara sendiri menjadi dedikasi kepada para dewa yang menjadi dewata pujaan utama di kuil berkenaan di samping simbol keagungan Shulgi yang mana ianya diletakkan di tempat yang mana hanya boleh dilihat oleh para dewa – iaitu di bawah tempat-tempat suci. Patung-patung sebegini yang bertujuan mempamerkan pengabdian si pemerintah kepada dewata pelindung negara kota yang ditadbirnya tidaklah secara khusus menjadi ciri dan amalan peribadi Shulgi. Pada hakikatnya, terdapat ramai sahaja pemerintah yang memerintahkan pendirian patung sedemikian di kuil-kuil di Mesopotamia.

Patung penubuhan raja Shulgi, digambarkan sedang memikul bakul



SUMBER
  • Hamblin, William J. Warfare in the Ancient Near East to 1600 BC: Holy Warriors at the Dawn of History. Routledge. 2006.
  • Muscarella, Oscar White. Bronze and Iron: Ancient Near Eastern Artifacts in the Metropolitan Museum of Art. Metropolitan Museum of Art. 1988.
  • “A Praise Poem of Shulgi (Shulgi A): Translation.” The Electronic Text Corpus of Sumerian Literature. Oxford University.
  • “A Praise Poem of Shulgi (Shulgi B): Translation.” The Electronic Text Corpus of Sumerian Literature. Oxford University.
  • Porter, Barbara Nevling. “Ritual and Politics in Assyria: Neo-Assyrian Canephoric Stelae for Babylonia.” Charis: Essays in Honor of Sara A. Immerwahr, edited by Anne Proctor Chapin. The American School of Classical Studies at Athens. 2004.
  • Sharlach, T.M. An Ox of One’s Own: Royal Wives and Religion at the Court of the Third Dynasty of Ur. de Gruyter. 2017.
  • Stiebling, Jr. William H. Ancient Near Eastern History and Culture. 2n ed. Routledge. 2006.
  • van de Mieroop, Marc. A History of the Ancient Near East, ca. 3000-323BC. 3rd ed. Wiley. 2015.